Monday, February 20, 2012

KATA DUA UNTUK PEMAIN - HASHIM

Mohd Azyu Ikmal (kanan) bakal digandingkan dengan Mohd Aris apabila Kelantan bertemu PDRM di Kota Bharu, petang ini.

KOTA BHARU – ‘Ubah sikap atau bersedia direhatkan’ Itu amaran keras Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd Hashim Mustapha kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan menentang PDRM dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Sambil menyifatkan kekalahan tipis 1-2 kepada T-Team minggu lalu berpunca daripada sikap negatif pemainnya sendiri, Mohd Hashim menyelar tindakan segelintir pemain mudanya yang dilihat gagal mengawal emosi sepanjang beraksi dalam perlawanan tersebut.

“Sejak awal musim lagi saya sudah mengingatkan semua pemain tentang perkara ini. Namun ia tetap berlaku dan saya cukup kecewa dengan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Tidak ada alasan untuk pemain berbuat demikian. Pemain masih muda dan sikap seperti ini tidak harus ada di dalam diri mereka kalau mahu melihat pasukan kita mara lebih jauh pada musim ini.

Amaran keras oleh Mohd Hashim itu hadir tepat pada masanya dan ia dibuktikan apabila jurulatih berusia 46 tahun itu akan melakukan rombakan dengan merehatkan tiga pemain tonggak yang dilihat ‘besar kepala’ pada perlawanan petang ini. 

“Kalau kita kalah 10-0 kepada T-Team tempohari sekali pun tetapi dengan semangat melawan itu boleh diterima oleh saya. Tetapi saya tidak boleh terima apabila kita kalah dalam perlawanan yang sepatutnya kita boleh menang hanya kerana pemain kita gagal mengawal emosi mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan dengan PDRM petang ini, Mohd Hashim berkata, pasukan kendaliannya tidak mempunyai pilihan selain perlu memenangi perlawanan ini bagi mengutip tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.   

“Khidmat pemain pertahanan tengah, Tuan Mohammad Faim (Tuan Zainal Abidin) terpaksa diketepikan setelah dia mengalami kecederaan buku lali dalam pertemuan dengan T-Team tempohari.

“Namun ketiadaannya tidak menggusarkan kerana kita masih mempunyai ramai pemain lain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain tersebut. Penjaga gol, Muhammad Syazwan Yusoff dijangka dapat diturunkan sekiranya mendapat lampu hijau daripada pihak pengurusan Liga Super Kelantan.

“Di posisi serangan, saya mungkin mengekalkan gandingan Mohd Aris (Zaidi) dan Mohd Azyu Ikmal (Che Mat Nor) bagi merobek pintu gol pasukan lawan. Saya berharap Mohd Aris dapat menemui kembali sentuhan berbisanya setelah kurang menyengat dalam dua perlawanan lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment