Thursday, March 31, 2011

KELANTAN BURU TIGA MATA

Pemain pertahanan, Tuan Mohd Norhafizie Tuan Mahmood (kanan) menjaringkan gol untuk Kelantan pada pertemuan pertama di Bangi, Isnin lalu. 

KOTA BHARU - “Misi tiga mata”. Setelah hajat untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian, kali ini skuad Piala Presiden Kelantan turun dengan misi mencatatkan kemenangan apabila melayan kunjungan KL Sime Darby FC dalam aksi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Piala Presiden di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa petang ini.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Bangi pada Isnin lalu, impian Kelantan untuk membawa pulang tiga mata lebur setelah sekadar seri 1-1. Jaringan pendahuluan pemain pertahanan Kelantan, Tuan Norhafizie Tuan Mahmood dipadamkan menerusi gol sendiri pemain pertahanan, Mohd Syafiq Haikal pada minit-minit akhir perlawanan itu.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, kelekaan pemainnya pada saat-saat akhir ketika pertemuan menentang KL Sime Darby FC pada perlawanan itu menyaksikan tiga mata yang hampir dibawa pulang ke Kota Bharu terlepas begitu sahaja. 

“Kita berharap episod kekecewaan yang sama tidak berulang lagi apabila kita menghadapi lawan yang sama petang esok (ini). Dalam apa jua keadaan sekalipun, saya mahu pemain Kelantan memulakan aksi perlawanan pertama pusingan kedua ini dengan mengutip tiga mata penuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain dalam perlawanan tersebut. Kita menguasai sebahagian babak perlawanan itu, namun nasib tidak menyebelahi kita apabila dipaksa berkongsi mata pada saat-saat akhir.

“Jurulatih, Zahasmi Ismail akan membuat sedikit perubahan taktikal untuk perlawanan petang esok (ini). Melihat formasi 4-5-1 pasukan lawan sebelum ini, memang kita menghadapi kesukaran menembusi jentera tengah mereka, namun saya percaya dia sudah melakukan ‘kerja rumah’ untuk mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, sekalipun Kelantan bakal turun tanpa pemain sayap lincah, Mohd Izuan Salahuddin yang digantung satu perlawanan namun itu tidak menggusarkan pihak pengurusan pasukan kerana ramai pemain simpanan yang lain bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan ini. 
Mohd Yusri Ismail 
“Siapa yang menggantikan posisi Mohd Izuan (Salahuddin) masih belum difikirkan lagi. Tidak ada masalah siapa yang akan menggantikan tempat dia. Kita mempunyai ramai pemain lain yang mempunyai keupayaan yang setaraf dengan pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama.

“Malah pujian harus diberikan kepada dua pemain baru iaitu Mohd Akid (Ramli) dan Mohd Norhamizi (Harun) yang mempamerkan persembahan yang baik dalam perlawanan menentang Sime Darby FC di Bangi tempohari.

“Saya yakin kita mampu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini. Sekalipun kita bakal menerima tentangan sengit daripada pasukan lawan, namun saya percaya pemain kita sudah cukup bersedia dari segi mental dan fizikal dalam perlawanan ini. Untuk itu, saya menagih sokongan peminat tempatan walaupun venue perlawanan terpaksa dipinda dengan beraksi di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa petang esok (ini),” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hasssan ketika dihubungi mengesahkan venue perlawanan membabitkan pertemuan Kelantan menentang KL Sime Darby FC itu telah dipinda ke Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa memandangkan Stadium Sultan Muhammad IV akan digunakan bagi perlawanan Liga Super, Kelantan menentang Harimau Muda ‘A’ pada malam keesokannya.

PELUANG PEMAIN CUBA NASIB

Wan Hanapi Wan Yaakob
 
KOTA BHARU – Bagi membentuk sebuah pasukan bola sepak futsal yang mantap sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XIV pada Jun ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membuka peluang kepada pemain muda berbakat untuk menyertai sesi pemilihan bagi mewakili negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Kafa, Wan Hanapi Wan Yaakob berkata, sehubungan dengan itu pihaknya menjemput kalangan individu yang berminat untuk menghadiri sesi pemilihan pemain bermula esok dan Sabtu ini.

“Sesi pemilihan pemain ini akan berlangsung selama dua hari bermula esok (Jumaat) dan Sabtu ini dan akan diadakan di Real Seven Futsal, Pasir Tumbuh dekat sini. Bagi mereka yang berminat untuk mencuba nasib, mereka boleh menghadiri pada hari tersebut dan sesi pemilihan bermula jam sembilan hingga 11 pagi,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Syarat penyertaan ialah pemain mesti berumur dibawah 21 tahun iaitu lahir pada atau selepas 1 Januari 1990. Sebagai permulaan, kita akan memilih seramai 15 pemain sebelum kita menyenarai pendekkan kepada 12 pemain termasuk dua penjaga gol bagi membawa cabaran Kelantan ke kejohanan tersebutt.

“Selepas itu kita akan merangka program latihan insentif kepada pasukan futsal ini. Kita akan putuskan kemudian mengenai gelanggang latihan. Kita akan bermain di Kompleks Sukan Matshushita di Shah Alam dengan segala perbelanjaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan,” katanya.

Majlis Sukan Negara (MSN) akan bertindak sebagai tuan rumah Kejohanan Sukma XIV akan yang berlangsung di Kuala Lumpur  pada 2 hingga 12 Jun depan.

Wednesday, March 30, 2011

KARATHU CARI KESERASIAN PEMAIN

Danial Fadzly (kanan) digandingan dengan Mohd Nizab Ayub diposisi serangan dalam perlawanan persahabatan tersebut.

KOTA BHARU – Biarpun mencatatkan keputusan memberangsangkan setelah membelasah pasukan Wakaf Aik FC menerusi kemenangan 6-0 dalam perlawanan persahabatan petang semalam, namun Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak melihat keputusan tersebut sebaliknya sedang menilai keserasian pemain bagi menghadapi pasukan Harimau Muda ‘A’ di Kota Bharu, Jumaat ini.

Karathu berkata, perlawanan persahabatan itu menjadi penanda aras kepada beliau untuk menilai sejauh mana corak permainan anak buahnya setelah aksi liga terhenti selama hampir dua minggu.

“Walaupun pasukan lawan yang dihadapi tidak berapa kuat, apa yang penting saya dapat melihat bagaimana cara hantaran bola dan pergerakan pemain dilakukan. Tidak ada tekanan dibahagian pertahanan kerana ini merupakan perlawanan persahabatan biasa sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Keputusan perlawanan tidak penting. Saya mahu mendapat idea bagaimana cara kita hendak bermain. Esok (hari ini) kesemua empat pemain yang bersama skuad kebangsaan akan melaporkan diri bersama pasukan.

“Kita ada masa tiga hari bagi melakukan persiapan menghadapi pasukan Harimau Muda setelah berehat sekian lama. Dari segi kecergasan pemain itu tidak ada masalah. Memang saya bagi rehat tiga hari kepada semua pemain selepas perlawanan suku akhir Piala FA tempohari. 

Mohd Nizab (depan) meledakkan hatrik dalam perlawanan menentang Wakaf Aik FC, di padang MARDI, Pasir Tumbuh

Menurutnya, sebagai pemain profesional, mereka mesti memanfaatkan cuti tersebut dengan mengekalkan tahap kecergasan masing-masing kerana Kelantan terpaksa mengharungi jaduat perlawanan yang cukup padat pada bulan depan.

“Perlawanan akan datang kita memang kita tidak boleh ambil mudah kerana kita akan bermain sebanyak sembilan perlawanan. Selepas berehat panjang para pemain kini giat menjalani latihan sebelah pagi dan petang bermula Jumaat lalu bagi mengekalkan tahap kecergasan pemainnya.

“Pasukan Harimau Muda ini berorientasikan corak permainan laju. Mereka merupakan sebuah pasukan kebangsaan yang menghimpunkan ramai pemain terbaik. Saya sudah mengkaji corak persembahan mereka ketika menentang pasukan lain.

“Ini merupakan satu perlawanan (menentang Harimau Muda) yang cukup sukar. Pemain kita mesti memahami corak permainan mereka dan berusaha keras dalam sesi latihan untuk menghadapi corak permainan seperti ini.

“Masalah kita hanya dibahagian serangan kerana kita kehilangan beberapa tonggak utama. Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) masih berehat panjang, Muhammad Khalid (Jamlus) juga mengalami kecederaan. Sebab itu saya mencuba Danial Fadzly (Abdullah) dalam perlawanan persahabatan ini. Tidak banyak pilihan yang saya ada, yang tinggal Mohd Nizab (Ayub) dan S Chanturu sesuai digandingkan dengan Norshahrul Idlan (Talaha) dibahagian serangan Kelantan,” katanya.

Monday, March 28, 2011

KELANTAN HORMATI SIME DARBY

Pemain kelantan md khairul izuan cuba melepasi dua pertahanan ssbp

KOTA BHARU – Kelantan tetap menghormati KL Sime Darby FC apabila kedua-dua berentap dalam perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan A, Liga Piala Presiden di Stadium Mini Petronas, Bangi petang ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, Kelantan tetap tidak memandang mudah pertemuan menentang KL Sime Darby FC dan mahu mengakhiri perlawanan terakhir pusingan pertama ini dengan mengutip tiga mata sekali pun beraksi di gelanggang lawan.

“KL Sime Darby FC merupakan sebuah pasukan yang serba lengkap lagi sempurna. Saya melihat pasukan ini berpeluang menjadi penghalang kepada kebangkitan Kelantan pada musim ini. Tidak salah kalau saya menyifatkan kekuatan pasukan ini sama seperti pendahulu liga ketika ini, Sabah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kita tidak tahu mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan itu. Mungkin mereka mempunyai kelebihan kerana saya difahamkan, bekas jurulatih Piala Presiden Kelantan musim lalu, Anizam Daud menjadi penolong jurulatih pasukan itu. Jadi dia (Anizam Daud) sedikit sebanyak sudah masak dengan percaturan bekas pembantunya, Zahasmi Ismail yang melatih Kelantan musim ini. 

Tuan md norhafiziee cuba melarikan bola dari dua pertahanan sekolah sukan bandar penawar

“Namun saya tidak mahu memikirkan sangat perkara itu. Apa yang penting, kita perlu fokus kepada persiapan pasukan kita bagi menghadapi mereka petang esok (ini). Kalau kita mahu mengutip tiga mata disini (Bangi), saya mahu para pemain mempamerkan aksi terbaik. Jangan ulangi kesilapan dimana mereka menunjukkan persembahan lembab walaupun membelasah Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) 4-0 di Kota Bharu minggu lalu,” katanya.

Menurutnya, apa yang menggembirakan pasukan The President Warriors ketika ini ialah semua pemainnya kini bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan ini tanpa dibelenggu masalah kecederaan mahupun penggantungan pemain.

“Mereka (pemain) cukup bersedia sepenuhnya. Kita akan mempertaruhkan gandingan Mohd Zamri (Ramli) dan Mohd Norfarhan (Yaakub) dibahagian serangan sekali lagi. Malahan beberapa pemain yang baru didaftarkan seperti Mohd Akid (Ramli) dan Mohd Norhamizi (Harun) juga berada dalam senarai pemain untuk diturunkan.

“Kita akan melakukan rombakan besar-besaran diposisi tengah yang dilihat kurang efektif dalam perlawanan lalu. Kesediaan kita untuk mempertaruhkan muka baru beraksi diposisi tersebut tetap akan. Kita bersedia mengambil risiko tersebut kerana merasakan pasukan kita mempunyai barisan pemain yang mempunyai keupayaan yang seimbang.

“Tiada keraguan tentang barisan pemain kita musim ini. Kita sudah mencuba semua pemain dan terbukti mereka tidak menghampakan pihak pengurusan dengan menampilkan aksi terbaik,” katanya.

Kelantan kini menduduki tangga kedua kumpulan A dengan mengutip 17 mata dibelakang Sabah (21 mata) dan bermain kekurangan satu perlawanan berbanding Sabah. Sementara KL Sime Darby FC pula ditangga ketiga dengan mengumpul 15 mata setakat ini.

Monday, March 21, 2011

KEKUATAN MENTAL FAKTOR KEJAYAAN

M Karathu

KOTA BHARU – “Saya puas”. Begitulah ungkapan pertama yang dizahirkan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sesudah melihat kebangkitan luar biasa anak buahnya menyingkiran KL Felda United FC menerusi kemenangan 3-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Karathu berkata, pujian harus diberikan kepada pemain The Red Warriors yang mempamerkan tahap disiplin yang baik serta memiliki karisma tersendiri untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan tersebut.

“Mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dan kekuatan mental para pemain antara faktor mengapa kita berhak keluar sebagai pemenang dalam perlawanan ini. Sekalipun terpaksa bermain dibawah tekanan selepas seri 2-2 dalam perlawanan pertama, namun mereka tidak menghiraukan tekanan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

“Sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan, kita terus melancarkan serangan ke pintu gol pasukan lawan dan saya berani katakana kita sebenarnya menguasai hampir keseluruhan tempoh 90 minit perlawanan ini.

“Gol pertama menerusi jaringan S Chanturu pada awal babak separuh masa pertama sememangnya dinanti-nantikan setelah kita sebenarnya begitu terdesak untuk untuk memperolehi gol awal bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan. 

Pemain sayap Kelantan, Solehin Kanasian Abdullah terkepung dengan asakan tiga pemain KL Felda United Fc dalam perlawanan malam kelmarin

Menurut Karathu, selepas Kelantan berjaya menjaringkan gol kedua pada pertengahan babak kedua, para pemainnya mula memperlahankan rentak perlawanan bagi mengugat tumpuan pasukan lawan dan ianya berhasil apabila mereka dilihat gagal mencipta gerakan merbahaya untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan.

Sementara itu, ketika ditanya lawan yang akan dihadapi pada peringkat separuh akhir, Karathu berkata, beliau tidak kisah sekiranya bertemu dengan Selangor pada separuh akhir kerana Kelantan sememangnya cukup bersedia bertemu dengan mana-mana pasukan yang kuat.

“Saya tidak ada sebarang masalah sekiranya kita terpaksa menentang Selangor pada peringkat separuh akhir kerana kita mempunyai rekod yang baik ke atas mereka dan pernah menumpaskan mereka pada awal musim ini.

”Walaupun kita akan bermain di gelanggang lawan pada perlawanan pertama pusingan separuh akhir nanti, ia tidak memberi sebarang kesan kerana saya masih mempunyai masa untuk membuat persiapan serta memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya.

Kelantan layak ke peringkat separuh akhir setelah menang menerusi agregat 5-2 ke atas KL Felda United FC dan akan membuat perhitungan mutlak dengan musuh tradisinya, Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA pada 13 Mei depan di Stadium Shah Alam. 

Sementara tiga hari kemudian, aksi timbal balik pula akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Sunday, March 20, 2011

KELANTAN MARA KE SEPARUH AKHIR

KL FELDA UNITED FC 0

KELANTAN 3
S Chanturu (m-18)
Mohd Nurul Azwan Roya (m-66)
Mohd Nizad Ayub (m-88)
(Kelantan layak menerusi agregat 5-2)

Suasana tegang tercetus diantara pemain kedua-dua pasukan, setelah dua pemain Kelantan dikasari diluar kotak penalti KL Felda United FC

KOTA BHARU – Pendahulu Liga Super, Kelantan sememangnya berada didalam kelas yang tersendiri setelah membenam cabaran KL Felda United FC menerusi kemenangan 3-0 dalam aksi perlawanan suku akhir kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Dengan kemenangan tersebut, Kelantan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir setelah menang menerusi agregat 5-2 dan akan bertemu dengan musuh tradisinya, Selangor yang turut layak setelah menang ke atas Johor dengan agregat yang sama.

Turun dengan misi memburu kemenangan, Kelantan membuka tirai aksi gerakan merbahayanya seawal minit keempat menerusi percubaan Norshahrul Idlan Talaha yang tersasar daripada pintu gol setelah menerima umpanan cantik daripada S Chanturu.

Pada minit ketujuh, KL Felda United FC terlepas peluang untuk berada didepan apabila rembatan penyerangnya, Muhammad Zamri Chin ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat setelah berlaku kekalutan didepan pintu gol Kelantan sebelum itu.

Selang seminit kemudian, rembatan kencang pemain tengah, Mohd Shakir Shaari di luar kotak penalti hampir meletakkan Kelantan didepan namun penjaga gol, Mohd Hamsani Ahmad menafikan percubaan tersebut. 
Penjaring gol pertama Kelantan, S Chanturu cuba melarikan bola biarpun dihalang pemain KL Felda United FC, Azi Shahril Azmi dalam perlawanan malam kelmarin.

Tidak banyak gerakan menarik yang dilakukan oleh anak buah E Elavarasan yang mempertaruhkan gandingan Faderin Kadir dan Muhammmad Zamri Chin dibahagian serangan sebaliknya Kelantan yang turun sebagai pasukan ‘pelawat’ pula dilihat lebih ghairah mencari gol awal dalam perlawanan malam tadi.

Pada m-16, giliran pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan Roya pula menguji pintu gol KL Felda United FC namun rembatannya sedikit melewati palang.

Dua minit kemudian,  Chanturu menceriakan lebih 25,000 penyokong setia Kelantan apabila menjaringkan gol pertama Kelantan. Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan mencetuskan gerakan menarik apabila melorongkan bola kepada Chanturu yang bijak memperdayakan pertahanan KL Felda United FC sebelum merembat kencang untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Pada m-24, Mohd Nurul Azwan sekali lagi mensia-siakan peluang terbuka apabila gerakan solonya berakhir dengan kekecewaan setelah rembatannya sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol KL Felda United FC.

Hanya sepakan percuma Azi Shahril Azmi pada minit-minit terakhir babak pertama yang terus ke dakapan Khairul Fahmi dilihat satu-satunya percubaan merbahaya bagi KL Felda United FC sebelum pemain kedua-dua pasukan berjalan ke bilik persalinan untuk masa rehat separuh masa pertama.

Empat minit babak kedua bersambung, penjaga gol KL Felda United FC, Mohd Hamsani sekali lagi cemas di pintu golnya setelah rembatan kencang Mohd Shakir dari luar kotak penalti sedikit tersasar disebelah kanan.

Pada m-62, KL Felda United FC kempunan untuk menyamakan kedudukan setelah jaringan Faderin Kadir dibatalkan pengadil perlawanan apabila dikesan berada didalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan sebelum itu.

Stadium Sultan Muhammed IV kembali bergema dengan sorakan penyokong setia Kelantan setelah Mohd Nurul Azwan menjaringkan gol kedua pada m-66 perlawanan. Berpunca hantaran silang Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi dari tengah padang, Mohd Nurul Azwan bijak menampan kemas didalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Mohd Hamsani buat kali kedua. 

Tertekan dengan jaringan tersebut, Elavarasan memasukkan Mohd Lot Abu Hassan bagi menguatkan jentera tengah namun itu tidak banyak membantu kerana rangkaian penyerang mereka diketuai Mohd Nizaruddin Yusoff dan Faderin Kadir seakan hilang idea untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan yang beraksi cemerlang malam tadi.

Pada m-88, pemain gantian, Mohd Nizab Ayub membunuh semangat juang anak buah Elavarasan apabila meledakkan gol ketiga untuk Kelantan. Bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan lawan, Mohd Nizab pantas merembat kencang melepasi jangkauan Mohd Hamsani.

Minit-minit akhir perlawanan, KL Felda United kempunan untuk memperolehi gol saguhati apabila rembatan pemain gantian, Ramesh Lai Ban Huat terkena tiang gol Kelantan sementara rembatan Faderin selepas itu ditepis keluar Khairul Fahmi.

Kesebelasan utama pemain :

KL FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad, Abdul Ghani Abd Rahman (Ramesh Lai Ban Huat), Mohd Nizam Abu Bakar, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), K Rajan, Mohd Badrul Azam Zamri, Mohd Syazwan Zainon (Mohd Lot Abu Hasan), Liew Kit Kong, Azi Shahril Azmi, Muhammad Zamri Chin (Mohd Nizaruddin Yusoff) dan Faderin Kadir.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Zul Yusri Che Harun)(Mohd Nizab Ayub), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : KL Felda United FC (3) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : KL Felda United FC (1) Kelantan (9)
Sepakan sudut : KL Felda United FC (4) Kelantan (10)
Sepakan percuma : KL Felda United FC (26) Kelantan (15)
Offsaid : KL Felda United FC (4) Kelantan (2)
Kekasaran : KL Felda United FC (22) Kelantan (12)
Kad kuning : KL Felda United FC (Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain, Mohd Badrul Azam Zamri, Azi Shahril Azmi dan Liew Kit Kong) Kelantan (Zairul Fitree Ishak)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Empat minit
Penguasaan bola : KL Felda United FC (45%) Kelantan (55%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Zohri Tajudin
Penolong Pengadil 1: Mohd Shahril Abu Seman
Penolong Pengadil 2: Maswari Mislam
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Mohd Said
Komisionel Perlawanan : Anuar Salim Abdul Moen
General Kordinator : Arif Hassan

KAMI TIDAK HIRAU TEKANAN - PIYA

Kapten Kelantan, Muhd Badhri Radzi (tengah) menagih aksi luar biasa daripada rakan sepasukannya dalam pertemuan menentang KL Felda United FC, malam ini

KOTA BHARU – “Minimakan kesilapan, serap tekanan dan manfaatkan setiap peluang terhidang”. Begitulah pesanan Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi kepada rakan sepasukannya menjelang sepak mula pertemuan menentang KL Felda United FC dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Muhd Badhri berkata, biarpun pasukan Felda United FC mempunyai kelebihan daripada segi peraturan gol ditempat lawan namun Kelantan juga turut mempunyai ‘kelebihan’ kerana beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri sekali pun turut sebagai pasukan pelawat.

“Kita tidak perlu memikirkan sangat kelebihan dua gol (berdasarkan peraturan gol ditempat lawan) yang dimiliki mereka. Kita anggap seperti masih 0-0 dan kita akan turun dengan satu matlamat iaitu mahu mencatatkan kemenangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Tekanan tetap ada kepada kita kerana mereka hanya mahu mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan malam ini. Kita perlu berjuang habis-habisan dan saya berharap pemain kita jangan terlalu leka terutamanya pada minit-minit akhir perlawanan. Apa yang saya perhatikan, mereka menjaringkan gol menerusi hantaran lintang sebagaimana perlawanan suku akhir pertama tempohari.

“Kita perlu menutup ruang, jangan bagi pemain mereka melakukan hantaran tersebut dan saya berharap benteng pertahanan kita bekerja keras memperbaiki kelemahan tersebut. Dalam perlawanan lalu, kita memang mempunyai banyak peluang namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan,” katanya. 

Membangkitkan semangat untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan malam ini, Muhd Badhri pantas menuntut kudrat 120 peratus daripada rakan sepasukannya seandainya mahu mengulangi pencapaian layak ke perlawanan akhir dua tahun lalu berulang lagi pada musim ini.

“Biarpun berhadapan dengan tekanan sekali pun bermain dihadapan penyokong sendiri, namun kami tidak menghiraukan tekanan tersebut. Misi kita malam esok (ini) mahu menang. Pasukan mereka sebenarnya tidak memiliki apa-apa keistimewaan cuma mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.

“Kita menagih sokongan padu daripada penyokong setia Kelantan pada perlawanan malam  ini. Tugas menjaringkan gol bukan sahaja terletak dibahu Norshahrul Idlan (Talaha), Muhammad Khalid (Jamlus) dan saya sahaja, tetapi rakan-rakan yang lain juga harus mengambil tanggungjawab yang sama.

“Setiap peluang kita harus manfaatkan sebaik mungkin. Kita sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal dan saya menjanjikan sesuatu yang luar biasa dalam perlawanan ini. Insya Allah kita mampu melakar kemenangan malam ini,” katanya.

MISI BURU KEMENANGAN - KARATHU

Karathu menyampaikan amanatnya kepada para pemain selepas sesi latihan terakhir skuad Kelantan, petang semalam. 

KOTA BHARU – “Misi wajib menang”. Begitulah pesanan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu kepada pemainnya apabila Kelantan turun berhadapan dengan KL Felda United FC dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Andai KL Felda United FC berhajat bermain secara bertahan dan mahu mencatatkan keputusan seri dalam perhitungan hidup mati kedua-dua pasukan malam ini, lupakan sahaja hasrat tersebut kerana pasukan The Red Warriors tetap turun dengan misi mencipta kemenangan sekali pun turun sebagai ‘pasukan pelawat’.

KL Felda United FC dan Kelantan sekali lagi akan berentap bagi membuat perhitungan untuk merebut salah satu slot ke peringkat separuh akhir setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dalam perlawanan suku akhir pertama Selasa lalu.

Mengakui peluang kedua-dua pasukan masih terbuka,  Karathu berkata, pasukannya tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatatkan kemenangan ke atas kelab yang berpangkalan di ibu negara itu bagi menghidupkan sisa-sisa perjuangan mereka dalam kempen Piala FA musim ini.

“Kita tidak boleh seri dengan KL Felda United FC pada perlawanan malam ini. Apa yang tertanam diminda saya sekarang ialah kita perlu menang. Dan ingatan tersebut sudah pun disampaikan kepada semua pemain bahawa kita tidak rela tersingkir lagi sebagaimana musim lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Saya tekankan kepada para pemain, kita tidak boleh terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan. Mereka akan sentiasa cuba untuk melengah-lengahkan perlawanan. Saya sudah memahami taktikal dan corak permainan mereka. Kita sudah bersedia menghadapi situasi tersebut dan kita akan bermain dengan cara kita.

“Kita sudah sampai ke tahap ini (suku akhir) dan saya berharap pemain kita tidak menghampakan impian penyokong setia Kelantan. Ada dua tugasan yang perlu dilakukan, pertama mereka mesti memperkukuhkan corak permainan bertahan sekiranya diserang balas dan kedua berusaha mendapatkan gol awal sebaik mungkin,” katanya.

Karathu berkata, dalam perlawanan berprofil tinggi seperti ini, kadang-kala gol awal sesebuah pasukan mampu mempengaruhi keputusan perlawanan dan beliau berharap pemain Kelantan memanfaatkan setiap peluang terhidang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung pada malam ini.  

“Gol awal itu cukup penting kerana ianya mampu memberikan tekanan kepada pasukan lawan. Itu yang saya mahu dan saya percaya kehadiran pemain ke dua belas iaitu puluhan ribuan penyokong setia Kelantan juga sudah pasti memberikan tekanan berganda kepada mereka.

“Saya akui, tekanan memang sentiasa ada tetapi pada masa yang sama saya percaya penyokong kita tetap setia berdiri dibelakang kita. Pemain kita sudah bersedia sepenuhnya sekiranya diheret beraksi dalam masa tambahan atau penentuan sepakan penalti sekali pun.

“Saya percaya sekiranya pemain kita beraksi dengan tenang, mampu menyerap tekanan dan  mengikut arahan yang diberikan, kita mampu mengatasi Felda United FC pada malam ini. Saya berharap pemain Kelantan akan turun bermain mati-matian bagi menghidupkan peluang kita melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Barisan kemungkinan Kelantan :

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Soley Kanasian Abdullah, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

ARMY CARI 200 PEMAIN BERBAKAT

Sathianathan  dan Abdullah Mohamad menunjukkan kurikulum yang akan digunapakai dalam program pencarian bakat baru bola sepak di negeri ini. 

KOTA BHARU – Segalanya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang bekerjasama dengan penaja utama pasukan The Red Warriors musim ini, iaitu happy akan memilih seramai 200 peserta dalam program pencarian bakat baru di negeri ini bermula bulan depan.

Sebagai permulaan, dua kategori umur iaitu kategori bawah 16 tahun dan bawah 14 tahun akan diwujudkan dengan kos perbelanjaan sekitar RM230,000 pada tahun ini. Sementara bagi kategori pemain bawah 12 tahun, pihak ARMY  akan membuka sesi pemilihannya pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan berkata, penubuhan akademik ini adalah bagi memenuhi visi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang mahukan satu program pencarian bakat muda dilakukan secara menyeluruh di negeri ini.

“Sebagai permulaan, sebanyak lima jajahan dinegeri ini dikenal pasti menjadi pusat latihan ARMY iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Tanah Merah dan Kuala Krai pada tahun ini. Untuk jajahan lain, kita akan perluaskan penubuhannya pada tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Tarikh pemilihan pemain ialah di Kota Bharu pada 9 April, Tumpat (16 April), Bachok (23 April), Tanah Merah (30 April) dan Kuala Krai (7 Mei). Pemilihan pemain adalah berdasarkan dua kategori umur iaitu kategori bawah 16 tahun (lahir pada tahun 1995 dan 1996) dan bawah 14 tahun (lahir pada tahun 1997 dan ke atas).

“Sebagai contohnya sekiranya pemilihan pemain diadakan di Kota Bharu, kita tidak menggalakkan pemain yang tinggal di Jeli datang ke Kota Bharu kerana mereka mungkin mengalami kepayahan untuk datang ke sini. Apa yang kita rancangkan ialah hanya untuk pemain yang tinggal di jajahan tersebut supaya mereka boleh datang ke padang latihan berhampiran tanpa masalah,” katanya. 

Sathianathan berkata, aspek 3S iaitu Skill (Kemahiran), Speed (Kelajuan) dan Size (Saiz Badan) akan menjadi keutamaan kepada barisan panel kejurulatihan ARMY dalam memilih pemain berbakat bagi menyertai akademi ini.

“Kita hanya memilih pemain yang memenuhi kriteria 3S seperti yang saya sebutkan tadi. Pemain-pemain yang dipilih akan menjalani latihan di pusat latihan masing-masing bermula 13 Mei. Saya bersama Pengarah Kejurulatihan Kafa, Abdullah Mohamad dan jurulatih-jurulatih tempatan akan turun padang dalam sesi pemilihan tersebut.

“Kita akan melantik seramai tiga jurulatih di setiap pusat latihan masing-masing bagi mereka membimbing pemain tersebut. Mereka akan menggunakan manual (kurikulum) akademiyang disediakan oleh saya bagi tujuan ini. Dalam program ini, para pemain akan diajar dengan cara sistematik bersesuaian dengan permainan bola sepak moden.

Menurut Sathianathan, para peserta juga akan diajar mengenai cara pengambilan makanan mengikuti kesesuaian bergelar ahli sukan, latihan fizikal selain pembentukan tingkah laku sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

“Selain latihan, kita akan mengadakan satu pertandingan liga bermula 24 Jun sehingga 10 Oktober depan. Ini melibatkan 60 perlawanan liga yang diadakan secara timbal balik. Kita mahu mereka didedahkan dengan perlawanan kompetitif. Pada 4 dan 5 November, kita akan mengadakan satu karnival di Kota Bharu bagi penentuan juara kedua-dua kategori itu.

“Sebagai rakan kerjasama Kafa, pihak happy mementingkan pembangunan bola sepak di negeri ini. Pendaftaran pemain hendaklah dilakukan seminggu sebelum tarikh tutup sesi pemilihan. Kita akan menyediakan borang penyertaan dihampir 400 kedai rakan niaga happy diseluruh di negeri Kelantan bagi tujuan ini,” katanya.

Thursday, March 17, 2011

PELUANG KELANTAN MASIH TERBUKA

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang turun ketika pertemuan menentang KL Felda United FC dalam suku akhir pertama Piala FA, malam kelmarin.

KOTA BHARU – Meskipun Kelantan sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan KL Felda United FC dalam pertemuan pertemuan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam, namun peluang masih terbuka bagi bekas naib juara edisi 2009 itu melangkah ke saingan separuh akhir.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang dalam perlawanan suku akhir kedua untuk mengisi salah satu slot separuh akhir nanti.

“Saya tetap berpuas hati walaupun kita mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan tersebut. Walaupun kita ketinggalan pada suatu ketika namun pemain kita jelas tidak hilang punca sebaliknya kembali bangkit merapatkan jurang dan mendahului Felda United FC dalam separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Pemain kita mempunyai semangat juang yang cukup tinggi. Biarpun berhadapan pasukan seperti Felda United FC yang menghimpunkan ramai pemain berpengalaman, mereka tidak merendah diri sebaliknya menghimpunkan kekuatan luar biasa dan saya mahu aksi seperti ini diteruskan pada perlawanan Sabtu ini.

“Pemain kita tidak mudah terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan. Kita boleh lihat pasukan lawan sentiasa melengah-lengahkan perlawanan. Itu taktikal mereka bila berhadapan dengan kita tetapi pemain kita mempunyai mental yang kuat menangani karenah pemain lawan,” katanya.

Menurut Karathu, pasukan Kelantan seharusnya tidak perlu bekerja lebih keras pada perlawanan timbal balik pada Sabtu ini seandainya pemainnya tidak mensia-siakan banyak peluang terhidang dalam perlawanan tersebut.

“Kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal disempurnakan oleh jentera hadapan. Muhd Badhri (Radzi), Norshahrul (Idlan Talaha) dan Muhammad Khalid (Jamlus) mempunyai banyak peluang tetapi tidak memanfaatkan peluang tersebut.

“Inilah bola sepak. Kadang-kadang kita dapat lima peluang tetapi hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja. Kita mempunyai peluang keemasan pada masa kecederaan menerusi Norshahrul (Idlan) yang berhadapan satu sama satu dengan penjaga gol lawan namun disia-siakan.

“Kita akan buat analisa mengenai perlawanan malam semalam. Kita lihat apa kelemahan yang menghantui pasukan. Kita masih ada masa tiga hari memperbetulkan keadaan dan saya percaya Kelantan tetap berpeluang meskipun Felda United FC memiliki kelebihan jaringan ditempat lawan,” katanya. 
Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meraikan gol dengan menari dalam perlawanan malam kelmarin

Pada perlawanan itu, Kelantan yang beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong setia mereka gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri selepas diikat Felda United FC dengan keputusan 2-2.

Pasukan pelawat terlebih dulu mengejutkan Kelantan pada minit ke-31 hasil tandukan Muhammad Zamri Chin sebelum Ketua Pasukan tuan rumah, Muhd Badri Radzi menyamakan kedudukan seminit sebelum babak pertama berakhir.

Pada m-70 penyerang terbilang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mengamatkan suasana stadium apabila menjaringkan gol kedua Kelantan sebelum Liew Kit Kong melenyapkan hasrat Kelantan untuk membawa bekalan satu jaringan pada perlawanan suku akhir kedua menerusi sepakan penaltinya di minit-minit akhir perlawanan.

Wednesday, March 16, 2011

LALUAN SUKAR MENANTI KELANTAN

KELANTAN 2
Muhd Badhri Radzi (m-45)
Norshahrul Idlan Talaha (m-70)

KL FELDA UNITED FC 2
Muhammad Zamri Chin (m-31)
Liew Kit Kong (pen m-90)

Penyerang Kelantan, Muhammad Kahlid Jamlus diasak  penjaga gol Felda United FC, Mohd Hamsani Ahmad selepas dia menjatuhkan Norshahrul Idlan Talaha

KOTA BHARU – Kelantan meniti laluan sukar untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir setelah sekadar seri 2-2 dengan KL Felda United FC dalam aksi perlawanan suku akhir pertama Kejohanan Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Lapan kad kuning, masing-masing lima untuk Felda United FC dan tiga bagi Kelantan sambil insiden bantahan daripada pemain Kelantan terhadap keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat pada penghujung babak perlawanan mewarnai aksi sepanjang 90 minit perlawanan yang disaksikan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors.

Walaubagaimanapun, penentuan mutlak pasukan mana yang layak ke peringkat separuh akhir akan ditentukan apabila kedua-dua pasukan turun berentap sekali lagi dalam perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di gelanggang yang sama pada Sabtu ini.

Seawal minit kedua, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Felda United FC namun rembatan jarak jauh S Chanturu daripada luar kotak penalti sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol.

Selang seminit kemudian, giliran pemain Felda United FC, Liew Kit Kong mencemaskan pintu gol Kelantan namun rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada m-20, Norshahrul Idlan Talaha mensia-siakan peluang terhidang untuk meletakkan Kelantan didepan. Hantaran pendek Muhd Badhri Radzi ditampan kemas olehnya dan sempat memperdayakan Ketua Pasukan Felda United, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain sebelum melepaskan rembatan yang sedikit melewati palang gol.

Pada m-28, Felda United FC turut terlepas peluang untuk berada didepan apabila rembatan jarak dekat pemain sayapnya, Faderin Kadir didalam kotak penalti ditepis keluar Khairul Fahmi.

Walaubagaimanapun, Felda United FC terlebih dahulu ceria berada didepan pada m-31 perlawanan menerusi jaringan Muhammad Zamri Chin. Bermula serangan pantas, hantaran lintang pemain tengah, Mohd Badrul Azam Zamri mudah ditanduk Muhammad Zamri menewaskan Khairul Fahmi dipintu gol Kelantan.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan sekali lagi kempunan untuk menyamakan kedudukan untuk Kelantan apabila gagal merembat tepat ke gawang Felda United FC. Kesilapan Muhammad Kaironnisam Sahabudin yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan merbahaya pantas direbut Muhammad Khalid Jamlus yang kemudian melorongkan kepada Norshahrul Idlan namun rembatannya  tinggi melepasi palang.

Namun, gol penyamaan yang dinanti-nantikan hadir pada minit-minit akhir babak pertama. Umpanan Norshahrul Idlan pantas disempurnakan Muhd Badhri menerusi rembatan kencang yang tepat menerjah jaring sebelah kanan pintu gol untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad.

Babak kedua memperlihatkan penguasaan ketara pasukan Kelantan apabila Chanturu memulakan aksi agresif pada m-46 menerusi percubaan yang terus ke dakapan Mohd Hamsani manakala percubaan Mohd Nurul Azwan Roya didalam kotak penalti enam minit kemudian sedikit melewati palang.

Begitu pun, Felda United FC tetap memberi ancaman merbahaya apabila mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi percubaan Faderin pada m-56 tetapi sedikit tersasar manakala rembatannya seminit selepas itu mudah dibaca Khairul Fahmi.

Pada m-61, Mohd Nurul Azwan sekali gagal menterjemahkan percubaannya dalam bentuk jaringan apabila rembatannya terus kedakapan Mohd Hamsani biarpun bijak memanfaatkan lorongan cantik daripada Norshahrul Idlan sebelum itu.

Pada m-69, Faderin sekali gagal untuk meletakkan Felda United FC berada dalam keadaan selesa apabila rembatan padunya hanya melintasi pintu gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas ketika itu.

Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan kembali menggamatkan suasana di stadium apabila berjaya menjaringkan gol pada m-70 perlawanan. Berpunca hantaran pendek Muhd Badhri didalam kotak penalti, Norshahrul Idlan pantas melepaskan rembatan kencang menewaskan Mohd Hamsani untuk menghasilkan gol kedua pasukan Kelantan.

Tindakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi mengasari Rames Lai Ban Huat didalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan mengundang padah apabila dikesan oleh penjaga garisan dalam perlawanan itu.

Pengadil perlawanan, Mohd Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat biarpun cuba dibantah oleh pemain Kelantan. Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong tenang merembat ke penjuru sebelah kiri untuk menghasilkan gol penyamaan bagi pasukannya.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin (Khairan Eruan Razali), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya (Khairan Eroza Razali), Muhd Badhri Radzi (KP), Shakir Shaari, S Chanturu, Muhammad Khalid Jamlus (Solehin Kanasian Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

KL FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad, Abdul Ghani Abd Rahman, Rames Lai Ban Huat, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), Mohd Khairul Anuar Jamil (Mohd Nizam Abu Bakar), Mohd Badrul Azam Zamri, Mohd Lot Abu Hassan (Mohd Syazwan Zainol), Liew Kit Kong, Muhammad Zamri Chin (Mohd Nizaruddin Yusoff), Mohd Azrul Ahmad dan Faderin Kadir.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (8) KL Felda United FC (4)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) KL Felda United FC (6)
Sepakan sudut : Kelantan (6) KL Felda United FC (5)
Sepakan percuma : Kelantan (10)  KL Felda United FC (11)
Offsaid : Kelantan (4) KL Felda United FC (4)
Kekasaran : Kelantan (7) KL Felda United FC (6)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat) KL Felda United FC (Mohd Lot Abu Hassan, Muhammad Zamri Chin, Mohd Azrul Ahmad, Mohd Hamsani Ahmad dan Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lapan minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) KL Felda United FC (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Zamzaidi Katimin
Penolong Pengadil 1: M Sivanesan
Penolong Pengadil 2: Ahmad Azanor Huslan
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Md Nor
Komisionel Perlawanan : Ahmad Zuhairi Mohd Sham
General Kordinator : Arif Hassan