Thursday, December 29, 2011

KERAJAAN NEGERI JAMIN BAIKI

Masalah lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV dijangka berakhir setelah Kerajaan Negeri memberi jaminan akan memperbaikinya dalam tempoh terdekat ini.

KOTA BHARU – Berita baik untuk penyokong bola sepak Kelantan. Tiada lagi kerisauan mengenai skuad The Red Warriors yang perlu beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. 

Semalam, pihak Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan masalah lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya memberi jaminan akan memperbaiki dan menyelenggara lampu limpah stadium berusia 44 tahun itu dalam tempoh terdekat.

“Kita memberi jaminan bahawa masalah lampu limpah stadium yang dikatakan tidak mencapai tahap pencahayaan sebanyak 900 lux itu akan dilakukan dengan kadar segera sebelum sepak mula perlawanan Sumbangsih, Kelantan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 7 Januari depan.

“Pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) sudah bermesyuarat tiga hari lalu dan kita memutuskan untuk melantik perunding dan kontraktor penyelenggaraan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Malah pihak Kerajaan Negeri juga sudah meluluskan peruntukkan sebanyak RM80,000 bagi tujuan tersebut.


ABDUL FATTAH

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kegusaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila Stadium Sultan Muhammad IV disenaraikan antara beberapa gelanggang pertandingan yang tidak mematuhi peraturan pertandingan seperti diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak (FAM) baru-baru ini.

Menurut Abdul Fattah, hanya satu tempat dalam kawasan stadium itu mengalami masalah apabila tahap pencahayaan yang diukur tidak mencapai 900 lux dan beliau percaya masalah tersebut akan dapat diatasi bagi membolehkan skuad The Red Warriors beraksi pada sebelah malam.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pemasangan ‘scoreboard’ baru yang tertangguh sejak setahun lalu, Abdul Fattah menjelaskan beliau akan bertemu dengan pihak Kafa tidak lama lagi.

“Insya ALLAH, kita akan berbincang dengan Kafa mengenai pemasangan ‘scoreboard’ baru pada bulan depan sebelum kita memutuskan untuk memasangnya dengan yang baru,” katanya.

Tuesday, December 27, 2011

FAM PUTUSKAN TIDAK LAMA LAGI - AZMAN

Masalah lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV dijangka dapat diatasi sekiranya kerja-kerja penyelarasan lampu dilakukan dalam masa terdekat.

KOTA BHARU – Teka-teki sama ada pasukan Kelantan terpaksa beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan  akan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka membuat keputusan mengenai perkara tersebut tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, segalanya terserah kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu yang akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Sekiranya masalah lampu limpah itu gagal diatasi, pihak FAM dijangka membuat keputusan dengan perlawanan Sumbangsih (Kelantan bertemu Negeri Sembilan) akan dilangsungkan di Lembah Kelang sementara perlawanan Liga Super bagi Kelantan selaku tuan rumah pula akan berlangsung pada sebelah petang.

“Namun saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) meletakkan masalah ini selaku perkara utama yang perlu diatasi dalam masa terdekat. Apabila kita terpaksa bermain sebelah petang, kesannya menjejaskan daripada segi sokongan peminat dan prestasi pasukan kita sendiri.

Stadium Sultan Muhammad IV antara beberapa gelanggang yang disenaraioleh pihak FAM tidak mematuhi peraturan pertandingan bola sepak untuk musim depan gara-gara tahap pencahayaan lampu limpah yang tidak mencapai had minima 900 lux.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru masalah tersebut, Azman berkata, beliau difahamkan oleh pihak perbadanan stadium tahap pencahayaan lampu limpah di stadium berusia 44 tahun sebenarnya mencukupi dan mematuhi sebagaimana yang disyaratkan oleh peraturan pertandingan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya tidak perlu dinaiktaraf  pun dan kita hanya perlu menyelaras semula suluhan lampu limpah itu. Kita ada membawa perunding lampu dari Kuala Lumpur bagi menilai masalah ini. Masalah lampu limpah ini sebenarnya tidak memerlukan kajian yang lebih menyeluruh.

 “Ada lebih kurang empat atau lima lampu limpah di setiap penjuru stadium menyala tetapi tidak berfungsi dengan sepenuhnya. Kalau perkara ini dapat diatasi saya percaya masalah lampu limpah stadium kita akan berakhir.

“Kita sudah pemeriksaan dan kita dapati hanya satu tempat sahaja iaitu kawasan tepi padang berhadapan ‘scoreboard’ gagal mencapai tahap pencahayaan minima 900 lux. Tahap pencahayaan yang kita ukur  tempohari hanya sekitar 600 lebih lux. Insya ALLAH, kita berharap masalah ini dapat diatasi sebelum hujung bulan ini,” katanya.

ALVES GEMBIRA IKAT KELANTAN

 Divaldo Da Silva Alves

KOTA BHARU – Bagi Ketua Jurulatih Persebaya FC, Divaldo Da Silva Alves tiada apa yang lebih menggembirakan beliau selain kejayaan anak buahnya mengikat keputusan seri 1-1 dengan Kelantan dalam aksi perlawanan pertama bagi merebut Yayasan Persahabatan Malaysia - Indonesia (Permai) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam semalam.

“Ya saya perlu akui kehebatan pasukan Kelantan malam ini. Mereka bermain dengan sembilan pemain tetapi aksi mereka seperti bermain dengan 11 pemain. Mereka masih mampu melancarkan gerakan menarik dan mencemaskan kubu pertahanan kami.

“Penyerang berjersi nombor 22 mereka (Mohammed Ghaddar) tampak cukup berbisa dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Begitu juga Zacharia (Charara) yang dimasukkan juga bergerak bebas di segenap penjuru padang dan ini menyulitkan pemain pertahanan kami.

Alves yang menyenaraikan pemain import dari Australia, Andrew Nikolas Barisic selaku penyerang tunggal dalam perlawanan itu walaubagaimanapun turut berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemainnya dan berjanji akan menampilkan aksi terbaik pada perlawanan kedua pada Rabu ini.

“Prestasi turun naik itu satu perkara biasa tambahan pula kita bermain dalam padang yang becak malam ini. Memang tekanan di pihak kami dalam perlawanan ini namun saya berjanji pemain saya akan kembali bangkit memberikan aksi terbaik pada perlawanan kedua nanti. 

“Dalam perlawanan ini, sebenarnya kita turut mempunyai empat atau lima peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan. Saya akan memperbaiki segala kelemahan yang ada pada pasukan ini sebelum kita bertemu sekali lagi pada Rabu ini.

“Apa yang penting pemain saya harus lebih fokus dan agresif terutamanya ketika mempunyai peluang di depan pintu gol lawan. Begitupun, matlamat awal kita untuk mengikat keputusan seri dengan Kelantan di sini akhirnya tercapai.

Sementara itu, jurulatih yang baru berusia 33 tahun dan fasih berbahasa Indonesia itu turut memuji kesungguhan ditunjukkan oleh penyokong setia The Red Warriors yang tidak berganjak meskipun hujan turun beberapa kali sepanjang perlawanan itu berlangsung.

“Mereka memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Kelantan dari minit pertama sehingga minit terakhir perlawanan. Saya fikir penyokong di sini cukup mengujakan saya,” katanya.

PEMAIN KENA KUATKAN MENTAL - AZMAN

Persembahan Mohammed Ghaddar nyata mengecewakan apabila melepaskan tiga peluang terbaik dimilikinya ketika Kelantan bertemu Persebaya FC, malam semalam.

KOTA BHARU – “Pemain Kelantan perlu mempunyai kekuatan mental bagi menghadapi tekanan’ Demikian pandangan yang dilontarkan oleh Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim menjelang aksi perlawanan timbal balas bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia - Indonesia (Permai) di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada Rabu ini.

Mengakui bukan mudah berhadapan puluhan ribu penyokong Persebaya FC dalam perlawanan kedua itu, Azman menjelaskan semua pemain Kelantan seharusnya mempunyai kekuatan mental bagi menyerap segala tekanan dalam aksi sepanjang 90 minit perlawanan itu berlangsung.

“Kita mempunyai pengalaman bermain di Bandung pada tahun 2008. Saya tahu betapa fanatiknya penyokong mereka dan tidak terkecuali juga di Surabaya. Namun saya berharap penyokong di sana menganggap ini satu perlawanan persahabatan yang baik untuk kedua-dua pasukan.

“Bukan mudah bagi kita apabila beraksi di Surabaya. Namun saya percaya dalam perlawanan kedua itu, kedua-dua bakal menampilkan corak permainan yang seimbang. Tambahan pula kita akan kembali beraksi seperti biasa dengan 11 pemain dan bukan sembilan pemain seperti perlawanan pertama ini,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

Dalam perlawanan pertama itu, Kelantan sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan juara daripada Liga Premier Indonesia (IPL). Gol Kelantan dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin pada m-61 sementara gol penyamaan Persebaya FC dijaringkan oleh Andik Vermansyah lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Mengulas mengenai persembahan pemain Kelantan dalam perlawanan tersebut, Azman ternyata kurang gembira dengan prestasi yang ditonjolkan oleh jentera penyudah yang diketuai oleh penyerang kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar.

“Kalau diikutkan memanglah kita berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 kerana beraksi dengan sembilan pemain. Kita mempunyai banyak peluang terutamanya pada babak pertama tetapi dipersiakan. Mohammed Ghaddar jelas mempunyai tiga peluang terbaik namun gagal diterjermahkan dalam bentuk jaringan.

“Kelemahan lain yang telah dikenalpasti dalam perlawanan tersebut ialah kurang keserasian dalam kalangan pemain. Malah saya lihat pemain kita seolah-olah beraksi dalam keadaan tertekan pula dalam perlawanan ini.

“Alhamdulillah, apabila Mohd Shakir (Shaari) dan Muhd Badhri (Radzi) dimasukkan kita melihat rentak permainan Kelantan mula berubah dan menunjukkan peningkatan yang positif. Bagaimanapun kita tidak boleh cepat berpuas hati dan kelemahan tersebut perlu diatasi segera menjelang pertemuan kedua di Surabaya pada Rabu ini,” katanya.

AKSI PRESTIJ KELANTAN DAN PERSEBAYA FC


KOTA BHARU – Pasukan mana yang bakal menjulang trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) buat julung kalinya mungkin hanya dapat ditentukan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada 28 Disember ini.

Namun yang menarik, pertemuan pertama kedua-dua pasukan, antara Kelantan selaku juara Liga Super Malaysia (MSL) dengan kelab Persebaya FC selaku juara Liga Prima Indonesia (IPL) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Afandi Hamzah berkata, hubungan serumpun yang sedia terjalin di antara kedua-dua Negara sudah pasti dapat ditingkatkan melalui penganjuran perlawanan tersebut.

“Sudah pasti ia menjanjikan persembahan yang menarik bagi kedua-dua pasukan yang memegang status selaku juara liga di Negara masing-masing. Apatah lagi kedua-dua pasukan turut diperkuatkan dengan empat pemain import masing-masing.

“Saya percaya ini merupakan peluang terbaik bagi peminat bola sepak tempatan khususnya di Kota Bharu menyaksikan aksi berprestij kedua-dua pasukan itu. Selaku juara Liga Super musim ini, ia merupakan satu penghormatan tertinggi kepada Kelantan yang mewakili Negara dan begitu juga kelab tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam selepas mempengerusikan mesyuarat bersama delegasi MSL di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.

Afandi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perlawanan ini merupakan anjuran bersama MSL dengan IPL dan dipersetujui bersama pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

“Satu sambutan besar-besaran akan melakukan bagi meraikan kehadiran pasukan tersebut di Kota Bharu petang ini (semalam) dan mereka akan latihan ringan selama 45 minit di Padang Penjara esok (hari ini) pada sebelah petang sebelum bertemu Kelantan Jumaat ini.

“Perlawanan ini juga turut menarik minat Ketua Umum, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin dan Pengerusi Persebaya FC, Saleh Ismail Mukadar yang akan hadir ke Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu sebanyak 15,000 tiket perlawanan bagi pertemuan Kelantan menentang Persebaya FC  itu akan di jual bermula jam 10 pagi ini di Stadium Sultan Muhammad IV. Harga tiket ialah RM30 (astaka utama), RM20 (astaka dua), RM12 (terbuka) dan RM5 bagi kanak-kanak.

KELANTAN MAIN SEBELAH PETANG

Azman (dua,kanan) memantau kerja-kerja pengukuran tahap pencahayaa lampu limpah sebelum perlawanan persahabatan menentang T-Team, minggu lalu. 

KOTA BHARU – Andai tiada usaha dilakukan bagi menangani masalah lampu limpah stadium dalam masa terdekat, pasukan Kelantan mungkin terpaksa beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan juga penyokong setia The Red Warriors itu sekiranya usaha untuk meningkatkan tahap pencahayaan di Stadium Stadium Sultan Muhammad IV gagal dilaksanakan dalam baki tempoh yang ada menjelang sepak mula Liga-M bermula 7 Januari depan.

Stadium yang berusia 44 tahun ini dilihat satu-satunya gelanggang tunggal di negeri ini yang sesuai digunakan dalam sebarang pertandingan bola sepak yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, beliau tidak menafikan pasukan Kelantan berdepan kemungkinan beraksi pada sebelah petang sebagaimana yang pernah dialami selama separuh musim pada tahun 2003.

“Daripada sembilan ‘check point’ tahap pencahayaan yang diperiksa oleh pegawai kita baru-baru ini, salah satu daripadanya gagal mencapai tahap minima 900 lux seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.

“Sekiranya masalah ini gagal diatasi, kita terpaksa beraksi pada sebelah petang. Selagi masalah ini tidak diperbaiki, kita kena bermain pada sebelah petang sehinggalah masalah lampu limpah itu tersebut dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian dari Jepun, semalam. 

Menurut Azman, beliau berharap pihak Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) mengambil tindakan segera mengatasi masalah tersebut memandangkan saingan liga hanya berbaki tidak sampai tiga minggu lagi.

Setakat ini, hanya lima gelanggang iaitu Stadium Nasional (Bukit Jalil), Stadium USM (Pulau Pinang), Stadium Utama Negeri (Kangar), Stadium Darulaman (Alor Setar) dan Stadium Temerloh (Pahang) melepasi syarat tahap pencahayaan melebihi 900 lux yang ditetapkan oleh pihak FAM.

Selain masalah lampu limpah, pihak FAM juga turut memberi teguran mengenai tiga lagi perkara yang perlu diperbaiki iaitu zon bebas halangan yang harus dilitupi dengan karpet dalam jarak 15 meter daripada kawasan tepi padang memandangkan permukaan trek di stadium tersebut diperbuat daripada bitumen.

Pihak FAM juga turut mengarahkan jam digital di pasang selaras dengan peraturan pertandingan sementara tempat duduk media yang disifatkan cukup daif dan gagal menampung kehadiran ramai wartawan media cetak dan elektronik yang membuat liputan perlawanan juga perlu dinaiktaraf. 

BERI MANFAAT KEDUA-DUA PASUKAN - DITYO

KOTA BHARU – Juara Liga Prima Indonesia (IPL), kelab Persebaya FC menyifatkan pertemuan menentang Kelantan bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia – Indonesia (Permai) dapat memberi manfaat bagi kedua-dua pasukan dalam membentuk kerjasama untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dityo Pramano berkata, selain dapat mengeratkan hubungan serumpun di antara kedua-dua Negara, perlawanan ini juga mampu menarik sokongan peminat kedua-dua pasukan bertandang ke stadium.

“Kami tahu pasukan Kelantan merupakan satu pasukan yang kuat setelah menjuarai liga (Liga Super) di sini. Sudah pasti mereka satu pasukan bagus dan kita kena berhati-hati bertemu dengan Kelantan malam ini.

“Mungkin tidak banyak perkara yang kami tahu mengenai pasukan Kelantan tetapi saya percaya tidak ada bezanya dari segi corak permainan kedua-dua pasukan. Macam pasukan kita, ada juga turun naik dalam saingan liga sehinggalah kita bergelar juara pada musim ini.

Perlawanan bagi merebut trofi Permai ini merupakan anjuran bersama Malaysia Super League (MSL) dengan Indonesia Premier League (IPL) dan dipersetujui bersama pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Mengulas mengenai perlawanan yang julung kali diadakan itu, Dityo berkata, semuanya tercetus hasil idea yang dikemukakan oleh Menteri Pemuda dan Sukan Indonesia, Andi Alifian Mallarangeng dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak lama dulu.

“Sehinggalah kedua-dua pegawai MSL dan IPL bertemu dan berbincang bagi menganjurkan perlawanan ini. Saya fikir ia amat baik bukan sahaja bagi kedua-dua pasukan tetapi Negara dalam hubungan dua hala.

Dalam perkembangan lain, Dityo juga turut menyifatkan kehadiran penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali yang beraksi dalam Indonesia Super League (ISL) membuktikan pemain dari Negara ini mampu menembusi pasaran bola sepak di Indonesia.

“Sebelum ini pun terdapat pemain dari Indonesia beraksi dalam Liga Malaysia. Sekarang Safee (Sali) pula bermain di sana. Malah kehadiran beliau memberikan impak yang cukup besar di sana.

“Saya fikir pertukaran pemain ini merupakan satu perkembangan yang bagus bagi kedua-dua Negara,” katanya. 

BUTLER, ALVES JANJI AKSI TERBAIK

KOTA BHARU – Dengan tema ‘Dua Kelab, Dua Negara, Satu Impian – Memartabatkan Bola Sepak Serantau’, dua pasukan berstatus juara liga, Kelantan dan Persebaya FC bakal menyajikan persembahan terbaik apabila kedua-dua pasukan beraksi turun dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Kedua-dua pasukan tersebut akan beraksi dalam perlawanan pertama bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia – Indonesia (Permai) sementara perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada 28 Disember ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler menganggap meskipun pertemuan kedua-dua pasukan ini diibaratkan satu perlawanan persahabatan namun beliau tidak mahu memandang mudah pertemuan tersebut.  

“Saya tahu Persebaya FC merupakan pasukan yang bagus. Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan sentiasa kerja keras. Salah seorang pemain mereka Edy Gunawan saya kenal ketika saya ketika melatih pasukan Persiba Balikpapan FC tidak lama dulu.

“Sudah pasti mereka mahu memberikan tentang sengit kepada kita. Saya menghormati keupayaan pasukan ini. Senario bola sepak di Indonesia juga sama seperti di Kelantan. Mereka mempunyai penyokong yang fanatik dan saya gembira dapat bertemu kelab ini.

“Apa yang penting, peminat yang datang ke stadium malam ini teruja dengan persembahan kedua-dua pasukan. Kita mahu peminat menyaksikan satu perlawanan menarik. Sudah pasti saya akan menampilkan kesebelasan terbaik malam ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Sementara itu rakan sejawatannya, Divaldo Da Silva Alves yang berasal dari Portugal juga turut senada dengan Butler dan berjanji pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan malam ini. 

“Kita hanya membawa 17 termasuk tiga pemain import ke sini. Selain itu, pemain skuad Indonesia Bawah 23 Tahun, Andik (Vermansyah) juga akan perkuatkan pasukan kita. Samada pasukan Kelantan ataupun Persabaya FC, kami berjanji semua penyokong di sini pasti terhibur dengan persembahan kedua-dua pasukan ini.

Dua pemain import iaitu Otavio Dutra dan Alexandre da Silva Mariano dari Brazil dan Andrew Barisic (Australia) bakal perkuatkan kelab tersebut sementara seorang lagi pemain import mereka, Mario Karlovic tidak ikut serta atas alasan peribadi.

CABARAN BESAR MENANTI PIYA

Muhd Badhri mengakui menghadapi saingan sengit untuk berada didalam kesebelasan utama pasukan Kelantan pada musim depan

KOTA BHARU – Melihat kepada senarai barisan pemain skuad The Red Warriors musim depan, ada cabaran besar menanti Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi andai tidak mahu kehilangan posisi tengahnya bersama Kelantan.

Kehadiran beberapa pemain import selain kepulangan semula ‘trio’ ke pangkuan skuad Kelantan bakal menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pemain sudah pasti tercetus untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Muhd Badhri, atau lebih dikenali dengan panggilan Piya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut mengakui beliau perlu berhadapan cabaran sengit bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan Kelantan pada musim depan.

“Memang saya akui cabaran untuk merebut tempat cukup sengit pada musim depan. Selaku kapten ia merupakan sedikit tekanan namun saya menganggap ia satu perkara yang biasa dalam bola sepak.

“Apa yang penting kita dalam ‘sebuah keluarga’ dapat mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang kita hadapi. Saya tidak kisah siapa yang menjadi kapten Kelantan kalau bukan saya sekali pun.

“Kita sebenarnya sebuah pasukan yang serba lengkap. Kita ada Indra Putra (Mahayuddin), Mohd Norfarhan (Muhammad) dan Norshahrul Idlan (Talaha) yang pernah bersama pada musim 2010. Jadi mereka sudah memahami gaya permainan masing-masing cuma yang membimbangkan kita ialah masalah komunikasi dengan pemain import. Namun saya percaya masalah itu akan dapat diatasi sedikit masa lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler menyifatkan saingan sememangnya sengit bagi perebutan tempat dalam pasukannya dan tidak terkecuali Piya juga harus menunjukkan komitmen yang tinggi sekiranya mahu berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Apa pun saya masih percayakan Piya untuk menjadi jeneral padang tetapi beliau harus ingat kita sekarang mempunyai banyak pilihan termasuk juga pemain import yang boleh diturunkan pada setiap perlawanan.

“Menjadi ketua pasukan sebenarnya bukan satu tugas mudah. Tanggungjawab cukup besar di atas padang kerana perlu mengetuai rakan sepasukan lain dan perlu membentuk kerjasama sepasukan yang jitu jika kita mahu menang.

“Soal siapa yang akan menjadi ketua pasukan itu terserah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) (Tan Sri Annuar Musa). Kalau Piya tidak diturunkan, saya lihat pemain tengah, Mohd Shakir (Shaari) boleh menggalas tugas tersebut,” katanya.

BUTLER KESAN KELEMAHAN PASUKAN

Butler nyata masih belum berpuas hati dengan prestasi pasukan Kelantan meskipun mencatatkan kemenangan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini

KOTA BHARU – Meskipun mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh skuad The Red Warriors andai mahu menjadi pencabar utama Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Sambil merujuk kemenangan 2-0 ke atas pasukan T-Team dalam perlawanan persahabatan terakhir minggu lalu, Ketua Jurulatih Kelantan, Peter James Butler menyifatkan persembahan pasukannya tidak berada pada tahap sebenarnya.

“Sebenarnya kalau melihat corak permainan tempohari, kita boleh menang ke atas T-Team dengan margin jaringan yang besar. Kita boleh menang lima gol, tetapi beberapa kelemahan yang ditunjukkan kita hanya menang dengan dua gol.

“Sebagai jurulatih saya mahu menang setiap perlawanan. Semua pemain perlu ketahui perkara ini. Pengalaman membimbing Kelantan sebelum ini merupakan cabaran besar kepada saya kerana peminat negeri ini sentiasa mahukan kemenangan setiap kali perlawanan.
Disebalik kelemahan tersebut, namun Butler tidak menafikan prestasi yang ditonjolkan oleh anak buahnya sudah menampakkan kemajuan setelah menyambung kembali latihan sejak dua minggu lalu.

“Semua pemain termasuk pemain import sudah menunjukkan peningkatan prestasi yang baik tetapi kita tidak boleh duduk diam dan cepat berpuas hati sahaja. Kita perlu melakukan perubahan dari semasa ke semasa secara optimum.

“Saya berharap empat perlawanan persahabatan yang berbaki dalam tempoh dua minggu akan menjadi platform kepada semua pemain sebelum kita menghadapi sepak mula Liga Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 7 Januari depan.

“Untuk itu empat perlawanan tersebut kita akan gunakan sebaik mungkin dengan menilai tahap kecergasan dan menentukan kesebelasan utama pasukan Kelantan,” katanya.

Terbaru, Kelantan akan bertemu juara Liga Prima Indonesia (IPL), Persebaya FC dalam perlawanan pertama perebutan trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada jam 8.45 malam Jumaat ini. 

Sementara itu, perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Gelora, Surabaya pada 28 Disember ini.

Saturday, December 10, 2011

AKSI KELANTAN, T-TEAM MALAM INI

KOTA BHARU – Kerinduan peminat setia bola sepak untuk menyaksikan kehebatan barisan bintang skuad The Red Warriors ditempat sendiri akhirnya tercapai apabila Kelantan akan turun bertemu dengan T-Team dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua bagi skuad kendalian Peter Butler di Kota Bharu setelah kesemua pemain termasuk empat pemain import menyertai skuad Kijang. Terbaru ialah pemain import dari Beirut, Lebanon iaitu Zacharia Charara yang sudah menyertai Kelantan empat hari lalu.

Malah penampilan pertama kali pemain antarabangsa Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud juga ditunggu-tunggu oleh penyokong setia Kelantan untuk melihat sejauh mana kehebatan beliau digandingkan dengan pemain yang merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh musim ini, Norshahrul Idlan Talaha.

Selain Mohammed Ghaddar, tumpuan penyokong Kelantan juga sudah pasti terarah kepada pemain import dari Ghana, Denny Antwi yang semakin ‘menggila’ memburu jaringan sejak menyarung jersi Kelantan. Antwi meledakkan lima gol termasuk hatrik ketika Kelantan mengadakan persiapan pra-musim di ibu negara baru-baru ini.

Lebih menarik, perlawanan ini juga menyaksikan pertembungan antara tiga bekas tonggak utama pasukan T-Team musim ini, iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose menentang rakan sepasukannya sebelum ini.

Pasukan T-Team yang masih mengekalkan Yunus Aliff selaku pengendali pasukan tersebut untuk musim ketiga sudah pasti akan menampilkan barisan terkuatnya termasuk menurunkan penyerang import dari Zambia yang pernah beraksi bersama Perlis musim 2005 hingga 2007, Zachariah Simukonda.

Malah perlawanan persahabatan ini mungkin menjadi medan kepada Yunus untuk menguji beberapa pemain baru seperti Mohd Fadzli Shaari dan Mohd Iqbal Suhaimi (kedua-duanya Selangor) dan tiga bekas pemain Terengganu iaitu Wan Mohamad Aliff Jasmi, Mohd Zharif Hasna, Mohd Hassan Basri Ahmad Redzuan yang memilih untuk menyarung jersi pasukan berstatus kelab ini.  

Sebelum sepak mula perlawanan ini juga, satu majlis memperkenalkan barisan pemain skuad The Red Warriors akan diadakan di dalam stadium. Setiap pemain akan menendang sebiji bola yang ditempah khas dengan logo Kafa kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan ini.

Tiket perlawanan bagi menyaksikan ini berharga RM10 (terbuka), RM15 (astaka dua) dan RM20 astaka utama dan dijual bermula jam 10 pagi esok di kaunter tiket stadium.

Thursday, December 8, 2011

KELANTAN MASIH TARUH HARAPAN


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih menaruh harapan tinggi agar perlawanan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Mac tahun depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun mengakui peluang pasukan Kelantan untuk beraksi di tempat sendiri agak tipis memandangkan kemudahan di stadium berusia 67 tahun ini tidak dipertingkatkan namun beliau masih menaruh harapan impian tersebut tercapai. 

“Seboleh-bolehnya saya mahu Kejohanan AFC berlangsung di Kota Bharu. Tetapi persoalannya bolehkah kita bermain di sini sedangkan kita masih tidak dapat memenuhi pelbagai syarat yang diletakkan oleh pihak AFC.

“Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung, Azman Ibrahim, banyak soalan yang perlu kita isi pada borang AFC namun sukar untuk kita jawab. Misalnya bolehkah tahap pencahayaan stadium kita mencapai 1,200 lux sedangkan ketika ini hanya sekitar 800 lux sahaja.

“Begitu juga dengan scoreboard (papan keputusan elektronik) yang sampai sekarang tidak dibuat sejak setahun lalu. Memang kita dukacita, bukannya isu besar pun soal scoreboard tetapi sampai sekarang gagal dipasang. Saya akan minta Setiausaha Agung kemukakan rayuan kepada pihak AFC,” katanya. 

Dalam majlis undian Kejohanan AFC yang berlangsung di ibu negara tiga hari lalu, Kelantan selaku juara Liga Super musim ini diundi dalam Kumpulan H bersama dengan tiga lagi pasukan iaitu Navibank Saigon (Vietnam), Arema Malang FC (Indonesia) serta Ayeyawady United FC dari Myanmar.

Ketika ditanya mengenai sejauh mana maklumbalas pihak Kerajaan Negeri mengenai perkara tersebut, Annuar jelas tidak mahu mengulas lanjut sebaliknya meminta pihak media menanyakan sendiri perkara tersebut kepada pihak berkenaan. 

“Saya tidak mahu komen lebih lanjut. Yang saya tahu kita kena ada stadium kerana orang Kelantan hendak tengok bola. Kalau tidak ada pilihan mungkin kita terpaksa cari stadium lain seperti Stadium Nasional di Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam,” katanya. 

Sementara itu mengulas mengenai kontroversi yang melanda penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat yang baru kematian adik tirinya baru-baru ini, Annuar menganggap itu merupakan sebahagian daripada proses biasa yang terpaksa dilalui oleh seseorang yang mula mendapat populariti ketika ini. 

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih menaruh harapan agar perlawanan Kejohanan Piala AFC dapat dilangsungkan di Kota Bharu pada tahun depan. 

“Saya fikir itu merupakan satu proses yang biasa apatah lagi dengan kewujudan pelbagai ruang alam maya seperti Facebook dan Twitter ini. Beliau perlu bijak menangani sendiri setiap isu yang melandanya. 

“Dia ada keluarga, ada majikan, ada negeri. Yang pasti dia perlu jaga nama baik ketiga-tiga perkara yang saya sebutkan itu. Saya memang bercadang untuk berjumpa dengan beliau sekeluarga selepas ini,” katanya.

BUTLER GEMBIRA PRESTASI PEMAIN MUDA

Mohammed Ghaddar (kiri) menyertai skuad Kelantan menjalani ujian Beep yang dikendalikan oleh PSISNNK di Wisma Sukan MSN, Telipot, semalam.

KOTA BHARU – Aksi cemerlang beberapa pemain muda dalam skuad Liga Malaysia (Liga-M) Kelantan ketika mengharungi persiapan pra-musim baru-baru ini ternyata menggembirakan Ketua Jurulatih, Peter Butler meskipun mereka baru sebulan menjalani latihan bersama skuad senior itu.

Dalam lima perlawanan persahabatan tersebut, Butler menguji beberapa pemain muda terdiri penjaga gol, Mohd Syazwan Yusoff, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Khairul Izuan Rosli, Mohd Zamri Ramli, Mohd Aris Zaidi dan Mohd Izuan Salahuddin dan terbukti kesemua mereka memanfaatkan peluang yang diberikan dengan menunjukkan persembahan yang cemerlang.

Butler berkata, kesempatan mengadakan lima perlawanan persahabatan dalam persiapan pra-musim itu memberi peluang peluang kepada beliau untuk menguji keupayaan pemain muda yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad senior.

“Ya memang saya berpuas hati dan gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka. Memang itu perancangan saya untuk mendedahkan pemain-pemain muda dengan perlawanan seperti ini dan saya fikir ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk pasukan kita.

“Mereka mesti berani bersaing dan saya perlu bagi masa kepada mereka untuk buktikan lagi kebolehan mereka. Kalau saya tidak bagi peluang macam mana saya boleh menilai kemampuan mereka. Musim depan merupakan musim yang panjang dan kita perlu menghadapi banyak perlawanan, jadi perlukan pemain yang bagus untuk pasukan kita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan para pemainnya menjalani ‘Ujian Beep’ yang dikendalikan oleh pegawai Pusat Satelit Institut Sukan Negara Negeri Kelantan (PSISNNK) di Wisma Sukan MSN, Telipot, di sini semalam.

Mengulas mengenai prestasi ketiga-tiga pemain import skuad The Red Warriors, Butler ternyata cukup gembira dengan komitmen mereka sambil berharap pemain tempatan yang lain mempelajari sesuatu daripada mereka.

“Saya tahu Mohammed Ghaddar (Mahmoud) merupakan pemain yang berkualiti. Begitu juga Denny Antwi dan Emmanuel Okine. Mereka merupakan pemain import yang berkaliber dan sentiasa bekerja keras dalam latihan.

“Pemain tempatan yang lain harus mempelajari cara-cara mereka termasuk dari segi pemakanan dan sebagainya. Tanggungjawab ini terletak kepada semua pemain dan bukan saya. Jadi mereka sebagai pemain profesional perlu belajar sesuatu dengan pemain import ini,” katanya.

PBSMM TANGGUH HASRAT SERTAI LIGA-M


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) menangguhkan hasratnya untuk menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan setelah berdepan dengan kekangan kewangan.

Presidennya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, setelah mengkaji secara mendalam, pihaknya memutuskan untuk menangguhkan penyertaan pasukan mereka ke dalam Liga-M pada musim depan tetapi pada masa yang sama membayangkan kesediaan untuk beraksi pada musim berikutnya.

“Faktor kewangan yang tidak stabil membantutkan hasrat kita untuk beraksi dalam kancah Liga-M pada musim depan. Syarat yang dikenakan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu setiap pasukan perlu mempunyai RM300,000 dalam akaun persatuan sukar untuk kita penuhi.

“Begitu juga dengan Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia dan Persatuan Bola Sepak India Malaysia yang turut tidak mengambil bahagian atas alasan yang sama. Saya berharap pihak FAM dapat mengkaji semula peraturan ini pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-71 yang memasuki saingan suku akhir sekarang, Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) mengakui beliau berpuas hati dengan perkembangan beberapa pasukan yang mencipta kejutan dalam pertandingan tersebut.

“Saya tidak terkejut pun apabila juara bertahan, Kelantan boleh tersingkir awal dalam kejohanan kali ini. Ini membuktikan pasukan yang mengambil bahagian melakukan persiapan rapi malah prestasi mereka juga begitu membanggakan.

“Ini merupakan satu amaran awal kepada Kelantan. Kalau mereka hendak pertahankan Piala Agong yang baru dimenangi dan meraih Piala Emas Raja-Raja pada tahun depan, mereka harus melakukan persiapan awal sebaik mungkin.

Menurut Takiyuddin, bagi mengangkat kejohanan tersebut supaya lebih berprestij sesuai dengan usia pertandingan itu dianjurkan, pihaknya menambahkan hadiah wang tunai bagi pasukan bergelar juara dan naib juara pada edisi kali ini.

“Kebiasaannya gelanggang perlawanan akhir hanya melibatkan dua pasukan finalis. Namun sekiranya sambutan hebat diberikan, kita bersedia untuk mengadakannya di gelanggang berkecuali seperti di stadium berkapasiti tempat duduk yang banyak,” katanya.

KELANTAN ATUR TIGA PERLAWANAN LAGI

Annuar (duduk, dua kiri) mengumumkan tiga perlawanan persahabatan bakal dihadapi oleh Kelantan sepanjang bulan ini, dalam sidang medianya di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU – Tiga pasukan termasuk sebuah kelab yang menjuarai Liga Qatar antara pasukan yang bakal dihadapi oleh skuad Kelantan dalam siri perlawanan persahabatan yang diatur oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di Kota Bharu sepanjang bulan ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain kelab tersebut, dua pasukan yang beraksi dalam Liga Super musim depan iaitu T-Team dan Terengganu juga turut mengesahkan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kelantan.

“Saya baru sahaja mendapat persetujuan lisan mengenai kehadiran kelab tersebut ke Kota Bharu. Cuma tarikh untuk perlawanan persahabatan ini kita masih belum tetapkan bila ia akan diadakan.

“Ini merupakan fasa kedua bagi persiapan pasukan dimana kita memberi tumpuan kepada beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi perlawanan Sumbangsih. Perlawanan persahabatan menentang T-Team akan diadakan pada 10 Disember dan Terengganu pada 31 Disember nanti.

“ Jika perlu kita merancang untuk ke utara tanah air pada pertengahan bulan ini bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan lagi di sana. Namun itu masih dalam perancangan kita dan belum dimuktamadkan lagi.

Mengulas mengenai persiapan pra-musim skuad Kelantan yang berakhir minggu lalu, Annuar yang cukup gembira dengan empat kemenangan daripada lima perlawanan tetap memberi peringatan itu merupakan sebahagian daripada permulaan kepada beberapa fasa persiapan terakhir The Red Warriors bagi menghadapi saingan liga tidak lama lagi.

“Bulan November yang tidak sia-sia bagi kita apabila mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dalam perlawanan persahabatan tersebut. Kita mendedahkan (perlawanan persahabatan) kepada pemain muda sebagai langkah jangka panjang dan terbukti ia menepati matlamat kita.

“Bulan ini bermulalah fasa kedua bagi kita. Dengan kehadiran pemain import, beberapa baru dan pemain senior yang melengkapkan pasukan, bukan lagi soal mencuba atau memberi pendedahan sebaliknya cabaran baru kepada jurulatih yang perlu mengadunkan ketiga-tiga elemen itu bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut menjelaskan Kafa turut melepaskan beberapa pemainnya kepada pasukan lain bagi membolehkan mereka mengembangkan karier masing-masing.

“Selain Khairan Eruan (Razali) yang mengikat kontrak dengan Felda United FC, kita juga turut meminjamkan Mohd Nizab (Ayub) kepada pasukan yang sama manakala Wan Zaman (Wan Mustapha) dan Zul Yusri (Che Harun) dipinjamkan kepada pasukan Perlis,” katanya.

KAFA SAH DAFTAR TIGA IMPORT

Mohammed Ghaddar (dua,kanan) dan rakan senegaranya tiba di Kelantan dua hari lalu untuk menyertai sesi latihan bersama skuad The Red Warriors.

KOTA BHARU – Tiga pemain import terbaru The Red Warriors sah akan didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula awal Januari tahun depan.

Bukan lagi rahsia, apabila ketiga-tiga pemain import iaitu Emmanuel Ayaah Okine dan Denny Agyare Antwi (kedua-duanya Ghana) dan penyerang skuad kebangsaan Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud sudah pun mengikat kontrak antara dua hingga tiga tahun bersama Kelantan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendaftaran ketiga-tiga pemain itu dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan peraturan dimana Kelantan bakal beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekitar Mac tahun depan.

“Kita sudah memuktamadkan keputusan (pendaftaran pemain import) berdasarkan kebenaran FAM yang membenarkan kita mendaftarkan tiga pemain import untuk saingan Liga-M pada musim depan.

“Meskipun kita mendaftarkan tiga pemain, namun hanya dua pemain import sahaja yang dibenarkan beraksi untuk Kelantan dalam kancah Liga-M pada musim depan. Jadi saya boleh mengesahkan ketiga-tiga mereka didaftarkan dengan FAM untuk musim depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai persiapan pasukan Kelantan untuk musim 2012 di Kafe The Red Warriors, di sini semalam.

Mengulas mengenai pemain import keempat seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Annuar menjelaskan pihaknya sedang menguji beberapa pemain bagi mengisi kuota empat pemain import seperti yang dibenarkan oleh pihak AFC.

“Segalanya terpulang kepada jurulatih (Peter Butler) yang tentukan. Kalau perlu kita ambil pemain keempat, saya sedia timbangkan meskipun kantung kewangan Kafa tidak mengizinkan.

“Pusingan pertama kita perlu menghadapi enam perlawanan, dan kita terpaksa membayar gaji yang mahal hanya semata-mata bermain untuk enam perlawanan itu. Tapi kalau jurulatih kata perlu, maka perlulah Kafa ambil.

“Memang peraturan AFC membenarkan kita mendaftarkan empat pemain tetapi hanya tiga pemain import dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa. Mungkin kalau kita ada empat pemain, kita boleh gilirkan keempat-empat pemain itu,” katanya.