Wednesday, February 29, 2012

HODAK TURUN PADANG LATIH KELANTAN

Hodak menyatakan sesuatu kepada Muhammad Ramzul Zahini Adenan (kiri) dalam sesi latihan skuad Liga Super Kelantan, semalam.

KOTA BHARU – Pengarah Kejurulatihan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru, Bojan Hodak buat pertama kalinya turun padang mengendalikan sesi latihan pasukan Liga Super Kelantan semalam.

Meski pun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), namun kelibat jurulatih kelahiran Croatia itu dapat dilihat apabila secara tidak rasmi mengendalikan sesi latihan skuad The Red Warriors itu di Padang MARDI, Pasir Tumbuh, di sini semalam.

Sesi latihan selama satu setengah jam itu berjalan dengan lancar dan moral semua pemain juga dilihat tidak terjejas meski pun tanpa kehadiran pengendali asal, Peter Butler yang dikhabarkan masih berada di Indonesia.   

Hodak yang merupakan bekas Ketua Jurulatih pasukan UPB My Team musim 2006 hingga 2009 dibantu oleh dua penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Mohd Sideek Samsuddin mengendalikan sesi latihan tersebut.

Selain itu, Hodak juga pernah melatih kelab Phnom Penh Crown FC di Cambodia selama enam bulan (2010 hingga 2011) dan kali terakhir memegang jawatan selaku Penolong Jurulatih kelab Shandong Luneng Taishan FC di China sehingga membawa kelab tersebut muncul naib juara Piala FA pada tahun lalu.

Sinar Harian semalam melaporkan Hodak besar kemungkinan dilantik sebagai pengendali baru skuad The Red Warriors sekiranya Butler memilih untuk meninggalkan Kelantan dalam masa terdekat.

Malah jurulatih berusia 41 tahun yang mempunyai Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu dilihat calon paling berpotensi disenaraikan pada saat-saat akhir menggantikan Butler kerana tarikh tutup pendaftaran pemain dan pegawai pasukan bagi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) berakhir hari ini.

Sementara itu, Hodak ketika ditemui pihak media enggan mengulas lanjut mengenai kehadiran beliau melatih pasukan Liga Super Kelantan dalam sesi latihan semalam.

 Hodak serius mengendalikan sesi latihan skuad Liga Super Kelantan semalam.

“Itu anda (wartawan) kena tanya sendiri kepada pihak pengurusan. Saya tidak boleh mengulas lanjut tentang perkara ini. Saya di sini hanya membantu mengendalikan sesi latihan pasukan ini sahaja,” katanya.

Kata-kata yang dilontarkan oleh Hodak itu cukup mudah difahami apabila dilihat mengambil jalan selamat dengan tidak mahu mengulas lanjut mengenai kedudukan beliau selaku pengendali baru setelah kemelut dalaman di antara Butler dengan pihak Kafa masih belum menemui jalan penyelesaian setakat ini.

Monday, February 27, 2012

HODAK GANTI BUTLER?



KOTA BHARU – Siapa yang bakal menduduki ‘kerusi panas’ Ketua Jurulatih Kelantan mungkin terlalu awal untuk diperkatakan tatkala kemelut dalaman di antara Peter Butler dengan majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri masih belum menemui titik penyelesaiannya sehingga kini.

Namun, sudah ada petunjuk apabila Pengarah Kejurulatihan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru dilantik, Bojan Hodak besar kemungkinan akan mengambil alih tugas melatih pasukan Liga Super Kelantan dalam masa terdekat ini.

Ini dibuktikan lagi apabila jurulatih kelahiran Croatia itu dilihat memainkan peranan secara ‘tersembunyi’ menyusun percaturan taktikal ketika The Red Warriors menewaskan pasukan Singapore Armed Forces (SAF) FC 2-1 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam semalam.

Menurut sumber dalaman Kafa, Hodak yang baru dilantik memegang jawatan baru tersebut minggu lalu dijangka turun padang buat pertama kali melatih pasukan Liga Super Kelantan secara tidak rasmi dalam masa terdekat.  

“Namun Peter Butler masih kekal selaku Ketua Jurulatih Kelantan dan belum ada tindakan pemecatan dilakukan ke atas beliau. Kita masih menunggu sehingga beliau tampil menjawab surat tunjuk sebab berikutan kenyataan keras yang dikeluarkan oleh beliau kepada media pada minggu lalu.

“Perkembangan ini cukup menarik apabila Hodak yang mempunyai kuasa selaku Pengarah Kejurulatihan dan CEO ARMY mungkin menjadi calon berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut sekiranya Butler mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan,” katanya.

Jurulatih berusia 41 tahun itu mungkin calon paling sesuai bagi menggantikan Butler memandangkan beliau bukan sahaja kaya dengan pengalaman sebagai pemain bola sepak selama 11 tahun di negaranya, Singapura dan Hong Kong malah sudah berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu Sinar Harian turut difahamkan, Butler kini dikhabarkan berada di Indonesia dan sedang berunding dengan salah sebuah kelab bola sepak di sana bagi meneruskan kerjayanya setelah menghadapi masalah untuk bekerja di Kelantan.

Ini diperkukuhkan lagi apabila Butler sehingga kini tidak muncul di Kota Bharu, meski pun beberapa kali diberi peluang oleh pihak Kafa untuk tampil membela diri kepada Jawatankuasa Pengurusan di atas ketidakpuasan hati beliau dalam beberapa perkara termasuk isu campur tangan pemain import oleh pihak pengurusan baru-baru ini.

Bagi The Red Warriors, mereka tidak harus menunggu terlalu lama untuk menamakan jurulatih baru memandangkan saingan Liga Super akan bersambung tidak lama lagi dan kedua-dua penolong jurulatih sekarang, Zahasmi Ismail dan Mohd Sideek Samsudin pula hanya mempunyai Lesen Kejurulatihan Bola Sepak Kelas B sahaja.

MAMEE PENAJA BARU THE RED WARRIORS

Annuar (empat,kanan) menerima replika cek dari Pang Hee Ta sebagai penaja baru The Red Warriors dalam sidang media Karnival ARMY di Kota Bharu, dua hari lalu.

KOTA BHARU – Menerusi tajaan bernilai RM200,000, Mamee – Double Decker (M) sah menjadi penaja baru pasukan bola sepak Kelantan pada musim ini setelah memeterai perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dua hari lalu.

Pemangku Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Pierre Pang Hee Ta berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjadi penaja bersama The Red Warriors meski pun saingan Liga Malaysia sudah pun bermula sejak dua bulan lalu.

“Kita bukan sahaja menaja pasukan bola sepak senior tetapi juga menjadi sebahagian daripada keluarga Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) dengan menaja mereka terutama dalam pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Selain menjadi penaja pasukan Manchester United yang merupakan pasukan terhebat dalam Liga Perdana Inggeris, kita juga memilih pasukan bola sepak Kelantan yang dilihat salah satu kuasa baru dalam pentas bola sepak di Negara ini.

“Kita juga berminat untuk mengadakan usaha sama dengan pihak Kafa terutamanya dalam membawa pasukan bola sepak ARMY dan The Red Warriors ke luar negeri dalam memperkembangkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pelancaran Karnival ARMY di Kota Bharu, dua hari lalu. Hadir sama ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Timbalannya, Datuk Afandi Hamzah, Pengerusi ARMY, Datuk Ismail Md Noor dan Pengurus Penajaan dan Activasi Mamee - Double Decker (M) Berhad, Sharszany Shahry Shahriman.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau menyambut baik langkah syarikat produk pemakanan tersebut yang sudi menjadi penaja bersama pasukan bola sepak Kelantan pada musim ini.

“Kehadiran pihak Mamee tepat pada masanya dan sebahagian daripada sumbangan penajaan ini akan diperuntukkan untuk pembangunan ARMY melalui pelbagai perancangan yang kita akan susun selepas ini.

“Antaranya kita bercadang untuk mewujudkan pasukan elit bawah 14 dan 16 tahun di mana mereka akan didedahkan dengan pelbagai kejohanan bola sepak tempatan dan luar negeri.

“Malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan saya fikir kita (Kelantan) selaku ahli gabungan badan induk bola sepak Negara mempunyai peluang yang baik untuk menghantar pasukan ke sana.

“Kita melihat model pembangunan bola sepak di Jepun lebih sesuai dengan kita. Malah kita bercadang menjemput beberapa pasukan remaja daripada Negara tersebut datang ke sini menyertai pelbagai kejohanan dan saya fikir ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya. 

KELANTAN BERSEMANGAT ATASI SABAH



KOTA BHARU – Momentum cemerlang ketika menewaskan Johor 4-1 mahu diulangi oleh skuad Piala Presiden Kelantan apabila bertemu pencabar terdekatnya Sabah dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Meski pun mengakui bakal berhadapan cabaran getir, namun pengendali pasukan, Mohd Hashim Mustapha tetap yakin anak didiknya mampu menghadirkan keputusan menggembirakan berdasarkan prestasi semasa pasukannya ketika ini.

“Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil. Itu yang dibuktikan oleh pemain saya sehingga berjaya mengejutkan Johor di tempat mereka minggu lalu. Jadi tidak salah untuk saya katakan kita boleh mengalahkan Sabah meski pun mereka dilihat antara pasukan yang terkuat pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya tidak berminat untuk mencari kelemahan pasukan lawan kerana ini baru perlawanan pusingan pertama. Lebih penting bagi saya untuk memfokuskan persiapan pasukan kita daripada memikirkan tentang kehadiran mereka di sini.

“Kalau barisan pemain dapat mengekalkan rentak sebagaimana ketika menewaskan Johor tempohari sudah pasti tiga mata penuh dalam genggaman kita. Kelebihan beraksi di tempat sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin barisan pemain dengan mencipta kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di persada liga,” katanya.

Justeru, Mohd Hashim menagih sentuhan berbisa rangkaian tiga penyerangnya iaitu Mohd Aris Zaidi, Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor dan Mohd Shahiran Md Zain untuk merobek gawang gol pasukan Sabah pada pertemuan ini.

Penyerang Kelantan, Mohd Azyu Ikmal (depan) bakal bergandingan dengan Mohd Aris dan Mohd Shahiran bagi menghadapi Sabah di Kota Bharu, petang ini.

“Gandingan mereka sudah menampakkan keserasian dan saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan mereka setakat ini. Jadi saya berharap mereka meneruskan rentak cemerlang sekali lagi pada perlawanan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ada perkhabaran kurang enak di kem pasukannya setelah kehilangan khidmat bekas pemain tengah Harimau Muda B, Mohammad Asif Mohd Azman yang terpaksa disisihkan kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

“Kehilangan dia sedikit dirasai namun saya percaya pemain lain yang akan diturunkan mampu menggalas tanggungjawab tersebut. Siapa yang akan diturunkan itu saya belum ditentukan lagi sehingga beberapa jam sepak mula perlawanan petang ini.

Sementara itu, jurulatih berusia 46 tahun itu turut memuji persembahan pemain pertahanan kiri, Mohammad Qayyum Marjono Sabil yang beraksi cemerlang ketika perlawanan menentang Johor minggu lalu.

Sunday, February 26, 2012

BUKAN MACAM TUKAR BAJU - AZMAN

 
KOTA BHARU - “Tukar pemain import bukan seperti tukar baju” Itu reaksi balas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai desakan segelintir pihak yang mahukan kelibat pemain import baru, Onyekachi Nwoha digugurkan dengan segera.
 
Sambil menyifatkan banyak pihak terkeliru dengan isu tersebut, Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, bukan menjadi amalan pihak pengurusan tertinggi persatuannya untuk menukar pemain import sesuka hati tanpa memikirkan kesan kepada pasukan bola sepak Kelantan pada masa sekarang.
 
“Kenapa baru sekarang hendak semula sentuhan Mohammed Ghaddar sedangkan dulu semua orang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau. Kalau dulu sudah bagus, kita tidak suka-suka tukar beliau dengan pemain lain.
 
“Pertukaran ini dibuat pun berdasarkan penilaian kita di samping desakan penyokong sendiri. Ghaddar sering dikritik hebat sebelum ini dan kita berusaha (buat pertukaran) untuk memulihkan keyakinan beliau. Jadi kita ambil pendekatan tukar pemain lain bagi memulihkan moralnya.
 
“Pemain import baru (Onyekachi Nwoha) ini mungkin tidak sebaik Ghaddar pada masa sekarang. Tetapi kita mempunyai perjanjian bersama dan boleh menamatkan kontrak Nwoha tanpa membayar sesen pun sekiranya beliau gagal dalam baki lima perlawanan selepas ini,” katanya.
 
Sambil mengakui pihak pengurusan kini berada dalam dilema sama ada mahu terus menguji pemain tersebut rentetan kemarahan membuak-buak penyokong sejak akhir-akhir ini, Azman menjelaskan segala-galanya berpunca apabila pintu pendaftaran pemain import dibuka baru-baru ini.
 
“Kalau pintu pendaftaran pemain import tidak dibuka, masalah ini dianggap selesai kerana kita terus gunakan khidmat Ghaddar dan Danny Antwi sehingga ia dibuka semula pada 2 April depan.
 
“Kita pun tidak tahu perkara ini (prestasi buruk Nwoha) boleh berlaku. Kalau sudah tahu awal-awal lagi kita tidak tukar Ghaddar. Kita jadi tersepit kerana peminat akan menyalahkan kita mengapa tidak menukarkan Ghaddar walaupun kita diberi peluang untuk menukar pemain import sehingga 13 Februari lalu,” katanya.
 
Menurut Azman, proses mengambil pemain import menjadi begitu sukar kerana ia melibatkan banyak faktor terutama daripada segi penyesuaian pemain dan sebagainya.
“Sekarang kita sudah tidak boleh mengambil pemain import daripada Negara Asean. Kalau boleh ambil, sudah lama kita ambil pemain dari negara Indonesia , Thailand atau Singapura yang dilihat mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran di Negara kita.
 
“Ramai yang tidak faham dengan cara pengurusan Kafa sebaliknya mereka lebih berminat untuk menghentam daripada memahami masalah kita. Kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak walaupun tindakan yang kita buat bertujuan untuk memperkuatkan pasukan,” katanya.

STADIUM BARU BERNILAI RM300 JUTA

 Annuar (tiga,kanan) dan Shabaruddin (dua,kiri) tertarik melihat reka bentuk stadium bola sepak baru yang akan dibangunkan di Tunjong tidak lama lagi.
 
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Casamesra Sdn Bhd bagi membina sebuah stadium bola sepak baru di Tunjong bernilai RM300 juta semalam.
 
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Kota Bharu semalam. Casamesra Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Shabaruddin Ibrahim sementara Tan Sri Annuar Musa mewakili pihak Kafa. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah, Naib Presidennya, Datuk Ismail Md Noor dan Rosmadi Ismail serta Pengarah Casamesra Sdn Bhd, Azhar Mustapha.
 
Casamesra Sdn Bhd diberikan hak bagi membangunkan stadium bola sepak baru itu tersebut di atas tanah milik Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dengan keluasan lapan hektar.
 
Annuar dalam sidang media selepas itu berkata, tanah tersebut dikurniakan oleh Sultan Muhammad V bertujuan untuk memartabatkan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini dan ia bakal dibina dalam masa terdekat.
 
“Usaha pembinaan stadium baru ini amat diperlukan dan ia menjadi perkara yang paling utama pada masa sekarang. Soal pembangunan pemain itu satu perkara lain tetapi kita hendak menjadikan Kafa sebagai satu badan pentadbiran bola sepak yang serba lengkap.
 
“Sudah masanya kita mempunyai ‘rumah’ sendiri tetapi kita hendak bina sendiri stadium dengan ratusan juta harga sudah tentu kita tidak mampu. Jadi apabila baginda tuanku sendiri perkenaan tanah yang juga akan dibangunkan sebagai Bandar Diraja Tunjong itu saya fikir ia satu peluang yang cukup baik.
 
“Tetapi pemaju perlu ada tuan rumah dan sebab itu kita mengadakan MoU dengan mereka di mana kira sanggup menjadi penyewa stadium tersebut. Ia seperti konsep Stadium Emirates yang mana tuan rumahnya ialah pasukan Arsenal,” katanya.
 
Menurut Annuar, pihaknya tidak memiliki stadium tersebut tetapi hanya bertindak sebagai badan yang menguruskannya dan ia terkandung dalam prasyarat yang dikemukakan kepada pihak kerajaan sebelum ini.
 
“Cadangan ini pertama kali dikemukakan kepada pihak kerajaan supaya satu stadium dibina khusus untuk bola sepak sahaja. Kerajaan tidak perlu bersusah payah mengeluarkan duit sebaliknya kita akan bertindak selaku pihak yang menguruskan stadium tersebut.
 
“Saya ingin merayu kepada pihak kerajaan untuk memberikan kelulusan segera  memandangkan stadium adalah menjadi keperluan mendesak kepada kita pada masa sekarang.
 
Mengulas mengenai kapasiti tempat duduk stadium baru tersebut, Annuar menjelaskan pihaknya menetapkan hanya muatan 30,000 tempat duduk dibina berbanding 40,000 seperti cadangan asal dan jumlah tersebut dianggap memadai dengan penyokong Kelantan.
 
“Reka bentuknya merujuk kepada stadium bola sepak Cardiff City di England namun kita menyesuaikannya dengan keperluan tempatan. Di segenap penjurunya kita akan bina empat surau selain beberapa kemudahan lain seperti bilik seminar, dewan bankuet dan sebagainya,” katanya.

BUTLER KENA BALIK BERBINCANG

Annuar (tiga,kanan) menyatakan sesuatu kepada Ismail (kiri) dalam majlis perasmian Karnival ARMY di Kota Bharu, semalam. Hadir sama ialah CEO ARMY yang baru, Bojan Hodak (kanan).
 
KOTA BHARU - “Baliklah dan berbincang dengan kami” Mungkin itulah pendekatan berhemah yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam menangani krisis dalaman dengan Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler sekarang.
 
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara peribadi beliau sudah pun mengarahkan pengendali kelahiran Halifax , England itu kembali ke Kota Bharu dengan segera bagi berbincang dengan pihak pengurusan mengenai masalah ketidakpuasan hati jurulatih tersebut.
 
“Tidak baik menghilangkan diri begitu sahaja. Dia masih ada tanggungjawab dengan pasukan dan saya fikir kalau dia hendak ke mana-mana sekali pun dia kena mohon cuti. Gaji dia pun RM1,000 sehari dan janganlah hilang begitu sahaja.
 
“Datuk Afandi Hamzah (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan) hendak bersemuka dengan dengan dia. Dalam kes ini, kalau dia rasa tidak puas hati seelok-eloknya duduk berbincang dengan jawatankuasa berkenaan dan jangan pergi (mengeluarkan kenyataan) kepada media.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Karnival Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) di Kota Bharu semalam. Hadir sama ialah Pengerusi ARMY, Datuk Ismail Md Noor, Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah, Naib Presiden, Rosmadi Ismail dan Pengarah Kejurulatihan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ARMY yang baru, Bojan Hodak.
 
Sinar Harian dua hari lalu melaporkan Butler direhatkan berkuat kuasa Khamis lalu daripada melatih pasukan The Red Warriors ekoran masalah dalaman yang dihadapi pengendali berusia 46 tahun itu dengan majikannya, Kafa.
 
Ditanya adakah beliau berhubung dengan Butler dalam masa terdekat, Annuar mengakui ada berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) namun tidak dapat mengesahkan di mana dia berada pada masa sekarang.
 
“Saya kerap berhubung kerana dia kawan saya. Walaupun dia pernah melakukan kesalahan besar meninggalkan pasukan kita tanpa notis tiga tahun lalu namun semua itu sudah dilupakan.
 
“Saya minta Setiausaha Agung (Azman Ibrahim) menghubungi dia. Ada sesetengah kata dia berada di Kuala Lumpur , ada pula kata berada di luar Negara. Susah untuk berhubung menerusi telefon atau sms dan lebih baik dia pulang ke sini dengan segera.
 
Mengulas mengenai ketidakpuasan hati Butler mungkin berpunca daripada beberapa perkara seperti potongan cukai pendapatan yang dikenakan ke atasnya, Annuar berkata, pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan beliau yang mahukan pihaknya membayar potongan tersebut memandangkan kantung persatuannya sendiri tidak begitu mengizinkan pada masa ini.
 
“Kita diwajibkan membuat potongan sebagaimana yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Gaji dia ketika mula-mula datang RM16 ribu, kemudian kita naikkan RM20 ribu dan kali kedua kita naikkan 25 ribu. Itu sudah cukup banyak dan kita tak mampu membayar cukai pendapatannya.
 
Sementara itu, Annuar turut menolak dakwaan Bojan Hodak bakal dilantik untuk mengemudikan pasukan The Red Warriors sebaliknya memberitahu kehadiran jurulatih kelahiran Croatia itu hanya bertujuan untuk membangunkan ARMY menerusi program akar umbi yang sudah pun disusun sebelum ini.

Thursday, February 23, 2012

Kafa kembali anjur Liga Antara Kelab


KOTA BHARU – Setelah tidak dipertandingkan pada tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kembali menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Liga Antara Kelab yang akan bermula 16 Mac depan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Kafa, Datuk Afandi Hamzah berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 50 kelab bola sepak di seluruh negeri dijangka mengambil bahagian pada kejohanan kali ini.
 
“Ia terbuka kepada semua pasukan yang berminat di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) masing-masing. Kita juga turut membuka penyertaan kepada pasukan seperti agensi kerajaan dan swasta untuk menyertai kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Setiap pasukan boleh mendaftarkan 18 hingga 22 pemain dan yuran penyertaan ialah RM200. Jurulatih pasukan kelab pula mestilah mempunyai sekurang-kurangnya Sijil Kejurulatihan Pra Lesen C dan pemain yang didaftarkan dalam Liga Malaysia musim ini tidak dibenarkan bermain,” katanya.
 
Menurut Afandi, tarikh tutup penyertaan bagi kejohanan ini ialah sebelum 8 Mac depan dan berita baik bagi jurulatih kelab yang tidak mempunyai kelayakan tersebut mereka boleh mendapatkan sijil berkenaan dengan menyertai kursus yang dianjurkan oleh pihak Kafa pada awal Mac depan.
 
Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, pihak Kafa juga akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Pra Lesen C yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga Mac ini di Wisma Kafa.
 
“Kita memberi keutamaan kepada jurulatih kelab yang masih tidak mempunyai lesen untuk menyertai kursus ini. Namun penyertaan kepada orang luar turut dialu-alukan. Yuran penyertaan ialah RM85 seorang dan tarikh tutup pendaftaran sebelum 28 Februari ini,” katanya.
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azman turut memaklumkan pihak Kafa juga akan mengadakan Kursus Jurulatih Penjaga Gol Tahap 1 AFC/FAM dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada April ini.
 
“Ia akan bermula 8 hingga 12 April depan. Keutamaan kita ialah kepada penjaga gol atau bekas penjaga gol yang sudah pun mempunyai Lesen Kejurulatihan Penjaga Gol Kelas C sebelum ini.
 
“Yuran penyertaan ialah RM280 termasuk makan dan penginapan. Kursus ini akan dikendalikan oleh instruktor berpengalaman daripada FAM manakala tarikh tutup pendaftaran juga sebelum 28 Februari ini,” katanya.

Bojan Hodak CEO baru ARMY



Ismail (tengah) menyampaikan replika jersi ARMY kepada Hodak sejurus pengumuman mengenai pelantikan beliau selaku Ketua Pengawai Eksekutif yang baru akademi tersebut di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU – Bekas Ketua Jurulatih UPB My Team, Bojan Hodak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru berkuat kuasa semalam.

 
Pelantikan Hodak diumumkan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor dalam sidang media ringkas di Kafe The Red Warriors (TRW) di sini tengah hari semalam.
 
“Pemilihan Hodak sebagai CEO ARMY yang baru dilakukan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh B Sathianathan yang kini beralih arah membimbing pasukan ATM dalam kancah Liga Perdana musim ini.
 
“Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat tiga hari lalu memutuskan melantik beliau memegang jawatan tersebut dan beliau mengikat kontrak selama dua tahun bagi membangunkan akademi yang diwujudkan sejak setahun lalu. 
 
“Pemilihan Hodak dilakukan berdasarkan pengalaman luas yang dimiliknya selaku pemain bola sepak selama 11 tahun di negaranya Croatia, Singapura dan Hong Kong selain pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan di rantau ini termasuk UPB My Team tidak lama dulu,” katanya.
 
Hodak, 41, yang mempunyai Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pernah menjadi Ketua Jurulatih UPB My Team sekitar tahun 2006 hingga 2009, kelab Phnom Penh Crown FC  di Cambodia (2010 hingga 2011) sebelum berkelana ke China pada tahun lalu. 
 
Menurut Ismail, Hodak dijangka akan meneruskan program pembangunan yang ditinggalkan oleh Sathianathan dan selain itu beliau juga turut diberi kebebasan untuk merangka pelbagai aktiviti baru bagi menambah baik perjalanan akademi tersebut.
 
Sementara itu, Hodak yang kali terakhir memegang jawatan selaku Penolong Jurulatih kelab Shandong Luneng Taishan FC di China dan membawa kelab tersebut muncul naib juara Piala FA berkata, beliau mengakui begitu teruja dapat kembali menabur bakti di Negara ini.
 
“Malaysia ibarat rumah kedua kerana isteri saya orang sini dan saya juga mempunyai anak yang dilahirkan di sini. Ia sesuatu yang mengujakan apabila saya dapat kembali bekerja di sini.
 
“Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) ada menghubungi saya ketika saya pulang ke Malaysia meraikan sambutan Tahun Baru Cina isteri saya bulan lalu. Beliau menawarkan jawatan tersebut dan saya fikir itu sebab utama mengapa saya kembali di sini.
 
“Saya sudah bersedia untuk berkongsi pengalaman dan membantu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

BUKAN MACAM TUKAR BAJU -


KOTA BHARU - “Tukar pemain import bukan seperti tukar baju” Itu reaksi balas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai desakan segelintir pihak yang mahukan kelibat pemain import baru, Onyekachi Nwoha digugurkan dengan segera.
 
Sambil menyifatkan banyak pihak terkeliru dengan isu tersebut, Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, bukan menjadi amalan pihak pengurusan tertinggi persatuannya untuk menukar pemain import sesuka hati tanpa memikirkan kesan kepada pasukan bola sepak Kelantan pada masa sekarang.
 
“Kenapa baru sekarang hendak semula sentuhan Mohammed Ghaddar sedangkan dulu semua orang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau. Kalau dulu sudah bagus, kita tidak suka-suka tukar beliau dengan pemain lain.
 
“Pertukaran ini dibuat pun berdasarkan penilaian kita di samping desakan penyokong sendiri. Ghaddar sering dikritik hebat sebelum ini dan kita berusaha (buat pertukaran) untuk memulihkan keyakinan beliau. Jadi kita ambil pendekatan tukar pemain lain bagi memulihkan moralnya.
 
“Pemain import baru (Onyekachi Nwoha) ini mungkin tidak sebaik Ghaddar pada masa sekarang. Tetapi kita mempunyai perjanjian bersama dan boleh menamatkan kontrak Nwoha tanpa membayar sesen pun sekiranya beliau gagal dalam baki lima perlawanan selepas ini,” katanya.
 
Sambil mengakui pihak pengurusan kini berada dalam dilema sama ada mahu terus menguji pemain tersebut rentetan kemarahan membuak-buak penyokong sejak akhir-akhir ini, Azman menjelaskan segala-galanya berpunca apabila pintu pendaftaran pemain import dibuka baru-baru ini.
 
 Nwoha mempamerkan aksi hambar sehingga dikritik penyokong The Red Warriors dalam pertemuan dengan Sarawak baru-baru ini.
 
“Kalau pintu pendaftaran pemain import tidak dibuka, masalah ini dianggap selesai kerana kita terus gunakan khidmat Ghaddar dan Danny Antwi sehingga ia dibuka semula pada 2 April depan.
 
“Kita pun tidak tahu perkara ini (prestasi buruk Nwoha) boleh berlaku. Kalau sudah tahu awal-awal lagi kita tidak tukar Ghaddar. Kita jadi tersepit kerana peminat akan menyalahkan kita mengapa tidak menukarkan Ghaddar walaupun kita diberi peluang untuk menukar pemain import sehingga 13 Februari lalu,” katanya.
 
Menurut Azman, proses mengambil pemain import menjadi begitu sukar kerana ia melibatkan banyak faktor terutama daripada segi penyesuaian pemain dan sebagainya.
“Sekarang kita sudah tidak boleh mengambil pemain import daripada Negara Asean. Kalau boleh ambil, sudah lama kita ambil pemain dari negara Indonesia , Thailand atau Singapura yang dilihat mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran di Negara kita.
 
“Ramai yang tidak faham dengan cara pengurusan Kafa sebaliknya mereka lebih berminat untuk menghentam daripada memahami masalah kita. Kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak walaupun tindakan yang kita buat bertujuan untuk memperkuatkan pasukan,” katanya.

Tuesday, February 21, 2012

Hatrik Aris julang skuad Piala Presiden Kelantan

 Kesebelasan utama skuad Piala Presiden Kelantan yang diturunkan ketika bertemu PDRM di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

KELANTAN 4
Mohd Norfirdaus Roswanan (m-8)
Mohd Aris Zaidi (m-45,49, pen 84)

PDRM 0
 
KOTA BHARU – Jaringan hatrik penyerang sensasi, Mohd Aris Zaidi memastikan skuad Piala Presiden Kelantan mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas PDRM dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

Turun selaku pasukan pilihan, skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warriors seharusnya berpesta gol dalam perlawanan tersebut namun ketumpulan jentera serangan yang mensia-siakan deretan peluang yang terhidang terutamanya dalam babak kedua menafikan hasrat tersebut.

Skuad kendalian Mohd Hashim Mustapha itu tidak perlu menunggu lama apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan perlawanan menerusi Mohd Norfirdaus Roswanan apabila hantaran lintangnya gagal ditangkap kemas penjaga gol PDRM, Helmy di gawang golnya.

Pasukan PDRM hampir menyamakan kedudukan pada m-14 perlawanan apabila berlaku salah faham diantara pemain pertahanan, Bahaman Ab Ghani dengan penjaga gol, Muhammad Syazwan Yusoff namun rembatan pemain tengah Shazrul pula tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Minit-minit akhir babak pertama, Mohd Aris Zaidi mengukuhkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua Kelantan. Hantaran jauh oleh Bahaman pantas disempurnakan oleh Mohd Aris menerusi rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol PDRM itu.

Empat minit babak kedua bersambung, pasukan tuan rumah terus menjarakkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol ketiga. Kesilapan pemain PDRM, Shahnaz yang gagal mengeluarkan bola di depan pintu golnya dihukum menerusi tolakan mudah Mohd Aris untuk menewaskan Helmy sekali lagi.

Penyerang, Mohd Azyu Ikmal Che Mat Noor yang masuk menggantikan Mohd Shahiran Md Zin gagal meletakkan bola di dalam gawang pasukan PDRM setelah rembatannya pada m-67 perlawanan ditepis keluar Helmy.

Pemain gantian, Mohd Eskandar Ismail turut terlepas peluang untuk mencipta nama selaku penjaring gol apabila rembatan derasnya pada m-80 perlawanan menerjah jaring sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.

Tindakan pemain pertahanan pasukan pelawat, Abd Halim yang menarik Mohd Aris Zaidi di dalam kotak penalti pada m-84 perlawanan akhirnya mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Mohd Aris mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketiga peribadinya dalam perlawanan tersebut.

SELEBRITI MERIAHKAN KARNIVAL ARMY SABTU INI

 Ismail (tiga,kanan) dan Danny (dua,kiri) menunjukkan jersi yang akan dipakai dalam perlawanan amal sempena Karnival ARMY pada Sabtu ini.

KOTA BHARU – Satu perlawanan amal bertujuan mengutip derma bagi disumbangkan kepada penyokong bola sepak Kelantan yang ditimpa musibah antara beberapa aktiviti menarik yang akan memeriahkan sambutan ulang tahun pertama Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 25 Februari ini.

Pengerusi ARMY Datuk Ismail Md Noor, berkata, selain perlawanan amal melibatkan pasukan pasukan orang kenamaan (VIP) menentang pasukan selebriti, turut berlangsung ialah perlawanan persahabatan antarabangsa, Kelantan menentang kelab Singapore Armed Forces (SAF) pada sebelah malam tersebut.

“Kutipan derma hasil jualan tiket RM2 (terbuka) dan RM20 (astaka) akan disalurkan terus kepada Tabung Kebajikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Ia akan disumbangkan kepada penyokong Kelantan yang ditimpa kemalangan selain anak seniman agung terkenal Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali yang terlantar sakit akibat kemalangan dua bulan lalu.

“Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dijangka merasmikan karnival tersebut. Serentak dengan itu juga berlangsung majlis menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) di antara pihak Kafa dengan pemaju yang akan membina stadium baru. Turut berlangsung ialah majlis penyerahan tajaan Mamee selaku penaja baru The Red Warriors pada musim ini.

“Acara sampingan lain ialah pertunjukan gasing terbang selain pameran oleh barisan penaja. Orang ramai yang berminat untuk berniaga juga boleh menyewa gerai jualan yang disediakan dan mereka boleh menghubungi pihak Kafa bermula sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kota Bharu semalam. Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pengarahnya, Azlan Mohd Yusoff  dan Husin Deraman, Danny X-Factor serta Pengurus Pasukan Selebriti, Nik Radhi Nik Abdullah.

Antara selebriti lelaki yang akan beraksi ialah Ridzuan Hashim, Yantzen, Danny X-Factor, Fizo Omar, Syed Aiman, Kaza, Zahid AF, Hairi Kool, Zimi Sofaz manakala selebriti wanita ialah Ramona Zam Zam, Mas Muharni, Aida AF dan Mimi Ernida.

Ismail yang juga Naib Presiden Kafa berkata, satu kejohanan bola sepak berbentuk kalah mati melibatkan 14 pasukan ARMY di bawah 14 dan 16 tahun daripada tujuh daerah turut berlangsung pada hari tersebut.

“Kita akan memilih penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang terbaik. Pemain terbaik keseluruhan pula akan diterbangkan ke Old Trafford bagi menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan kelab Manchester United,” katanya.

Sementara itu Danny X-Factor yang mewakili rakan selebriti ketika ditemui melahirkan perasaan teruja di atas pembabitan golongan artis bagi menjayakan karnival tersebut.

“Ia bukan sekadar berhibur tetapi turut mengajak peminat di Kelantan menderma sambil beramal. Kita akan turun padang menjual tiket perlawanan dan orang ramai boleh mengambil kesempatan bersua dengan rakan artis pada hari tersebut,” katanya.

Monday, February 20, 2012

HALIM NAPI DILANTIK DUTA PRODUK

 Mohd Halim (kiri) dan Muhammad Faisal menunjukkan pewangi Red Perfume yang sudahpun berada di pasaran negeri ini, baru-baru ini.

KOTA BHARU – Bekas penjaga gol Kelantan dan kebangsaan, Mohd Halim Napi dilantik sebagai duta produk pewangi berjenama Red Perfume yang dilancarkan baru-baru ini.

Mohd Halim, 41, mengakui keterujaannya apabila dipilih selaku duta produk tersebut setelah mengambil keputusan bersara daripada lapangan dunia bola sepak yang diceburinya selama 19 tahun penghujung tahun lalu.

“Selepas bersara daripada dunia bola sepak kira-kira dua bulan lalu, saya ditawarkan di lantik sebagai duta dan tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju kerana begitu yakin dengan produk ini.

“Saya pernah mencubanya dan terbukti ia sesuai digunakan oleh semua lapisan umur. Malah ia dijual dengan harga berpatutan selain kualitinya setanding dengan pewangi lain yang terdapat di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani perjanjian sebagai duta produk tersebut di Kota Bharu, baru –baru ini. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Red Perfume Enterprise, Muhammad Faisal Othman.

Red Perfume merupakan produk keluaran syarikat bumiputera yang beribu pejabat di Nibong Tebal, Pulau Pinang dan didatangkan khas dalam lima wangian iaitu Dunhill, Valentino Gold, Polo Sport, David Beckham dan Adidas Edisi Istimewa.

Mengulas mengenai pemilihan Mohd Halim sebagai duta produknya, Muhammad Faisal menjelaskan ia dilakukan setelah pihaknya melihat bekas penjaga gol The Red Warriors itu masih mempunyai aura tersendiri meskipun sudah bersara daripada bidang bola sepak

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, pewangi Red Perfume yang dipasarkan oleh syarikatnya diimport dari Perancis dan dikategorikan gred A daripada segi pembuatannya.

“Harga sekotak pewangi yang mengandungi lima pati wangian tersebut ialah RM45. Ia tidak mengandungi alkohol selain tahan lebih lama. Produk ini baru sahaja berada di lancarkan dan kita berharap dapat menembusi pasaran di negeri ini.

“Kita juga turut mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar bagi memasarkan produk pewangi ini dengan menghubungi terus pihak kami,” katanya.

Menurut Muhammad Faisal, orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar produk ini boleh melayari laman sesawang redperfumesmen.blogspot atau menghubungi beliau sendiri di talian 013 – 953 9535.

KATA DUA UNTUK PEMAIN - HASHIM

Mohd Azyu Ikmal (kanan) bakal digandingkan dengan Mohd Aris apabila Kelantan bertemu PDRM di Kota Bharu, petang ini.

KOTA BHARU – ‘Ubah sikap atau bersedia direhatkan’ Itu amaran keras Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd Hashim Mustapha kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan menentang PDRM dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Sambil menyifatkan kekalahan tipis 1-2 kepada T-Team minggu lalu berpunca daripada sikap negatif pemainnya sendiri, Mohd Hashim menyelar tindakan segelintir pemain mudanya yang dilihat gagal mengawal emosi sepanjang beraksi dalam perlawanan tersebut.

“Sejak awal musim lagi saya sudah mengingatkan semua pemain tentang perkara ini. Namun ia tetap berlaku dan saya cukup kecewa dengan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Tidak ada alasan untuk pemain berbuat demikian. Pemain masih muda dan sikap seperti ini tidak harus ada di dalam diri mereka kalau mahu melihat pasukan kita mara lebih jauh pada musim ini.

Amaran keras oleh Mohd Hashim itu hadir tepat pada masanya dan ia dibuktikan apabila jurulatih berusia 46 tahun itu akan melakukan rombakan dengan merehatkan tiga pemain tonggak yang dilihat ‘besar kepala’ pada perlawanan petang ini. 

“Kalau kita kalah 10-0 kepada T-Team tempohari sekali pun tetapi dengan semangat melawan itu boleh diterima oleh saya. Tetapi saya tidak boleh terima apabila kita kalah dalam perlawanan yang sepatutnya kita boleh menang hanya kerana pemain kita gagal mengawal emosi mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan dengan PDRM petang ini, Mohd Hashim berkata, pasukan kendaliannya tidak mempunyai pilihan selain perlu memenangi perlawanan ini bagi mengutip tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.   

“Khidmat pemain pertahanan tengah, Tuan Mohammad Faim (Tuan Zainal Abidin) terpaksa diketepikan setelah dia mengalami kecederaan buku lali dalam pertemuan dengan T-Team tempohari.

“Namun ketiadaannya tidak menggusarkan kerana kita masih mempunyai ramai pemain lain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain tersebut. Penjaga gol, Muhammad Syazwan Yusoff dijangka dapat diturunkan sekiranya mendapat lampu hijau daripada pihak pengurusan Liga Super Kelantan.

“Di posisi serangan, saya mungkin mengekalkan gandingan Mohd Aris (Zaidi) dan Mohd Azyu Ikmal (Che Mat Nor) bagi merobek pintu gol pasukan lawan. Saya berharap Mohd Aris dapat menemui kembali sentuhan berbisanya setelah kurang menyengat dalam dua perlawanan lalu,” katanya.

KELAB PENYOKONG PERSOAL KEWIBAWAAN PEMAIN IMPORT

 MOHD ZAINY

KOTA BHARU – Persembahan hambar pemain import baru The Red Warriors, Onyekachi Nwoha mengundang dua kelab penyokong tegar di negeri ini menghantar mesej ringkas kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), semalam.

Betapa aksi pemain kelahiran Nigeria yang diharap lebih berbisa daripada Mohammed Ghaddar bertukar sebaliknya apabila mempamerkan aksi ‘memenatkan’ sehingga mencetuskan kemarahan penyokong setia The Red Warriors dalam perlawanan pusingan pertama kempen Piala FA menentang Sarawak dua hari lalu.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain berkata, pihak pengurusan Kafa harus mengambil pendekatan berhati-hati dalam memilih pemain dan tidak bergantung kepada rakaman video mahupun janji manis ejen pemain import.

“Dia tidak menepati ciri-ciri selaku seorang pemain import yang berkaliber. Kehadiran dia tidak ubah pelengkap kepada pasukan sehingga mengundang kemarahan peminat bola sepak Kelantan sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Jangan salahkan peminat yang terus mengkritik kalau inilah persembahan yang ditunjukkan oleh dia. Pengorbanan penyokong setia yang sanggup membayar harga tiket yang mahal tidak harus dibalas dengan cara seperti ini.

 MAHIZI

“Saya berani cakap kehadiran pemain import seperti ini boleh memusnahkan pasukan dan meruntuhkan moral pemain tempatan yang lain. Kalau inilah pemain import yang kita harapkan, saya percaya pasukan kita tidak akan ke mana dalam musim ini,” katanya.

Menurut Mohd Zainy, para peminat sekarang ternyata merindui sentuhan pemain import Mohammed Ghaddar dari Lubnan dan Denny Anwti (Ghana) yang dilihat jauh lebih bagus daripada Nwoha.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net), Mahizi Mahmood turut senada sambil menjelaskan kehadiran Nwoha langsung tidak memberi impak kepada pasukan Kelantan setelah diberi peluang beraksi dalam dua perlawanan setakat ini.

“Dia bukan pemain import yang kita mahukan. Malah aksi pemain tempatan jauh lebih bagus daripada dia. Lebih baik kita bergantung 100 peratus dengan kudrat pemain tempatan daripada menggajikan pemain import seperti ini.

“Kita sebenarnya dilihat tertekan mencari pemain import yang bagus sedangkan kita adalah pasukan pertama yang dibentuk sebaik sahaja Liga Malaysia berakhir bulan Oktober tahun lalu. Sehari dua ini peminat bukan bercakap tentang prestasi pasukan tetapi mereka mempersoalkan tentang prestasi pemain import baru ini,” katanya.

Untuk rekod, Nwoha merupakan pemain import kesebelas yang diuji oleh pihak Kafa selepas Jocip Bonasin (Croatia), Emmanuel Ayaah Okine dan Denny Antwi (Ghana), Jean Black (Belanda), Chikondi Mpulula (Malawi), Obinna Nwaneri dan Samad Awudu Okocha (Nigeria), Miguel De Pina (Portugal) selain Mohammed Ghaddar dan Zacharia Charara dari Lubnan.

NWOHA PENUMPANG DALAM RED WARRIORS

Kehadiran Nwoha (kanan) ibarat penumpang apabila aksinya tidak mencerminkan selaku status pemain import baru The Red Warriors ketika menentang Sarawak malam semalam.

KOTA BHARU – ‘Ibarat penumpang dalam pasukan’ Begitulah aksi tempang yang dipamerkan oleh pemain import dari Nigeria, Onyekachi Nwoha sepanjang beraksi selama 83 minit bersama The Red Warriors ketika mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama kempen Piala FA malam semalam.

Raut wajah pengendali The Red Warriors, Peter Butler seakan berkerut memikirkan sumbangan pemain import terbaru Kelantan itu dan beliau memilih untuk memberikan jawapan berlapik ketika ditanya pemberita sejurus perlawanan tersebut berakhir.  

“Anda kecewa dengan Nwoha? Itu saya tidak mahu komen mengenainya. Semua peminat di stadium dan di mana-mana boleh menilai sendiri malam ini. Saya ada pandangan sendiri tetapi saya tidak boleh beritahu anda. Lebih baik saya fokus kepada pasukan.

“Semua pemain bekerja keras dalam perlawanan ini tetapi saya lihat Nwoha belum cergas sepenuhnya. Namun saya mesti berlaku adil dan memberikan masa kepada dia. Mungkin esok saya akan buat penilaian.

Jurulatih berusia 46 tahun itu bagaimanapun tidak dapat lari daripada membuat perbandingan apabila secara jujur mengakui kelibat penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar merupakan pemain import terbaik dimiliki Kelantan setakat ini.

“Ghaddar pemain import terbaik. Saya selalu cakap dia ada banyak perlawanan di sini. Mungkin 10 perlawanan tetapi dia hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti sahaja.

“Tetapi saya perlu realistik dalam perkara ini kerana saya tidak sukakan penalti. Dia tidak bernasib baik hanya kerana gagal menjaringkan gol padang sepanjang 10 perlawanan lalu,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak itu, Butler berkata, kemenangan tersebut bukan mudah dicapai setelah barisan pemainnya diberikan tentangan sengit oleh pemain Sarawak sehingga ke wisel penamat.

“Ini kempen Piala FA dan merupakan saingan kalah mati. Kita tidak ada pilihan selain menang dalam perlawanan ini. Tetapi ia bertukar menjadi sukar apabila Norshahrul Idlan (Talaha) mengalami kecederaan lutut pada awal permainan.

“Sarawak sebuah pasukan yang sukar ditewaskan. Mereka bertandang ke sini dengan semangat juang yang tinggi setelah mencatatkan dua kemenangan dalam saingan Liga Super dan terbukti mereka menyaingi kita malam ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Butler turut menjelaskan pertemuan beliau dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berlangsung dalam suasana yang mesra pada Jumaat lalu.

“Tidak ada apa-apa perbincangan. Kita hanya duduk dan makan-makan sahaja. Ramai orang mencetuskan spekulasi tetapi saya masih kekal di sini. Tugas saya ialah membentuk Kelantan menjadi sebuah pasukan yang kuat tetapi kalau orang tidak suka, saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya.