Tuesday, September 28, 2010

Soley bersemangat jalani latihan


Kelantan pantas mendapatkan khidmat K Soley (kiri) setelah kontraknya bersama Perlis berakhir penghujung Julai lalu.

KOTA BHARU – Bekas pemain tengah Perlis, K Soley kini mula dapat menyesuaikan diri setelah menjalani latihan bersama skuad bola sepak Kelantan sejak pertengahan bulan ini.

“Sepanjang hampir dua minggu menjalani latihan dibawah kendalian Ketua Jurulatih, B Sathianathan saya tidak menghadapi sebarang masalah. Saya kini bersemangat dan dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walau bagaimana pun, saya kini dalam proses cuba menyesuaikan diri dengan corak latihan skuad Kelantan sedikit demi sedikit. Sudah pasti saya memerlukan sedikit masa untuk mempelajari kombinasi serta membentuk persefahaman bersama rakan sepasukan yang lain.

“Begitupun, sebagai pemain profesional, saya mengikuti segala perancangan yang diatur oleh jurulatih. Bagi saya, mana-mana jurulatih adalah sama sahaja. Yang membezakan mungkin taktikal masing-masing,” katanya.

Soley berkata, walaupun tidak berpeluang membantu Kelantan dalam kempen TM Piala Malaysia yang berlangsung sekarang tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk melihat pasukan Kelantan melangkah jauh dalam saingan kali ini.  

“Sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu Kelantan. Mungkin ada hikmahnya. Persediaan hari ini (latihan yang diikutinya) bagi memastikan tahap kecergasan saya tidak menurun disamping sebagai persiapan menghadapi musim depan.

Menurut Soley, beliau memuji kerjasama serta semangat yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya walaupun beliau masih baru menyertai skuad The Red Warriors.

“Kerjasama serta komitmen yang ditunjukkan rakan sepasukan juga cukup baik. Mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang menjalani latihan.

“Saya juga tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri tinggal di sini. Suasana persekitaran lebih kurang sama dengan di Kangar,” katanya yang kini menyewa di Pasir Hor.

Bekas pemain tengah Perlis itu menjadi pemain pertama mengesahkan tempat dalam senarai skuad Kelantan musim depan setelah mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan hampir dua bulan lalu.

10 PBJ harungi cabaran Piala Presiden Kafa 2010

Arif Hassan (kiri) bersama Pengerusi JKPT Kafa, Datuk Afandi Hamzah ketika menyampaikan taklimat Kejohanan Piala Presiden Kafa 2010 baru-baru ini.
KOTA BHARU – Sebanyak 10 pasukan daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) di negeri ini akan mengharungi cabaran dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Kafa 2010 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bermula bulan depan.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, antara syarat penting bagi kejohanan ini ialah setiap pasukan perlu mendaftarkan sekurang-kurang lima pemain bawah umur 20 tahun, iaitu lahir pada 1 Januari 1990 atau selepas tahun tersebut.

“Setiap pasukan boleh mendaftar seramai empat pegawai pasukan sementara jumlah pemain yang boleh didaftarkan ialah antara 18 hingga 22 orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pemain yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana yang masih dalam pendaftaran FAM pada tahun ini tidak dibenarkan beraksi. Sementara pemain Piala Presiden yang bermain atau berlatih dengan pasukan Liga Super atau Liga Perdana juga tidak dibenarkan beraksi.

“Sementara itu, pemain yang sedang mewakili pasukan dalam Kejohanan Liga Antara Kelab yang sedang berlangsung sekarang boleh didaftarkan dengan menggunakan nombor lesen asal dan bebas mewakili mana-mana PBJ,” katanya.

Arif berkata, undian bagi kejohanan itu telah diadakan pada 7 Julai lalu dan pihak JKPT telah memutuskan dua pasukan yang bergelar juara dan naib juara tahun lalu, iaitu PBJ Kota Bharu dan PBJ Kuala Krai diundi mengetuai kumpulan masing-masing.

“Kejohanan ini dijangka bermula pada 15 Oktober depan dan pihak JKPT Kafa hanya  akan memutuskan gelanggang perlawanan yang bersesuaian selepas ini. Perlawanan juga telah ditetapkan akan dilangsungkan pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja.

Arif turut mengingatkan kepada semua pasukan yang bertanding mematuhi segala peraturan yang ditetapkan termasuk dari segi kelayakan jurulatih yang melatih pasukan masing-masing.

“Setiap jurulatih pasukan mestilah mempunyai sekurang-kurangnya Lesen C daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Format pertandingan ialah liga akan dijalankan satu pusingan membabitkan lima pasukan bagi setiap kumpulan. Pusingan seterusnya dijalankan secara kalah mati,” katanya.

Sementara itu, hadiah wang tunai RM20,000 bakal menanti kepada pasukan yang muncul juara pada kejohanan ini, sementara naib juara akan meraih RM10,000. Tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM5,000 dan RM2,000.

Monday, September 27, 2010

KELANTAN TANPA DUA TONGGAK


Khairul Fahmi Che Mat (kiri) kini menggalas tugas bersama skuad kebangsaan di Vietnam

KOTA BHARU – Kelantan kempunan untuk mendapatkan khidmat dua tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha dan  Khairul Fahmi Che Mat bagi menghadapi perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 3 Oktober ini setelah kedua-dua mereka kini menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi satu kejohanan di Vietnam bermula esok.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengesahkan khidmat dua tonggak utama Kelantan itu hampir pasti disisihkan dalam pertemuan getir menentang skuad Jang di Paroi nanti.

“Saya tidak mahu peminat Kelantan terkeliru mengapa saya tidak menyenaraikan dua pemain ini dalam perlawanan itu. Kita tetap akan berjuang memburu kemenangan sekalipun tanpa khidmat mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mereka kini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Bandaraya Ho Chi Minh yang dijadualkan bermula pada 28 sehingga 2 Oktober ini.

“Semangat juang pemain Kelantan tidak akan luntur sekalipun tanpa mereka. Sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa mereka, jadi saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap barisan pemain sedia ada memikul tanggungjawab itu nanti,” katanya.

Menurut Sathianathan, skuad kebangsaan dijangka pulang ke tanah air pada petang 3 Oktober ini, tarikh yang sama dimana perlawanan pertama pusingan kedua peringkat kumpulan TM Piala Malaysia dilangsungkan pada sebelah malam..

“Saya bukan seorang jurulatih yang tidak berperikemanusiaan. Saya tidak mahu memperjudikan nasib mereka. Sudah pasti mereka kepenatan setelah bermain pada perlawanan sebelum itu (2 Oktober) sementara keesokkan harinya skuad kebangsaan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

“Mereka perlu diberi rehat secukupnya. Mereka terpaksa mengharungi tiga perlawanan antarabangsa dalam tempoh enam hari. Anda bayangkan bagaimana mereka hendak bermain bersama pasukan negeri sehari selepas itu. Saya berharap para peminat Kelantan memahami masalah ini.

“Mengikut peraturan Fifa sekali pun, setelah mereka bermain dalam perlawanan antarabangsa, mereka perlu mempunyai sedikit masa rehat sebelum dibenarkan bermain di dalam liga domestik negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, skuad kebangsaan akan menentang tuan rumah Vietnam pada perlawanan pembukaan di Stadium Thong Nat pada 28 September ini, diikuti bertemu Iran dua hari kemudian sebelum menutup tirai menentang Singapura pada 2 Oktober ini.

KELANTAN BANGKIT SETELAH DIAIBKAN


Rozmin Musa

KOTA BHARU – Skuad futsal Kelantan bangkit mencipta kemenangan 2-1 dalam perlawanan kedua menentang Felda United FC semalam setelah diaibkan dengan kekalahan besar 0-5 ditangan Pulau Pinang pada perlawanan pertama dalam Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 yang berlangsung di Kompleks Sukan Triways, Padang Jawa, Shah Alam.

Jurulatih, Rozmin Musa berkata, kekalahan besar ditangan pasukan Pulau Mutiara itu disebabkan sikap terlampau yakin dikalangan pemain Kelantan sendiri

“Mereka ambil mudah terhadap lawan yang mereka hadapi. Jelas pemain Kelantan tidak bermain mengikut arahan. Secara keseluruhannya, mereka bermain dibawah tahap keupayaan yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam sejurus perlawanan berakhir.

“Tiga gol dalam tempoh sepuluh minit pada separuh masa pertama menjadikan moral pemain kita menurun. Padahal aksi pemain Pulau Pinang sebenarnya setanding dengan kita. Tetapi mereka memanfaatkan setiap peluang yang terhidang diatas kelekaan pemain kita sendiri.

“Sebaik perlawanan berakhir, kita telah mengadakan ‘post mortem’ bagi mengenal pasti punca kekalahan itu. Kekalahan itu menjadi pengajaran kepada kami. Pemain menyedari kesilapan itu dan berjanji bangkit dengan semangat baru apabila menentang Felda United FC.

Sementara itu, ketika ditanya kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United FC itu, Rozmin mengakui itu merupakan aksi terbaik pasukan Kelantan sejak empat perlawanan lalu. 

Barisan pemain skuad futsal Kelantan tewas 0-5 kepada Pulau Pinang sebelum bangkit mencipta kemenangan 2-1 ke atas Felda United FC.

“Para pemain mempamerkan aksi luar biasa pada perlawanan itu. Ini aksi terbaik pemain Kelantan setakat ini. Mereka menunjukkan komitmen 150 peratus dalam perlawanan itu walaupun pada kita ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

“Pemain telah melaksanakan tugas itu dengan cukup baik. Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang memastikan kita berupaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Kelantan ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama sebelum bangkit dengan dua gol menerusi jaringan ketua pasukan, Mohd Yuzmuhaimizee Yaacob sementara gol kemenangan dijaringkan oleh Mohd Asme Amir Zahari@Ghazali

Mohd Yuzmuhaimizee Yaacob

Persaingan kumpulan A menyaksikan pasukan Selangor mendahului takhta liga dengan 10 mata sementara empat pasukan iaitu, Kelantan, Pulau Pinang, Felda United FC dan Selangor PKNS kini berkongsi tujuh mata masing-masing.

Kelantan akan meneruskan cabaran dalam saingan kejohanan ini menentang Sabah diikuti Selangor yang dijadualkan berlangsung di Kedah pada pertengahan bulan depan.

Sunday, September 26, 2010

SAYA DAH JADI MACAM ORANG KELANTAN - SATHIA


B Sathianathan

KOTA BHARU – Segalanya sedikit mengendur.Pertemuan dari hati ke hati di antara jurulatih dengan para pemain Kelantan sedikti sebanyak dapat merungkaikan permasalahan yang mungkin membelenggu pasukan Kelantan sepanjang mempamerkan aksi hambar dalam saingan pusingan pertama peringkat kumpulan A, TM Piala Malaysia yang berlangsung sekarang.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, pertemuan itu diadakan bertujuan membincangkan segala permasalahan yang mungkin berlaku sekiranya ianya wujud didalam skuad Kelantan sekarang

“Saya beritahu kepada semua pemain, semua peminat Kelantan marah diatas aksi buruk itu. Saya yang menanggung akibatnya dan bukan mereka. Memang peminat tidak boleh disalahkan dalam hal ini. Mereka (peminat) berhak menyuarakan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Para pemain menyedari kesilapan lalu, mereka mengakui tidak bermain sebagai satu pasukan dan aksi mereka tidak seperti mana dalam saingan Liga Super lalu. Mereka berjanji berjanji akan bangkit mencipta kemenangan ke atas Negeri Sembilan

“Saya cabar mereka untuk membawa pulang tiga mata dari Paroi. Jadi kita tunggu kesudahannya pada pada 3 Oktober nanti.

Sementara itu, Sathianathan turut melahirkan perasaan terkilan di atas komen negatif bersifat perkauman yang ditulis segelintir peminat Kelantan didalam laman sembang sosial.

“Saya kecewa dengan situasi itu. Perkara sedemikian tidak harus terjadi. Anak saya sendiri membaca komen tersebut dan beliau meminta saya meletak jawatan. Apakah perlu saya berbuat demikian (meletak jawatan). Saya masih rasional dan tidak mudah emosi.

“Saya dah jadi macam orang Kelantan. Saya sudah buat bermacam-macam untuk bola sepak Kelantan. Saya melatih Kelantan kerana Annuar Musa (Presiden Kafa) dan demi peminat bola sepak Kelantan sendiri.

IMBAS KEMBALI....aksi buruk skuad Kelantan ketika menentang KL Plus FC baru-baru ini, mendapat kritikan peminat Kelantan sendiri

“Memang saya tertekan. Begitu sukar melatih pasukan Kelantan. Hanya kerana sedikit kesilapan, maka saya dihukum sebegini. Apa yang boleh saya bagi tahu peminat, untuk menjadi juara kita perlukan masa. Juara hanya boleh dilahirkan tetapi kita memerlukan satu tempoh masa yang panjang. Kita tidak boleh menjadi juara dalam masa yang singkat,” katanya.

Skuad Kelantan kini menjalani latihan seperti biasa sekali pun tanpa dua pemain, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang kini bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Bandaraya Ho Chi Minh yang bermula 28 September ini di Vietnam.

KHIDMAT SATHIA TETAP DIPERLUKAN - KELAB PENYOKONG


KOTA BHARU – Isu desakan peletakkan jawatan oleh segelintir peminat  Kelantan terhadap pengendali pasukan, B Sathianathan mendapat reaksi balas apabila dua kelab penyokong bola sepak terbesar di negeri ini mempertahankan kewibawaan bekas pengendali kebangsaan itu untuk terus mengemudi pasukan Kelantan sehingga akhir musim ini.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat berkata, desakan oleh segelintir peminat Kelantan tidak seharusnya timbul ketika saingan Piala Malaysia masih berlangsung.

Marhashim Mat

“Saya memahami desakan segelintir peminat tetapi kita seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk terus membimbing pasukan Kelantan sehingga akhir musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kegagalan pasukan Kelantan tidak memenangi sebarang piala yang dipertandingkan musim ini bukan berpunca daripada kegagalan beliau semata-mata. Kita muncul naib juara Liga Super musim ini, memperbaiki kedudukan musim lalu dimana kita mendapat tempat keenam. Itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam masa yang singkat.

“Melantik jurulatih baru dalam tempoh masa yang sesingkat ini tidak akan menyelesaikan masalah malahan merumitkan keadaan. Peminat jangan cepat melatah. Kita masih berpeluang untuk ke pusingan seterusnya. Masih ada baki tiga perlawanan, peluang masih terbuka untuk Kelantan menghidupkan peluang ke suku akhir,” katanya.

Menurut Marhashim, apa yang penting kesungguhan serta komitmen jurulatih dan para pemain Kelantan dituntut ketika Kelantan berhadapan dengan Negeri Sembilan pada 3 Oktober nanti.

“Kami akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Kita berharap jurulatih dan para pemain Kelantan membalas sokongan peminat dengan menghadiahkan kemenangan kepada kami,” katanya.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Azman Mohd Nor  berkata, kelab penyokong tetap berdiri teguh dibelakang bekas pengendali skuad kebangsaan itu untuk membimbing Kelantan sehingga akhir musim ini.

Azman Mohd Nor

“Khidmat B Sathianathan tetap diperlukan walau dalam apa jua situasi sekali pun. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk peminat mendesak beliau meletakkan jawatan sebaliknya  beliau harus diberi peluang mengemudi pasukan Kelantan sehingga kempen Piala Malaysia berakhir.

“Kita berharap para peminat Kelantan tidak mudah emosi. Beri peluang kepada beliau. Kita tetap berpeluang ke pusingan seterusnya. Rekod cemerlang kita sepanjang beraksi di gelanggang luar menjadi sandaran bahawa kita mampu mengisi salah satu slot ke suku akhir,” katanya.

Azman berkata, peminat harus menilai semula kejayaan yang dibawa oleh B Sathianathan sepanjang hampir setahun beliau membimbing Kelantan.

“Daripada sebuah pasukan yang tidak mencipta apa-apa kejayaan dalam landskap bola sepak negara, terbukti sentuhan beliau telah berjaya membawa Kelantan muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu setelah 39 tahun kepingin beraksi dalam pentas perlawanan akhir.

“Malahan kejayaan beliau membawa Kelantan menjadi naib juara Liga Super musim ini tidak harus dilupakan begitu sahaja. Kita menjadi pasukan yang berjaya mempertahankan kedudukan kedua dalam carta liga itu sepanjang 28 minggu,” katanya.

Saturday, September 25, 2010

WAJARKAH KAFA DIHUKUM?

KOTA BHARU – Insiden penyokong Kelantan membakar dan membaling mercun ketika perlawanan pertama Piala Malaysia, Kelantan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada  Selasa lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak luar.

Insiden yang disifatkan terburuk di Kota Bharu, sepanjang musim ini sekali lagi memungkinkan mengheret Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ke muka pengadilan oleh Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ini.

Terbaru, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut menggesa pihak  Kafa dikenakan tindakan tegas oleh FAM gara-gara tindakan buruk segelintir penyokong The Red Warriors itu.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat mengakui pihak Kafa sendiri telah mengambil segala langkah yang perlu bagi menangani insiden namun ianya tetap berlaku.

Marhashim Mat

“Apa yang berlaku itu adalah diluar bidang kuasa dan kawalan Kafa sendiri. Mereka telah sedaya upaya mengambil langkah pencegahan termasuk menambah bilangan anggota pihak berkuasa pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pemeriksaan badan yang ketat terhadap setiap penonton yang memasuki stadium turut dilakukan malahan penyokong terpaksa beratur panjang hampir 100 meter sebelum memasuki stadium kerana perlu melalui proses itu. Tidak ada stadium di negara kita dimana para penonton terpaksa melalui pemeriksaan yang begitu ketat seperti ini.

Menurut Marhashim, ada baiknya pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan FAM turun padang sendiri melihat permasalahan ini sambil membantu Kafa menangani masalah itu.

“Pihak Kafa tidak harus bersendirian menangani masalah ini. Kita berharap pihak FAM jangan cepat menjatuhkan hukuman setiap kali masalah ini berlaku. Setiap kali masalah melibatkan pasukan Kelantan, Kafa yang menjadi mangsa dan dihukum.

Seorang penyokong dari Pasir Mas, Musa Mohamed Nor, 66 tahun, yang menghubungi Sinar Harian semalam berkata, beliau menganggap menghukum pihak Kafa merupakan satu tindakan yang tidak adil sekiranya itu berlaku.

“Agak mustahil untuk Kafa membendung sepenuhnya gejala berkenaan daripada berlaku kerana penyokong yang hadir pada perlawanan itu mencecah 25,000 orang. Itu satu jumlah yang cukup besar berbanding tindakan segelintir sahaja penyokong yang berbuat demikian. 

“Sebelum ini pun, Kafa sudah mengeluarkan berbagai peringatan mengenai larangan membawa masuk bahan terlarang kepada semua penyokong sebelum perlawanan itu malah langkah keselamatan turut diperketatkan. Bukan Kafa tidak berusaha, malah saya fikir sudah sampai ke tahap maksimum sebenarnya usaha mereka.

Sambil merujuk kepada insiden rusuhan penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia, di Bukit Jalil musim lalu, Musa berkata, mengapa pihak Kafa terpaksa dikenakan hukuman angkara tindakan penyokong Kelantan sedangkan pihak FAM yang bertindak sebagai tuan rumah dan penganjur kepada perlawanan akhir itu.

“Saya berharap pihak FAM mengeluarkan satu garis panduan yang jelas mengenai masalah seperti itu kepada semua persatuan bola sepak negeri. Untuk mengenakan denda terhadap terhadap persatuan bola sepak negeri berkenaan masalah ini rasanya amat tidak wajar.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Azman Mohd Noor berkata, pihaknya merasa kesal diatas tindakan segelintir penyokong yang disifatkan tidak mahu melihat kemajuan bola sepak Kelantan.

Azman Mohd Noor

“Insiden itu cukup memalukan. Mereka yang melakukan perkara sedemikian boleh dikatakan individu yang tidak mahu melihat bola sepak Kelantan maju ke hadapan. Jelas mereka tidak serik dengan apa yang berlaku pada tahun lepas dimana kita terpaksa bermain di gelanggang luar gara-gara tindakan mereka sendiri.

“Walaupun pemeriksaan ketat dilakukan tetapi masih ada yang terlepas membawa masuk mercun ke stadium. Itu kita tidak boleh salahkan pihak berkuasa.

“Cuma kita merayu selepas ini, semua peminat Kelantan bekerjasama menangani masalah ini. Tunjukkan contoh yang terbaik sebagai penyokong paling berdisiplin sebagaimana yang kita tunjukkan sepanjang saingan Liga Super musim ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, pihak Kafa cukup prihatin diatas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan itu.

Mohamad Noordin Awang

“Memang pihak Kafa memandang serius tentang insiden tempohari ini. Tetapi semua pihak perlu ingat, Kafa telah mengambil langkah yang terbaik dalam menangani masalah itu namun tetap berlaku juga dalam perlawanan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Segala yang berlaku adalah diluar kawalan pihak Kafa.  Kita telah menambahkan bilangan anggota keselamatan, malahan pemeriksaan ketat juga turut dilakukan dipintu stadium. Kita tidak mahu menyusahkan peminat (dengan melakukan pemeriksaan ketat), tetapi demi keselamatan penyokong dan pemain, kita terpaksa berbuat demikian.

Menurut Mohamad Noordin, pihak Kafa amat dukacita dengan insiden itu dan  tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian yang boleh menjejaskan nama baik Kafa masa akan datang.

“Penangkapan serta-merta lima individu sebaik sahaja insiden itu berlaku membuktikan pihak berkuasa tidak pernah bertolak ansur dengan tindakan tersebut. Kita berharap semua peminat mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak anggota keselamatan yang bekerjasama cukup baik dalam menangani masalah itu. Kita juga merayu kepada peminat Kelantan sama-sama berganding bahu membantu Kafa membanteras kejadian buruk ini daripada berlaku masa akan datang,” katanya.

KELANTAN TEKAD RAIH MATA PENUH


 SULAIMAN SALLEH

KOTA BHARU – Bersandarkan kepada keyakinan yang tinggi, skuad futsal Kelantan berazam mencatat kemenangan dalam pertemuan menentang Pulau Pinang diikuti Felda United FC dalam Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010.

Kelantan akan berhadapan dengan Pulau Pinang hari ini diikuti menentang Felda United FC pada keesokannya dalam perlawanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Triways, Padang Jawa, Shah Alam.

Pengurus pasukan, Sulaiman Salleh berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan barisan pemain muda yang menyarungi jersi Kelantan pada musim ini.

“Musim ini kita menyenaraikan hampir sebahagian besar muka baru setelah pemain musim lalu terpaksa digugurkan. Untuk itu,  pemain yang ada dalam skuad ini merupakan  pemain yang dipilih melalui sesi pemilihan yang diadakan beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Pihak pengurusan memberi keyakinan yang penuh terhadap jurulatih, Rozmin Musa dan pembantunya, Abdul Aziz Mustapha bagi mengemudi pasukan ini mengharungi cabaran pada musim ini.

“Berdasarkan pengalaman yang dimiliki kedua-dua pengendali pasukan itu, kita yakin matlamat untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir akan tercapai,” katanya. 

Kelantan menyenaraikan hampir sebahagian besar muka baru setelah pemain musim lalu terpaksa digugurkan.

Menurut Sulaiman, perlawanan menentang Pulau Pinang  dan Felda United menjanjikan perlawanan yang menarik memandangkan kedua-dua pasukan kini mengekori rapat Kelantan selaku pendahulu liga kumpulan sekarang.

“Kita menjangkakan kedua-dua pasukan yang akan kita hadapi ini tidak akan memberi laluan mudah bagi kita mengutip mata.

“Sudah pasti kedatangan kita ke Shah Alam ini adalah untuk mengutip mata penuh dalam dua perlawanan itu bagi mengukuhkan kedudukan kita dalam persada liga.

“Kita perlu mengutip mata semaksimum mungkin bagi memastikan kita tidak berhadapan dengan laluan sukar memandangkan masih ada dua atau tiga perlawanan liga yang perlu diharungi pada awal bulan Oktober nanti,” katanya.

Sementara itu, keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menggantungkan juara bertahan musim lalu, KL Figos FC selama dua tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan kini membuka persaingan terbuka bagi tujuh pasukan yang beraksi dalam kumpulan A termasuk Kelantan.

Thursday, September 23, 2010

SAYA SEDIA LETAK JAWATAN - SATHIA


Desakan peminat Kelantan tidak mematahkan semangat B Sathianathan daripada terus membimbing Kelantan sehingga penghujung musim ini.

KOTA BHARU – “Saya bersedia meletak jawatan sekiranya pemain saya gagal memberikan komitmen seratus peratus ketika menentang Negeri Sembilan 3 Oktober ini’. Begitulah reaksi balas Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ketika ditanya mengenai desakan segelintir penyokong Kelantan yang mahu beliau meletakkan jawatan serta-merta ekoran kegagalan meraih tiga mata pada perlawanan menentang KL Plus FC tempohari.

Isu perletakkan jawatan kini kembali bergegar di Kota Bharu. Kali ini tindakan segelintir penyokong Kelantan yang berang dengan aksi hambar pemain Kelantan berhimpun di perkarangan luar stadium sejurus perlawanan berakhir serta menuntut bekas pengendali skuad kebangsaan itu melepaskan jawatannya daripada terus membimbing skuad Kelantan.

Pada awal musim ini, situasi yang sama turut berlaku apabila terdapat desakan sedemikian setelah The Red Warriors memulakan saingan dengan aksi hambar. Namun semua itu lenyap sama sekali setelah B Sathianathan memadam kritikan tersebut dengan berjaya membawa Kelantan muncul naib juara Liga Super musim ini.

B Sathianathan ketika dihubungi berkata, soal perletakkan jawatan bukan merupakan satu isu utama yang harus dibincangkan sepanjang kempen Piala Malaysia berlangsung sekarang.

“Saya tidak berhasrat meletak jawatan. Itu desakan daripada segelintir peminat sahaja. Kecuali Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tidak memerlukan khidmat saya, maka baru saya akan meletak jawatan.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara ini (perletakkan jawatan). Membawa masuk jurulatih baru sekali pun, adakah itu dapat menyelesaikan masalah pasukan Kelantan. Sebagai jurulatih profesional, saya bertanggungjawab terhadap jatuh bangun pasukan ini.

“Sepanjang membimbing Kelantan sejak tahun lepas, saya telah membawa Kelantan mengharungi sebanyak 40 perlawanan. Saya menyimpan semua rekod perlawanan sepanjang membimbing Kelantan. Daripada jumlah itu, kita hanya tewas empat kali sahaja. Anda boleh memeriksa pasukan mana yang kita tewas bermula kempen Piala Malaysia musim lalu sehingga sekarang.

“Saya telah berjaya membawa Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dan menjadi naib juara Liga Super musim ini. Tugas saya belum selesai selagi kita tidak menjulang Piala Malaysia musim ini.

“Saya tetap optimis kita mampu melangkah ke pusingan berikutnya. Walaupun dua perlawanan berlangsung diluar Kota Bharu, tetapi rekod kita agak cemerlang setiap kali bermain di gelanggang luar,” katanya.

Sathianathan berkata, peminat bola sepak Kelantan harus memahami pembaharuan yang dilakukannya yang baru mengambil alih sepenuhnya membimbing Kelantan pada musim ini.

“Saya mengambil risiko yang tinggi membimbing Kelantan ketika pasukan ini terkontang-kanting ditinggalkan oleh jurulatih, Peter James Butler seminggu sebelum sepak mula Piala Malaysia musim lalu.

“Tidak ada sesiapa yang sanggup datang ke Kelantan ketika itu. Saya datang ke sini semata-mata hendak membantu Kelantan. Jadi sebagai jurulatih profesional, adalah tugas saya membimbing pasukan ini malahan saya mendapat sokongan penuh daripada Kafa.

“Tetapi sekiranya ada orang lain (jurulatih) yang boleh menggantikan tempat saya sekarang, maka saya bersedia meninggalkan pasukan Kelantan. Sekiranya pemain gagal memberikan komitmen ketika perlawanan dengan Negeri Sembilan nanti, saya akan meletak jawatan dan saya berharap pengganti saya dapat meneruskan kecemerlangan dalam dua baki perlawanan itu,” katanya.

Menurut Sathianathan, ramai peminat yang tidak memahami mengenai tindakan beliau menyenaraikan kesebelasan utama pemain Kelantan bagi menghadapi satu-satu perlawanan.

“Saya bukan ahli silap mata yang tahu mana pemain yang bagus dan mana pemain yang tidak bagus dalam satu-satu perlawanan. Prestasi semua pemain dinilai berdasarkan perlawanan terdahulu serta dalam sesi latihan harian.

Sambil merujuk kepada prestasi penjaga gol, Syed Adney Syed Hussien, pemain yang dicemuh peminat kerana melepaskan tiga gol dalam perlawanan menentang KL Plus FC tempohari,  Sathianathan  tetap mempertahankan tindakannya menurunkan bekas penjaga gol kebangsaan itu.

“Beliau dijulang sebagai wira setelah berjaya menyelamatkan sepakan penalti ketika perlawanan menentang Selangor PKNS FC baru-baru ini. Jadi berdasarkan prestasi semasa beliau, tidak ada sebab mengapa saya tidak boleh memilih beliau sementara Khairul Fahmi (Che Mat) baru pulih daripada kecederaan sebelum itu.

Wednesday, September 22, 2010

SKUAD FUTSAL KELANTAN TEKAD CIPTA KEMENANGAN

 ROZMIN MUSA

KOTA BHARU – Skuad futsal Kelantan berazam mencipta kemenangan dalam perlawanan menentang Pulau Pinang dan Felda United FC dalam Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Triways, Padang Jawa, Shah Alam hujung minggu ini.

Jurulatihnya, Rozmin Musa berkata, pasukan Kelantan telah menyambung latihan bermula 14 September lalu sehingga 23 September ini sebelum bertolak ke Shah Alam keesokan harinya.

“Kita meletakkan sasaran untuk memenangi kedua-dua perlawanan ini bagi mengukuhkan kedudukan kita dalam carta liga kumpulan A,” katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika sesi latihan petang semalam.

“Kita akan fokuskan terhadap dua perlawanan ini terlebih dahulu sebelum memikirkan saingan seterusnya iaitu baki tiga perlawanan terakhir.

“Moral pemain kini berada dalam keadaan baik, dan mereka semua begitu bersemangat menjalani latihan walaupun sibuk dengan komitmen kerja masing-masing,” katanya.

Rozmin yang dibantu oleh seorang lagi bekas pemain negeri, Abdul Aziz Mustapha, berkata, setakat ini persiapan pasukannya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah kecederaan mahu pun penggantungan perlawanan dikenakan terhadap pemain Kelantan. 

 ABDUL AZIZ MUSTAPHA

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang banyak membantu pasukan dari segi kewangan dan juga sokongan moral kepada pasukan ini.

“Sudah pasti kita tidak mahu menghampakan harapan pihak persatuan yang meletak sasaran layak ke peringkat separuh akhir pada tahun ini setelah kita tidak mampu berbuat demikian pada kejohanan tahun lepas,” katanya.

Menurut Rozmin, pasukannya telah menjalani insentif selama tiga hari di Kompleks Sukan dan Belia, Panji sebelum menyambung latihan di gelanggang futsal KB Futsal Arena, Padang Tembak sebagai persiapan terakhir pasukannya.

Rozmin Musa (dua,kanan) memberi taklimat kepada para pemain futsal Kelantan ketika menjalani latihan semalam.

Dalam perlawanan terdahulu, Kelantan berjaya mengalahkan Kelab Bola Sepak Batang Padang dari Perak dengan kemenangan 3-1 sebelum seri 3-3 dengan Selangor PKNS FC.

Sehingga kini, Kelantan menduduki tangga teratas kumpulan A dengan mengutip empat mata sambil diekori rapat Pulau Pinang dan Felda United FC yang turut mempunyai mata yang sama tetapi dibezakan dengan jaringan gol.

SAYA MINTA MAAF - SATHIANATHAN


B Sathianathan

KOTA BHARU – ‘Saya minta maaf kepada semua penyokong Kelantan’. Begitu pengakuan ikhlas Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sesudah aksi longlai pemain Kelantan menghukum pasukannya daripada mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang KL Plus FC di Kota Bharu malam semalam.

Dalam perlawanan malam semalam, keghairahan pemain Kelantan meraikan kemenangan berharga diragut melalui dua gol pasukan pelawat dalam minit-minit akhir masa kecederaan.

“Ini satu pengajaran yang cukup berguna kepada pasukan termasuk saya sendiri. Setelah kita selesa mendahului 3-1 pada satu ketika, kecuaian pemain kita sendiri memaksa kita berputih mata daripada meraih tiga mata itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Inilah bola sepak. Saya akui kita bermain dengan teruk pada separuh masa pertama. Namun, kita bangkit pada separuh masa kedua dan mendapatkan dua gol. Pemain telah bermain bersungguh-sungguh setelah kita ketinggalan satu gol pada satu ketika. Kita juga mempunyai banyak peluang menjaringkan gol pada perlawanan itu.

“Tetapi akhirnya kita diaibkan dengan dua gol pasukan pelawat dalam tempoh dua minit. Bahagian pertahanan kita tidak bermain dengan baik seperti mana dalam aksi Liga Super lalu.

Menurut Sathianathan, faktor kekuatan mental dikenalpasti sebagai punca mengapa pemain Kelantan gagal mencipta kemenangan pada perlawanan tersebut. 

Suasana suram menyelubungi kem Kelantan sebaik sahaja pasukan KL Plus menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan.

“Pemain diberi cuti rehat selama dua hari bagi memulihkan tahap keyakinan masing-masing. Tempoh rehat selama 10 hari ini, saya akan digunakan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan itu sebelum kita berhadapan dengan Negeri Sembilan pada 3 Oktober nanti.

“Kecuaian adalah alasan utama mengapa kita tidak boleh menang pada perlawanan itu. Semua pemain harus bertanggungjawab diatas keputusan itu. Yang pasti, mentaliti pemain kita merosot dalam perlawanan itu,” katanya.

“Apa yang berlaku ini ada hikmah semuanya. Saya percaya lebih baik perkara ini berlaku sekarang daripada kita menghadapinya di peringkat suku akhir.

Sementara itu, Sathianathan tetap mempertahankan barisan pemain yang menjadi pilihannya ketika diturunkan pada perlawanan itu.

“Hairuddin (Omar) diketepikan kerana mengalami demam. Mohd Norfarhan (Muhammad) juga masih lagi bergelut dengan kecederaan. Senarai 18 pemain yang dipilih merupakan yang terbaik hasil daripada perlawanan lalu dan latihan.

“Begitu juga dengan pemilihan penjaga gol, Syed Adney (Syed Hussien). Dia menunjukkan prestasi yang baik dalam dua perlawanan lalu. Jadi tidak ada sebab mengapa dia tidak boleh diturunkan dalam perlawanan semalam,” katanya.

Tuesday, September 21, 2010

MALAM MALANG BUAT KELANTAN

KELANTAN 3
Indra Putra Mahayuddin (m-36,60)
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-63)

KL PLUS FC 3
Azi Shahril Azmi (m-22)
Rusydee Samsuddin (m-90)
Mohd Zaidi Ahmad (m-91)
Ribuan penyokong setia Kelantan begitu hampa dengan keputusan seri dengan KL Plus FC dalam perlawanan malam tadi.

KOTA BHARU – Dua gol dalam masa kecederaan oleh pasukan KL Plus FC meranapkan impian Kelantan untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri setelah dipaksa seri 3-3 dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Disaat tiga mata berada dalam genggaman pasukan Kelantan, jaringan Rusydee Samsuddin dan Mohd Zaidi Ahmad pada masa kecederaan menghancurkan impian Kelantan untuk melakarkan kemenangan pertama di tempat sendiri.

Kegarangan KL Plus FC mula terserlah seawal minit kedua, apabila sepakan percuma Azi Shahril Azmi mencetuskan kekalutan didepan pintu gol Kelantan, namun penyudah Rusydee Samsuddin dihalang pertahanan menghasilkan sepakan penjuru kepada pasukan pelawat.

Selang lima minit kemudian, Kelantan mula membalas apabila salah faham diantara Irwan Fadzli Idrus Mohamad Abd Aziz Ismail membolehkan S Chanturu melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha namun rembatannya ditepis keluar penjaga gol, Mohamad Faizal Abdul Rashid.

KL Plus mengejutkan Kelantan melalui gol pertama pada m-22, menerusi rembatan jarak dekat Azi Shahril setelah menampan dengan baik hantaran lintang Mohamad Badrul Hisani daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan bangkit mencari gol penyamaan. Hasilnya, pada m-33, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Norhafiz Zamani Misbah didalam kotak penalti.

Norshahrul Idlan yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut gagal menghasilkan jaringan untuk Kelantan apabila sepakannya diselamatkan Mohamad Faizal.

Namun, Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin menebus kehampaan peminat setia Kelantan tiga minit kemudian apabila sepakan percuma yang diambil dari jarak 25 meter tepat menerjah penjuru sebelah kanan pintu gol pasukan pelawat.
Dua gol sumbangan Kapten, Indra Putra Mahayuddin belum cukup memastikan Kelantan meraih tiga mata penuh semalam.

Gol penyamaan tersebut ternyata tidak mematahkan semangat juang pasukan pelawat yang melakukan beberapa perubahan taktikal pada perlawanan malam tadi termasuk meletakkan Mohd Fadzli Shaari bertindak sebagai pemain pertahanan terakhir disamping menurunkan penyerang veteran, Mohd Nizaruddin Yusuf bermain sepenuh masa.

Babak kedua, Kelantan mula menukar corak serangan dengan bermain secara agresif melalui larian kencang S Chanturu sambil kekentalan Indra Putra menjana bahagian tengah menghidupkan corak serangan The Red Warriors.

Pada m-56, Kelantan hampir menambah jaringan kedua melalui rembatan rendah Indra Putra tetapi ketangkasan Mohamad Faizal menafikan hasrat pasukan tuan rumah.

Percaturan B Sathianathan memasukkan Muhd Badhri Radzi menampakkan hasil apabila dua gol yang dijaringkan pada separuh masa kedua itu merupakan hasil gerakan beliau.

Kelantan kembali mendahului dengan jaringan 2-1 pada m-60 apabila hantaran lintang Muhd Badhri dimanfaatkan sepenuhnya oleh Indra Putra melalui tandukan lemah seterusnya menghasilkan gol kedua Kelantan setelah Mohamad Faizal gagal menangkap kemas hantaran tersebut.

Stadium kembali bergema pada m-63, kali ini menerusi tandukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang bijak menyambut baik hantaran lintang Muhd Badhri seterusnya menewaskan Mohamad Faizal buat kali ketiga.

Pada ketika Kelantan dilihat mula mengendurkan serangan dan seakan berpuas hati dengan kelebihan dua gol itu, pasukan pelawat pula mencuri tumpuan pada m-72 dan 80 perlawanan namun percubaan Mohd Nizaruddin jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Ketika perlawanan menuju ke penghujung masa untuk ditamatkan, penyerang KL Plus FC, Rusydee Samsuddin mencuri tumpuan apabila berjaya merapatkan jurang gol setelah menanduk masuk hantaran lintang Mohd Fazrul Hazli seterusnya menewaskan Syed Adney Syed Hussien.

Detik malam malang buat Kelantan terjelma lagi seminit selepas itu. Kali ini rembatan jarak jauh dari sebelah kiri padang oleh pemain pertahanan, Mohd Zaidi Ahmad menghukum kealpaan anak buah B Sathianathan daripada meraikan kemenangan bergaya malam tadi.

Rembatan kencang beliau gagal diselamatkan oleh Syed Adney dan menghasilkan gol penyamaan buat pasukannya.

Ternyata keputusan seri malam tadi merupakan satu tamparan hebat buat pengendali Kelantan, B Sathianathan setelah hanya mampu mengutip empat mata daripada tiga perlawanan sambil para penyokong Kelantan sudah pasti mengharapkan perubahan besar-besaran dilakukan menjelang saingan pusingan kedua bermula minggu hadapan sekiranya impian mahu mendakap piala paling berprestij terlaksana musim ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan A, Selangor PKNS FC tumbang 1-2 di tangan Negeri Sembilan dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN – Syed Adney Syed Hussien, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Zairul Fitree Ishak, Khairan Eroza Razali (Muhd Badhri Radzi), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli

FORMASI : 4-4-2

KL PLUS FC – Mohamad Faizal Abdul Rashid, Mohamad Zaidi Ahmad, Mohd Fadzli Shaari, Norhafiz Zamani Misbah (KP), Irwan Fadzli Idrus (Mohd Nazrin Mohd Nawi), Mohamad Abdul Aziz Ismail, Es Lizuan Zahid Amir, Azi Shahril Azmi (Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri), Muhammad Badrul Hisani Abd Rahman, Rusydee Samsuddin dan Mohd Nizaruddin Yusuf.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (6) KL Plus FC (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) KL Plus FC (7)
Sepakan sudut : Kelantan (11) KL Plus FC (5)
Sepakan percuma : Kelantan (15) KL Plus FC (12)
Offsaid : Kelantan (2) KL Plus FC (3)
Kekasaran : Kelantan (10) KL Plus FC (11)
Kad kuning : Kelantan (Indra Putra Mahayuddin) KL Plus FC (Azi Shahril Azmi)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%)  KL Plus FC (45%)

FORMASI : 4-4-2

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Romzi Zahari
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Azmi Khalid
Pegawai Keempat : Mohamad Che Meh
General Koordinator: Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Azman Sulong