Thursday, March 15, 2012

KELANTAN MASIH TERCARI RENTAK

KOTA BHARU – Aksi longlai skuad Piala Presiden Kelantan ketika menewaskan pasukan berstatus kelab, Johor Melodi Jaya 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dua hari lalu ternyata meresahkan pihak pengurusannya.

Ketika saingan Liga Piala Presiden sudah memasuki pertengahannya, skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warriors itu seakan tercari-cari rentak permainan yang sebenar meski pun sudah mengharungi 10 perlawanan setakat ini.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Penolong Pengurus Pasukannya, Nasrul Hadi Kamaruzaman yang menyifatkan situasi tersebut tidak harus berlaku kepada juara bertahan musim lalu andai tidak mahu terus berada dalam zon bahaya bagi merebut slot ke suku akhir nanti.

“Memang kita menang 2-0 dalam perlawanan ini tetapi banyak peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain kita. Sepatutnya kita boleh menang lebih besar ke atas pasukan berstatus kelab dari Johor ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus perlawanan berakhir.

“Kepincangan di bahagian serangan terus menghantui pasukan ini. Ketiadaan empat pemain yang digantung kerana menerima kad kuning dalam perlawanan sebelum ini turut memberi kesan kepada persembahan keseluruhan pasukan kita.

Malah Nasrul Hadi menganggap faktor kurang cergas pemainnya rentetan kekurangan latihan di samping terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat pada saingan musim ini turut memberi kesan prestasi pasukan Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Nasrul Hadi turut berharap skuad kendalian Mohd Hashim Mustapha itu dapat merebut peluang meraih enam mata dalam dua perlawanan terakhir pusingan pertama liga meski pun bertandang ke gelanggang lawan dalam tempoh seminggu ini.

“Kita tidak mempunyai pilihan selain perlu mencipta kemenangan apabila bertemu pasukan kedua tercorot, Melaka pada Khamis ini diikuti Johor MBJB pada Isnin depan bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

“Ketika ini saingan liga cukup sengit kerana jurang mata di antara setiap pasukan terlalu kecil. Amat penting bagi kita menamatkan saingan pusingan pertama dengan enam mata ini bagi mencerahkan laluan ke saingan suku akhir nanti,” katanya.

Justeru, Nasrul Hadi berharap kehadiran semula penyerang, Mohd Aris Zaidi dan beberapa tonggak utama diharap dapat menyuntik semangat rakan sepasukan yang lain bagi melengkapkan misi memburu mata penuh ke atas pasukan Melaka dan Johor MBJB itu nanti.

Tuesday, March 13, 2012

MENANG DALAM AKSI HAMBAR

Pemain Kelantan, Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin (kanan) dikepung tiga pemain Johor Melodi Jaya dalam aksi perlawanan yang berkesudahan Kelantan menang 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

KELANTAN 2
Mohd Shahiran Md Zain (m-6, 82)

JOHOR MELODI JAYA 0

KOTA BHARU – Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan oleh Kelantan apabila sekadar mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Johor Melodi Jaya dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

Dua gol menerusi jaringan penyerang muda, Mohd Shahiran Md pada awal babak pertama dan kedua berjaya menutup kelemahan The President Warriors yang dilihat mempamerkan aksi hambar sepanjang aksi 90 minit perlawanan menentang pasukan berstatus kelab itu.  

Ketiadaan empat pemain tonggak yang menjalani penggantungan satu perlawanan begitu dirasakan apabila tidak banyak gerakan merbahaya dicetuskan oleh anak buah Mohd Hashim Mustapha sehingga aksi yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan begitu membosankan.

Gol pertama Kelantan hadir seawal minit keenam perlawanan menerusi rembatan kencang Mohd Shahiran yang menewaskan penjaga gol Johor Melodi Jaya, Jagen Jayara setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Norsyahrul Hawari Hanafi dari penjuru kanan padang.

Begitu pun, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada m-38 perlawanan menerusi percubaan Mohd Fakinin namun rembatannya sekadar menggegarkan palang tatkala penjaga gol Kelantan, Muhammad Syazwan Yusof sudah pun tertewas di posisinya.

Babak kedua menyaksikan Kelantan menguasai perlawanan namun ketumpulan jentera serangan sekali lagi menafikan hasrat The President Warriors untuk berpesta gol ke atas kelab dari Johor itu.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada m-58 perlawanan menerusi gerakan menarik Mohd Shahiran namun tampanan kurang kemas pemain gantian, Mohd Akid Ramli menyaksikan Jagen Jayara mudah mematahkan percubaan tersebut.

Mohd Shahiran menamatkan keresahan hampir 300 penyokong setia Kelantan apabila menjaringkan gol kedua pada m-82 perlawanan. Hantaran lintang Muhammad Azmi Hamzah bijak disempurnakan Mohd Shahiran menerusi rembatan rendah mengelirukan Jagen Jayara di pintu golnya.

Namun seminit kemudian, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengah, Mohamad Zabeel Mat Noor diperintahkan keluar padang. Tindakan Mohamad Zabeel mengkasari pemain lawan, Mohamad Syahbani mengakibatkannya dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan.

Dua minit sebelum perlawanan berakhir, Kelantan sekali lagi terlepas peluang untuk menambahkan jaringan apabila rembatan Mohd Akid hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan pintu gol pasukan Johor Melodi Jaya.

Monday, March 12, 2012

KELANTAN HORMATI JOHOR MELODI JAYA

Penyerang Kelantan, Mohd Shahiran Md Zain (kiri) menjadi taruhan bagi skuad Piala Presiden Kelantan bagi merobek pintu gol kelab Johor Melodi Jaya dalam pertemuan petang ini.

KOTA BHARU – Di atas kertas, kelebihan tampak berpihak kepada skuad Piala Presiden Kelantan apabila turun beraksi menentang kelab Johor Melodi Jaya pada perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Namun bagi Ketua Jurulatih, Mohd Hashim Mustapha, beliau tidak menganggap pertemuan tersebut sesuatu yang mudah bagi anak buahnya meski pun mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri.

“Memang kelab Johor Melodi Jaya saya difahamkan menjadi pasukan belasahan dalam kumpulan A ini. Tetapi saya tidak peduli tentang perkara tersebut. Yang penting kita perlu meraih tiga mata dalam pertemuan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Soal berapa gol dijaringkan itu perkara lain. 1-0 atau 10-0 ke itu bukan persoalannya. Saya mahu kita meraih tiga mata penuh setelah hanya mampu berkongsi mata dalam pertemuan dengan Kedah dan KL Sime Darby FC sebelum ini.

“Tiga perlawanan terakhir pusingan pertama termasuk menentang kelab dari Johor ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan meraih mata penuh meski pun dua lagi perlawanan (menentang Melaka dan MBJB FC) akan berlangsung di tempat lawan,” katanya.

Bakal beraksi tanpa empat tonggak utama iaitu Khairuddin Ramli, Mohd Aris Zaidi, Muhammad Firdaus Mat Nasir dan Mohd Nur Firdaus Roswanan yang digantung satu perlawanan, Mohd Hashim berkata itu bukan satu masalah besar bagi beliau menamakan pengganti mereka.

“Siapa pemain baru yang akan diturunkan mereka perlulah menyahut cabaran yang dilontarkan oleh pihak pengurusan. Saya tidak ada masalah untuk menyenaraikan pemain lain tetapi yang penting mereka kena berikan komitmen lebih 100 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan pemainnya dalam aksi pertemuan dengan KL Sime Darby FC di Cyberjaya yang berkesudahan seri 1-1 minggu lalu, Mohd Hashim menyifatkan nasib tidak memihak pasukannya biar pun menguasai perlawanan tersebut.

“Saya berpuas hati dengan keputusan seri tersebut meski pun kita sebenarnya berpeluang untuk membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu. Tetapi itulah bola sepak, kadang kala tuah bukan milik kita walaupun beraksi cemerlang.

“Lapan kad kuning yang dilayangkan kepada pemain kita sedikit sebanyak menjejaskan corak persembahan Kelantan. Namun saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai keputusan pengadil dalam perlawanan tersebut,” katanya.

KELANTAN DIPAKSA BERHEMPAS PULAS

 Indra Putra Mahayuddin (kanan) cuba melorongkan bola kepada Zairul Fitree Ishak (dua,kiri) meskipun cuba dihalang dua pemain Kuala Lumpur dalam aksi perlawanan pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, malam semalam. 

KOTA BHARU – Kelantan menepati ramalan awal layak ke suku akhir kempen Piala FA musim ini, namun barisan pemain The Red Warriors sebenarnya dilihat berhempas pulas sebelum mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV malam semalam.

Status pendahulu Liga Super musim ini selain gelaran naib juara Piala FA musim lalu yang disandang oleh Kelantan sedikit pun tidak dihiraukan skuad kendalian Razip Ismail sebaliknya mereka tampil dengan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan tersebut.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak ternyata kurang berpuas hati dan menganggap faktor keletihan rentetan mengharungi tiga perlawanan kompetitif dalam tempoh enam hari turut memberi kesan kepada prestasi pemainnya dalam perlawanan tersebut.

“Minggu yang amat menyukarkan dan anda boleh lihat bagaimana pemain kita beraksi dalam keadaan penat malam ini. Namun saya gembira dengan kemenangan ini meski pun kita diasak hebat oleh pemain Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, saya tidak gembira dengan pertahanan malam ini kerana ada beberapa situasi mereka perlu bertindak lebih baik. Kita sepatutnya menang 3-1 tetapi pemain kita hilang konsentrasi pada saat-saat akhir sehingga keputusan menjadi 3-2.

“Saya fikir masalah ini tidak harus berlaku kepada pasukan kita. Dua gol dijaringkan oleh Kuala Lumpur berpunca kesilapan pemain kita sendiri. Gol pertama pemain kita hanya mampu dilihat sahaja manakala gol kedua tidak patut terhasil kalau pemain kita tidak hilang bola sehingga memberikan sepakan percuma kepada mereka,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, The Red Warriors mendahului pada m-30 perlawanan menerusi Mohd Norfarhan Muhammad sebelum pemain Kuala Lumpur, Muhammad Afiq Azmi menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Indra Putra Mahayuddin terus mengukuhkan kedudukan 2-0 pada m-43 sebelum Mohd Badhri Radzi menjaringkan gol ketiga pada m-65 perlawanan. Begitu pun Kuala Lumpur memperoleh gol sagu hati keduanya pada masa tambahan menerusi Fazuan Abdullah.

Jurulatih berasal dari Croatia itu walau bagaimanapun mempertahankan kemenangan tipis 3-2 ke atas skuad warga kota itu bukanlah bersandarkan kepada nasib semata-mata.

”Anda tidak boleh menyatakan kita bermain teruk dalam perlawanan ini. Statistik perlawanan menunjukkan kita mempunyai banyak peluang dan penguasaan bola juga memihak kepada kita. Kita beraksi lebih baik daripada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan minggu lalu.

Sementara itu, Hodak juga turut menyifatkan prestasi yang ditunjukkan pemain import Onyekachi Nwoha sudah menampakkan peningkatan daripada satu perlawanan ke perlawanan lain.

RED WARRIORS KE SUKU AKHIR

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan ketika menentang Kuala Lumpur malam tadi.

KELANTAN 3
Mohd Norfarhan Muhammad (m-30)
Indra Putra Mahayuddin (m-43)
Mohd Badhri Radzi (m-65)

KUALA LUMPUR 2
Muhammad Afiq Azmi (m-39)
Fazuan Abdullah (m-90+2)

KOTA BHARU – Naib juara Piala FA musim lalu, Kelantan menempah tempat ke suku akhir setelah mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan malam tadi menyaksikan The Red Warriors akan bertemu kelab KL SPA FC dalam saingan suku akhir pada 24 dan 27 Mac ini setelah kelab tersebut melakarkan kejutan menewaskan Preach Khan Reach FC dari Kemboja 1-0 dalam perlawanan yang turut dilangsungkan serentak malam tadi.

 Skuad bimbingan Razip Ismail mempertaruhkan dua pemain import yang dipinjamkan dari Kelantan

Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors, pasukan Kuala Lumpur terlebih dahulu menguji pintu gol Kelantan menerusi rembatan leret Stanley Bernard Stephen Samuel seawal minit pertama perlawanan namun mudah diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Enam minit kemudian, giliran The Red Warriors mencemaskan pintu gol Kuala Lumpur namun rembatan kencang pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin sempat ditepis keluar penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Begitu pun pasukan pelawat kembali menampilkan aksi garang apabila terus menduga kehebatan Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan menerusi rembatan Muhammad Syafiq Johari dari jarak 30 meter namun sedikit melewati pintu gol.

Pada m-19 perlawanan, Rozaimie sekali lagi dipaksa bekerja keras menahan asakan pemain Kelantan kali ini menerusi rembatan leret Muhammad Ramzul Zahini Adenan yang terus ke dakapannya.

 Mohd Norfarhan Muhammad (kanan) cuba melarikan bola meskipun dihalang pemain pertahanan Kuala Lumpur

Aksi sepanjang 20 minit babak pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan pujian harus diberikan kepada barisan pemain skuad warga kota itu yang dilihat begitu bersemangat menyaingi kehebatan pemain The Red Warriors dalam perlawanan malam tadi.

Penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama pada m-30 perlawanan. Berpunca umpanan Mohd Badhri dari tengah, Mohd Norfarhan yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan lawan mudah menolak masuk menewaskan Rozaimie untuk gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Tujuh minit berselang, Indra Putra sekali lagi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada lebih selesa berada di depan apabila tandukannya tersasar di sebelah kanan pintu gol Kuala Lumpur setelah menerima umpanan cantik daripada S Chanturu.

Begitu pun, pasukan pelawat kembali mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian. Pemain gantian, Muhammad Afiq Azmi pantas menanduk masuk hantaran lintang Hishamuddin Othman untuk menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.

Namun Indra Putra memadamkan dua kesilapan awalnya apabila menjaringkan gol kedua The Red Warriors dua minit sebelum babak pertama berakhir. Gerakan menarik Mohd Badhri yang berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan di pintu gol pasukan lawan sebelum itu dimanfaatkan menerusi rembatan rendah Indra Putra untuk gol kedua Kelantan.

Empat minit babak kedua bersambung, Kuala Lumpur kembali memberikan tentangan sengit menerusi rembatan Muhd Syafwan daripada sudut sukar namun percubaannya terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Kelantan walaubagaimanapun kembali melancarkan serangan dan mempunyai dua peluang terbaik untuk terus mengukuhkan kedudukan namun tandukan Indra Putra pada m-52 tersasar sementara rembatan kencang Chanturu tiga minit kemudian pula dinafikan oleh Rozaimie sekali lagi.

 Muhammad Ramzul Zahini terjatuh ketika perebutan bola dengan pemain Kuala Lumpur, Ahmad Dashila

Penyerang import Kuala Lumpur, Zacharia Charara hampir menjaringkan gol penyamaan untuk pasukannya namun sepakan percuma yang dilakukannya pada m-58 perlawanan hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.

Pemain import Kelantan, Onyekachi Nwoha terlepas peluang untuk mencipta nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi apabila percubaannya setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Shakir Shaari terkena tiang gol kiri Kuala Lumpur pada m-64 perlawanan.

Seminit kemudian, Mohd Badhri mengukuhkan kedudukan Kelantan apabila meledak gol ketiga pada m-65 perlawanan. Rembatan padunya dari luar kotak penalti tepat menerjah jaring gagal diselamatkan Rozaimie di gawang golnya.

Minit-minit akhir masa tambahan, Kuala Lumpur berjaya merapatkan jurang apabila menjaringkan gol keduanya. Sepakan percuma yang dilakukan oleh pemain gantian, Fazuan Abdullah terus menerjah jaring untuk gol terakhir dalam perlawanan malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Obinna Nwaneri,  Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, S Chanturu, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP) (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Mohd Nurul Azwan Roya) dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Onyekachi Nwoha).
FORMASI : 4-2-2

KUALA LUMPUR : Rozaimie Rohim, Hishamuddin Othman, Ahmad Jihad Ismail, Muhammad Syafiq Johari, Muhd Syafwan Shahlan (S Sivaraj), Pritam Singh Charun Singh,  Emmanuel Okine, Mohamed Aslam Haja Najumudeen (KP), Ahmad Dashila Tajudin, Stanley Bernard Stephen Samuel (Muhammad Afiq Azmi) dan Zacharia Charara (Fazuan Abdullah).
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (4) Kuala Lumpur (4)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) Kuala Lumpur (5)
Sepakan penjuru : Kelantan (6) Kuala Lumpur (5)
Sepakan percuma : Kelantan (15) Kuala Lumpur (21)
Ofsaid : Kelantan (7) Kuala Lumpur (2)
Kekasaran : Kelantan (14) Kuala Lumpur (13)
Kad kuning : Kuala Lumpur (Muhd Syafwan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Kuala Lumpur (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shukri Abdul Rahman
Penolong Pengadil 1: Mohd Yusri Mohamad
Penolong Pengadil 2: Mohd Azha Khalid
Pegawai Keempat : Ismadi Ibrahim
Kommissioner Perlawanan : Nasaruddin Ishak
General Koordinator : Arif Hassan

RED WARRIORS TAK BERNASIB BAIK





KELANTAN 0
NAVIBANK SAIGON 0
KUALA LUMPUR – Kelantan memulakan saingan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia dengan aksi cemerlang meski pun sekadar seri tanpa jaringan ke atas kelab Navibank Saigon FC dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. 
Tuah ternyata tidak memihak The Red Warriors yang dilihat menguasai hampir keseluruhan babak perlawanan apabila deretan peluang dimiliki gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan rentetan beraksi dalam padang yang becak setelah hujan turun begitu lebat sepanjang perlawanan tersebut berlangsung. 
Malah aksi barisan pemain The Red Warriors yang menampilkan empat pemain import dalam kejohanan ini boleh disifatkan yang terbaik sejak Bojan Hodak mengambil alih tugas selaku Ketua Jurulatih baru seminggu lalu. 
Seawal minit ketiga perlawanan, Navibank Saigon memulakan asakan awal menerusi penyerang importnya, Edison Fonseca Pulgarin namun rembatan leretnya mudah diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. 
Tiga minit kemudian, Kelantan terlepas peluang untuk berada di depan apabila hantaran cantik Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi gagal ditampan kemas Mohammed Ghaddar meski pun mempunyai peluang terbuka untuk melakukan rembatan ke arah pintu gol Navibank Saigon. 
Pada m-25 perlawanan, penyerang Kelantan, Onyekachi Nwoha gagal meletakkan bola ke dalam jaring apabila rembatannya daripada sudut sukar setelah menerima umpanan Mohammed Ghaddar hanya tersasar beberapa meter disebelah kiri pintu gol pasukan pelawat. 
Dua minit kemudian, giliran Mohammed Ghaddar pula mensia-siakan peluang terhidang apabila beliau bijak memperdayakan seorang pemain pertahanan Navibank Saigon namun rembatannya tersasar di sebelah kiri pintu gol. 
Begitu pun Navibank Saigon kembali mencemaskan pintu gol Kelantan kali ini menerusi tandukan pemain tengahnya, Luong Van Duoc Em namun Khairul Fahmi tampak lebih bersedia menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi. 
Namun Dennis Antwi kembali menghidupkan suasana hangat pada m-34 perlawanan dengan melakukan rembatan kencang memaksa penjaga gol Navibank Saigon, Phan Van Santos menepis percubaan tersebut. 
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa mempamerkan corak permainan berhati-hati setelah separuh permukaan padang ditakungi air. Namun The Red Warriors mendominasi keseluruhan dalam babak tersebut apabila sentiasa melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol pasukan lawan. 
Kombinasi terbaik rangkaian jentera tengah diketuai Mohd Bahdri seharusnya diberi pujian apabila kerap kali mencipta peluang kepada barisan serangan Kelantan untuk melakukan percubaan merbahaya ke arah pintu gol lawan. 
Malah, Van Santos dipaksa bekerja keras di pintu golnya menahan asakan menggila pemain Kelantan bermula dengan rembatan Nwoha pada m-53 perlawanan yang menyaksikan beliau terpaksa menepis keluar percubaan tersebut.
Pada m-66 perlawanan Nwoha sekali lagi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada di depan apabila rembatannya berpunca hantaran lintang Mohamad Zamri sedikit tersasar di pintu gol Navibank Saigon.
Tempoh 10 minit terakhir ternyata memihak kepada pasukan tuan rumah apabila mempunyai empat peluang terbaik untuk mencipta jaringan. Nwoha, pemain import yang dikritik hebat sebelum ini terus mempamerkan sentuhan berbisanya apabila menanduk cantik umpanan Mohd Badhri pada m-82 perlawanan namun tinggi melepasi pintu gol.
Dua minit berselang, Nwoha sekali lagi terus hampa untuk mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi apabila percubaannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Van Santos.
Asakan bertali arus Kelantan tidak terhenti di situ apabila Mohammed Ghaddar melepaskan satu-satunya peluang terbaik dimiliki dalam babak kedua apabila rembatannya pada m-86 ditepis keluar Van Santos. 
Seminit kemudian, Mohd Badhri turut melakarkan kekecewaan setelah tandukannya berpunca hantaran lintang pemain gantian, S Chanturu hanya sedikit tersasar di pintu gol lawan. 
Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kelab dari Vietnam itu hampir mencipta kejutan untuk membawa pulang tiga mata apabila mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kemenangan. 
Salah faham yang berlaku di antara Khairul Fahmi dan Mohd Farisham Ismail hampir mengundang padah apabila Fonseca Pulgarin bijak memanfaatkan situasi tersebut namun kuisannya menyaksikan bola tersekat di atas takungan air meski pun pintu gol Kelantan sudah pun ternganga.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Zamri Ramli, Obinna Nwaneri,  Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Dennis Antwi (S Chanturu), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Norfarhan Muhammad), Onyekachi Nwoha dan Mohammed Ghaddar (Muhammad Ramzul Zahini Adenan).
FORMASI : 4-4-2
NAVIBANK SAIGON : Phan Van Santos, Nguyen Thanh Long Giang, Doan Viet Cuong, Bossou Vincent, Luong Van Duoc Em (Nguyen Duy Khanh), Nguyen Minh Triet, Dang Khanh Lam (Huynh Duc Nghia), Aniekan Okon Ekpe, Phan Van Tai Em, Nguyen Van Nghia (Nguyen Cao Thien) dan Edison Fonseca Pulgarin.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) Navibank Saigon (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) Navibank Saigon  (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (6) Navibank Saigon (3)
Sepakan percuma : Kelantan (14)  Navibank Saigon  (16)
Ofsaid : Kelantan (5) Navibank Saigon (4)
Kekasaran : Kelantan (11) Navibank Saigon (10)
Kad kuning : Navibank Saigon (Bossou Vincent)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Navibank Saigon (40%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Yu Ming Hsun (Chinese Taipei)
Penolong Pengadil 1: Hsu Min Yu(Chinese Taipei)
Penolong Pengadil 2: Teerajit Sittisook (Thailand)
Pegawai Keempat : Prathan Nasawang (Thailand)
Kommissioner Perlawanan : Robert John Torres Jr (Guam)

THE PRESIDENT WARRIORS TAK MAHU KECEWA LAGI

KOTA BHARU – Kegagalan meraih mata penuh dalam pertemuan dengan Kedah dua hari lalu ternyata memberi tamparan hebat kepada juara bertahan, Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Piala Presiden musim ini.
 
Meski pun dilihat menguasai perlawanan tersebut, namun ketumpulan jentera serangan The President Warriors itu menafikan hajat mereka untuk mengutip tiga mata seterusnya memberi tekanan kepada pasukan yang menduduki dua tangga teratas, Sabah dan KL Sime Darby FC.
 
Kekecewaan ini diluahkan oleh Pengurus Pasukan, Mohamad Yusri Ismail yang menganggap perlawanan tersebut seharusnya miliki Kelantan andai segala peluang yang terhidang dimanfaatkan dengan baik oleh barisan penyerangnya.
 
“Kalau tidak kerana dua percubaan kita dalam babak pertama tidak terkena palang sudah pasti keputusan memihak kepada kita. Namun itulah bola sepak, kita ada peluang tetapi gagal disempurnakan dan kesudahannya kita dihukum dengan keputusan seri ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
 
“Ketiadaan penyerang, Mohd Aris (Zaidi) yang digantung perlawanan begitu dirasakan. Saya akan berbincang dengan jurulatih (Mohd Hashim Mustapha) sama ada terus mengekalkan gandingan sedia ada atau memanggil semula Mohd Aris,” katanya.
 
Gandingan penyerang Mohd Shahiran Md Zain dan Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor bukan sahaja gagal mencipta gerakan menarik malah seakan hilang arah setiap kali berada di depan pintu gol lawan dalam pertemuan dengan Kedah itu. 
 
Mengulas mengenai pertemuan dengan KL Sime Darby FC yang akan berlangsung di gelanggang lawan petang esok, Mohamad Yusri mengakui ia satu lagi perlawanan yang sukar bagi pasukannya.
 
“Pasukan KL Sime Darby FC pada musim ini jauh berbeza dengan musim lalu. Kita tidak boleh memandang mudah perlawanan ini. Lebih-lebih lagi mereka kini berada di tangga kedua liga pada masa sekarang.
 
“Sudah pasti ia menjanjikan pertemuan yang menarik bagi kedua-dua pasukan. Bagi saya kita tidak ada pilihan selain mencipta kemenangan ke atas KL Sime Darby FC ini setelah sekadar seri dengan Kedah dua hari lalu.
 
“Saya berharap semua pemain menjadikan keputusan seri dengan Kedah itu sebagai satu pengajaran kepada mereka. Status juara bertahan bukan lagi jaminan bagi kita untuk mencatatkan kemenangan mudah dalam setiap perlawanan,” katanya.

RED WARRIORS TIDAK MAHU TERPERANGKAP

KOTA BHARU – Aksi sulung perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) membuka tirainya dengan menemukan Juara Liga Super musim lalu, Kelantan bertemu kelab Navibank Saigon FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
 
Meskipun lawan yang menanti dikhabarkan sedang menghadapi masalah namun bagi pengendali baru Kelantan, Bojan Hodak, beliau tidak mahu terperangkap dengan situasi yang melanda kelab yang berpengkalan di Ho Chi Minh itu
 
“Saya difahamkan Navibank Saigon FC telah memecat Ketua Jurulatih mereka kerana prestasi buruk dalam Liga Vietnam musim ini. Mungkin ada sesuatu tidak kena dengan pasukan tersebut meski pun dibarisi pemain tempatan dan import yang bagus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
 
“Saya tidak tahu apa puncanya, malah empat hari lalu mereka tewas 0-3 dalam saingan liga mereka. Mengikut laporan akhbar negara tersebut, pasukan ini dikatakan kurang fokus melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFC namun saya tidak percaya dengan berita tersebut.
 
Malah jurulatih berusia 41 tahun itu tetap menganggap reputasi kelab yang menamatkan saingan Liga Vietnam dengan menduduki tangga kelapan pada musim lalu tetap hebat dan tidak ada jalan mudah untuk Kelantan mencipta kemenangan pada perlawanan ini.
 
“Saya tahu tiga pemain import mereka memang bagus dan Kaptennya, Phan Van Tai Em yang beraksi di posisi tengah juga cukup berbahaya dan mampu menghadirkan ancaman kepada pasukan kita,” katanya.
 
Mengulas mengenai peluang Kelantan dalam pertemuan malam ini, Hodak yang kehilangan ramai pemain ekoran masalah kecederaan tetap optimis pasukannya mampu melakukan kejutan.
 
“Indra Putra (Mahayuddin) pasti diketepikan kerana masalah kecederaan. Selain itu Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) mengalami sakit bahagian perut dan S Subramaniam juga turut dilanda kecederaan. Tempat Subramaniam bakal diisi oleh Mohd Farisham (Ismail).
 
“Tanpa Norshahrul Idlan (Talaha) yang belum bersedia diturunkan, saya akan menyenaraikan Mohammed Ghaddar dan Onyekachi Nwoha di bahagian jentera serangan. Saya tahu ramai peminat kurang senang dengan prestasi Nwoha tetapi dia sudah menunjukkan peningkatan dalam perlawanan dengan Negeri Sembilan tempoh hari,” katanya.
 
Sementara itu, Kelantan juga turut kehilangan khidmat bek kanan, Mohd Daudsu Jamaluddin yang masih trauma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya malam semalam.

Sunday, March 4, 2012

KELANTAN MAHU LANGSAI HUTANG


KOTA BHARU – ‘Kami mahu langsaikan hutang’ Demikian komen ringkas Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim menjelang perlawanan tunggal Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
 
Kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kedua setelah tewas 1-2 dalam perlawanan Sumbangsih menentang skuad Jang pada 7 Januari lalu ternyata masih belum terpadam oleh barisan pemain The Red Warriors itu.
 
Azman Ibrahim berkata, pertemuan kedua-dua pasukan malam ini menjadi kesempatan terbaik kepada barisan pemainnya menebus kembali kekalahan tersebut kepada skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah.
 
“Semua pemain perlu mengingati kembali bagaimana kita dikecewakan oleh Negeri Sembilan dalam perlawanan tersebut. Kita mahu barisan pemain membayar hutang tersebut dengan mengalahkan mereka di hadapan penyokong sendiri malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Namun saya akui Negeri Sembilan bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Kita perlu berwaspada kerana mereka sudah pasti tidak mahu kecundang lagi setelah tersingkir awal dalam kempen Piala FA (kalah kepada Johor FC) baru-baru ini.
 
“Gandingan penyerang, Jean Emmanuel Effa Owona dan Mohd Shakir Ali pasti menjadi sandaran utama Negeri Sembilan dan kita harus menyekat pergerakan kedua-dua pemain ini andai mahu memastikan tiga mata berharga milik kita dalam pertemuan ini,” katanya.
 
Menurut Azman, pemain pertahanan import, Obinna Nwaneri dari Nigeria akan diberikan tugas khas merantai pergerakan penyerang import berbisa Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona pada pertemuan malam ini.
 
Dalam perkembangan lain, The Red Warriors masih lagi menunggu pengesahan mengenai perkembangan terkini dua pemain, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ab Aziz Ismail yang mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA bertemu Sarawak baru-baru ini.
 
  Norshahrul Idlan (kiri) belum pasti dapat diturunkan bagi menghadapi Negeri Sembilan di Kota Bharu malam ini.
 
“Peluang mereka masih lagi 50-50 untuk diturunkan. Ia bergantung kepada pemeriksaan yang akan dilakukan oleh pegawai perubatan pasukan pagi ini. Saya berharap mereka kembali cergas dan boleh beraksi malam ini.
 
“Namun tanpa khidmat mereka sekali pun kita masih mempunyai Indra Putra (Mahayuddin), Mohd Norfarhan (Muhammad), S Chanturu dan Mohd Nurul Azwan (Roya) yang terbukti beraksi cemerlang dalam perlawanan sebelum ini.
 
“Malah Khairul Fahmi (Che Mat) yang sudah pun kembali menyertai rakan sepasukan yang lain dalam sesi latihan sejak petang semalam juga akan disenaraikan selaku penjaga gawang Kelantan pada pertemuan ini,” katanya.

HODAK PENGENDALI BARU KELANTAN

KOTA BHARU – Teka-teki siapa Ketua Jurulatih baru The Red Warriors akhirnya terjawab apabila Pengarah Kejurulatihan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY), Bojan Hodak dilantik secara rasmi semalam.

Keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Rosmadi Ismail menamatkan spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini mengenai pelantikan Hodak selaku pengendali baru Kelantan menggantikan Peter Butler.

Rosmadi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, pemilihan Hodak selaku Ketua Jurulatih baru menggantikan Peter Butler dipersetujui oleh pihak pengurusan setelah mengambil kira pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih kelahiran Croatia itu.

“Kontrak beliau selama setahun membimbing Kelantan bermula awal bulan ini sehingga berakhirnya saingan Liga Malaysia pada musim ini. Dengan pengumuman ini bermakna spekulasi siapa pengganti Peter Butler berakhir.

“Kita percaya kehadiran Hodak dapat meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh Butler setelah beliau menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan pihak Kafa pada minggu lalu.

“Malah Hodak akan berada di bangku simpanan pemain buat pertama kali ketika Kelantan bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu malam ini setelah urusan pendaftaran dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diselesaikan dua hari lalu,” katanya.

Hodak, 41, mempunyai Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pernah menjadi Ketua Jurulatih UPB My Team musim 2006 hingga 2009, kelab Phnom Penh Crown FC di Cambodia (2010 hingga 2011) sebelum berkelana ke China pada tahun lalu. 

Pencapaian terbaik Hodak ialah ketika memegang jawatan Penolong Jurulatih kelab Shandong Luneng Taishan FC di China dan membawa kelab tersebut muncul naib juara Kejohanan Piala FA pada tahun lalu.

KELANTAN WASPADA BERTEMU KEDAH

KOTA BHARU – Selepas menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), skuad Piala Presiden Kelantan mahu memastikan Kedah menjadi mangsa seterusnya apabila kedua-duanya turun beraksi dalam perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang esok.

Bagi pengendali skuad The President Warriors, Mohd Hashim Mustapha, ada mesej ringkas disampaikan kepada anak buahnya betapa kegembiraan berlebihan hasil kemenangan 2-1 ke atas sekolah sukan elit itu harus dihentikan dan menuntut mereka kembali fokus menghadapi Sang Kenari itu.

“Memang kita berjaya mengejutkan SSBJ tempoh hari tetapi pemain harus ingat sebelum itu kita pernah tewas di tempat sendiri kepada Sabah. Saya berharap pemain jangan cepat berasa puas dengan kemenangan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sudah pasti pertemuan dengan Kedah petang esok menjanjikan aksi yang sukar. Pemain jangan ingat kita mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri kalau mereka merasakan Kedah merupakan sebuah pasukan yang mudah dikalahkan.  

“Buktinya mereka kini berkongsi mata dengan kita dalam carta liga. Kedah pada musim ini bukan calang-calang pasukan. Jadi kita perlu menghormati dan menganggap mereka setanding dengan kita,” katanya.

Pertemuan petang esok pasti menarik kerana Mohd Hashim bakal bertemu rakan sejawatan yang pernah beraksi bersamanya dengan skuad Kedah pada tahun 1996, Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang kini membimbing skuad Piala Presiden negeri tersebut pada musim ini.

Mengulas mengenai percaturan beliau bagi pertemuan dengan Kedah nanti, besar kemungkinan Mohd Hashim dijangka mengekalkan kesebelasan yang sama ketika menewaskan SSBJ tempoh hari.

“Kalau ada pun mungkin rombakan kecil sahaja. Saya berharap dua pemain tonggak, Tuan Muhammad Faim (Tuan Zainal Abidin) dan Norsyahrul Hawari (Hanafi) sempat pulih daripada kecederaan menjelang pertemuan petang esok,” katanya.

“Ketiadaaan Mohd Aris (Zaidi) yang masih menjalani hukuman penggantungan langsung tidak menjejaskan persiapan pasukan kita. Saya tidak ada masalah untuk menggandingkan Mohd Shahiran (Md Zain) dengan Mohd Azyu Ikmal (Che Mat Nor) di bahagian serangan sekali lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hashim masih menaruh keyakinan dapat menggunakan  khidmat Muhammad Syazwan Yusoff yang beraksi cemerlang meski pun besar kemungkinan di panggil menyertai skuad senior menghadapi Negeri Sembilan malam ini.