Tuesday, June 29, 2010

KELANTAN TEWAS KEPADA MALAYSIA BAWAH 23


KOTA BHARU – Skuad Liga Super Kelantan tewas 3-2 kepada skuad Malaysia Bawah 23 Tahun pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Skuad Liga Super Kelantan kini berada di ibu negara dalam menghadapi perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan yang berpengkalan di Lembah Kelang.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, ini merupakan perlawanan persahabatan kompetitif pertama untuk Kelantan setelah berehat panjang.

“Kita kalah 3-2 dalam perlawanan itu, tetapi keputusan itu tidak merisaukan saya. Saya banyak membuat pertukaran bagi memberi peluang kepada semua pemain beraksi setelah mereka (pemain) begitu lama tidak bermain dalam perlawanan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Muhd Badhri Radzi melakukan sepakan percuma sewaktu perlawanan
persahabatan menyaksikan Kelantan tewas 2-3 kepada skuad Malaysia Bawah 23 Tahun

“Kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol tetapi barisan hadapan kita tumpul. Walaupun Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan dua gol untuk Kelantan, tetapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada beliau. Pemain lain harus memikul tanggungjawab yang sama untuk menjaringkan gol.

Sathianathan berkata, selepas melalui tempoh rehat yang panjang tanpa sebarang perlawanan persahabatan, persembahan keseluruhan pemain Kelantan dilihat sedikit menurun.

“Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan mengapa kita tidak boleh mempamerkan persembahan seperti mana aksi dalam Liga Super. Dengan masa yang ada ini, saya harus memperbaiki kelemahan yang ada disamping melipatganda latihan kepada pemain saya.

“Saya berharap pemain dapat menunjukkan persembahan terbaik mereka pada perlawanan persahabatan berikutnya menentang ATM malam ini diikuti Harimau Muda pada Jumaat ini,” katanya.

Menurut Sathianathan, perlawanan persahabatan itu memberi ruang kepada beliau untuk mencari pengganti Azizi Matt Rose yang tidak akan beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan 6 Julai nanti kerana digantung satu perlawanan.

“Saya akan buat penilaian terhadap dua perlawanan persahabatan selepas ini bagi mencari pengganti beliau. Mungkin gandingan Mohd Farisham (Ismail), Khairan Eroza (Razali), Rizal Fahmi (Ab Rosid) sesuai digandingkan bersama S Subramaniam diposisi pertahanan itu.

Pemain Liga Super Kelantan kini giat menjalani latihan harian di padang PKNS, Kelana Jaya dibawah kendalian B Sathianathan bersama dua pembantunya – Hashim Mustapha dan Sideek Shamsudin.

Sunday, June 27, 2010

SALA AZZURI JUARA FUTSAL CELCOM 2010 KELANTAN


KOTA BHARU – Pasukan Sala Azzuri membolot wang tunai RM3,000 setelah muncul juara Kejohanan Futsal Celcom 2010 peringkat negeri Kelantan yang berlangsung KB Futsal Arena, Pengkalan Chepa semalam.

Pada perlawanan akhir, pasukan Sala Azzuri telah berjaya mengalahkan TIC ‘B’ dengan keputusan 2-0.

Dalam perlawanan separuh akhir terdahulu, Sala Azzuri menyingkirkan pasukan D’Fried Chicken dengan kemenangan 2-0 manakala pasukan TIC ‘B’ pula menempah tempah ke perlawanan akhir  setelah mengalahkan Izzi Com Airport juga dengan keputusan yang sama.

TIC ‘B’ selaku naib juara kejohanan meraih wang tunai RM2,000 sementara tempat ketiga (Izzi Com Airport) dan keempat (D’Fried Chicken) masing-masing menerima RM1,000 dan RM500.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad  berkata, sambutan luar biasa di negeri Kelantan menyaksikan sebanyak 148 pasukan telah mengambil bahagian pada kejohanan itu.

“Ini merupakan satu rekod penyertaan terbanyak yang dicatatkan oleh pihak Celcom setakat ini selepas menjelajah enam lokasi sebelum ini, “ katanya.

“Kita sebenarnya mensasarkan hanya 96 pasukan akan menyertai kejohanan ini tetapi memandangkan sambutan yang diterima cukup menggalakkan, maka kita menerima sebanyak 148 pasukan pada kejohanan peringkat negeri Kelantan.

“Sambutan luar biasa memaksa kita terpaksa menolak penyertaan daripada beberapa pasukan yang ingin menyertai kejohanan ini kerana kuota pasukan yang bertanding sudah daripada mencukupi,” katanya.

Menurut Sulaiman, pihak Celcom mengucapkan terima kasih diatas sokongan yang diberikan oleh  semua pasukan yang terlibat dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu.

“Memandangkan jumlah penyertaan yang diterima diluar jangkaan di negeri Kelantan, maka pihak Celcom memutuskan untuk menyenaraikan lima pasukan terbaik pada pusingan ini bagi membawa cabaran di pusingan akhir di Subang Jaya,” katanya.

Pengurus Besar Celcom negeri Kelantan, Rooshihan Abdul Rahim Merican telah sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan itu.

Sementara itu, lima pasukan iaitu Sala Azzuri, TIC ‘B’, D’Fried Chicken, Izzi Com Airport dan TM Lodge Sonic telah terpilih mewakili Kelantan ke pusingan akhir kejohanan Futsal Celcom 2010 yang akan berlangsung di Subang Jaya pada 11 Julai nanti.

KAWAN FC ‘B’ JUARA FUTSAL MEDIA BERSAMA CELCOM



KOTA BHARU – Dua pasukan futsal media Kelantan berentap sesama sendiri dalam perlawanan akhir persahabatan media bersama Celcom dalam Kejohanan Futsal Celcom 2010 yang berlangsung di KB Futsal Arena, Padang Tembak dekat sini malam semalam.

Pada perlawanan akhir itu, pasukan Kawan FC ‘B’ berjaya mengalahkan Kawan ‘A’ dengan keputusan 4-2.

Pemain Kawan FC ‘B’, Rozaimi Ramli (Berita Harian) muncul wira pasukan setelah menjaringkan hatrik pada perlawanan itu. Sementara satu gol lagi dijaringkan oleh Mazram Idzam Ridzal Mahmud (Sinar Harian).

Sementara kedua-dua gol Kawan FC ‘A’ dijaringkan oleh ketua pasukan, Zulhanifa Sidek.
                                                                                                          
Pada perlawanan separuh akhir pertama terdahulu, pasukan Kawan FC ‘B’ menghampakan pasukan Pilihan Celcom dengan kemenangan tipis 2-1 sementara dalam separuh kedua, Kawan FC ‘A’ mengecewakan Kawan FC ‘C’ dengan kemenangan 4-2.

Dengan kemenangan itu, Kawan FC ‘B’ meraih wang tunai RM900 sementara naib juara, Kawan FC ‘A’ membawa pulang RM700. Tempat ketiga dimenangi Kawan FC ‘C’ yang menerima RM500.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Suleiman Ahmad, Pengurus KB Futsal Arena, Datuk Sekarno Che Omar, Pengurus Besar Celcom Kelantan, Rooshihan Abdul Rahim Merican dan hadir menyaksikan perlawanan persahabatan media bersama Celcom itu.

“Perlawanan persahabatan media bersama Pilihan Celcom ini diadakan bagi merakamkan penghargaan diatas sumbangan media yang banyak membantu syarikat GLC selama ini,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian sejurus perlawanan berakhir.

“Antara pihak media dengan Celcom, kedua-dua saling memerlukan diantara satu sama lain, dan kita berharap hubungan yang terjalin itu akan berterusan pada masa akan datang.

“Kita cuba cetuskan idea baru bagaimana untuk menjalinkan hubungan dengan lebih erat lagi, tidak hanya terbatas dengan bermain futsal sahaja. Mungkin kita boleh mengaturkan satu program berbentuk kemasyarakatan secara bersama seperti menganjurkan majlis berbuka puasa bersama golongan yang fakir miskin sempena bulan ramadhan akan datang, “katanya.

Sementara itu, Datuk Suleiman Ahmad telah sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang sejurus perlawanan berakhir.

Tuesday, June 22, 2010

PENAMPILAN JAN NECAS UBATI KERINDUAN PEMINAT

Jan Necas

KOTA BHARU – Penampilan bekas bintang import pertahanan Kelantan sedikit masa dahulu, Jan Necas dijangka mengubati kerinduan peminat terhadap aksi beliau apabila akan turun beraksi dalam kesebelasan utama pemain Kelantan pada perlawanan persahabatan hari Jumaat ini.

Pegawai Media Kafa, Wan Badri Wan Omar berkata, Kelantan akan menentang kelab dari Thailand, Pattani FC pada perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu hari Jumaat ini.

“Perlawanan persahabatan ini merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan Kelantan menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 6 Julai nanti,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pihak Kafa tidak mengambil mudah mengenai prestasi pemain semasa perlawanan liga  dihentikan begitu lama. Sebaliknya, latihan harian yang dikendalikan oleh jurulatih, B Sathianathan dilipatgandakan  bagi memastikan kecergasan pemain tidak menurun.

“Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan telah mengambil inisietif mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan untuk skuad Liga Super Kelantan,” katanya.

Menurut Wan Badri, bekas pemain import musim 2008, Jan Necas didatangkan khas ke Kota Bharu oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan peminat Kelantan melihat aksi terkini bekas pemain yang pernah menabur bakti bersama The Red Warriors itu.

Jan Necas, 33 tahun, pemain kelahiran Republik Czech pernah beraksi bersama pasukan Kelantan pada tahun 2008 dibawah kendalian jurulatih Norizan Bakar ketika itu.

Bersama beliau, penjaring terbanyak Liga Perdana musim itu, Mouhamadou Moustopha Mane (Senegal) selaku penyerang dan juga pemain tengah, Inepheremo Andrew Amukuro (Nigeria).

Gara-gara larangan penggunaan pemain import yang diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada penghujung musim 2008, memaksa Jan Necas mengangkat kaki meninggalkan pasukan Kelantan walaupun beliau sebenarnya begitu begitu sayang bermain dengan pasukan Kelantan ini.

Sementara itu, Wan Badri berkata, pasukan Liga Super Kelantan dijangka berlepas ke Kuala Lumpur pada 27 Jun bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan dengan pasukan yang berpengkalan di Lembah Kelang.

Monday, June 21, 2010

AKSI PEMAIN DALAM PEMANTAUAN SATHIANATHAN


B Sathianathan serius menyatakan sesuatu kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa
yang turut hadir menyaksikan perlawanan persahabatan itu.

KOTA BHARU – Bukan keputusan yang menjadi ukuran tetapi penilaian terhadap aksi keseluruhan pemain yang bakal dicongak oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan bersama dua pembantunya – Hashim Mustapha dan Sideek Shamsuddin

Pada perlawanan persahabatan menentang Dupusa FC, pasukan yang terdiri daripada kalangan anggota-anggota 21 RAMD Kem Pengkalan Chepa, Kelantan mencatat kemenangan besar 6-1.

B Sathianathan berkata, perlawanan persahabatan itu merupakan yang pertama bagi Kelantan semenjak aksi Liga Super dihentikan awal bulan ini.

“Tahap kecergasan pemain tidak mencapai seperti yang saya kehendaki. Pergerakan pemain juga tidak lancar dan agak terbatas. Ini sudah saya jangka apabila kita mengharungi cuti panjang sebegini,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Apa pun, perkara ini tidak merisaukan saya kerana kita mempunyai banyak masa lagi memperkemaskan jentera pasukan. Saya memerlukan tiga atau empat perlawanan persahabatan seperti ini bagi menaikkan kembali tahap kecergasan pemain saya.

Menyentuh mengenai perlawanan persahabatan menentang Dupusa FC petang semalam, Sathianathan ternyata berpuashati dengan kemenangan itu.

“Keputusan perlawanan itu tidak penting. Saya hanya mahu menilai tahap kecergasan dan aksi kesemua pemain saya sahaja.

“Persembahan pemain pada separuh masa pertama tidak mengecewakan kerana pemain mampu mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

“Kita berjaya menjaringkan lima gol pada separuh masa pertama. Empat daripada lima gol itu terhasil menerusi gerakan yang dicipta daripada sebelah kanan dan kiri padang.

“Separuh masa kedua, saya menukar pemain bagi membolehkan kesemua pemain turun beraksi dalam perlawanan itu.

“Saya juga akan menumpu perhatian untuk melipatgandakan latihan melakukan set piece dalam latihan harian selepas ini,” katanya.

Menurut Sathianathan, Kelantan akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang kelab dari Thailand, Pattani FC pada 25 Jun di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu.

Sementara itu, Sathianathan turut memanggil beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden seperti Muhammad Izwan Salahuddin, Mohd Syawal Rudin, Mohd Syafiq Haikal Nazarudin dan Mohd Aris Zaidi bagi menjalani latihan bersama dengan pemain senior.

“Mereka ini antara beberapa pemain pelapis yang saya lihat mempunyai potensi besar untuk menyarung jersi Kelantan pada masa akan datang,” katanya.

KELANTAN BELASAH DUPUSA FC 6-1


KOTA BHARU – Skuad Liga Super Kelantan membelasah Dupusa FC 6-1 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di padang Kem Tentera, dekat Pengkalan Chepa petang semalam.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa hadir menyaksikan perlawanan persahabatan itu. Hadir sama menyaksikan, Pengarah Kejurulatihan Kafa, Kamaruddin Mohd Nor.

Penampilan bekas pemain pertahanan import Kelantan 2008, Jan Necas yang bakal beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan selepas ini pastinya menggamit memori setelah kali terakhir beliau menyarung jersi Kelantan ialah pada aksi Liga Perdana dua tahun lalu bersama Mouhamadou Moustopha Mane dan Innepheremo Andrew Amukuro. 

Pada perlawanan persahabatan itu, Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan menurunkan kesemua pemain dalam aksi separuh masa berbeza dan dilihat satu peluang bagi beliau  menilai sejauh mana keupayaan pemain Kelantan sebelum menyambung saingan Liga Super pada awal bulan Julai nanti. 
Pemain tengah, Wan Zaman Wan Mustapha cuba melepasi halangan
pemain pertahanan Dupusa FC

Pada perlawanan persahabatan pertama sejak aksi Liga Super dihentikan sementara itu, Kelantan terlebih selesa mendahulu 5-0 pada separuh masa pertama.

Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh pemain lipas kudung, S Chanturu yang menanduk masuk hantaran lintang sebelah kanan rakan sepasukan.

Selepas itu, giliran Mohd Norfarhan Muhammad menjadikan kedudukan selesa 2-0 melalui gerakan yang sama.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli mudah menjaringkan gol ketiga Kelantan apabila kesilapan penjaga gol Dupusa FC yang menyepak lemah secara tidak sengaja dihukum oleh Akmal Rizal dengan rembatan jarak dekatnya.

S Chanturu sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadi beliau apabila menyambut baik kuisan Akmal Rizal dan mudah memperdayakan penjaga gol Dupusa FC melalui rembatan rendah.

Akmal Rizal menjadikan kedudukan 5-0 sejurus sebelum separuh masa pertama berakhir apabila rembatannya dalam kotak penalti tepat menerjah jaring sebelah kiri pintu gol pasukan tuan rumah.

Bersambung separuh masa kedua, B Sathianathan menukar kesemua pemain bagi memberi ruang kepada kesebelasan pemain pasukan kedua Kelantan mempamerkan aksi.

Dupusa FC berjaya memperolehi gol saguhati melalui penyerang lincahnya setelah kesilapan Jan Necas gagal mengeluarkan bola mudah dihukum melalui lambungan jauh menewaskan Judtanna di pintu gol Kelantan.

Sementara gol keenam Kelantan telah dijaringkan Mohd Ramzul Zahini Adenan menutup tirai perlawanan persahabatan pasukan Kelantan petang semalam.

Kesebelasan utama pemain Kelantan separuh masa pertama :

Syed Adney Syed Hussien, Mohd Daudsu Jamaluddin, Azizi Matt Rose, Mohd Rizal fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Muhd Bahdri Radzi, Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, S Chanturu, Hairuddin Omar (Indra Putra Mahayuddin) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Kesebelasan utama pemain Kelantan separuh masa kedua :

Judtanna Eh Put, Sarudy Aziz, Jan Necas, S Subramaniam (Mohamed Faiz Suhaimi), Mohd Syafiq Haikal Nazarudin, Khairan Eroza Razali, Wan Zaman Wan Mustapha (Mohd Syawal Rudin), Muhammad Izwan Salahuddin, Mohd Nizab Ayub (Mohd Aris Zaidi) dan Mohd Ramzul Zahini Adenan.

Sunday, June 20, 2010

SULTAN AHMAD SHAH MENANG TANPA BERTANDING

 Sultan Ahmad Shah

Sultan Ahmad Shah dijangka mengekalkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang Kongres pemilihan badan induk itu bagi penggal 2010-2014 yang akan diadakan di Hotel Glenmarie & Resort Shah Alam, 31 Julai ini.

Sultan Ahmad Shah satu-satunya calon yang menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut selepas menerima 18 daripada 19 pencalonan daripada gabungan persatuan bola sepak negeri dan ahli bersekutu badan induk itu.

Ini bermakna Sultan Ahmad Shah terus memegang jawatan sebagai Presiden FAM sejak memegang jawatan itu pada 1984.

Bagi dua jawatan Timbalan Presiden pula, penyandangnya Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tidak mempertahankan jawatan yang dimenangi pada kongres 2007 setelah beliau tidak mendapat sebarang pencalonan.

Bagaimanapun, seorang lagi penyandang jawatan itu, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad adalah antara enam calon yang akan bertanding jawatan tersebut dalam senarai yang dihantar kepada FAM.

Lima calon lain yang disenaraikan untuk bertanding ialah bekas penyandang jawatan itu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tan Sri Annuar Musa

Turut sama ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, sebanyak 12 pencalonan diterima dan ini bakal menyaksikan perebutan paling sengit untuk jawatan tersebut.

Dua penyandangnya iaitu Datuk Kapten Gulzar Mohamad dari Persatuan Bola Sepak Sarawak (PBS) dan Ahamad Muhamad dari Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Bagaimanapun, dua lagi penyandangnya Che Mat Jusoh dan Naib Presiden KAFA, Affandi Hamzah akan mempertahankan jawatan yang dimenangi pada kongres yang lalu.

Che Mat Jusoh bagaimanapun menolak untuk bertanding jawatan yang disandangnya itu kerana mengambil keputusan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Antara calon lain yang turut disenaraikan untuk mengisi empat jawatan itu ialah Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin; Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Subahan Kamal.

Turut mendapat pencalonan ialah Datuk Mokhtar Ahmad, Datuk Lawrance Gimbang, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim dan Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim.

Pencalonan diterima daripada 14 ahli gabungan persatuan bola sepak negeri termasuk dua daripada Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (ATM) dan Persatuan Bola Polis Diraja Malaysia.

Tiga ahli bersekutu ialah Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMMM), Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) dan Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia.

Wednesday, June 16, 2010

BOLA SEPAK KITA PULANG AWAL


Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi menentang
Selangor pada perlawanan suku akhir di Stadium Hang Tuah, malam semalam.


KOTA BHARU – Hasrat Kelantan untuk melangkah ke peringkat separuh akhir tidak kesampaian setelah dibelasah 5-0 oleh Selangor pada perlawanan suku akhir acara bola sepak Kejohanan Sukma yang berlangsung di Stadium Hang Tuah malam semalam.

Jelas reputasi skuad Merah Kuning sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai acara bola sepak tidak boleh dipertikaikan lagi. Selepas kali terakhir memenangi pingat emas pada Sukma 1998, persiapan Selangor sememangnya cukup rapi apabila menyenaraikan hanya seorang pemain Piala Presiden disamping empat pemain Liga Super mereka pada kejohanan kali ini.

Selebihnya, mereka menyenaraikan pemain-pemain baru khusus dilatih bagi menghadapi kejohanan ini – sesuatu yang harus kita pelajari daripada pasukan Selangor betapa pentingnya persiapan jangka panjang dalam menghadapi sesuatu kejohanan.

Gol-gol Selangor pada perlawanan malam semalam telah dijaringkan oleh Mohd. Faderin Kadir (m-35, m-92), G. Mahadevan (m-43, m-53) dan Nasrulhaq Badrul Hisham (m-91).

Penolong pengurus Sukma Kelantan, Ahmad Hanafi Mat Soh berkata, kekecewaan jelas menyelubungi pihak pengurusan Kelantan setelah mengalami kekalahan besar malam semalam.

“Kita bermain dengan begitu baik sepanjang 30 minit separuh masa pertama, tetapi apabila Selangor memperolehi jaringan gol melalui serangan balas, rentak permainan kita mula berubah,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam. 

“Kita menerima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana Selangor sememangnya bermain dengan begitu baik, tetapi kita tidak sangka sama sekali pintu gol kita bolos sebanyak lima kali. 

Menurut Ahmad Hanafi, Kelantan juga mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol melalui rangkaian penyerang, Mohd Nizab Ayub dan Ramzul Zahini Adenan.

“Benteng pertahanan kita terlalu rapuh untuk menerima asakan penyerang Selangor. Sebaliknya, benteng pertahanan mereka cukup kental malahan tidak perlu bekerja keras. Selangor hanya menggunakan kekuatan jentera tengah dan penyerang sahaja untuk melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan. 

“Tambah merumitkan keadaan, kita kehilangan penjaga gol utama, Judtanna Eh Put yang terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan setelah kita ketinggalan tiga gol pada suatu ketika,” katanya. 

Pada masa yang sama, Ahmad Hanafi turut memuji persembahan yang ditunjukkan oleh pemain Selangor. “Inilah kelebihan yang ada pasukan Selangor tetapi tidak bagi pasukan kita. Apapun, pemain kita telah sedaya upaya melakukan yang terbaik pada perlawanan ini. Jelas nasib tidak menyebelahi kita pada temasya kali ini. 

“Masih banyak perkara yang perlu kita lakukan sekiranya kita mahu pergi jauh dalam kejohanan Sukma akan datang. Kita perlu bekerja keras sebaik sahaja kejohanan ini tamat sebelum kita kembali beraksi dua tahun lagi, “ katanya.

Monday, June 14, 2010

GANDINGAN NIZAB, RAMZUL JADI TARUHAN



KOTA BHARU – Jurulatih bola sepak Sukma Kelantan, Zahasmi Ismail mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Kelantan mampu mencatatkan keputusan yang baik  ke atas Slangor pada pertemuan suku akhir acara bola sepak kejohanan Sukma yang berlangsung di Stadium Hang Tuah malam ini.

Zahasmi berkata, gandingan penyerang Liga Super Kelantan, Mohd Nizab Ayub dan Ramzul Zahini Adenan tetap menjadi taruhan Kelantan bagi merobek pintu gol Selangor.

“Dua pemain ini diberi tanggungjawab untuk memburu gol bagi pasukan Kelantan. Saya percaya, pengalaman mereka beraksi dalam Liga Super mampu diterjemahkan dalam perlawanan ini, “ katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pertemuan dengan Selangor merupakan perlawanan yang cukup sengit. Kedua-dua pasukan memasang impian yang sama untuk melayakkan diri ke peringkat  separuh akhir. Kita sudah mencapai ke peringkat ini, jadi kita tidak boleh melepaskan peluang yang terhidang didepan mata kita.

Menurut Zahasmi, pemain Kelantan harus memanfaatkan peluang itu untuk mencipta sejarah memimpin Kelantan ke peringkat separuh akhir.

“Saya akan melakukan perubahan formasi pasukan pada perlawanan malam ini. Kita akan mengguna pakai formasi lama 4-4-2 , berbanding 3-5-2 sewaktu pertemuan dengan Pulau Pinang yang dilihat cukup sukar bagi pemain Kelantan menyesuaikan diri.

“Posisi penjaga gol hampir pasti diberikan kepada Judtanna Eh Put yang menunjukkan persembahan yang baik sewaktu perlawanan dengan Pulau Pinang. Sementara bahagian pertahanan dijangka berlaku sedikit rombakan bagi memperkemaskan benteng tersebut yang dilihat agak longgar sebelum ini, “ katanya.

Menurut Zahasmi, jentera tengah Kelantan akan diketuai Muhammad Izwan Salahuddin sambil dibantu Mohamad Zamri Ramli. Sementara pemain terbaik kejohanan Piala Kijang Muda, Mohd Shawal Rudin turut diberi kepercayaan menerajui posisi tersebut.

“Kita juga akan menyenaraikan kembali Mohd Farhan Yaakub ke dalam skuad 18 pemain pada malam ini. Khidmat beliau tetap diperlukan bagi pertemuan dengan Selangor ini.

Pemain Kelantan gigih mejalani latihan menjelang pertemuan dengan Selangor malam ini

Sementara itu, pengurus pasukan, Yahya Jamada Ali berkata, aksi pemain Kelantan pada malam ini mendapat sokongan istimewa apabila Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa bersama Timbalan Presiden Kafa merangkap Ketua Kontinjen Sukma Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub akan hadir menyaksikan perlawanan suku akhir ini.

“Saya turut difahamkan terdapat dua atau tiga buah bas terdiri kalangan peminat bola sepak Kelantan dari Lembah Kelang dijangka datang ke Melaka pada malam ini. Saya percaya, sokongan sedemikian rupa mampu mencetuskan semangat kepada pemain Kelantan untuk beraksi dengan cemerlang malam ini, “ katanya.

Sunday, June 13, 2010

KELANTAN WASPADA ANCAMAN SELANGOR


Pertemuan Selangor menentang Kelantan malam esok
dijangka menjanjikan aksi yang menarik bagi kedua-dua pasukan.

KOTA BHARU – Reputasi Selangor selaku pasukan pilihan dalam acara bola sepak Kejohanan Sukma kali ke-13 bakal teruji sepenuhnya apabila bertemu dengan Kelantan pada perlawanan peringkat suku akhir di Stadium Hang Tuah malam esok.

Tampil selaku juara kumpulan D, Selangor dilihat menjadi pasukan pilihan setelah menyingkirkan tuan rumah Melaka yang terpaksa berputih mata setelah sekadar seri 1-1 pada perlawanan terakhir mereka peringkat kumpulan.

Selangor yang dilatih oleh P Maniam menyenaraikan beberapa pemain Liga Super mereka seperti  Farderin Kadir, Mohd Fitri Shazwan Radwan, Mohd Fairul Azwan Shahrullai dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Pengurus pasukan Kelantan, Yahya Jamada Ali berkata, Kelantan tetap akan turun sebagai under dog pada pertemuan menentang Selangor nanti.

Yahya Jamada Ali

“Kita menghormati keupayaan pasukan Selangor yang dilihat antara pasukan pilihan untuk memenangi pingat dalam acara ini. Mereka merupakan pasukan yang mengamalkan taktikal yang bagus disamping disiplin yang tinggi ketika beraksi dipadang,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Peluang 50-50 tetap ada bagi kedua-dua pasukan untuk mencipta kemenangan pada pertemuan malam esok.

Menurut Yahya, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail akan melakukan sedikit perubahan dibahagian pertahanan dan tengah bagi memastikan kedua-dua posisi tersebut berfungsi dengan baik.

“Dibahagian serangan tidak ada masalah, kerana sandaran kita iaitu Ramzul (Zahini Adenan) dan Mohd Nizab (Ayub) mampu menggalas tugas tersebut.

“Kita akan menukar taktikal 3-5-2 yang kita amalkan sewaktu bertemu Pulau Pinang tempohari kepada formasi asal 4-4-2 bagi mengekang asakan penyerang Selangor.

“Apa yang pasti kedua-dua pasukan akan menyajikan corak serangan yang menghiburkan kerana kita tetap mengamalkan corak permainan berorientasikan serangan manakala pasukan Selangor pula mengamalkan corak permainan secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya turut menarik nafas lega apabila kesemua pemain Kelantan bebas daripada kecederaan dan juga penggantungan perlawanan.

Kelantan layak ke peringkat suku akhir apabila muncul naib juara kumpulan C dibelakang Terengganu setelah menang 1-0 ke atas Pulau Pinang dan tewas 0-4 kepada Terengganu.

Thursday, June 3, 2010

PEMAIN LIGA SUPER PERKUATKAN SKUAD SUKMA



KOTA BHARU – Skuad bola sepak Sukma Kelantan memanggil seramai empat pemain Liga Super Kelantan bagi memperkuatkan cabaran pasukan Kelantan menghadapi acara bola sepak di Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-13 yang akan berlangsung di Melaka minggu depan.

Pengurus pasukan bola sepak Sukma Kelantan, Yahya Jamada Ali berkata, latihan insentif telah dijalankan sejak dua bulan lalu dibawah kendalian jurulatih Zahasmi Ismail dan Hamid Ramli.

“Kita menyenaraikan 22 pemain yang menjalani pasukan bola sepak Sukma Kelantan pada kali ini. Empat pemain Liga Super Kelantan dan tiga pemain yang menyertai kejohanan Cabaran Piala Dunia Maxis baru-baru ini turut terpilih menjalani latihan,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
Pemain Sukma Kelantan serius mendengar arahan
jurulatih, Zahasmi Ismail (dua dari kanan).

“Dua pemain daripada PBJ Tumpat iaitu penjaga gol, Mohd Shazwan dan Mohd Syawal Rudin selaku pemain terbaik kejohanan Piala Kijang Muda baru-baru ini juga turut terpilih menjalani latihan insentif ini.

“Selebihnya adalah pemain daripada skuad Piala Presiden Kelantan musim ini,” katanya.

Empat pemain Liga Super Kelantan yang dimaksudkan ialah Mohamad Zamri Ramli, Mohamad Ailim Fahmi Kamaruddin, Mohd Nizab Ayub dan Ramzul Zahini Adenan.

Menurut Yahya Jamada, pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan selaku urusetia sukan negeri dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri telah menetapkan sasaran  kepada Kelantan sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir pada kejohanan Sukma kali ini.

“Walaupun tugas ini dilihat sukar, tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Saya percaya kepada kemampuan barisan pemain muda Kelantan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail tetap optimis bila ditanya mengenai peluang pasukan Kelantan pada kejohanan tersebut.

“Kita (Kelantan) akan bersama dengan Terengganu dan Pulau Pinang dalam satu kumpulan. Saya percaya, ketiga-tiga pasukan ini mempunyai peluang yang sama rata untuk layak ke peringkat suku akhir.

“Apa yang penting pemain perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Peluang untuk layak ke peringkat separuh akhir tetap ada. Apa yang penting kita perlu melepasi peringkat kumpulan dahulu,” katanya.

TETAP PUAS WALAUPUN SUKAR UNTUK MENANG


B Sathianathan

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan tetap berpuashati dengan persembahan keseluruhan pemain Kelantan sewaktu menundukkan Perak 2-0 pada perlawanan Liga Super malam semalam walaupun dilihat menghadapi kesukaran untuk memenangi perlawanan itu.

“Saya menonton rakaman perlawanan itu berulang kali, dan saya berpuashati dengan aksi pemain saya walaupun kita sekadar menjaringkan dua gol, “ katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Dalam permainan bola sepak, memperolehi dua gol boleh dianggap cukup baik tambahan pula kita menguasai hampir sebahagian babak perlawanan.

“Kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu dan pemain memanfaatkan dua peluang tersebut dengan menghasilkan gol,”katanya.

Sathianathan berkata, jangkaan beliau sebelum ini bahawa pertemuan dengan pasukan Seladang itu merupakan sesuatu yang sukar akhirnya menjadi kenyataan.

“Itu sebab saya katakan perlawanan dengan Perak sememangnya sukar untuk kita. Pemain mereka banyak memberi masalah kepada kita, malahan disiplin yang tinggi disamping semangat juang pemain muda mereka yang tidak mahu pintu gol mereka dibolosi begitu menyusahkan jentera serangan kita untuk menghasilkan jaringan.

“Mujur pemain kita mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memenangi perlawanan itu. Mereka bijak melakukan hantaran tepat dan berupaya mengatasi benteng pertahanan Perak melalui bahagian kiri dan kanan.

Aksi pemain pertahanan, Mohd Farisham Ismail nyata
tidak mengecewakan peminat setia Kelantan

“Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) dan Norshahrul Idlan (Talaha) mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Apa yang penting, walaupun mereka tidak menjaringkan gol, tetapi mereka mampu mencipta peluang kepada rakan lain untuk menjaringkan gol,”

Menurut Sathianathan, tempoh rehat enam minggu akan digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk memperkemaskan aksi keseluruhan pasukan.

“Pasti ada kelemahan pada perlawanan semalam, justeru tempoh rehat itu akan saya gunakan bagi memperbaiki mana-mana kelemahan sebelum kita ke Shah Alam pada bulan Julai nanti.

Dalam pada itu, Sathianathan turut memuji aksi dua pemain pertahanannya iaitu Mohd Farisham Ismail dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang mempamerkan aksi yang baik pada perlawanan itu.

“Cuma saya agak terkilan apabila kita kehilangan Cik Hisamuddin (Hassan) yang mengalami kecederaan serius setelah tidak sampai seminit dia memasuki padang menggantikan Muhd Badhri (Radzi),” katanya.