Saturday, November 28, 2009

INDRA KETUAI MAJLIS KORBAN KAFA

Pasukan Liga Super Kelantan 2010 diketuai oleh Indra Putra Mahayuddin akan turun padang pada majlis korban Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 1430 pada hari Ahad ini bersamaan 29hb November 2009.

Majlis yang julung-julung kali diadakan ini akan berlangsung di Dataran Warisan, Kok Lanas. Sebanyak 30 ekor lembu akan dikorbankan dan agihan daging korban turut akan dilakukan kepada seribu orang tetamu yang hadir.

Majlis turut dimeriahkan dengan jamuan kepada hampir 10,000 orang yang dijangka hadir ke majlis anjuran KAFA tersebut.

Pada masa yang sama,pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) turut mengalu-alukan sumbangan derma daripada orang ramai bagi membantu pihak KAFA membayar denda kepada pihak FAM.

Pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)dengan ini menjemput semua peminat dan penyokong setia The Red Warriors hadir ke majlis tersebut. Pelbagai hadiah menarik disediakan kepada peminat setia yang hadir.

Monday, November 23, 2009

THE RED WARRIORS UMUM BARISAN PEMAINNYA

Bertempat di Kelantan Trade Center (KTC), Kota Bharu,dua hari lalu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan barisan sebenar pemain yang akan menghiasi pasukan TM Liga Super 2010.

Khidmat bekas pengendali kebangsaan, B.Sathianathan turut disambung melengkapkan pasukan jelmaan impian Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk meraih tiga piala pada musim hadapan. Tidak salah untuk bercita-cita tinggi - itulah ungkapan Tan Sri Presiden KAFA bahawa Kelantan akan tetap ke Bukit Jalil lagi musim hadapan.

Diperkuatkan dengan pembelian beberapa pemain luar seperti Syed Adney Syed Hussien, penjaga gol kebangsaan ini bakal bersaing hebat dengan Mohd Shahrizan Ismail dan Khairul Fahmi Che Mat. Kudrat Mohd Halim Napi, penjaga gol yang mencetuskan kontroversi musim ini akhirnya digugurkan atas faktor usia biarpun saya berpandangan bahawa khidmat Mohd Halim sebenarnya masih lagi boleh menyumbang untuk negeri Kelantan 1-2 tahun lagi.

Dua pemain berbangsa India, S.Subramaniam (Perak) dan S.Chanturu (Pulau Pinang) merupakan pembelian pemain yang tidak dijangka. Mereka bakal memperkuatkan jentera pertahanan dan tengah Kelantan setelah harapan untuk mendapatkan khidmat Nazrulerwan Makmor gagal angkara tidak mendapat pelepasan majikan asalnya.

Azizi Mat Rose, pemain yang berasal dari Perlis tetapi musim ini beraksi bersama KM Naza FC juga turut mengalih minat bermain dengan Kelantan setelah dikhabarkan hayat KM Naza FC bakal berkubur penghujung bulan ini ekoran penarikan diri kelab tersebut beraksi dalam Liga Malaysia musim hadapan.

Nama Shakir Sha'ari tentunya tidak dikenali di negeri Kelantan. Tetapi pemain muda ini sudahpun mencipta nama sebelum ini - beraksi dengan Perak/UPB MyTeam pada musim lepas. Kali ini usaha membawa pulang pemain muda ini beraksi dengan negeri asal menjadi kenyataan.

Nor Shahrul Idlan Talaha (Perak/UPB MyTeam) pemain yang sekian lama diidam-idamkan oleh peminat Kelantan untuk bermain bersama The Red Warriors - juga beralih arah untuk bermain dengan Kelantan. Jelas, pemain yang berasal dari Besut, Terengganu ini tentunya tidak menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan suasana di Kota Bharu setelah tiga musim bermastautin di Lembah Kelang.

Akmal Rizal Akmad Rakhli (KM Naza FC) merupakan pemain terbaik negara suatu ketika dahulu. Cemerlang bersama negeri asal - Kedah, Akmal memilih menabur bakti bersama Selangor selama dua musim (2007-08) sebelum kembali ke Gurun untuk bersama KM Naza FC musim ini.

Biarpun bergelut dengan tahap kecederaan yang cukup serius - rentetan pembedahan kedua-dua lututnya , apatah lagi digelar kuda tua, Akmal Rizal harus membuktikan kepada penyokong setia Kelantan bahawa kedatangannya ke Kota Bharu bukan sekadar penumpang dalam pasukan.

Berorientasikan corak serangan yang laju - itu kegemaran Akhmal yang akan berpasangan dengan Mohd NorFarhan Muhammad dibahagian serangan Kelantan. Menidakkan prestasi sumbang Muhammad Khalid Jamlus yang terdahulu - terlalu perlahan serta terbatas pergerakannya.

Seramai tujuh pemain yang digugurkan iaitu Muhammad Khalid Jamlus, Ahmad Ezrie Shafizi Sazali, Mohd Halim Napi, Mohd Nafuzi Mahammad Zain, Normizal Ismail, Mohd Saffuan Ibrahim, Mohd Haniff Mohd Nor dan Rosairil Asrul Mat Nor oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) boleh memilih pasukan baru pada musim akan datang.

Khabarnya, Mohd Halim Napi,38 yang digugurkan diberi tawaran sebagai penolong jurulatih penjaga gol Kelantan tetapi setakat ini Mohd Halim masih belum memberi jawapan rasmi kepada pihak KAFA.

Manakala Muhammad Khalid Jamlus dan Ahmad Ezrie Shafizi Sazali turut dikhabarkan akan ke ATM - pasukan yang akan berwajah baru dengan penajaan yang cukup lumayan musim hadapan.

Wednesday, November 18, 2009

FELDA ENGGAN LEPAS NAZRUL KE KELANTAN

Pasukan KL Felda United FC difahamkan enggan melepaskan pemain pertahanan kental, Mohd Nazrulerwan Makmor ke Kelantan biarpun segala rundingan telah dijalankan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan pihak pengurusan Felda United FC.

Ini kerana, Felda United FC kini dalam proses memperkuatkan pasukan mereka dengan menyambar beberapa pemain dari kelab dan negeri lain. Setakat ini, dua bekas pemain berasal dari Kelantan, Muhd Hardi Ahmad dan Fakhrurazi Rozi sudahpun menandatangani kontrak bermain bersama pasukan tersebut.

Sementara kapten Perak/UPB MyTeam musim lalu, Mohd Khairolnissam Sahabudin Hussien dan Mohd Juzaili Sameon juga telah mengesahkan akan beraksi bersama pasukan Felda United FC dibawah bimbingan E.Elavarasan.

Ternyata, musim hadapan bukan lagi musim untuk berseronok bagi barisan pemain Felda United FC kerana pihak pengurusan mereka mensasarkan untuk beraksi dalam kempen Liga Super pada 2011.

Tuesday, November 17, 2009

BARISAN PEMAIN TM LIGA SUPER KELANTAN 2010

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini menamakan barisan muka baru pemain yang akan menyarung jersi Kelantan pada saingan TM Liga Malaysia 2010.

Perkara ini diputuskan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa dalam satu mesyuarat tertutup KAFA di Wisma KAFA, Kota Bharu tengahari tadi.

Berikut adalah senarai pemain yang akan menyarung jersi Kelantan pada musim 2010 :

Penjaga Gol : Syed Adney Syed Hussien (Perak UPB/MyTeam), Mohd Shahrizan Ismail, Khairul Fahmi Che Mat.

Pertahanan : Ahmad Azlan Zainal, Sharudy Aziz, Zairul Fitree Ishak, Rizal Fahmi Abd. Rosid, Mohd Farisham Ismail, S.Subramaniam (Perak), Azizi Mat Rose (KM Naza), Mohd Zamri Ramli

Tengah : Mohd Nor Farhan Muhammad, Mohd Daudsu Jamaluddin, Khairan Eroza Razali, Muhd Badhri Muhd Radzi, S.Chanturu (Pulau Pinang), Wan Zaman Wan Mustapa, Mohd Shakir Shaari (Perak/UPB MyTeam)

Penyerang : Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (KM Naza), Mohd Nizab Ayub, Che Hisamuddin Hassan, Mohd Ramzul Zahini Adenan, Zul Yusri Che Harun dan Nor Shahrul Idlan Talaha (Perak/UPB MyTeam).

Dengan ini, lengkaplah senarai 25 orang pemain yang akan membawa cabaran pasukan TM Liga Super Kelantan musim 2010.

Sentuhan jurulatih Kelantan semasa kempen Piala Malaysia yang lalu, B.Sathianathan turut disambung setelah kejayaan cemerlang membawa Kelantan muncul naib juara Piala Malaysia 2009 pada 7 November lalu.

Sementara itu, seramai sembilan orang pemain telah digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini. Antaranya ialah Muhammad Khalid Jamlus, Mohd Saffuan Ibrahim, Mohd Faizol Che Noh, Mohd Halim Napi, Ahmad Ezrie Shafizi Sazali dan Mohd Nafuzi Mahammad Zain.

Friday, November 13, 2009

1RINGGIT 1KAFA BAGI TABUNG " KAMI PRIHATIN UNTUK KAFA "

Berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing. Serentak dengan ini, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) mengambil inisiatif sendiri melancarkan tabung kutipan derma 1RINGGIT 1KAFA bagi mengisi tabung “ Kami Prihatin Untuk KAFA “ bermula hari ini, 13hb November 2009 sehingga 20 November 2009 .

Kutipan derma ini bertujuan bagi membantu meringankan beban Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diatas hukuman denda RM 50,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) angkara keganasan penyokong pada perlawanan akhir Piala Malaysia, 7 November yang lalu.

Atas semangat kenegerian dan kebertanggungjawaban bersama kepada bola sepak Kelantan, marilah kita semua sama-sama menghulurkan sumbangan derma setakat termampu bagi membantu meringankan beban yang dipikul oleh KAFA.

Segala sumbangan saudara/saudari boleh disalurkan seperti penama dibawah :

No Akaun : 112 268 085 852 (Maybank)
Nama : Azra Bin Mohd Zin
No Tel : 012-2964811
Email : azra.mohdzin@ap.sony.com

Pihak Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) akan menyerahkan sendiri hasil kutipan derma ini kepada Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada satu majlis memperkenalkan para pemain Liga Super Kelantan 2010 di KB Mall, Kota Bharu pda 21hb November ini.

Semoga sumbangan derma ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan pihak KAFA akhirnya. Sekian terima kasih.

ADIK AFIQ DANIAL PERLUKAN BANTUAN KITA!!!

Atas dasar rasa tanggungjawab sosial dan juga hubungan kekeluargaan, saya begitu tersentuh apabila mendapat tahu penderitaan yang di alami oleh adik Afiq Danial. Usia yg hanya masih mentah & tidak mengerti dengan urusan dunia, namun telah di beri ujian yg sangat besar.

Semoga keluarga adik Afiq Danial tabah menghadapi serta juga berikhtiar untuk mencari dana yang secukupnya bagi membiayai pembedahan adik Afiq Danial. Insya Allah....panjatkan doa ke hadrat Illahi tanpa mengenal erti putus asa.

Anak saya memerlukan RM 77,000.00 untuk membiayai kos pembedahan koklear implant untuk dipasang ke dalam bahagian telinganya untuk seumur hidup bagi membantu beliau mendengar dan seterusnya bertutur seperti kanak-kanak biasa yang lain.

Surat sokongan yang dikeluarkan oleh Dr. Mazita , Pakar Otorinolaringologi Pusat Perubatan HUKM menjelaskan segala-galanya tentang kos perubatan yang diperlukan bagi menjalani pembedahan tersebut.

Antara kandungan ialah tentang jenis peralatan dan kos yang diperlukan untuk membiayai pembedahan anak saya iaitu sebanyak RM 77,000.00

Sebarang sumbangan amat dialu-alukan oleh saya dan boleh diberi dengan cara di bawah:

1) Melalui Pemindahan Wang ( Akaun bersama Afiq Danial dan ibunya)

Nama Pemegang akaun: Noorshaliza Binti Hanapi/Wan Muhammad Afiq Danial
Bank : Maybank
No Akaun : 162021459040

2) Melalui Pemberian Cek (Ibu Wan Muhammad Afiq Danial)

Nama Penerima Cek: Noorshaliza Binti Hanapi

Alamat :
No 29 Jalan Lingkaran Nur 1/1, Taman Lingkaran Nur, 43000 Kajang, Sel.

3) Terus ke Bendahari UKM

Nama Penerima Cek : Bendahari UKM
No Rujukan : N230939
Alamat:
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak,
56000 Cheras, Kuala Lumpur

Thursday, November 12, 2009

KENYATAAN AKHBAR KELATE.NET


DARIPADA : KELAB PENYOKONG SIBER BOLA SEPAK KELANTAN

KEPADA : SEMUA MEDIA CETAK DAN ELEKTRONIK



KELAB PENYOKONG KECEWA KEPUTUSAN FAM

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) hari ini menerima dengan hati terbuka keputusan denda RM 50,000 ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) biarpun pada masa yang sama turut kecewa dengan tindakan terburu-buru oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menyelesaikan isu keganasan penyokong.

Menurut Presidennya, Marhashim Mat, dalam insiden keganasan sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu, pihak KAFA tidak seharusnya dipersalahkan 100 peratus diatas kegagalan mengawal perilaku penyokong setia mereka.

Ujarnya, selaku badan induk bola sepak kebangsaan dan menjadi penganjur pada perlawanan akhir tersebut, pihak FAM juga harus bertanggungjawab ke atas diri sendiri angkara gagal memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan pada perlawanan akhir tersebut.

Kelemahan aspek keselamatan dapat dirungkaikan apabila langkah-langkah keselamatan seperti pemeriksaan rapi tidak dilakukan dengan teliti ke atas setiap penyokong yang masuk ke stadium. Dan ini mengakibatkan benda-benda larangan seperti mercun, bendera parti politik, botol minuman dapat dibawa masuk dengan mudah.

Lebih memeritkan keadaan lagi, minuman dalam botol turut dijual oleh peniaga dalam kawasan stadium. Jadi macam mana minuman dalam botol tidak dapat dibawa masuk sedangkan peniaga sendiri turut menjualnya dalam kawasan stadium.

Menurutnya lagi, jumlah anggota keselamatan seramai 1,500 orang ternyata tidak mencukupi bagi mengawal hampir 100,000 penyokong yang memenuhi stadium pada perlawanan akhir tersebut.

Apakah pihak KAFA patut dipersalahkan dalam hal sebegini bagi mengawal tindak-tanduk penyokong Kelantan sedangkan jumlah anggota keselamatan seramai 1,500 itu pun sendiri ternyata masih tidak mampu mengawal perkara yang sama.

Jelasnya lagi, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan bersetuju dengan tindakan tegas oleh pihak FAM dalam menangani isu tetapi untuk menuding jari sepenuhnya kepada KAFA rasanya tidak wajar sama sekali.

Sambil memberi contoh bahawa keganasan penyokong tidak harus ditujukan kepada penyokong Kelantan sahaja, Marhasyim Mat turut menyatakan bahawa insiden keganasan penyokong Perlis sewaktu perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia tempohari juga harus ditangani oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Rentetan kejadian di Kangar, berpuluh-puluh buah kenderaan penyokong Kelantan seperti kereta dan bas dibaling batu mengakibat kerugian beribu-ribu ringgit.

Jelasnya, pihak FAM jangan hanya pandai menghukum persatuan bola sepak negeri sahaja apabila setiap kali berlaku keganasan penyokong tetapi perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi perkara ini daripada berulang lagi pada masa akan datang.

“ Pihak FAM harus belajar daripada kesilapan ini. Mereka juga harus bertanggungjawab sepenuhnya. Apa kata untuk musim depan, kawalan keselamatan di stadium yang bermasalah seperti di Kelantan, Terengganu, Perlis dan lain-lain negeri diambil alih sepenuhnya oleh pihak FAM dengan kerjasama PDRM. Saya pasti pihak FAM bersedia untuk menggantung diri sendiri kali ini “ ujarnya mengakhiri perbualan.

Wednesday, November 11, 2009

HANYA DENDA RM 50,000

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terlepas daripada hukuman berat yang diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila hanya didenda RM50,000 ekoran keganasan penyokong Kelantan sendiri sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Keputusan ini dicapai setelah Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang petang tadi di Wisma FAM menjatuhkan hukuman denda tersebut disamping diberi amaran keras untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kelantan, Haji Azman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan keputusan hukuman tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berkenaan keputusan tersebut.

Berikutan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM petang tadi, ternyata memberi kelegaan kepada seluruh peminat dan penyokong Kelantan.

JANGAN TERKHILAF LAGI.....

Bakal berdepan hukuman denda, digantung atau lebih teruk mungkin diarah bermain dalam stadium tanpa penonton pada musim depan – itulah bentuk hukuman yang bakal diterima Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) rententan keganasan penyokongnya sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang di Wisma FAM, petang ini dijangka akan mengenakan hukuman paling berap terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atas perilaku tidak bermoral segelintir penyokong setia mereka.

Biarpun berdasarkan kos kerugian yang dinyatakan oleh pihak FAM, kira-kira RM 150,000 manakala pihak pengurusan Kompleks Sukan Negara (KSN) lebih menyatakan secara terperinci – RM 214,000, nilai itu tidak penting buat masa sekarang.

Apa yang pasti Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal berhadapan hukuman yang sepadan dengan tindakan liar penyokong setia mereka.

Jawatankuasa Tatatertib FAM, dipengerusikan oleh Tuan Haji Kamaruddin Abdullah – satu nama yang tidak asing dalam kancah perundangan di Wisma FAM diharap dapat membuat keputusan yang betul dan adil – sesuai diterima oleh pelbagai pihak yang menanti keputusan paling memeritkan ini.

Tidak harus terjadi kekhilafan ketika menjatuhkan keputusan pada hari ini – sebagaimana yang terjadi apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM sendiri mengakui kesilapan apabila menggantungkan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu, April lalu sedangkan peraturan pertandingan tidak menyatakan stadium boleh digantung.

Jadi buat Jawatankuasa Tatatertib FAM, berhati-hati lah ketika memutuskan bentuk hukuman ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tanpa terkhilaf lagi buat kali kedua.

SOKONG MEMBAWA REBAH

Kekalahan Kelantan kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu harus diterima dengan terbuka oleh penyokong setia Kelantan.

Rentetan kekalahan tersebut maka bermacam-macam versi mula kedengaran ; yakni pasukan Kelantan dituduh menjual perlawanan, habuan yang terlalu lumayan serta berbagai lagi cerita yang kurang enak didengar.

Tekanan bermain untuk menang bagi setiap perlawanan tetap ada apatah lagi di pentas akhir Piala Malaysia. Inilah bola sepak, pasukan yang meminimakan kesilapan layak dinobatkan sebagai juara. Dan Negeri Sembilan sememangnya layak menjuarai kejuaraan tersebut.

Mereka bermain dengan baik, menguasai segenap posisi berbanding aksi lesu tidak menjadi hampir keseluruhan pemain Kelantan.

Kemenangan tetap kemenangan. Bagi pasukan Negeri Sembilan mereka membuktikan bahawa mereka berada didalam kelasnya yang tersendiri untuk muncul juara.

Bagi pasukan Kelantan, kita harus menerima hakikat bahawa percubaan pertama kita untuk mendakap piala selepas kempunan 39 tahun terhenti setakat itu sahaja.

Tetapi yang amat dikesalinya, mentaliti sebahagian penyokong Kelantan yang tidak boleh menerima kekalahan tersebut. Insiden membakar mercun, membaling objek mewarnai hampir keseluruhan aksi Piala Malaysia musim ini.

Tidak cukup dengan itu, kain rentang gergasi turut dikoyak. Lebih malang lagi harta awam – kerusi stadium turut dibakar.

Disaat kita baru sahaja ketinggalan dua gol, stadium yang melimpah ruah itu sedikit demi sedikit mula menjadi lengang angkara kecewa dengan persembahan dibawah keupayaan yang sebenar pemain Kelantan.

Perilaku segelintir penyokong Kelantan ini cukup memalukan. Apakah ini merupakan satu budaya baru bagi peminat setia Kelantan – setiap kali melibatkan perlawanan maka kita harus membakar mercun dan membaling objek ke tengah padang.

Jangan salahkan orang lain apabila kita digelar penyokong tidak bertamadun, penyokong yang suka mencetuskan keganasan andaikata tindak-tanduk kita sendiri menjurus kepada perkara sedemikian. Dimanakah kesetiaan kita kepada negeri sendiri ?

Nampak gayanya penyokong Kelantan tidak pernah mengambil pengajaran diatas insiden rusuhan penyokong pada bulan April lalu.

Amat malang bagi bola sepak Kelantan, disaat bola sepak kita sudahpun menapak selangkah demi selangkah untuk muncul sebagai kuasa baru bola sepak di Malaysia tetapi sikap para penyokong yang umpama ‘ sokong membawa rebah’ terus menjadi bahan sindiran peminat bola sepak di Malaysia.

Sunday, November 8, 2009

KEPUTUSAN PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2009

RED WARRIORS KEMPUNAN LAGI


KELANTAN 1
Indra Putra Mahayuddin (m90)

NEGERI SEMBILAN 3
Shahurain Abu Samah (m-18)
Hairudin Omar (m-46)
Mohd Zaquan Adha (m-58)

Statistik Perlawanan

Percubaan tepat : Kelantan 3 dan Negeri Sembilan 4
Percubaan tersasar : Kelantan 1 dan Negeri Sembilan 4
Sepakan percuma : Kelantan 13 dan Negeri Sembilan 16
Kekasaran : Kelantan 15 dan Negeri Sembilan 13
Tendangan sudut : Kelantan 3 dan Negeri Sembilan 7
Offsaid : Kelantan 2 dan Negeri Sembilan 2
Kad Kuning : Kelantan 3 (Indra Putra Mahayuddin, Mohd Zamri dan Mohd Daudsu)
Negeri Sembilan 4 (Mohd Alif Samsudin, Idris Abd Karim,S.Kunanlan dan Mohd Rahman Zabul)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : 7 minit
Penguasaan bola : Kelantan 45 % dan Negeri Sembilan 55%

Tetamu Kehormat : Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hari : Sabtu
Tarikh : 7hb November 2009
Penonton : 85,000 orang
Venue : Stadium Nasional, Bukit Jalil


Penyokong Red Warriors takluki Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali kedua musim ini.

BUKIT JALIL – Negeri Sembilan menamatkan kemarau selama 61 tahun merangkul kejuaraan Piala Malaysia edisi kali ke-83 setelah membenamkan cabaran Kelantan dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya menjulang piala paling berprestij di Asia ialah pada tahun 1948 sementara kekalahan Kelantan pada perlawanan ini sekali lagi mengesahkan percubaan kali ketiga ini selepas 1955 dan 1970 membutirkan kehampaan buat penyokong setia Merah Putih.

Beraksi dihadapan 85,000 orang – jumlah penonton direkodkan paling tinggi setakat ini dalam pentas akhir, jelas Kelantan bermain dibawah tahap keupayaan yang sebenarnya.

Seawal minit ke-7, Kelantan memperolehi sepakan percuma apabila Mohd Nizab Ayub dijatuhkan. Sepakan ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin yang tertampan pertahanan Negeri Sembilan sekadar dipandang bersahaja oleh Mohd Farizal Harun.

Perlawanan selepas itu menyaksikan lebih penguasaan oleh jentera tengah Negeri Sembilan melalui ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim, Shahurain Abu Samah dan Mohd Alif Samsuddin.

Seawal minit ke-18, segala-galanya keterlanjangan aksi serba tidak menjadi barisan pemain Kelantan mula terserlah.

Kesilapan bek kiri, Mohd Zamri Ramli gagal mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya memberi peluang kepada Shahurain Abu Samah menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan. Rembatan padunya tepat menerjah jaring penjuru kanan pintu gol Kelantan menewaskan Mohd Halim Napi.


Perlawanan akhir Kelantan melawan Negeri Sembilan dicemari dengan insiden penyokong Kelantan membakar mercun.


Aksi membosankan yang disajikan oleh kedua-dua pasukan selepas itu tidak banyak menarik perhatian puluhan ribu penyokong setia kedua-dua pasukan tetapi insiden membakar mercun terutama oleh penyokong Kelantan mula mengambil tempat.

Hanya tiga percubaan menarik melalui pemain pinjaman Negeri Sembilan, Hairudin Omar pada minit ke-36, 42 dan 44 menyaksikan dua daripadanya tersasar sambil satu lagi percubaan mudah diselamatkan oleh Mohd Halim Napi.

Bersambung separuh masa kedua, percaturan taktikal B.Sathianathan memasukkan sekali gus dua penyerang veteran – Muhammad Khalid Jamlus dan Che Hisamuddin Hassan bagi memperkuatkan jentera serangan yang dilihat tidak menjadi.

Baru sahaja babak kedua bersambung, Hairudin Omar yang berjaya melepasi perangkap offsaid menanduk masuk hantaran jauh Mohd Zaquan Adha menewaskan Mohd Halim buat kali kedua.

Gol kedua Negeri Sembilan ternyata telah membunuh semangat juang para pemain Kelantan. Sentuhan ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayudin dan Mohd NorFarhan Muhammad kian tidak menjadi – rentetan jentera tengah Kelantan yang lumpuh seawal separuh masa pertama lagi.

Minit ke-58, Mohd Zamri Ramli sekali lagi melakukan kesilapan – kali ini menjatuhkan Shahurain Abu Samah dalam kotak penalti.

Mohd Zaquan Adha mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut merembat kencang sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Ketinggalan 0-3, segala-galanya terserlah sikap fanatik dan tidak bertamadun penyokong Kelantan. Tidak cukup insiden membakar mercun dan membaling botol kali ini kain rentang gergasi dikoyak dan kerusi stadium mula dibakar.

Selesa dengan kelebihan tiga gol, pemain Negeri Sembilan mula memperlahankan rentak permainan. Sementara jentera serangan Kelantan kian tertekan merapatkan jurang gol.

Minit-minit akhir masa kecederaan, Kelantan berjaya memperolehi gol saguhati. Sepakan percuma yang diambil oleh Indra Putra Mahayuddin dari jarak 30 meter tepat menerjah jaring kiri pintu gol Negeri Sembilan.

Tiupan wisel pengadil, Mohd Yusof Mat Karim seminit selepas itu menyaksikan laungan Hobin Jang Hobin terus bergema meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Malaysia selepas 61 tahun kejuaraan pertama.

Sementara itu, barisan pemain Red Warriors terkulai hampa di bangku simpanan – juga suasana di Stadium Nasional menyaksikan puluhan ribu penyokong setia Red Warriors sudah pun berarak keluar kali kedua musim ini sekadar berpuashati dengan gelaran naib juara.

Kesebelasan Utama Pemain :

KELANTAN : Mohd Halim Napi, Mohd Rizal Fahmi Abd. Rosid, Mohd Nazrulerwan Makmor, Mohd Farisham Ismail (Zairul Fitree Ishak), Mohd Zamri Ramli, Khairan Eroza Razali, Indra Putra Mahayuddin (KP), NorHisham Hassan (Che Hisamuddin Hassan), Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Mohd Nizab Ayub (Muhammad Khalid Jamlus).

Ketua Jurulatih : B.Sathianathan

Formasi : 4-4-2

NEGERI SEMBILAN : Mohd Farizal Harun, Mohd Shukor Adan, Mohd Aidil Zakuan Abd. Radzak, Ching Hong Aik, Mohd Alif Samsudin, S.Kunanlan, Shahurain Abu Samah (Mohd Rahman Zabul), Idris Abd. Karim, Rezal Zambery Yahya (KP), Hairudin Omar dan Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak (Abdul Halim Zainal).


Ketua Jurulatih : Wan Jamak Wan Hassan

Formasi : 4-4-2


Pengawai Perlawanan

Pengadil : Mohd Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1 : Mohd Sabri Mat Daud
Penolong Pengadil 2 : Mohd Mazlan Mat Desa
Pegawai Keempat : Shokri Nor
General Koordinator : Haji Ahmad Fuad Daud
Kommisioner Perlawanan : Wan Mohd Nizam Wan Omar
Kordinator Pengadil : Anuar Salim Abdul Moen