Saturday, July 31, 2010

SAYA TETAP BANGGA - SATHIANATHAN


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Tidak terpalit sedikit pun rasa kecewa buat pengendali, B Sathianathan  andai ditakdirkan Kelantan hanya dinobatkan sebagai naib juara Liga Super musim ini pada ketika saingan liga masih berbaki dua perlawanan lagi untuk ditamatkan.

Menjadi pasukan kedua terbaik dalam liga bola sepak paling berprestij di negara ini merupakan satu pencapaian terbaik bagi pasukan Kelantan dalam masa yang singkat setelah mendapat tempat keenam musim lalu.

Pada ketika Selangor hanya selangkah lagi berpeluang mempertahankan piala yang dimenanginya musim lalu,  Kelantan sudah pun mengesahkan tempat selaku naib juara tanpa dapat dicabar oleh Terengganu.

Perlawanan Liga Super malam esok memungkinkan noktah penantian peminat bola sepak Kelantan sejak tujuh bulan yang lalu akan berakhir.  Sama ada berpeluang menjadi juara atau tidak, semua bergantung kepada keputusan pertemuan diantara Selangor menentang Terengganu.

Sathianathan berkata, sekiranya Kelantan gagal memenangi kejuaraan liga pada musim ini, beliau tetap merasa bangga membimbing pasukan The Red Warriors sejak hampir setahun lalu.

“Bukan mudah untuk membina sebuah pasukan sehingga digeruni di pentas bola sepak tempatan dalam masa tidak sampai satu tahun. Saya berbangga melatih Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Dua tahun lalu, Kelantan menjadi pasukan ketiga terbaik dalam Liga Perdana. Tahun lepas kita berada di tempat keenam keseluruhan dalam Liga Super. Musim ini kita sudahpun mengesahkan tempat sebagai pasukan kedua terbaik dalam liga.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan dalam tempoh yang singkat. Saya kira misi yang dicetuskan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa hampir mencapai matlamatnya.

Menurut Sathianathan, apa yang penting kejayaan yang dikecapi dalam saingan liga itu harus diteruskan dalam kempen Piala Malaysia akan datang.

Sementara itu ketika mengulas mengenai perlawanan menentang KL Plus malam semalam, bekas pengendali pasukan kebanggsaan itu berkata, beliau berpuashati dengan persembahan keseluruhan para pemainnya pada perlawanan tersebut.

“Saya berpuashati kerana kita berjaya mengutip tiga mata penting pada perlawanan itu walaupun kita turun tanpa dua tonggak utama pada perlawanan itu.

“Apabila kita selesa mendahului 3-0, pemain kita sedikit leka sebelum membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol. Mereka kemudian bangkit daripaa kealpaan itu dan seterusnya menjaringkan satu gol lagi.

“Saya membuat tiga pertukaran bagi memastikan beberapa pemain kita tidak mengalami keletihan yang berpanjangan. Saya perlu simpan tenaga mereka sebagai persediaan menghadapi Johor FC malam esok kerana kita hanya mempunyai rehat selama dua hari sahaja,” katanya.

Pada perlawanan menentang KL Plus malam semalam, Kelantan turun tanpa perancang tengah, Muhd Badhri Radzi yang mengalami demam sementara S Chanturu terpaksa disisihkan kerana masih mengalami kecederaan kakinya.

Affandi pertahankan, Takiyuddin, Rosmadi cuba nasib


Tiga calon dari Kelantan, Afandi Hamzah (kiri), Annuar Musa (tengah) dan Rosmadi Ismail berbincang sesuatu menjelang pemilihan Kongres FAM ke-47 hari ini

KOTA BHARUHari ini seluruh pemerhati sukan negara bakal tertumpu kepada pemilihan barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sempena Kongres kali ke-47 untuk penggal empat tahun akan datang.

Dengan jawatan Presiden FAM sekali lagi disandang oleh Tuanku Sultan Ahmad Shah yang menang tanpa bertanding, perebutan bagi tiga jawatan – Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif menyaksikan.

Calon jawatan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mungkin dilihat ke hadapan dalam perebutan jawatan tersebut, tetapi harus di ingat Kelantan juga mempunyai tiga lagi calon daripada dua persatuan sukan yang berbeza yang akan bertanding dalam dua jawatan iaitu Naib Presiden dan Ahli Eksekutif.

Pada Kongres FAM kali ini, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa buat pertama kali akan bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden bagi penggal 2010/2014.

Turut bersaing merebut jawatan tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, penyandang jawatan, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, pencalonan ketiga-tiga tokoh dari Kelantan  dilihat satu titik tolak kepada pembaharuan yang bakal dilakukan sekiranya mereka terpilih berada didalam barisan kepimpinan FAM bagi penggal akan datang.

“Kemampuan Annuar Musa menerajui Kafa selama tiga tahun dengan kejayaan yang cukup cemerlang memberi isyarat bahawa kredibiliti beliau diperingkat negeri kini sangat-sangat diperlukan diperingkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Memimpin sebuah persatuan sukan negeri yang sentiasa bergelut dengan pelbagai masalah seterusnya berjaya menarik keluar daripada situasi itu dilihat antara faktor kekuatan beliau untuk bertanding pada kongres kali ini.

“Sudah pasti beliau mempunyai idea yang tersendiri untuk membantu Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mentadbir badan induk bola sepak kebangsaan itu dengan lebih baik sebagaimana beliau lakukan sepanjang memimpin Kafa selama tiga tahun ini,” katanya.

Mohamad Noordin berkata, dua lagi calon dari Kelantan, iaitu Datuk Affandi Hamzah dan Rosmadi Ismail juga mempunyai kelebihan yang tersendiri apabila bertanding pada kongres FAM itu.

“Dua tokoh ini turut menjadi nadi kepada kebangkitan Kelantan dalam pentas Liga Malaysia sejak dua musim lalu. Sumbangan mereka kepada bola sepak Kelantan tidak harus dipinggirkan begitu sahaja malahan pengalaman mereka boleh diimplimentasikan sekiranya terpilih nanti.

Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tiga tahun lalu yang turut menyaksikan pertandingan sengit bakal berlaku dalam perebutan tiga kerusi itu.

Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Hamidin Mohd Amin, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim, Datuk Subahan Kamal, Datuk S Subramaniam dan Datuk Lawrence Gimbang akan turut bertanding bagi merebut empat jawatan ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan pula akan bertanding dalam jawatan Ahli Eksekutif yang menyaksikan hanya lapan daripada 13 calon yang bertanding akan dipilih.

Turut bertanding dalam perebutan jawatan itu ialah Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, Dr Hamdan Mohamed Khatib, Datuk Jeferey Low Han Chau, Datuk Astaman Abdul Aziz, Datuk Ibrahim Shamsuddin, Datuk Osman Salleh, Datuk Soh Chin Aun, Mejar Rani Abdul Rahim, Wan Mohd Nizam Wan Omar dan S Sivasundaram.

“Kali pertamanya FAM akan mengguna pakai ‘Statut FAM’ yang baru melibatkan semua jawatan akan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden sehingga ke jawatan Ahli Eksekutif

JOHOR FC IMPIKAN TIGA MATA


RAMLAN RASHID
KOTA BHARU – Pasukan berstatus kelab,Johor FC memasang impian untuk mengutip tiga penuh dalam pertemuan menentang Kelantan di Stadium Corp, Pasir Gudang malam ini bagi menghidupkan peluang merebut tempat ketiga dalam saingan Liga Super musim ini.

Biarpun hanya dipisahkan empat mata dengan Terengganu, Johor FC tetap mengharapkan keajaiban berlaku dalam memburu tempat ketiga sambil pada masa yang sama mengimpikan Terengganu tumbang dalam baki dua perlawanan terakhir itu.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid berkata, perlawanan malam ini bakal menyaksikan pertembungan yang sengit kerana kedua-dua pasukan pastinya mengharapkan kemenangan.

“Kalau dinilai, prestasi Kelantan dilihat lebih menonjol dari segi mutu permainan dan taktikalnya. Lagi pun prestasi Kelantan kini sudah sampai ke kemuncak. Saya kira perlawanan malam ini merupakan sesuatu yang sukar bagi Johor FC walaupun kita menjadi tuan rumah,” katanya ketika Sinar Harian semalam.

“Kita akan bermain sebaik mungkin dan sudah pasti matlamat kita turun beraksi untuk mencipta kemenangan pada malam ini.

“Walauapapun, segalanya kita perlu bergantung kepada keputusan perlawanan diantara Selangor dengan Terengganu.

Dalam masa yang sama, Ramlan turut tidak dapat menyembunyikan kegusaran mengenai prestasi pasukannya ketika ini yang disifatkan tidak begitu mantap.

“Walaupun kita menang besar ke atas Johor tempohari, tetapi prestasi pemain saya tidak mencapai tahap sebenar. Justeru, saya mengharapkan para pemain saya bangkit mempamerkan aksi bertenaga bagi memberi saingan kepada Kelantan.

Menurut Ramlan, Johor FC akan turun tanpa tiga tonggak utama iaitu Mat Saiful Mohamad, Zulhissyam Jamaluddin dan perancang tengah, Eddy Helmi Abd Manan.

“Mat Saiful (Mohamad) dan Zulhissyam (Jamaluddin) terpaksa diketepikan kerana masih belum pulih daripada kecederaan. Sementara khidmat Eddy Helmi (Abd Manan) pula terpaksa dilupakan sehingga musim liga berakhir kerana beliau perlu berehat panjang setelah menjalani pembedahan lutut. 

"Sudah pasti saya mengharapkan gandingan pemain sedia ada dikepalai ketua pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail dan rakan-rakan sepasukan yang lain bagi mengekang asakan pemain Kelantan pada perlawanan malam ini," katanya.

TUGAS GETIR DI PASIR GUDANG


B Sathianathan dijangka menurunkan kesebelasan pemain yang sama sewaktu menentang KL Plus FC tempohari pada perlawanan malam ini.

KOTA BHARU – Kelantan berhadapan ujian cukup getir menentang Johor FC, dalam perlawanan Liga Super yang akan berlangsung di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, kehilangan tiga pemain utama iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Muhd Badhri Radzi dan S Chanturu tidak dilihat sebagai alasan untuk tidak boleh mencipta kemenangan biarpun beraksi ditempat lawan.
B Sathianathan

“Walaupun turun tanpa tiga tonggak itu, saya percaya pemain simpanan yang lain boleh menggalas tugas yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sebagai contohnya, Khairan Eroza (Razali) yang menggantikan tempat Muhd Badhri (Radzi) menunjukkan persembahan yang cemerlang pada perlawanan dengan KL Plus, jadi tidak ada sebab untuk saya menyisihkan khidmat beliau pada perlawanan malam ini

“Apa yang penting, mereka harus bermain sebagai sebuah pasukan dan tentunya matlamat kita hendak menang pada perlawanan malam ini,” katanya.

Difahamkan, Khairul Fahmi mengalami sakit belakang ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan baru-baru ini sementara Muhd Badhri mengalami demam dan S Chanturu masih bergelut dengan masa untuk pulih daripada kecederaan kakinya.

Begitupun, menurut Sathianthan, Muhd Badhri Radzi dan S Chanturu tetap dibawa bersama pasukan Kelantan ke Pasir Gudang.

Pada perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu, Kelantan mengalahkan Johor FC dengan kemenangan 4-1.

Ditanya mengenai lawan yang akan dihadapinya malam ini, Sathianathan secara jujur mengakui tugas rumit menanti anak buahnya sementelah Johor FC juga mahu mencipta kemenangan pada perlawanan itu.

“Johor FC sebuah pasukan yang kuat. Saya menjangkakan mereka akan memberikan tentang sengit kepada Kelantan. Sudah pasti mereka akan bermain mati-matian kerana mereka masih berpeluang memintas Terengganu bagi merebut tempat ketiga.

Sementara itu, ditanya mengenai persembahan penjaga gol simpanan, Syed Adney Syed Hussien, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain ini walaupun begitu lama tidak turun

“Beliau (Syed Adney) telah lama tidak turun beraksi bersama Kelantan. Persembahan beliau tidak mengecewakan saya. Ternyata beliau mempunyai ketahanan mental yang kuat apabila mampu menyerap tekanan bermain di Kota Bharu tempohari,” katanya.

Thursday, July 29, 2010

KELANTAN TERUS MENGHAMBAT SELANGOR


Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ditarik oleh ketua pasukan KL Plus FC, Norhafiz ZamaniMisbah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi
(Gambar ehsan : Userun)

KELANTAN 4
Azizi Matt Rose (m-15)
Indra Putra Mahayuddin (m-56)
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-62)
Mohd Norfarhan Muhammad (m-86)

KL PLUS FC 1
Rusydee Samsuddin (m-67) 

KOTA BHARU – Kelantan terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor dalam pemburuan kejuaraan Liga Super musim ini setelah berjaya mengalahkan KL Plus FC 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan Selangor ke atas T-Team 2-1 di Kuala Terengganu tidak sedikit pun meruntuhkan semangat juang pemain Kelantan dalam aksi Liga Super setakat ini, sebaliknya penentuan juara liga tidak mudah dinobatkan kepada Selangor selagi dua baki perlawanan liga masih belum berakhir.

Seawal minit ketujuh, Kelantan cuba memecah kebuntuan apabila percubaan Mohd Shakir Shaari jauh melepasi palang gol setelah berjaya merampas bola daripada situasi kelam-kabut didepan pintu gol KL Plus FC.

Manakala pasukan pelawat yang turun tanpa penyerang utama, Mohd Nizaruddin Yusuff dan Es Lizuan Zahir Amir, sekadar menguji kehebatan Syed Adney pada minit ke-12, apabila rembatan Rusydee Samsuddin mudah dikeluarkan oleh pemain pertahanan Kelantan.

Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-15, bermula dengan sepakan penjuru yang diambil secara dekat, Khairan Eroza pantas melakukan hantaran lintang yang mudah ditanduk oleh Azizi Matt Rose untuk menewaskan Razi Effandi Suhit.

Biarpun turun tanpa perancang utama, Muhd Badhri Radzi, jelas penguasaan jentera tengah Kelantan diketuai Indra Putra Mahayuddin dilihat sentiasa mengaturkan gerakan demi gerakan bagi memburu jaringan buat pasukan Kelantan.

Selang dua minit kemudian, sepakan percuma Indra Putra didepan pintu gol KL Plus pantas disambil oleh Azizi Mat Rose tetapi tandukannya terkena palang gol.

Minit ke-33, Akmal Rizal yang berjaya melepasi dua pemain pertahanan KL Plus FC hampir menambah jaringan tetapi rembatannya terus ke dakapan Razi Effandi.

Sementara KL Plus FC yang dilihat tenggelam corak permainannya hanya berupaya mengacah melalui percubaan Rusydee Samsuddin pada minit ke-41, tetapi jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Minit-minit akhir babak pertama, Kelantan seharusnya selesa dengan kelebihan dua jaringan sebelum menuju ke ke bilik persalinan, tetapi percubaan Indra Putra sedikit melepasi palang gol.

Bersambung babak kedua, KL Plus FC memasukkan Mohamad Zaidi Ahmad dengan mengeluarkan  Hairee Jamaluddin  bagi memperkemaskan benteng pertahanan mereka.

Belum sempat mengatur gerakan merbahaya ke kubu Kelantan, pintu gol KL Plus sekali lagi bocor pada minit ke-56. Sepakan percuma yang diambil oleh Mohd Norfarhan ditampan kemas oleh Azizi seterusnya melorong bola kepada Indra Putra yang melakukan rembatan kencang menewaskan Razi Effandi buat kali kedua.

Minit ke-62, kali ini giliran Akmal Rizal pula mencipta nama sebagai penjaring gol Kelantan pada perlawanan malam tadi.

Segalanya terhasil apabila hantaran jauh Mohd Daudsu kepada Norshahrul Idlan disempurnakan oleh beliau dengan membawa masuk bola ke dalam kotak penalti sebelum memperdayakan Razi Effandi dengan menolak bola ke belakang kepada Akmal Rizal yang tanpa dicabar terus meledakan rembatan kencang menghasilkan gol ketiga Kelantan.

Selesa dengan tiga gol dihadapan, pemain Kelantan dilihat mula memperlahankan rentak permainan. Sebaliknya anak buah Mohd Zan Mat Aris mencetuskan kebangkitan bagi memburu gol pertama bagi pasukan mereka.

Hasilnya pada minit ke-67, lambungan jauh Azi Shahril Azmi kepada Rusydee Samsuddin mudah disempurnakan oleh beliau dengan merembat mudah tanpa dicabar oleh Syed Adney menghasilkan gol tunggal pasukan mereka pada perlawanan ini.

Empat minit kemudian, Rusydee Samsuddin sekali lagi cuba menguji kekentalan Syed Adney di gawang pintu gol Kelantan tetapi rembatan jarak jauhnya sekadar meliar.

Stadium Sultan Muhammed Ke-IV kembali bergema dengan sorakan penyokong setia Merah Putih apabila Mohd Norfarhan Muhammad menghasilkan gol keempat untuk Kelantan pada minit ke-86.

Larian solo Akmal Rizal dari sebelah kanan pintu gol pasukan pelawat disusuli dengan melakukan hantaran silang ditampan kemas oleh Mohd Norfarhan dengan merembat kencang menewaskan Razi Effandi buat kali keempat malam tadi.

Minit-minit akhir perlawanan, pemain gantian, Hairuddin Omar seharusnya memastikan Kelantan berpesta gol pada perlawanan malam tadi, tetapi tandukannya setelah menerima umpanan daripada Indra Putra sedikit melepasi palang gol sekaligus menutup tirai kemenangan bermakna Kelantan ke atas KL Plus FC malam tadi

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN – Syed Adney Syed Hussien, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin Zairul Fitree Ishak),  S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Khairan Eroza Razali, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Mohd Norfarhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha (Hairuddin Omar), Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

FORMASI : 4-4-2

KL PLUS FC – Razi Effandi Suhit, Norhafiz Zamani Misbah (KP), Irwan Fadzli Idrus, Mohamad Abdul Aziz Ismail, Rusydee Samsudin (Mohd Nazrin Mohd Nawi), Azi Shahril Azmi, Hairee Jamaluddin (Mohamad Zaidi Ahmad),, Muhammad Badrul Hisani Abd Rahman, Reeshafiq Alwi, Mohd Lot Abu Hassan, dan Mohd Fadzli Shaari (Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (5) KL Plus FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) KL Plus FC 4)
Sepakan sudut : Kelantan (7) KL Plus FC (1)
Sepakan percuma : Kelantan (15) KL Plus FC (15)
Offsaid : Kelantan (4) KL Plus FC (0)
Kekasaran : Kelantan (11) KL Plus FC (15)
Kad kuning : Kelantan (S Subramaniam dan Azizi Matt Rose) KL Plus FC (Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Abdul Aziz Ismail dan Azi Shahril Azmi)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%)  KL Plus FC (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Romzi Zahari
Penolong Pengadil 1: Fadli Ishak
Penolong Pengadil 2: Naimulddin Haron
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Nor
General Koordinator: Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Anuar Salim Abd Moen

Wednesday, July 28, 2010

Hanya pemain cergas diturunkan - Sathianathan


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Pertemuan menentang KL Plus dalam perlawanan Liga Super malam ini tidak disifatkan mudah oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, sebaliknya beliau berharap pasukan The Red Warriors perlu mencipta kemenangan seterusnya mengekalkan rekod tanpa kalah sejak beberapa bulan lalu.

Begitu pun, di sebalik keinginan Sathianathan untuk terus mempertahankan rekod tanpa kalah itu, beliau turut diselubungi keresahan setelah dua pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat mengalami kecederaan masing-masing.

“Kedudukan Norshahrul (Idlan Talaha) dan Khairul Fahmi (Che Mat) hanya dapat ditentukan pagi esok (ini) , sekiranya mereka berjaya melepasi ujian kecergasan, sudah pasti mereka tersenarai pada perlawanan malam esok (ini),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya tidak akan menyenarai mana-mana pemain yang tidak mencapai tahap kecergasan 100 peratus. Usah kata 80 peratus, yang capai 90 peratus pun tidak akan disenaraikan. Saya mahu pemain yang betul-betul cergas berada di atas padang kerana mereka semua perlu bekerja untuk tempoh 90 minit.

“Saya mempunyai ramai pemain simpanan seperti Mohd Nizab (Ayub), Ramzul Zahini (Adenan), S Chanturu, Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli). Jadi mereka harus bersedia memikul tanggungjawab sekiranya diturunkan,” katanya.

Malahan Sathianathan turut mempunyai perancangan yang tersendiri dengan menyenaraikan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin sebagai penyerang utama sekiranya keadaan dilihat terdesak.

Sementara itu, ditanya mengenai lawan yang dihadapi malam ini,  Sathianathan berkata, kebangkitan pasukan KL Plus pada pusingan kedua tidak harus dipandang mudah oleh pemain Kelantan.

Kedudukan Norshahrul Idlan Talaha (kanan) hanya dapat ditentukan melalui ujian kecergasan hari ini

“KL Plus mempunyai beberapa pemain seperti Mohd Fadzli (Shaari), Norhafiz (Zamani Misbah) yang saya rasa sama taraf dengan pemain kita.

“Walaupun diawal musim ini prestasi mereka tidak menyerlah, tetapi kita harus lihat  sekarang mereka telah berjaya memperbaiki kedudukan dalam carta liga. Mereka telah mendapat kembali sentuhan (peningkatan prestasi) sebaik sahaja rehat yang panjang baru-baru ini.

“Saya fikir mereka boleh menjadi pencabar utama dalam kempen Piala Malaysia nanti. Kita pernah menang 3-0 pada pusingan pertama. Itu sudah menjadi sejarah dan kita tidak boleh ambil kira lagi,” katanya.

Skuad tempang ke Kota Bharu – Mohd Zan


KOTA BHARU – Skuad tempang ke Kota Bharu. Begitulah perumpamaan tepat ditujukan kepada pasukan KL Plus bagi menghadapi Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Sudah terbayang kerisauan buat pengendali KL Plus, Mohd Zan Mat Aris memikirkan untung nasib pasukannya setelah dua tonggak utama pasukannya tidak dibawa bersama ke Kota Bharu kali ini.

Dua tonggak utama mereka, Mohd Nizaruddin Yusuf dan Es Lizuan Zahid Amir terpaksa disisihkan gara-gara mengalami kecederaan dan digantung perlawanan.

“Sudah pasti perlawanan malam ini menjadi sukar buat kami kerana turun tanpa dua tonggak utama disamping berhadapan dengan ribuan penyokong setia Kelantan malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sejurus tiba di Kota Bharu semalam.

“Dari segi persiapan, kami hanya melakukan persiapan biasa dalam cuti rehat yang panjang setelah berjaya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kedah dalam perlawanan terakhir lalu.

Mohd Zan berkata, Kelantan juga sudah pasti bermain mati-matian untuk mencipta kemenangan kerana peluang pasukan tuan rumah untuk menjadi juara liga masih lagi terbuka ketika ini.

“Bermain di Kota Bharu sememangnya sukar buat mana-mana pasukan lain lebih-lebih lagi untuk mencipta kemenangan disini.

“Kelantan sudah pasti turun dengan misi memburu tiga mata bagi dan mempertahankan rekod tanpa kalahnya sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurut Mohd Zan, baki terakhir tiga perlawanan liga itu akan digunakan sebaiknya oleh pasukan KL Plus bagi memperbaiki kedudukan pasukan mereka dalam carta liga.

“Tiga perlawanan terakhir iaitu bertemu Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu cukup sukar bagi kami. Kami harus mengutip mata daripada tiga pertemuan itu bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan liga musim ini.

Begitupun, Mohd Zan enggan mengaku kalah lebih awal apabila ditanya peluang pasukannya pada pertemuan malam ini, sebaliknya tetap mempertaruhkan gandingan pemain berbisa seperti Mohd Fadzli Shaari, Norhafiz Zamani Misbah, dan Mohd Lot Abu Hassan bagi merobek pintu gol Kelantan,  sekurang-kurangnya mencari keputusan seri pada perlawanan malam ini.

KAFA kini mendepani zaman - Annuar


Ahmad Shabery Cheek menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Annuar Musa, sambil disaksikan oleh wakil MBR, Leona Paul.

KOTA BHARU – Disebalik kejayaan penganjuran Karnival The Red Warriors yang berakhir semalam, tercatat satu sejarah tersendiri apabila Malaysia Book of Records (MBR) telah mengiktirafkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebagai persatuan sukan pertama di negara ini yang berjaya mengeluarkan merchandise sendiri dan juga mewujudkan radio internet, iaitu TRW.fm.

Wakil MBR, Leona Paul hadir menyampaikan sijil pengiktirafan pihak MBR kepada Tan Sri Annuar Musa pada majlis perasmian Karnival The Red Warriors 2010 malam semalam.

Terdahulu Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak diatas penganjuran karnival bersempena dengan sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

“Sukan harus dilihat sebagai satu industri dengan perspektif yang lebih besar, dan Kafa sebagai sebuah persatuan yang kerdil telah melangkauinya dengan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir dilakukan oleh mana-mana persatuan sukan selama ini.

“Kafa terpanggil untuk melakukan sesuatu dengan menyahut seruan pihak kerajaan dan kita telah mendepani zaman melakukan pelbagai perkara berkaitan industri bola sepak khusus di negeri Kelantan.

“Kewujudan Soccer Station, kafe TRW, jenama Warriors sebagai merchandise Kafa,  radio internet dan keropok Warriors, dan kesemua ini adalah limpahan daripada kejayaan pasukan TRW musim ini.

Menurut Annuar, pihak Kafa berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada pihaknya. 

“Kerjasama yang diberikan oleh kerajaan negeri, perbadanan stadium, malah semua pihak amatlah dialu-alukan. Saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan kepada pasukan bola sepak Kelantan,” katanya.

Sementara itu Annuar berkata, pada masa akan datang, pihak Kafa bercadang membina pusat latihan dan stadium sebuah bola sepak sendiri.

“Adalah penting kini mewujudkan stadium bola sepak sendiri bagi mewujudkan pasukan yang lebih berwibawa lagi pada masa akan datang.

“Kelantan hanya mempunyai satu-satunya stadium di Kota Bharu, dan Kafa mempunyai perancangan awal untuk memulakan usaha membina stadium walau dalam keadaan keadaan sederhana sekali pun dan kita berharap pihak kerajaan pusat membantu kita merealisasikan hasrat ini,” katanya.

TRW ikon kejayaan persatuan sukan - Shabery


Annuar Musa (dua, kiri), Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri), Abdul Fattah Mahmood (dua,kanan) dan Ramzi Abdul Rahman membaling bola sebagai simbolik kepada perasmian Karnival The Red Warriors 2010.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhasrat menjadikan Karnival The Red Warriors 2010 (TRW) sebagai acara tahunan setelah melihat kejayaan penganjuran karnival tersebut.

Majlis perasmian Karnival The Red Warriors 2010 telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek di dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, malam semalam.

Hadir sama ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Exco Pembangunan Modal Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Tahun Bola Sepak Kelantan, Datuk Ramzi Abdul Rahman,  Timbalan Presiden Kafa, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah, Rosmadi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob serta pemain Liga Super Kelantan.

Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Kafa diatas penganjuran karnival sempena dengan sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

“Tan Sri Annuar Musa bukan setakat memimpin sebuah persatuan bola sepak, tetapi penggerak kepada satu bentuk gelombang baru dalam bidang sukan di negara ini.

“The Red Warrior telah berjaya mengubah cara hidup dikalangan penyokong Kelantan, berdisiplin, menghormati dan saya fikir ini adalah cetusan gelombang baru yang dimulakan dari Kota Bharu ini.

Ahmad Shabery berkata, kewujudan kafe TRW, merchandise Kafa, keropok dan radio TRW membuktikan pihak Kafa bukan setakat serius memimpin bola sepak di Kelantan bahkan menjadikan bola sepak sebagai satu industri yang boleh membawa keuntungan.

“Tercetusnya idea sebegini memberi satu konsep model baru dalam pembangunan bola sepak di negara ini.

“Sesebuah pasukan itu dilihat berasaskan kepada negeri dan kekuatannya bergantung kepada berapa banyak kerajaan negeri itu memberi peruntukkan kepada pasukan bola sepaknya. Kejayaan Kafa sebagai persatuan bola sepak berdikari tanpa menerima bantuan daripada pihak kerajaan dibuktikan dengan menjadi antara pasukan yang terkuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“TRW telah berjaya membina kelab penyokongnya dengan memakai baju yang sama, terkenal dengan kafenya dan  radionya, dan kini kemana-mana sahaja, orang sudah mengetahui nama TRW ini,” katanya.

Tuesday, July 27, 2010

Annuar rasmi kedai sukan UMBRO


Annuar Musa menandatangani plak perasmian kedai peralatan sukan UMBRO, sambil diperhatikan Affandi Hamzah dan S Muru

KOTA BHARU – Pembukaan rasmi kedai barangan sukan berjenama UMBRO, yang terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu sekali lagi menjadi sebahagian daripada catatan sejarah sempena sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.  

Perasmian pembukaan kedai barangan sukan yang menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors musim ini telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada satu majlis yang berlangsung semalam.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Yaakob, Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang, Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, para pemain dan penyokong Kelantan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapan perasmiannya berkata, kewujudan kedai barangan sukan UMBRO merupakan yang keempat selepas kelahiran Merchandise keluaran Kafa, Soccer Station, dan The Red Warriors Station pada tahun ini.

“Fenomena ini (kewujudan pelbagai perniagaan berasaskan sukan bola sepak) adalah sesuatu yang menggembirakan kita semua kerana daripada hanya sebuah pasukan bola sepak negeri, kita telah berjaya membawa limpahan kepada bukan sahaja dalam bentuk minat para penonton menyaksikan perlawanan tetapi juga perkembangan industri bola sepak itu sendiri.

“Secara tidak langsung perkembangan ini menjadi sebahagian daripada matlamat kita dalam menjayakan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

“Bola sepak merupakan satu fenomena global yang berjaya memajukan pelbagai bidang pembuatan, perlancongan dan pembukaan kedai barangan sukan ini merupakan sebahagian daripada contoh tersebut.

“Saya berharap UMBRO dapat berada sebaris dengan jenama-jenama lain dengan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan serta bersaing secara sihat dinegeri ini,” katanya.

Annuar berkata, sebagai duta kemajuan sukan negeri Kelantan, pasukan The Red Warriors diharap dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam sukan bola sepak pada masa akan datang.

“Kita mahu The Red Warriors menjadi sebuah pasukan yang mempunyai tanggungjawab pada masa depan, mengamalkan prinsip mesra bersama peminat. Ini semua antara falsafah pihak pengurusan yang kita mahukan.
Sementara itu, Annuar dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan Pusat, kerajaan negeri Kelantan, Perbadanan Stadium Kelantan (PSK), para penaja, dan kelab-kelab penyokong yang selama ini telah membantu dan memberi sokongan kepada pihak Kafa.

KELATE.NET TIDAK PUAS HATI


 MARHASHIM MAT

KOTA BHARU – Perubahan jadual perlawanan Liga Super di antara Perlis menentang Terengganu  yang sepatutnya dilangsungkan di  Stadium Utama Negeri, Kangar pada Rabu ini dan dipinda ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam ini sekali lagi mencetuskan rasa tidak puas hati mengenai keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) FAM.

Perlawanan Liga Super di antara Perlis menentang Terengganu dipinda bermain pada malam ini memandangkan Stadium Utama Negeri, Kangar digunakan untuk acara lain.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) melihat perubahan jadual tersebut yang diputuskan oleh JPKT FAM sebagai tidak adil dan seharusnya memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja.

Presiden Kelate.Net, Marhasyim Mat berkata, sepatutnya perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali dan tidak diadakan di Kuala Terengganu kerana sudah pasti ianya memberi kelebihan kepada Terengganu sebagai pasukan tuan rumah.

“Perlawanan sepatutnya ini dilangsung di gelanggang berkecuali seperti di Cheras atau mana-mana gelanggang yang lain memandangkan gelanggang di Ipoh, Alor Setar dan Batu Kawan digunakan oleh pasukan negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pasukan Terengganu dilihat mempunyai kelebihan kerana tidak perlu berkunjung ke Kangar, bahkan Terengganu juga mempunyai rehat yang panjang sebagai persiapan menghadapi pendahulu liga, Selangor di Shah Alam pada Sabtu ini.

“Sudah pasti mereka berpeluang menilai perlawanan T-Team menentang Selangor pada keesokan malamnya (hari Rabu) kerana mereka tidak bermain. Malahan mereka berpeluang mengkaji corak permainan Selangor, lawan yang akan mereka hadapi Sabtu ini.

Menurut Marhasyim, pihaknya merasakan perubahan jadual itu sudah pasti memberi peluang terbuka kepada pasukan Terengganu dalam perebutan kedudukan tempat kedua Liga Super.

“Sepatutnya perlawanan Perlis menentang Terengganu harus dilangsungkan serentak dengan perlawanan-perlawanan lain tetapi di gelanggang berkecuali memandangkan aksi perebutan tempat kedua juga kini terbuka untuk pasukan Terengganu.

“Perubahan jadual ini tidak adil kepada pasukan lain yang hanya mempunyai rehat selama dua hari sahaja sebelum menghadapi perlawanan berikutnya pada Sabtu ini.

“JPKT FAM harus faham, memandangkan saingan liga semakin hampir ke kemuncaknya, perebutan tempat pertama hingga ketiga hanya melibatkan tiga pasukan iaitu Selangor, Kelantan dan Terengganu. Justeru, mereka seharusnya membuat pindaan yang terbaik bagi tidak mencetuskan rasa tidak puas hati pihak lain,” katanya.

“Pihak JPKT FAM seharusnya mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pindaan kerana kita tidak mahu timbul implikasi yang boleh menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja,” katanya.

Sunday, July 25, 2010

KELANTAN BERPESTA GOL


Pemain pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak cuba melarikan bola sambil dikejar pemain Prachinburi FC

KELANTAN 9 
Indra Putra Mahayuddin (m-12,27) 
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-32)
Ramzul Zahini Adenan (m-35)
Muhammad Zamri Ramli (m-45)
Muhammad Izwan Salahuddin (m49,66)
Mohd Nizab Ayub (m-74)
Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (pen m-89)

PRACHINBURI FC 0 

KOTA BHARU – Kelantan berpesta gol setelah mengalahkan pasukan divisyen satu Liga Thailand, Prachinburi FC 9-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Tanda-tanda The Red Warriors bakal berpesta gol bermula dengan gerakan menarik seawal minit ke-4 perlawanan, menerusi larian overlapping Mohd Farisham tetapi percubaan beliau terus ke dakapan penjaga gol lawan.

Sementara pasukan pelawat dilihat tidak bermaya mengekang kehebatan pemain Kelantan yang jauh bersedia menghadapi perlawanan persahabatan ini sebagai aksi pemanas badan sebelum menentang KL Plus pada hari Rabu ini.

Minit ke-12, ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin membuka tirai pesta gol Kelantan apabila rembatan kencang berjaya menghasil gol pertama Kelantan setelah menerima hantaran lintang oleh Muhd Badhri Radzi.

Selang seminit kemudian, Prachinburi FC turut melakukan percubaan ke pintu gol Kelantan tetapi rembatan Nik Wan sekadar tersasar jauh.

Indra Putra menjaringkan gol kedua peribadinya pada malam tadi pada minit ke-27, juga melalui rembatan kencang menewaskan Zaheit Kariya dipintu golnya setelah menerima hantaran lintang Akmal Rizal.

Gol ketiga Kelantan menyusul lima minit kemudian apabila Akmal Rizal memanfaatkan hantaran Hairuddin Omar dengan mengelecek penjaga gol lawan seterusnya merembat kencang ke gawang gol yang disifatkan gol paling mudah pada perlawanan malam tadi.

Hairuddin Omar sekali lagi menjadi perancang utama kepada sumbangan gol malam tadi setelah hantaran lintangnya pada minit ke-35, mudah disempurnakan oleh pemain gantian, Ramzul Zahini Adenan menghasilkan gol keempat Kelantan.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan menutup tirai aksi cemerlangnya dengan memperolehi gol kelima menerusi Muhammad Zamri Ramli yang mudah melepasi penjaga gol lawan setelah menyambut baik hantaran Wan Zaman Wan Mustapha.

Bersambung babak kedua, Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk menambahkan jaringan keenam. Minit ke-49, Muhammad Izwan Salahuddin merembat kencang menewaskan penjaga gantian, Zulkifri didalam kotak penalti.

Muhammad Izwan Salahuddin menambah koleksi gol peribadinya pada minit ke-66 menerusi rembatan setelah menerima hantaran daripada Mohd Nizab Ayub.

Gol lapan The Red Warriors terhasil pada minit ke-74, kali ini menerusi Mohd Nizab Ayub sendiri yang melakukan rembatan kencang menewaskan Zulkifri sekali lagi setelah menerima umpanan daripada Muhammad Izwan Salahuddin.

Sementara itu, pasukan pelawat yang sekali sekala menyerang hanya mempunyai satu-satunya peluang terbaik pada minit ke-77, tetapi rembatan pemain gantian, Azfar terus ke dakapan Syed Adney.

Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid menutup tirai pesta gol Kelantan ke atas pasukan pelawat pada minit-minit akhir perlawanan menerusi sepakan penalti. Tindakan penjaga gol pasukan pelawat menjatuhkan Mohd Nizab Ayub didalam kotak penalti membolehkan Kelantan dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan.

Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN – Syed Adney Syed Hussien, Azizi Matt Rose (Zairul Fitree Ishak), Mohd Daudsu Jamaluddin (Nik Mohd Shahrul Azim), S Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Mohd Farisham Ismail(Mohd Shawalruddin), Muhd Badhri Radzi (Wan Zaman Wan Mustapha), Indra Putra Mahayuddin (KP) (Muhammad Zamri Ramli)(Mohd Aris Zaidi), Khairan Eroza Razali (Muhammad Izwan Salahuddin), Mohd Norfarhan Muhammad (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu (Hairuddin Omar), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Ramzul Zahini Adenan)(Sharudy Aziz)
FORMASI : 4-4-2 

PRACHINBURI FC – Zahiei Kariya (Zulkifri),Nik Azmi (Asmin)(Azfar), Tirayut, Sukrinai, Meedee (Ismail), Mhd Amree, Sofie (Nik Wan), Unainan, Samail, Yamal (Wane Sakree), dan Suhaimi.
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN 
Percubaan tepat : Kelantan (8) Prachinburi FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) Prachinburi FC (7)
Sepakan sudut : Kelantan (3) Prachinburi FC (1)
Sepakan percuma : Kelantan (10) Prachinburi FC (19)
Offsaid : Kelantan (7) Prachinburi FC (0)
Kekasaran : Kelantan (12) Prachinburi FC (10)
Kad kuning : Prachinburi FC (Sukrinai,Samail dan Tirayut)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Tiga minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%)  Prachinburi FC( 40%) 

PEGAWAI PERLAWANAN 
Pengadil :Mat Suburi Mohd Isa
Penolong Pengadil 1: Mohd Ezanee Mohd Said
Penolong Pengadil 2: Harun Ismail
Pegawai Keempat : Ahmad Farees Mat Suburi
General Koordinator: Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Abd Ghani Omar