Sunday, August 28, 2011

FUTSAL AIDILFITRI RAYA KELIMA

KOTA BHARU – Hadiah wang tunai keseluruhan RM3,900 bakal menjadi rebutan bagi 48 pasukan yang beraksi dalam Kejohanan Futsal AidilFitri 2011  yang akan berlangsung di KB Futsal Arena, Pengkalan Chepa pada 3 September ini.  

Sebagaimana kelazimannya sambutan perayaan setiap tahun, pihak KB Futsal Arena sekali lagi mengambil inisiatif dengan mengadakan kejohanan futsal berbentuk ‘beraya sambil beriadah’ kepada peminat setia sukan futsal di negeri ini.

Pengarah Kejohanan, Ahmad Rokmar Abdullah berkata, kejohanan ini diadakan sempena dengan sambutan perayaan dan dijangka mendapat sambutan memandangkan ramai anak-anak perantauan yang balik bercuti pada hari raya ini.

“Sepertimana tahun lalu, kejohanan kali ini juga menyaksikan dua kategori akan dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Remaja Bawah 20 Tahun ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam

“Yuran penyertaan yang dikenakan ialah sebanyak RM130 bagi kategori Terbuka Lelaki dan RM90 bagi kategori Remaja Bawah 20 Tahun. Juara bagi kategori Terbuka Lelaki akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, naib juara RM500, sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM250.

“Sementara dalam kategori Remaja Bawah 20 Tahun pula, juara akan menerima wang tunai RM 800, naib juara RM400 dan tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM200,” katanya.

Bagi mana-mana pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh menghubungi Ahmad Rokmar ditalian 016 – 415 2295 atau pejabat KB Futsal Arena 09 – 798 8212. Tarikh tutup kejohanan ini ialah 1 September ini.

SATHIA SEDIA KEMBALI

SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Bebas daripada hukuman penggantungan sejak sebulan lalu, bekas jurulatih Kelantan B Sathianathan kini bersedia sepenuhnya kembali ke kancah kejurulatihan yang ditinggalkannya sejak awal tahun ini.

Bekas jurulatih kebangsaan berusia 53 tahun itu sebelum ini digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal tahun ini gara-gara mengeluarkan kenyataan media dengan mengkritikan tindakan badan induk bola sepak kebangsaan itu mengubah venue perlawanan Liga Super di antara Perlis menentang Terengganu pada tahun lalu.

Selain menerima tawaran daripada sebuah kelab di Indonesia dan Myanmar, Sathianathan yang pernah membantu skuad kebangsaan bawah 23 tahun muncul juara Pesta Bola Merdeka pada tahun 2007 turut dikhabarkan dipancing tiga pasukan lain yang beraksi dalam Liga Malaysia untuk musim depan.

Sathianathan yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Bola Sepak Al-Hambra Red Warrior (ARMY) ketika ditemui tidak menafikan ada menerima tawaran tersebut namun sedang memperhalusi setiap tawaran tersebut sebelum membuat sesuatu keputusan.  

“Memang saya ada menerima tawaran daripada kelab di Indonesia dan Myanmar dan ejen saya sedang berunding sekarang. Saya juga ada dihubungi oleh beberapa pegawai pasukan bola sepak tempatan mengenai tawaran ini namun belum memberikan kata putus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

“Sebagai jurulatih sudah pasti saya ingin kembali ke padang. Saya bukan jenis seorang yang suka duduk diam. Saya sudah menerima padahnya digantung selama enam bulan dan berharap ianya menjadi satu pengajaran berguna kepada diri saya sendiri.

“Walaubagaimanapun saya kena merujuk kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa terlebih dahulu mengenai perkara ini. Saya sudah maklumkan kepada beliau mengenai tawaran ini. Kalau saya hendak menandatangani tawaran sekalipun saya perlu minta izin daripada beliau,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk mengembangkan kerjaya di luar negara, Sathianathan turut mengakui keterujaannya untuk berbuat demikian namun beliau perlu menilai daripada pelbagai sudut termasuk soal tawaran yang dikemukakan sebelum membuat keputusan tersebut.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang pasukan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia yang bermula tidak lama lagi, Sathianathan turut optimis betapa bekas pasukan kendaliannya mampu menamatkan saingan Liga Malaysia musim ini dengan mempertahankan kejuaraan yang pernah dimenangi musim lalu.

“Saya sayangkan pasukan Kelantan kerana pasukan ini telah membawa kejayaan kepada saya dan para penyokongnya. Saya menghargai Tan Sri Annuar Musa kerana memberi peluang kepada saya membimbing pasukan ini sehingga muncul juara buat pertama kali sejak 89 tahun lalu.

“Sekarang saya lihat Kelantan merupakan satu pasukan yang cukup kuat. Kita sudah ada asas yang kukuh dalam pembentukan pasukan. Saya yakin, kita akan memenangi Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini,” katanya.

Thursday, August 25, 2011

PSK TAMPIL BERI PENJELASAN

Kadar sewa kemudahan di Stadium Sultan Muhammad IV dinaikkan sehingga RM1,2000

KOTA BHARU – Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan mengenai isu kadar sewa baru kemudahan padang dan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Semalam akhbar ini melaporkan, pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melahirkan kekesalannya apabila dimaklumkan menerusi satu surat bertarikh 3 Ogos lalu yang menyatakan kadar sewa stadium dinaikkan daripada RM650 kepada RM1,200 bagi tempoh sewaan selama dua jam pada sebelah malam.

Setiausahanya, Azi Rahimee Mohamed berkata, kenaikan tersebut dilakukan bagi menyeragamkan kadar sewa memandangkan pihak perbadanan stadium sudah lama tidak menaikkan kadar sewa menggunakan kemudahan stadium tersebut.

“Kenaikan ini tidak dapat dielakkan memandangkan berlakunya peningkatan kos terutamanya dalam aspek penyelenggaraan padang dan lampu limpah stadium. Kenaikan ini difikirkan munasabah memandangkan penggunaan kadar elektrik yang tinggi selaras dengan peningkatan tahap pencahayaan lampu limpah stadium ini sendiri,” katanya kepada media di Kota Bharu, semalam.

“Sebelum ini kadar sewa padang ialah RM150 dan dinaikkan kepada RM250 manakala sewa penggunaan lampu limpah pula ialah RM950 berbanding kadar lama RM500. Ini bererti kadar sewa baru ialah RM1,200.

“Perkara ini tidak seharusnya menjadi isu memandangkan dalam mesyuarat ahli majlis perbadanan stadium pada 3 Ogos lalu, wakil Kafa Datuk Afandi Hamzah yang mewakili Presidennya, Tan Sri Annuar Musa turut hadir dan tidak membangkitkan perkara berkenaan dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Menurut Azi Rahimee, pihak Kafa boleh mengemukakan rayuan kepada perbadanan stadium sekiranya tidak berpuas hati mengenai kadar sewa baru ini.

“Kafa kena mengemukakan permohonan rayuan kepada pihak perbadanan stadium sekiranya mahu diberi pengecualian. Jadi, terpulang kepada Pengerusi PSK (Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob) untuk memberikan pengecualian sebanyak mana kepada Kafa.

“Sebelum ini kita selalu memberi pengecualian sewa dalam beberapa program Kafa termasuk sambutan perarakan Piala Liga Super yang diadakan di stadium ini pada pertengahan bulan Julai lalu,” katanya.

Difahamkan kenaikan kadar sewa Stadium Sultan Muhammad IV ini ditakrifkan masih lagi rendah berbanding dengan sewaan Stadium Darul Makmur, (Pahang), Stadium Tan Sri Hassan Yunos, (Johor) dan Stadium Negeri Batu Kawan (Pulau Pinang).

Wednesday, August 24, 2011

KADAR SEWA BARU BEBANKAN KAFA

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) yang menaikkan kadar sewa padang dan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV hampir seratus peratus sejak 3 Ogos lalu.

Kenaikan kadar sewa itu diterima oleh Kafa menerusi satu surat yang dihantar kepada pihaknya bertarikh 3 Ogos yang memaklumkan kadar baru yang dikenakan ialah RM1,200. Sebelum ini, kadar sewa ialah RM650 bagi penggunaan padang dan lampu limpah stadium bagi tempoh dua jam pada sebelah malam.

Naib Presidennya, Rosmadi Ismail ketika ditemui memaklumkan pihaknya terkejut dengan tindakan pihak perbadanan stadium yang menaikkan kadar sewa itu tanpa alasan yang kukuh.

“Kafa sebelum ini menyewa kemudahan stadium bagi menjalani latihan pada sebelah malam dengan kadar RM650 iaitu merangkumi sewa padang RM150 dan lampu limpah RM500. Namun bermula 3 Ogos lalu, kita dikenakan kadar baru RM1,200 iaitu sewa padang RM250 dan lampu limpah RM950,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Pengumuman kenaikan kadar baru ini ternyata membebankan Kafa kerana setiap ringgit dan sen yang kita belanjakan adalah daripada sumber kewangan kita sendiri dimana kita hanya bergantung kepada sumbangan penajaan dan hasil kutipan jualan tiket setiap perlawanan.

“Kenaikan ini tidak sepatutnya berlaku dan kita berharap pihak perbadanan stadium dapat mempertimbangkan semula kadar sewa baru ini. Ianya begitu membebankan bukan sahaja kepada pihak Kafa malah pihak-pihak lain yang ingin menyewa stadium ini pada masa akan datang,” katanya.

Sambil memberi contoh kadar kemudahan sewa beberapa stadium di Lembah Kelang yang jauh lebih murah, Rosmadi menjelaskan, tindakan menaikkan sewa itu sebenarnya tidak membantu pihak Kafa yang selama ini bergerak tanpa sokongan kewangan apatah lagi mendapat geran penajaan daripada kerajaan negeri .

“Kita akan membincangkan perkara ini dalam satu mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Kafa tidak lama lagi. Kita akan menghantar surat rayuan kepada pihak perbadanan stadium bagi memohon mereka menimbangkan pengurangan kadar sewa ini.

“Kafa sebenarnya mempunyai peruntukkan yang terhad dalam membangunkan pasukan bola sepak Kelantan dan kita berharap mereka dapat mempertimbangkan kadar sewa yang dikenakan kepada kita untuk menggunakan kemudahan stadium tersebut bagi menjalani latihan pada sebelah malam,” katanya.

Bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi, skuad Kelantan menjalani latihan selama dua jam pada setiap malam di Stadium Sultan Muhammad IV bermula 4 Ogos lalu.

CARI KOMBINASI TERBAIK - KARATHU

KARATHU

KOTA BHARU – Perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bakal menjadi medan terbaik bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu untuk mencari kombinasi terbaik bagi pasukannya.

Karathu berkata, sekalipun berstatus perlawanan persahabatan namun pertemuan dengan T-Team memang cukup sengit memandangkan pasukan tersebut sudah dua kali mengatasi Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Saya tidak memikirkan sangat mengenai keputusan perlawanan ini. Saya akui T-Team merupakan pasukan yang kuat kerana dibarisi pemain pengalaman namun saya mengambil kira faktor mencari kombinasi pemain terbaik untuk pasukan kita dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus mengendalikan sesi latihan di Kota Bharu, malam semalam.

“Saya akan menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan ini. Pemain pinjaman, R Surendran terpaksa berehat selama tiga minggu kerana mengalami keretakan buku lali. Saya kini hanya ada empat pemain iaitu Norshahrul Idlan (Talaha), Azammuddin (Mohd Akil), Mohd Nizab (Ayub) dan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) di bahagian serangan,

“Saya juga masih tidak berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain yang kini hanya mencapai sekitar 70 peratus. Pemain hanya  ada tempoh seminggu lagi untuk mencapai tahap seperti yang saya kehendaki,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Karathu jelas tidak mahu terlalu yakin diatas kejayaan pasukan The Red Warriors memenangi kesemua tiga perlawanan persahabatan pra Piala Malaysia yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

“Ianya sekadar siri perlawanan persahabatan sahaja. Kita hanya mahu mencari keserasian di antara pemain. Memang kita menang besar 5-0 ke atas Kuala Lumpur tetapi mereka juga main bagus. Kita anggap perlawanan itu sebagai satu latihan dan saya lihat sudah ada kemajuan dibahagian serangan kita.

“Dengan Selangor kita menang 1-0 dan kita beraksi cemerlang namun mereka memberi tekanan kepada kita. Itu sesuatu yang bagus, saya mahu pasukan kita merasai tekanan setiap kali beraksi diluar. Ini amat penting sebagai persediaan kita menghadapi Sarawak pada perlawanan pertama kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai tekanan yang dihadapinya dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu, Karathu tetap mempunyai keyakinan yang tinggi dan tidak mahu menutup aksi Liga Malaysia musim ini dengan sesuatu yang mengecewakan bagi pasukan Kelantan.

“Sebagai juara bertahan sudah pasti kita mahu mempertahankannya (memenangi Piala Malaysia). Kalau semua pemain bekerja kuat, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh menang.

“Saya yakin kita mampu mara ke saingan suku akhir dan dari situ itulah ujian getir yang bakal kita tempuhi. Kalau kita mahu muncul juara, kita tidak boleh melakukan kesilapan bermula di saingan suku akhir itu,” katanya.

Monday, August 22, 2011

T-TEAM UJI KELANTAN

Imbas kembali....aksi pemain pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose cuba menyekat kemaraan Norshahrul Idlan Talaha dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Kelantan tewas 1-2 kepada T-Team di Kota Bharu.

KOTA BHARU – Pasukan berstatus kelab, T-Team bakal menguji kehebatan juara bertahan, Kelantan apabila kedua-dua turun berentap dalam aksi perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada jam 10 malam Rabu ini.  

Pertemuan menentang pasukan bimbingan Yunus Alif itu sentiasa menjadi perhatian sepanjang musim ini memandangkan tiga bekas wira The Red Warriors musim lalu, iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose memilih menyertai kelab tersebut secara ‘senyap’ tanpa pengetahuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) penghujung musim lalu.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Noordin Awang berkata, perlawanan persahabatan itu cukup penting memandangkan itu merupakan perlawanan keempat bagi The Red Warriors sebelum mengakhiri persiapan dengan menguji Songkla FC pada 26 Ogos ini.

“Biasanya pertemuan menentang T-Team ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh penyokong setia Kelantan memandangkan kedua-dua pasukan sentiasa berusaha keras untuk menang setiap kali bertemu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai perlawanan tersebut, semalam.

“Namun ini merupakan perlawanan persahabatan sebagai menghadapi persiapan kempen Piala Malaysia bagi kedua-dua pasukan. Saya fikir ianya cukup memberi manfaat bagi kedua-dua pasukan bagi mencari barisan bayangan sebelum menghadapi perlawanan pertama kempen Piala Malaysia nanti.

“Jadi saya berharap dengan ada satu-satunya perlawanan persahabatan yang diaturkan oleh Kafa di Kota Bharu ini dapat memberi peluang kepada peminat tempatan untuk melihat persiapan terkini pasukan Kelantan yang sudah menjalani latihan sejak 4 Ogos lalu,” katanya.

Sementara itu, tiket-tiket perlawanan persahabatan ini akan dijual bermula jam tiga petang di kaunter tiket stadium dengan harga RM10 bagi tempat duduk astaka dan RM5 bagi tempat duduk terbuka.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Super musim ini berpihak kepada T-Team yang mencatatkan kemenangan 4-3 di Kuala Terengganu. Sementara dalam aksi timbal balik, pasukan T-Team muncul satu-satunya pasukan yang berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di Kota Bharu menerusi kemenangan tipis 2-1.

Dalam saingan kalah mati kempen Piala FA pula, Kelantan berjaya menyingkirkan ego pasukan tersebut menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam masa permainan sebenar.

Untuk kempen Piala Malaysia musim ini, T-Team bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain pinjaman iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana daripada pasukan MP Muar FC, Mohd Fitri Omar dan Mohd Jibrail Kamaron Baharin (Pos Malaysia FC).

Sementara Kelantan yang menghadapi tugas berat dalam usahanya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu menggunakan khidmat dua pemain Pahang iaitu Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran bagi kempen Piala Malaysia kali ini. 

MOHAMAD NOORDIN AWANG 

Sunday, August 21, 2011

ZAIRUL TERLEPAS PELUANG

Zairul Fitree menunjukkan lutut kanannya yang mengalami kecederaan dan terpaksa disuntuk cecair bagi mengurangkan kesakitan.

KOTA BHARU – Gara-gara kecederaan lututnya berulang, pemain pertahanan kiri Kelantan, Zairul Fitree Ishak bakal terlepas peluang beraksi dalam perlawanan pertama kempen Piala Malaysia musim ini.

Zairul Fitree, 26 tahun yang turut dibawa ke ibu negara bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan skuad The Red Warriors bagaimanapun terpaksa diketepikan daripada perancangan Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu dalam menghadapi perlawanan tersebut.

Sebaliknya atas nasihat pegawai perubatan pasukan, beliau terpaksa dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya bagi mendapatkan rawatan susulan ekoran kecederaan yang dialaminya itu.

“Doktor mengesahkan saya mengalami kecederaan lutut dibahagian meniscus dan perlu rehat sekurang-kurangnya tiga minggu untuk kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Kecederaan ini dialami pada penghujung bulan Julai lalu ketika saya beraksi bersama skuad Kelantan menentang sebuah kelab bola sepak tempatan dalam satu perlawanan persahabatan. Kemudian saya mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Perdana dan berehat selama dua minggu.

“Sehari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, saya kembali turun menjalani latihan pada sebelah malam namun nasib saya tidak baik apabila kecederaan ini sekali lagi menimpa saya setelah berlaga dengan salah seorang pemain,” katanya.

Menurut Zairul Fitree atau lebih dikenali dengan panggilan Roypy, ekoran daripada kecederaan tersebut beliau tidak dapat melakukan pergerakan fizikal termasuk berlari dan juga menendang bola.

“Hendak melipatkan lutut pun tidak boleh apatah lagi berlari atau menyepak bola. Doktor memberikan rawatan dengan menyuntik cecair berupa gel ke bahagian lutut kanan saya ini.

“Menurut doktor, meniscus merupakan sebahagian daripada struktur lutut yang berfungsi sebagai ‘cushion’ atau pelapik untuk memudahkan pergerakan sendi lutut. Mungkin meniscus saya terkoyak atau luka ketika mengalami kecederaan baru-baru ini.

“Saya dinasihatkan berehat selama tiga minggu dan nampak gayanya saya terpaksa melupakan hasrat untuk membantu Kelantan dalam perlawanan pertama kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Selaku juara bertahan, Kelantan yang diundi bersama Johor FC, KL Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C dan akan bertemu pasukan dari Kepulauan Borneo itu dalam perlawanan pembukaan pada 6 September depan di Stadium Kuching.

KAFA SEDIA BERI GANJARAN

ROSMADI

KOTA BHARU – Perit menanggung beban terpaksa membayar denda yang tinggi, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bertegas akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi membendung tindakan liar segelintir para penyokongnya dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Naib Presidennya, Rosmadi Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas selepas hari raya ini bagi membincangkan lebih terperinci mengenai usaha  membanteras perlanggaran peraturan terutamanya ketika menonton perlawanan bola sepak di Kota Bharu.

“Kita memandang serius diatas hukuman denda ini dan tidak teragak-agak mengambil pendekatan yang lebih tegas dalam mendidik penyokong Kelantan supaya lebih berdisiplin pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.  

“Malah Kafa akan menimbangkan cadangan untuk memberi ganjaran kepada penyokong yang berjaya menahan pelaku kesalahan atau individu yang memberi maklumat kepada pihak berkuasa sehingga tertangkapnya pelaku kesalahan tersebut.

“Kita seharusnya belajar daripada pengajaran lalu apabila salah seorang peminat bola sepak berasal dari negeri ini yang datang ke Stadium Nasional semata-mata memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan ketika menentang pasukan Chelsea akhirnya mengalami buta sebelah mata kanan angkara balingan mercun oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Rosmadi, sebagai langkah membendung gejala tersebut pihak Kafa juga bercadang untuk menambahkan bilangan anggota keselamatan beruniform dan berpakaian premain di segenap kawasan di dalam stadium selepas ini.

“Kita tidak mahu insiden buruk seperti itu berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV yang mana sudah pasti mencemarkan imej bola sepak negeri ini dan akhirnya pihak Kafa juga yang dipersalahkan.

“Jadi nasihat saya kepada para penyokong hentikanlah budaya membakar mercun dan membaling objek. Bukan setakat membahayakan orang lain tetapi juga pegawai perlawanan dan pemain yang beraksi diatas padang.

Pihak Kafa akan mengetatkan peraturan untuk memastikan tidak berulangnya insiden membaling mercun dan objek di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

“Saya juga mengharapkan ahli-ahli kelab penyokong menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dan Kafa. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal ini kerana ianya membabitkan soal keselamatan semua pihak,” katanya.

Empat hari lalu, pihak Kafa menerima sudah pertuduhan dan bakal didenda RM20,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya didapati bersalah diatas tindakan liar segelintir para penyokongnya yang membaling mercun dan botol minuman ke padang pada aksi perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Jun lalu.

SEKADAR MENANG TIPIS

Mohd Nizab (kiri) muncul wira pasukan Kelantan apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika bertemu PDRM di Stadium MPS, Selayang, malam semalam.

PDRM 0

KELANTAN 1
Mohd Nizab Ayub (m45)

SELAYANG – Kelantan menamatkan siri perlawanan persahabatan pra kempen Piala Malaysia dengan aksi cemerlang setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM di Stadium MPS, Selayang, malam semalam.

Kejayaan mengalahkan PDRM itu melengkapkan aksi cemerlang barisan pimpinan Datuk M Karathu sepanjang mengharungi tiga perlawanan persahabatan di Lembah Kelang yang berakhir malam semalam. Sebelum ini Kelantan membelasah Kuala Lumpur 5-0 dan Selangor (1-0).

Biarpun beraksi hambar, namun jaringan tunggal menerusi penyerang Mohd Nizab Ayub pada minit terakhir babak pertama sudah cukup untuk menyelamatkan maruah pasukan Kelantan daripada berkongsi keputusan seri dalam aksi perlawanan tersebut.

Seawal minit ke-10 perlawanan, Kelantan terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan Muhammad Ramzul Zahini Adenan namun dibatalkan pengadil setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

PDRM yang dibimbing oleh jurulatih K Thaiyanathan begitupun tetap mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi rangkaian penyerangnya namun penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail beraksi cemerlang sepanjang perlawanan tersebut.

Minit-minit akhir babak pertama, Mohd Nizab menamatkan keresahan penyokong setia Kelantan apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam perlawanan tersebut. Hantaran R Surendran dimanfaatkan sepenuhnya Mohd Nizab menerusi rembatan jarak dekat di depan pintu gol pasukan PDRM.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi Khairul Izuan Abdullah pada m-58 namun sempat ditepis keluar Mohd Shahrizan manakala kuisan Mohd Fauzi Abdul Majid lima minit kemudian pula gagal menghasilkan gol.

Minit-minit akhir perlawanan, Mohd Fauzi sekali lagi gagal menjaringkan gol penyamaan bagi pasukannya apabila tandukannya diselamatkan Mohd Shahrizan di pintu gol Kelantan.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :

PDRM : Muhammad Hamdan Sairi, Shahrulnizam Saparuddin (Muhammad Yusri Yusof), Mohd Khairul Azrin Mohd Kabri, Alif Haikal Ganaeson, Hafizi Salim, Mohd Afif Amiruddin, Muhammad Hafis Abd Rashid, Eddy Gapil, Mohammad Helmi Abdul Karim (Mohammad Isham Johan),  Khairul Izuan Abdullah dan Mohd Fauzi Abd Majid.

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Wan Rohaimi Wan Ismail, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (S Subramaniam), Khairan Eruan Razali, Danial Fadzly Abdullah (Wan Zaman Wan Mustapha), Khairan Eroza Razali, Solehin Kanasian Abdullah, Khairul Izuan Rosli (Norshahrul Idlan Talaha), R Surendran (Mohammad Ab Aziz Ismail), Mohd Nizab Ayub (Mohammad Aris Zaidi) dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan.

SELANGOR TUMBANG LAGI

Penyerang Kelantan, Azammuddin Mohd Akil (kiri) mudah memperdayakan Mohd Nasriq (kanan) dan penjaga gol, Mohd Iqbal untuk menjaringkan gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan persahabatan malam semalam. 

SELANGOR 0

KELANTAN 1
Azammuddin Mohd Akil (m-29)

SHAH ALAM – Badi kekalahan Selangor seakan tidak boleh dipadamkan apabila sekali lagi kecundang 0-1 kepada musuh ketatnya, Kelantan dalam aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam semalam.

Stadium Shah Alam sememangnya bukan lagi gelanggang kebal bagi Selangor sebaliknya harus akur menerusi jaringan tunggal pemain berstatus ‘pinjaman’ dari Pahang, Azammudin Mohd Akil pada  m-29 dalam perlawanan tersebut.

Seawal minit ke-14, Kelantan terlebih menguji pintu gol The Red Giants menerusi rembatan Kapten Pasukann, Muhd Badhri Radzi namun mudah diselamatkan Mohd Iqbal Mohd Suhaimi.

Selangor yang turut menampilkan pemain pinjaman dari skuad Harimau Muda A, Haziq Zikri Elias dalam perlawanan ini turut mempunyai peluang menerusi penyerang licik, Mohd Fitri Shazwan Raduwan pada m-26 namun terjerat dengan perangkap ofsaid oleh benteng pertahanan Kelantan.

Sehinggalah tiga minit kemudian, stadium bergema dengan sorakan hampir 5,000 penyokong setia The Red Warriors apabila Azammuddin menjaringkan gol kemenangan untuk Kelantan.

Berpunca daripada hantaran Muhd Badhri dari tengah ke dalam kotak penalti, Azammuddin bijak meloloskan diri daripada benteng pertahanan Selangor sebelum memperdayakan Mohd Iqbal seterusnya melakukan rembatan mudah untuk gol kemenangan Kelantan.

Memasuki babak kedua, kecederaan yang dialami Mohd Rizal Fahmi memaksa beliau meninggalkan padang namun kemasukkan pemain Piala Presiden, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim tampak tidak banyak membantu sebaliknya beliau dilihat seakan gugup beraksi dalam perlawanan ini.

Pemain bek kiri kebangsaan, Mohd Asraruddin Putra Omar hampir menyamakan kedudukan untuk pasukannya pada m-86 namun tandukannya sekadar menggegarkan palang gol Kelantan.

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan seharusnya memperolehi gol kedua namun pemain gantian, Mohd Nizab Ayub memilih untuk menyepak tinggi ke arah pintu gol Selangor rentetan percubaan Mohamad Aris Zaidi sebelum itu.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN
:

SELANGOR :  Mohd Iqbal Mohd Suhaimi, P Gunalan (Mohd Asraruddin Putra Omar), Yosri Derma Raju, Mohd Razlan Roslan, Mohd Nasriq Baharom, Mohd Hardi Jaafar, Mohd Amri Yahyah (KP), Haziq Zikri Elias (Mohd Amirulhadi Zainal), Rudie Ramli (Azidan Sarudin), Mohd Fitri Shazwan Raduwan dan Mohd Fadzli Shaari (Shafiq Rahim).

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Mohammad Ab Aziz Ismail, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eruan Razali), Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Nizad Ayub), S Chanturu (Mohamad Aris Zaidi) Azammuddin Mohd Akil (R Surendran) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Thursday, August 18, 2011

KARATHU TAGIH AKSI TERBAIK

Aksi kedua-dua Kapten Pasukan, Mohd Amri (kiri) dan Muhd Badhri berebut bola diudara dalam perlawanan Liga Super di Shah Alam tidak lama dulu. Kelantan menang 2-0 ke atas Selangor dalam perlawanan itu. 

KOTA BHARU – Biarpun kempen Piala Malaysia hanya menjelma tiga minggu lagi, namun perseteruan dua musuh tradisi bola sepak tempatan tidak pernah padam. Malah andai ramalan menjadi kenyataan, kedua-dua pasukan ini dijangka berentap dalam pentas final Piala Malaysia musim ini.

Namun bezanya Selangor dan Kelantan terlebih dahulu cuba menghidupkan bahang suasana perlawanan akhir lebih awal apabila bertemu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui peluang bertemu dengan Selangor akan dipergunakan sebaik mungkin bagi beliau dalam menguji keserasian pemain setelah pasukan kendaliannya membelasah Kuala Lumpur 5-0 tempohari.  

“Saya memang tunggu perlawanan ini kerana saya sentiasa melihat Selangor merupakan antara pasukan yang terkuat sepanjang musim. Ini dibuktikan apabila mereka mengalahkan skuad kebangsaan 1-0 baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Biarpun berstatus perlawanan pemanas badan, namun saya akan tetap menurunkan barisan terkuat dalam perlawanan ini. Saya fikir ini merupakan satu perlawanan yang cukup menarik dan memberi ilham kepada saya untuk mencari kesebelasan utama terbaik bagi Kelantan.

“Saya harap pemain yang diturunkan dapat menunjukkan persembahan yang baik. Mungkin untuk tempoh 45 minit yang pertama, saya akan menurunkan kebanyakkan pemain utama. Seperti Selangor, kita juga mahu menilai kelemahan pasukan kita dan saya menagih aksi terbaik daripada semua pemain,” katanya.

Menurutnya, biarpun mencatatkan kemenangan yang besar ke atas Kuala Lumpur,  namun beliau ternyata belum berpuas hati dengan tahap kecergasan para pemain yang disifatkan tidak berada tahap sepatutnya dikehendakinya ketika ini.

“Saya memang puas hati dengan prestasi mereka tetapi saya tidak pernah berkompromi soal stamina. Memang saya akui latihan dibulan puasa sedikit terjejas namun itu bukan alasan utama. Mereka perlu melipatganda kecergasan mereka dalam tempoh seminggu ini.

“Hasil pertemuan dengan Kuala Lumpur tempohari, saya lihat ada perkembangan positif mengenai prestasi pasukan. Hantaran yang tepat, pergerakan pemain yang tersusun dan keupayaan kita menjaringkan gol dan ini yang saya mahukan daripada para pemain.

Mengulas mengenai prestasi dua pemain pinjaman dari Pahang itu, Karathu menjelaskan kedua-dua pemain tersebut menunjukkan prestasi yang baik namun memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan Kelantan.

“Azammuddin (Mohd Akil) merupakan seorang pemain yang bekerja kuat diatas padang dengan kerajinannya turun ke bawah disamping memiliki keupayaan menjaringkan gol. Surendran pula walaupun tampak agak perlahan namun hantaran tepatnya ternyata tidak mengecewakan,” katanya.

Tuesday, August 16, 2011

USAH RISAU JENTERA SERANGAN


KOTA BHARU – Kehadiran dua pemain berstatus ‘pinjaman’ dari Pahang, Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran diharap mampu melenyapkan krisis ketumpulan jentera serangan pasukan The Red Warriors terutama dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu. 

Malah Ketua Pasukannya, Muhd Badhri Radzi sendiri mengalu-alukan kehadiran kedua-dua pemain tersebut sambil menyifatkan jentera serangan Kelantan bakal kembali bernafsu besar memburu gol dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Muhd Badhri Radzi

“Memang daripada satu sudut akan berlaku persaingan namun saya fikir ianya bagus untuk pasukan kerana memberi peluang kepada jurulatih untuk memilih pemain terbaik dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Kehadiran kedua-dua pemain ini tepat pada masanya. Saya dengar banyak pasukan yang berminat untuk mengambil mereka namun ternyata rezeki milik Kelantan apabila mereka memilih untuk beraksi dengan kita. Saya harap kehadiran mereka dapat mempertajamkan lagi jentera serangan kita

Mengulas mengenai latihan yang dihadapi sepanjang bulan Ramadan ini, pemain yang berusia 29 tahun itu berkata, sekalipun perlu menjalani ibadah puasa namun itu bukan halangan bagi beliau dan rakan sepasukannya untuk mengikuti sesi latihan seperti biasa pada sebelah malam.

“Penat memang penat apatalah lagi dalam sesi latihan awal ini memberi penekanan kepada tahap kecergasan. Namun itu bagus memandangkan sebelum ini kita berehat panjang jadi stamina kita mungkin menurun.

“Begitupun, fokus kita ialah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu. Perlawanan pertama bertemu Sarawak kita tidak boleh ambil mudah. Selaku naib juara Liga Perdana musim ini, saya rasa fikir kita perlu menghormati keupayaan mereka.

Mengulas mengenai siri perlawanan persahabatan yang dihadapi skuad The Red Warriors di ibu negara ketika ini, Muhd Badhri mengakui kesempatan tersebut perlu digunakan sebaiknya mungkin dalam meneliti kelemahan yang membelenggu pasukan ketika ini.

“Kalau boleh kita tidak mahu melakukan kesilapan dalam perlawanan persahabatan ini. Kita perlu mengganggap perlawanan ini seumpama saingan kempen Piala Malaysia yang sebenarnya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang lain, skuad bimbingan Datuk M Karathu berpesta gol apabila mengalahkan Kuala Lumpur 5-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium MPS, Selayang malam semalam.

Kelantan akan bertemu juara 32 kali, Selangor dalam perlawanan persahabatan kedua di Stadium Shah Alam pada Rabu ini. 

Surendran bersedia bersaing merebut tempat sekalipun baru pulih daripada kecederaan hamstring, baru-baru ini.

KELANTAN BELASAH KL 5 - 0

Biarpun dikhabarkan mengalami masalah kecederaan namun Solehin tetap menyumbang satu gol ketika kelantan membelasah Kuala Lumpur 5-0, malam semalam.

KUALA LUMPUR 0

KELANTAN 5
Mohd Nurul Azwan Roya (m-14)
Azammuddin Mohd Akil (m-25)
Muhd Badhri Radzi (m-50)
Solehin Kanasian Abdullah (m-73)
R Surendran (m-87)

SELAYANG – Kelantan menampilkan aksi garang dalam siri perlawanan persahabatan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini setelah membelasah Kuala Lumpur 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MPS, Selayang, malam semalam.

Dua pemain berstatus ‘pinjaman’ dari Pahang, Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran juga membuktikan sentuhan mereka cukup berbisa apabila turut menyumbangkan gol untuk The Red Warriors dalam perlawanan tersebut.

Kelantan membuka tirai jaringan pada m-14 menerusi rembatan kencang Mohd Nurul Azwan Roya setelah menyempurnakan hantaran menarik Azammuddin didepan pintu gol Kuala Lumpur.

Pada m-25, giliran penyerang Pahang itu pula mencipta nama sebagai penjaring gol kedua Kelantan dalam perlawanan tersebut. Kegagalan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Remezey Che Ros menangkap kemas sepakan percuma Mohd Daudsu Jamaluddin dihukum Azammuddin menerusi jaringannya itu.

Lima minit babak kedua bersambung, Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi memanfaatkan situasi kelam-kabut didepan pintu gol tuan rumah menerusi rembatan jarak dekatnya setelah percubaaan Norshahrul Idlan Talaha sebelum itu gagal dikeluarkan dengan baik oleh pemain pertahanan Kuala Lumpur.

Pada m-73, pemain gantian, Solehin Kanasian Abdullah menggandakan tekanan buat anak buah Razip Ismail apabila menjaringkan gol keempat untuk Kelantan setelah menerima umpanan kemas daripada R Surendran.

Tiga minit sebelum perlawanan berakhir, Surendran melengkapkan pesta gol Kelantan apabila mudah merembat masuk menewaskan penjaga gol gantian, Norazlan Razali setelah menerima umpanan dari Muhammad Ramzul Zahini Adenan.

Kesebelasan utama pemain :

KUALA LUMPUR : Mohd Remezey Che Ros, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Ahmad Azlan Zainal, Kamarulzaman Mahamud, Farouk Hashim, Dzaidin Zainuddin, Norismaidham Ismail, Azmi Sarmin, Yong Kuong Yong, Muhammad Syafiq Johari dan Muhammad Afiq Azmi.

KELANTAN : Mohd Halim Napi, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Mohammad Ab Aziz Ismail, Muhd Badhri Radzi, S Chanturu, Mohd Shakir Shaari, Mohd Nurul Azwan Roya, Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha.

Monday, August 15, 2011

KAFA ANJUR KURSUS PENGADIL

MOHAMAD NOORDIN AWANG

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan menganjurkan Kursus Asas Pengadil Bola Sepak pada 26 dan 27 Ogos ini bertempat di Wisma Kafa, dekat sini.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Noordin Awang berkata, kursus tersebut terbuka kepada semua individu yang berminat untuk menceburi bidang kepengadilan yang kini dilihat semakin mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.

“Kita mensasarkan seramai 25 individu dijangka menyertai kursus tersebut dan kita membuka penyertaan tanpa mengira had umur. Tiada yuran penyertaan dikenakan dan bagi yang berminat untuk menduduki peperiksaan perlu mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM50,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Kafa melihat perlunya kita melahirkan pengadil-pengadil pelapis di negeri ini bagi mengisi kekosongan pengadil yang sudah bersara ataupun mencapai had umur mereka masing-masing. Jadi  saya menggalakkan orang ramai yang berminat dapat menyertai kursus ini.

“Kursus selama dua hari itu menekankan aspek teori dan akan dikendalikan oleh wakil daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Selain itu, pengadil lama juga disarankan menyertai kursus ini sebagai menambahkan pengetahuan mereka dalam ilmu kepengadilan ini,” katanya.

Tarikh tutup pendaftaran kursus ini ialah sebelum atau pada 21 Ogos ini. Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat Kafa ditalian 09 – 766 6360 untuk mendapatkan keterangan lanjut.