Thursday, July 28, 2011

25 BEKAS PEMAIN KEMBALI BERAKSI

Pemain lagenda bola sepak Kelantan bersedia menggegar apabila turun beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang bekas pemain Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang esok

KOTA BHARU – Seramai 25 bekas pemain bola sepak negeri ini akan mengadakan lawatan muhibbah ke Terengganu bagi mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan bekas pemain negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang esok.

Mereka merupakan sebahagian daripada 103 bekas pemain negeri ini yang bakal mengganggotai Persatuan Lagenda Bola Sepak Kelantan yang baru ditubuhkan oleh bekas-bekas pemain sendiri, baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Wan Zawawi Wan Yusof berkata, Persatuan Lagenda Bola Sepak Kelantan ditubuhkan bertujuan untuk menjaga kebajikan bekas-bekas pemain selain merapatkan hubungan dalam kalangan mereka.

“Ini merupakan kunjungan pertama kali ke sana dan selain mengadakan perlawanan persahabatan, kita juga akan menziarahi bekas pemain Terengganu, Yahya Jusoh bagi menghulurkan sedikit sumbangan kepada beliau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Bagi menghadapi perlawanan persahabatan ini, para pemain kini giat menjalani latihan setiap petang di Kota Bharu mengembalikan kecergasan memandangkan ramai dalam kalangan kita sebenarnya sudah berusia.

“Kemudian, rombongan bekas pemain ini akan ke ibu negara bagi menyertai satu lagi perlawanan persahabatan sempena Himpunan Anak-Anak Kelantan Diperantauan yang dijadualkan berlangsung pada petang Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ), Kelana Jaya,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan persatuan tersebut, Wan Zawawi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972 menjelaskan, pihaknya kini dalam proses untuk mendaftarkan persatuan tersebut.

“Persatuan ini akan diketuai Hamid Ghani, salah seorang pemain bola sepak tersohor negeri ini sekitar penghujung tahun 1950’an. Setakat ini kita berjaya mengumpul seramai 103 bekas pemain dan ada lagi yang masih belum mendaftar bersama kita.

“Kesemua mereka merupakan bekas pemain negeri ini sekitar tahun 1960 hingga 1980’an. Dan ada diantara mereka yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan. Selain itu kita juga turut bergiat aktif mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini,” katanya.

Penubuhan persatuan ini dialu-alukan kerana generasi sekarang ternyata kurang mengenai pemain-pemain seperti Wan Hassan Wan Ibrahim, Bazli Jusoh, Kamaruddin Abdullah, Rosli Hussin, Wan Yusof Wan Zin, Ramli Abdullah dan ramai lagi yang pernah mewakili negeri ini ketika di zaman kegemilangan mereka dahulu.

SEMANGAT JUANG FAKTOR JUARA

KOTA BHARU – Faktor semangat juang yang tinggi dilihat antara resipi kejayaan Kelantan menjuarai Piala Presiden setelah mengalahkan Majlis Perbandaran (MP) Muar 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, penyerang sensasi The President Warrior, Mohamad Aris Zaidi membuka tirai jaringan Kelantan seawal minit kesembilan sebelum defisit satu gol itu dipadamkan pemain MP Muar, Mohd Nor Hakim Hassan tidak lama kemudian.

Namun bekas pemain Harimau Muda musim lalu, Mohd Khairul Izuan Rosli muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit keempat masa tambahan membolehkan Kelantan meraih trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai RM100,000.

Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail merupakan antara individu yang paling gembira diatas kejayaan pasukan bimbingannya yang menjulang kejuaraan Piala Presiden setelah menempuh

“Walaupun kita terpaksa beraksi dengan 10 pemain, namun semangat juang yang ditunjukkan pemain saya begitu menakjubkan. Saya harus berbangga dengan persembahan pemain saya,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Namun pujian juga harus diberikan kepada pemain MP Muar yang memberikan tentangan sengit kepada kita. Terbukti mereka sebuah pasukan yang tidak kurang hebatnya.

“Kalau dibandingkan dengan pasukan lain, saya rasa pasukan kita yang paling baru kerana dibentuk bulan Januari lalu sedangkan pasukan lain sudah dibentuk sejak tahun lalu. Namun saya sentiasa percaya dengan kemampuan pemain saya. Ada dua atau tiga pemain yang berpotensi diketengahkan ke dalam skuad senior,” katanya.

Sementara itu, bagi Jurulatih MP Muar, Rosli Omar, beliau akur diatas kegagalan pasukan bimbingannya untuk menjulang piala musim ini sekali pun memberikan tentangan sengit kepada pemain Kelantan dalam perlawanan itu.

“Tahniah kepada pasukan Kelantan kerana muncul juara. Walaupun mereka beraksi dengan 10 pemain tetapi mereka bermain mati-matian. Semangat juang yang tinggi menjadi faktor kejayaan mereka dalam perlawanan ini.

“Apa yang saya lihat persembahan pemain saya tidak seperti yang saya harapkan. Mungkin pelbagai faktor seperti perasaan gemuruh kerana beraksi dihadapan penyokong lawan selain keadaan padang yang becak.

“Namun itu bukan alasan sebenar disebalik kekalahan ini. Saya percaya semua pemain saya sebenarnya boleh beraksi lebih baik daripada perlawanan ini. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya,” katanya.

GANJARAN ISTIMEWA UNTUK PEMAIN

KOTA BHARU – Ada ganjaran menarik dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepada barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan diatas kejayaan muncul juara Piala Presiden musim ini.

Dalam perlawanan akhir edisi kali ini, Kelantan muncul juara setelah mengalahkan MP Muar 2-1. Pemain tengah, Mohd Khairul Izuan Rosli muncul wira apabila gol jaringannya pada minit keempat masa tambahan membolehkan Kelantan muncul juara.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, faktor kejayaan skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warrior itu berpunca daripada kerja keras serta komitmen yang ditunjukkan semua pemain dan pegawai pasukan mereka sepanjang musim ini.

“Tanpa kita banyak beri perhatian, akhirnya mereka membuktikan mampu bergelar juara. Dan saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain dan pegawai pasukan Kelantan,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Mereka sebenarnya tidak pernah meminta apa-apa malah langsung tidak memberi masalah kepada pihak pengurusan Kafa. Perkara seperti ini yang kita mahukan daripada pemain-pemain muda dan ianya mencerminkan disiplin dan kualiti yang baik ditonjolkan oleh mereka. 

“Mereka sewajarnya mendapat ganjaran selaku bergelar juara. Insya Allah, semua pemain pasukan Piala Presiden dan Liga Super akan mendapat habuan istimewa yang saya akan umumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Kelantan menjulang Piala Presiden itu menjadikan kini enam trofi kejuaraan yang dipertandingkan di negara ini disimpan megah oleh negeri Kelantan.

“Saya fikir ini merupakan tahun yang cukup bermakna bagi Kelantan. Semua piala yang dipertandingkan kecuali Piala FA kini berada dibumi negeri Kelantan. Tahniah kepada The President Warrior kerana menjadikan tahun yang cukup bermakna bagi Kafa.

Ditanya mengenai hala tuju Kafa sendiri selepas pencapaian menakjubkan meraih enam piala dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Annuar menjelaskan pihaknya mempunyai perancangan untuk memastikan kemajuan bola sepak negeri ini sentiasa berterusan.

“Selepas ini kita akan bentuk satu pasukan belia dan akademi. Malah Kafa menetapkan rancangan untuk membentuk satu pasukan dibawah umur 14 tahun. Kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sendiri, macam skuad Liga Super mereka seharusnya berada dalam kelas tersendiri kerana akan beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC).

“Saya lihat sekurang-kurangnya lima atau enam pemain yang berpotensi daripada pasukan pelapis boleh diserapkan ke dalam skuad senior. Ini kita mahu seimbangkan supaya perancangan kemajuan bola sepak Kelantan dapat ditingkatkan,” katanya.

KELANTAN JUARA PIALA PRESIDEN

Barisan pegawai dan pemain Kelantan meraikan kejayaan menjulang Piala Presiden

KELANTAN 2
Mohamad Aris Zaidi (m-9)
Mohd Khairul Izuan Rosli (m-94)

MP MUAR 1
Mohd Nor Hakim Hassan (m-23)

(Kedudukan terikat 1-1 dalam waktu permainan sebenar)

KOTA BHARU – Reputasi Kelantan selaku kuasa baru bola sepak tempatan sekali terbukti apabila muncul juara Piala Presiden setelah mengalahkan Majlis Perbandaran (MP) Muar 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kali terakhir merangkul kejuaraan lima tahun lalu, skuad The President Warriors mengotakan janjinya dengan melengkapkan kejuaraan yang dimenangi malam tadi  menjadikan enam trofi kejuaraan keseluruhan kini disimpan megah oleh pasukan Kelantan.

Malah kejayaan muncul juara edisi kali ini membolehkan Kelantan meraih trofi kejuaraan selain hadiah wang tunai RM100,000 sementara MP Muar selaku naib juara sekadar berpuas hati membawa pulang wang tunai RM50,000.

Beraksi dihadapan hampir 4,000 penyokong setia, rentak kecemerlangan Kelantan bermula seawal minit kesembilan menerusi jaringan penyerang sensasinya, Mohamad Aris Zaidi.

Berpunca sepakan penjuru Mohd Khairul Izuan Rosli, Mohamad Aris memanfaatkan situasi kelam-kabut didalam kotak penalti dengan merembat kencang menewaskan penjaga gol MP Muar, Mohd Khairul Izzuwan Shaari untuk gol pertama Kelantan.

Pada m-21, bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan hampir menambahkan jaringan untuk Kelantan apabila rembatannya gagal ditangkap kemas Mohd Khairul Izzuwan namun pemain pertahanan MP Muar sempat mengeluarkannya daripada situasi merbahaya didepan pintu golnya.

Pengurus Pasukan Kelantan, Othman Zakaria (tengah) menjulang piala bersama Ketua Pasukan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim sambil diperhatikan Annuar

Jurulatih Kelantan, Zahasmi memberi kata-kata semangat kepada pemainnya sebelum meneruskan perlawanan dalam masa tambahan.

Penyerang Kelantan, Mohamad Aris Zaidi cuba merebut bola dari kaki S Harivarman

Selang dua minit kemudian, pasukan MP Muar berjaya menjadikan kedudukan 1-1 apabila berjaya menjaringkan gol menerusi Mohd Nor Hakim Hassan. Kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang terlalu memberi ruang akhirnya dihukum oleh Mohd Nor Hakim menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang menyaksikan Muhamad Syazwan Yusoff gagal menangkap kemas rembatannya.

Pada m-29, kelekaan benteng pertahanan Kelantan sekali lagi hampir membawa padah apabila penyerang pasukan pelawat,  S Harivarman sempat menyepak tepat ke pintu gol Kelantan namun Muhamad Syazwan bijak menepis keluar percubaan tersebut.

Pada m-44, penyerang Kelantan, Muhammad Shahiran Md Zin yang berjaya melepasi kekangan S Sadesh Kumar turut terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila hanya mampu menyepak lemah ke pintu gol MP Muar.

Minit-minit akhir babak pertama, pasukan pelawat turut mencuri tumpuan kali ini menerusi rembatan Zailan Mohamad didalam kotak penalti yang terus ke dakapan Muhamad Syazwan.

Bersambung babak kedua, Kelantan mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun Mohd Khairul Izzuwan bijak menepis keluar rembatan Muhammad Shahiran Md Zin pada m-55 dan Mohamad Aris selang dua minit kemudian.

Pasukan MP Muar yang sekali-sekala menyerang turut mempunyai peluang terbaik pada m-65 menerusi Mohd Nor Hakim namun tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.

Pada m-87, Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohamad Zamri Ramli dibuang padang kerana mengkasari Ketua Pasukan MP Muar, Muhammad Fauzi Abdul Kadir.

Minit-minit akhir perlawanan, Mohamad Aris terlepas peluang untuk meletakkan Kelantan lebih awal meraikan kemenangan apabila tandukannya terkena palang gol manakala tandukan susulan Mohd Syafiq Haikal Nazarudin pula diselamatkan penjaga gol, Mohd Khairul Izzuwan diatas garisan gol sekalipun pemain Kelantan mendakwa bola terlebih dahulu melintasi garisan.

Keputusan seri 1-1 dalam waktu permainan sebenar memaksa penentuan juara ditentukan menerusi waktu tambahan 30 minit.

Dua minit masa tambahan bermula, MP Muar pula sekali kecewa setelah percubaan S Harivarman terkena palang gol biarpun Muhammad Syazwan sudahpun tertewas diposisinya.

Namun, Mohd Khairul Izuan menceriakan penyokong setia dua minit kemudian apabila menjaringkan gol kemenangan Kelantan. Berpunca hantaran lintang Muhammad Akid Ramli, Mohd Khairul meledakkan rembatan kencang ke penjuru sebelah kiri pintu gol M P Muar untuk gol kemenangan Kelantan.

Minit-minit akhir masa tambahan, pasukan MP Muar sekali lagi gagal memburu gol penyamaan apabila percubaan Muhammad Fauzi ditepis keluar Muhamad Syazwan di sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Muhamad Syazwan Yusoff, Faizol Nazlin Sayuti, Muhammad Syafiq Haikal Nazarudin (Muhammad Norhamizi Haron), Nik Shahrul Azim Nik Abd Halim (KP), Mohamad Zamri Ramli, Khairul Izuan Rosli, Muhammad Norsyahrul Hawari Hanafi (Nicholas Chan Meng-Jin),  Mohamad Syawal Rudin Abdul Rahim (Mohamad Zabeel Mat Noor), Muhammad Shahiran Md Zin (Mohamad Azyu Ikmal Che Mat Nor), Muhamad Farhan Yaakub (Muhammad Akid Ramli) dan Mohamad Aris Zaidi.

FORMASI : 4-4-2

MP MUAR : Mohd Khairul Izzuwan Shaari, Muhammad Adli Muhammad (N Kartigesu), Afiza Azhar (S Sadesh Kumar), Mohd Nadzmeer Hisham Mohamad, Mohd Nor Hakim Hassan, Zailan Mohamad (Muhammad Shazrul Nizam), M Tamilselvam, Mohd Afiq Akmal Zunaidi (R Nandakopal), Muhammad Fauzi Abdul Kadir (KP), Nasrullah Haniff Johan dan S Harivarman (Ahmad Hisyamudin Alias).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (7) MP Muar (5)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) MP Muar (10)
Sepakan penjuru : Kelantan (15) MP Muar (6)
Sepakan percuma : Kelantan (21)  MP Muar (15)
Ofsaid : Kelantan (7) MP Muar (1)
Kekasaran : Kelantan (8) MP Muar (20)
Kad kuning : Kelantan (Nicholas Chan Meng-Jin ) MP Muar (Mohd Afiq Akmal Zunaidi dan R Nandakopal)
Kad merah : Kelantan (Mohamad Zamri Ramli) MP Muar (M Tamilselvam)
Masa tambahan :  Lima minit masa permainan sebenar (tidak termasuk masa tambahan 30 minit)
Penguasaan bola : Kelantan (55%) MP Muar (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Samsuddin Ibrahim
Penolong Pengadil 1: Suhaimi Mat Hassan
Penolong Pengadil 2: Ismadi Ibrahim
Pegawai Keempat : Ramli Mat Dahan
Kommissioner Perlawanan : Ahmad Fuad Daud
Pegawai Penilai : Abd Kadir Abdullah
General Kordinator : Arif Hassan

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi menentang MP Muar dalam perlawanan akhir Piala Presiden, malam tadi
 
Annuar diperkenalkan kepada barisan pemain Piala Presiden Kelantan sebelum sepak mula perlawanan akhir.

Sebahagian penyokong setia Kelantan yang menyaksikan perlawanan akhir, malam tadi. 

Monday, July 25, 2011

SAINGAN SENGIT REBUT TEMPAT

Mohd Yusri Ismail

KOTA BHARU – Teka-teki siapa yang bakal berada dalam senarai terakhir 18 pemain skuad Kelantan bagi menghadapi Majlis Perbandaran (MP) Muar dalam perlawanan akhir Piala Presiden hanya dapat ditentukan pada hari perlawanan esok.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail mengakui saingan sengit dalam kalangan pemainnya yang kini berusaha untuk memikat hati pihak pengurusan bagi merembut tempat dalam kesebelasan utama pemain bagi perlawanan akhir malam esok.

“Apa yang boleh saya katakan semua pemain bersaing sesama sendiri bagi menempatkan diri dalam senarai 18 pemain. Kita tengoklah nanti dalam latihan sehari dua ini mereka yang menunjukkan prestasi terbaik itulah yang kita akan pilih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Saya dapat lihat betapa semangat juang pemain cukup tinggi dan saya fikir prestasi mereka semua sudah berada dikemuncak. Apatah lagi ini perlawanan akhir bagi kita musim ini dan mereka mahu menghadiahkan piala tersebut kepada seluruh rakyat Kelantan.

“Sebenarnya ini merupakan satu persaingan yang sihat bagi sesebuah pasukan. Secara jujur saya katakan pasukan yang dibentuk pada musim ini merupakan yang terbaik dan sentiasa mendapat perhatian daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sendiri,” katanya.

Menurutnya, skuad The President Warrior bakal menampilkan barisan terkuat bagi menghadapi anak didik Rosli Omar, bekas pemain Negeri Sembilan yang diberi kepercayaan melatih pasukan MP Muar musim ini.

Kelantan akan bertemu MP Muar dalam perlawanan akhir Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

KELANTAN HORMATI MP MUAR

ZAHASMI ISMAIL

KOTA BHARU – Dilabelkan pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kali ini, Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail ternyata tampak kurang selesa dengan gelaran tersebut sebaliknya mengambil pendekatan merendah diri menjelang perlawanan akhir Piala Presiden menentang Majlis Perbandaran (MP) Muar, malam esok.

Biarpun bahang tekanan semakin terasa, Zahasmi walaubagaimanapun mengakui beliau lebih gemar mengambil sikap berhati-hati sambil menghormati keupayaan pasukan MP Muar yang berjaya mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir edisi musim ini.

“Ini merupakan perlawanan akhir dan saya bersetuju dengan pendapat mengatakan bahawa kedua-dua pasukan yang beraksi dalam final musim ini sebenarnya layak digelar pasukan terbaik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Bagi saya, kedua-dua sebenarnya mempunyai peluang yang seimbang untuk bergelar juara. Hanya pasukan yang meminimakan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang, maka pasukan itulah layak dinobatkan sebagai juara.

“Dalam bola sepak apa-apa pun boleh terjadi apatah lagi dalam kemuncak perlawanan akhir seperti ini. Jurulatih mana yang tidak mahu menjulang piala apatah lagi bukannya mudah bagi kita menempatkan diri dalam perlawanan akhir kali ini. Sudah pasti saya mengimpikan kejuaraan untuk pasukan Kelantan,” katanya.

Tidak mahu bermain psikologi, Zahasmi mengakui beliau sebenarnya tidak mengetahui kekuatan pasukan MP Muar yang dibimbing bekas pemain Negeri Sembilan, Rosli Omar dan secara jujur tidak berminat untuk mencari kelemahan pasukan berstatus kelab dari negeri selatan tanah air itu.

“Kita perlu menghormati keupayaan pasukan MP Muar. Apabila mereka layak ke perlawanan akhir ini bermakna mereka bukan calang-calang pasukan sebenarnya. Soal kekuatan atau kelemahan mereka itu kita ketepikan.

Zahasmi (kanan) serius mengendali sesi latihan skuad Piala Presiden di Kota Bharu, semalam

“Kita hanya memberi fokus terhadap persiapan kita dan saya berjanji akan buat yang terbaik. Kita akan menggunakan segala kelebihan yang ada pada pasukan kita. Bagi saya, tidak ada percaturan khas terhadap pertemuan ini sebaliknya kita tetap menganggap ianya sama seperti perlawanan yang lain cuma bezanya ini perlawanan akhir.

“Peluang beraksi dalam perlawanan akhir dihadapan penyokong sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sehubungan itu, saya berharap para penyokong setia Kelantan hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pemain kita malam esok,” katanya.

Kelantan dan MP Muar akan berentap memburu kejuaraan dengan pasukan bergelar juara bakal menjulang trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000 sementara naib juara bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengetepikan lawan masing-masing diperingkat separuh akhir. Kelantan layak setelah menyingkirkan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol ditempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

Thursday, July 21, 2011

BEKAS PEMAIN BERTEMU KEMBALI

Takiyuddin (duduk, empat kiri) dan Wan Abdul Rahim (duduk, lima kiri) bergambar bersama-sama pemain bekas pemain bola sepak negeri dalam satu perjumpaan di Kota Bharu, baru-baru ini. 

KOTA BHARU – Kita pernah mendengar nama-nama seperti Dali Omar, Mahadi Yusoff  atau Kamaruddin Mohd Noor yang selalu melingkari dunia bola sepak tempatan sebelum ini tetapi mungkin kita kurang mengenali siapa Ramli Abdullah atau Mohd Zin Omar.

Dua nama ini merupakan antara pemain yang cukup lincah beraksi dipadang ketika menyarung jersi Kelantan sekitar tahun 60’an dulu selain Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusoff yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972.

Ianya pasti menggamit nostalgia lama apabila seramai 29 bekas pemain bola sepak negeri ini dari era tahun 60 hingga 80’an dipertemukan dalam satu majlis makan malam yang berlangsung di sebuah restoran di Kota Bharu, baru-baru ini.

Majlis perjumpaan bekas-bekas pemain itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Biarpun sudah bersara sepenuhnya daripada dunia bola sepak, namun itu tidak menghalang mereka untuk dipertemukan kembali setelah ada diantara mereka yang terputus hubungan hampir 10 tahun.

Hadir dalam majlis perjumpaan tersebut ialah bekas pemain seperti Nik Abdul Rahman Abdullah, Wan Rashid Wan Mohamad, Mohd Agus Daud, Wan Yusoff Wan Zin, Zakaria Husin, Wan Abdul Aziz Wan Ahmad, Idris Daud, Yassin Mohd Noor, Wan Hassan Wan Ibrahim dan Zulkepli Hussin.

Selain itu turut hadir ialah Wan Mohd Afendi Wan Omar, Yusof Mohamad, Izman Mohamad, Abdul Ghani Omar, Abd Hamid Abd Ghani, Kamarudin Sulong, Nik Leh Nik Man, Hamid Ramli, Afandi Yusof dan Mahadi Yusof.

Wan Abdul Rahim didalam ucapannya mengakui keterujaannya dapat bertemu dengan bekas pemain yang pernah menjadi idola ketika pada zaman mudanya dahulu.

“Ramai kalangan yang hadir merupakan pemain yang menjadi idola saya. Ketika itu mereka beraksi pada zaman stadium ‘pohon rhu’’ lagi. Saya masih ingat lagi dimana Mohamed Che Su (kini, arwah) dan MahadiYusoff pernah bergaduh diluar padang.

“Semua itu menjadi kenangan dan saya berharap kita akan kerap kami bertemu selepas ini. Mungkin kita boleh mengadakan perlawanan persahabatan diantara kita. Saya dulu pun aktif bermain bola sepak pada tahun 1971 bersama-sama dengan Nik Fauzi (Nik Hassan) dan Kamaruddin (Abdullah) namun setakat kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) sahaja,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, bagi bekas pemain, Kamaruddin Mohd Noor juga berharap pertemuan sebegini bukan yang pertama dan terakhir memandangkan mereka sepakat untuk menubuhkan persatuan bekas pemain bagi memastikan dapat mengaturkan pelbagai aktiviti selain menjaga kebajikan bekas-bekas pemain.

IZUAN, SUBRA TIDAK SABAR TEMU CHELSEA

MOHD IZUAN SALAHUDDIN 

S SUBRAMANIAM

KOTA BHARU – Pelatih skuad Olimpik kebangsaan, Mohd Izuan Salahuddin bersedia menggalas tugas sekiranya diberi kepercayaan beraksi untuk pasukan Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini.

Mohd Izuan, 20 tahun yang baru dipanggil oleh jurulatih Ong Kim Swee bagi menjalani latihan di Slovakia bermula Sabtu ini menjelaskan, impian beraksi menentang pasukan kelab yang dibarisi pemain bertaraf dunia itu merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan.  

“Siapa yang tidak mahu bermain apabila menentang sebuah kelab yang dibarisi pemain-pemain terkenal dunia. Peluang ini mungkin sekali seumur hidup dan saya tidak mahu melepaskan peluang terbaik ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Walaupun terpaksa bersaing hebat dengan pemain-pemain lain namun saya percaya itu merupakan satu persaingan yang sihat. Malah sembilan pemain senior didalam pasukan ini juga tidak segan untuk berkongsi ilmu dengan pemain muda seperti saya.

Subramaniam (kanan) dan Mohd Amri Yahyah bakal perkuatkan pasukan Pilihan Malaysia apabila menentang Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Soal sama ada dipilih atau tidak itu bergantung kepada penilaian jurulatih. Apa yang penting saya sendiri perlu menunjukkan prestasi yang baik semasa latihan. Saya sememangnya bersedia diturunkan sekalipun sebagai pemain gantian,” katanya.

Menurutnya, walaupun baru seminggu menjalani latihan bersama namun beliau tidak menghadapi sebarang masalah malah dapat menerima tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih, Ong Kim Swee dengan baik.

“Peluang menimba ilmu di Slovakia selama lebih sebulan nanti akan saya manfaatkan sepenuhnya. Malah saya cukup berbangga apabila dipanggil menjalani latihan bersama skuad Olimpik ini. Ianya menjadi cita-cita bagi setiap pemain untuk beraksi mewakili negara,” katanya.

Sementara itu, bagi pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam yang kali terakhir penampilannya bersama skuad kebangsaan ialah dalam pusingan Kelayakan Piala Asia tiga tahun lalu turut berazam menampilkan persembahan terbaik sekiranya diturunkan bertemu Chelsea nanti.

“Bertemu Chelsea ibarat satu ujian yang getir menanti skuad kebangsaan kita namun saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal mengekang aksi pemain bertaraf dunia nanti. Janji saya ialah akan memberikan persembahan terbaik.

AKSI FINAL 26 JULAI INI

Ariff (kanan) mengendalikan sesi cabutan undi selepas memberi taklimat mengenai format pertandingan Kejohanan Liga ARMY 2011 di Kota Bharu, semalam

KOTA BHARU – Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sekali lagi diberi penghormatan apabila dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai gelanggang perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden pada 26 Julai ini.

Dua pasukan finalis, iaitu Kelantan dan Majlis Perbandaran (MP) Muar, Johor akan berentap memburu kejuaraan bagi merebut trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000. Sementara naib juara pula bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengalahkan lawan masing-masing diperingkat separuh akhir. Kelantan layak setelah mengetepikan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol ditempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Arif Hassan berkata, pihaknya sudah menerima pengesahan secara rasmi daripada FAM berkenaan pemilihan stadium di Kota Bharu itu sebagai gelanggang perlawanan akhir kejohanan tersebut musim ini.

“Bagi ketetapan perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden musim ini, sepak mula akan dimulakan jam 8.45 malam sebagaimana kebiasaan bagi perlawanan lain dalam Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Pihak Kafa juga memutuskan harga tiket bagi tempat duduk teres berbumbung bagi perlawanan akhir ini ialah RM10 sementara tempat duduk terbuka RM5. Tiket-tiket perlawanan akan dijual pada hari perlawanan akhir tersebut.

“Sehubungan itu, saya berharap peminat setia bola sepak Kelantan membanjiri stadium pada perlawanan ini bagi memberi sokongan kepada pasukan The President Warriors ini. Ini merupakan peluang terbaik bagi kita untuk menambahkan koleksi trofi kejuaraan kali keenam dengan memenangi piala ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ariff turut memaklumkan sebanyak lapan pasukan termasuk Akademi Bola Sepak Darul Naim (ABDN) bakal berentap dalam Kejohanan Liga Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang bermula Jumaat ini.

“Kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh Kafa itu bakal menyaksikan sebanyak 16 pasukan daripada pasukan bawah 14 tahun dan 16 tahun akan berentap secara liga yang diasingkan kepada dua kumpulan.

“Pasukan yang terlibat ialah ARMY Kota Bharu 1, Kota Bharu 2, ARMY Chengal, ARMY Bachok, ARMY Tanah Merah, ARMY Tumpat, ARMY Kuala Krai selain ABDN yang turut menyertai atas kapasiti sebagai pasukan jemputan,” katanya.

USAHA LAHIR RAMAI PEMAIN DAN JURULATIH

Tien Ghee (duduk,kiri) dan Sathianathan (duduk, dua kanan) meraikan peserta ARMY yang menyertai Klinik Bola Sepak 1MCC-CCFC di Kota Bharu. 


KOTA BHARU – Klinik Bola Sepak 1Malaysia Cardiff City-Cardiff City Football Club (1MCC-CCFC) bersama jurulatih dan pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang julung kali diadakan di Kota Bharu disifatkan berjaya mencapai matlamat penganjurannya.

Klinik bola sepak selama sehari itu dikendalikan sepenuhnya oleh tujuh jurulatih CCFC diketuai Ketua Pembangunan Bola Sepak 1MCC-CCFC, Kevin Cooper dan dibantu Scott Young yang memiliki Lesen Kejurulatihan Kelas A daripada Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan mendedahkan betapa manfaat jangka panjang hasil daripada program tersebut bakal memberi impak yang cukup baik terhadap pembangunan bola sepak remaja di negeri ini.  

“Apabila kita mahu melahirkan pemain muda berbakat, kita juga memerlukan jurulatih yang bagus. Ini merupakan satu pelaburan yang wajib apabila kita bercakap mengenai soal pembangunan bola sepak remaja. Kita mahu melahirkan lebih ramai jurulatih dan pemain muda berbakat di negeri ini,” katanya dalam sidang media, semalam.

“Macam Tengku Hazman (Raja Hassan), dia merupakan seorang bekas pemain kebangsaan dan beraksi dengan banyak pasukan dalam Liga Malaysia. Daripada dia pergi ke tempat lain, lebih baik kita bentuk dia menjadi jurulatih bagi melahirkan pemain-pemain muda pada masa akan datang.

“Kesudian jurulatih CCFC datang ke sini merupakan satu sejarah baru bagi bola sepak Kelantan. Kita tidak bayar apa-apa pun kepada mereka. Kita jemput dan mereka datang dan saya fikir ini satu program yang cukup bermanfaat,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan pelatih ARMY terhadap klinik bola sepak ini, Sathianathan ternyata cukup berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua pelatihnya walaupun hanya sempat ‘berguru’ dalam tempoh dua jam dalam program tersebut.

“Macam hari ini, walaupun hanya 207 daripada jumlah keseluruhan 305 pelatih ARMY yang datang, namun itu angka yang cukup baik. Kita tidak sediakan pengangkutan tetapi mereka ambil inisiatif sendiri datang dengan ibu-bapa.

“Mereka nampak seronok apabila mendapat bimbingan jurulatih luar. Kalau seorang jurulatih turunkan ilmu mungkin mereka andaikan jurulatih cakap tidak betul tapi ini ramai jurulatih datang. Mereka kena terima ilmu yang diajar ini,” katanya.

Sementara itu, Kevin Cooper dalam sidang media yang sama juga melahirkan perasaan gembira kerana dapat turun padang sendiri memberi bimbingan kepada jurulatih dan pelatih ARMY negeri ini.

CCFC KOMITMEN LATIH REMAJA

CHAN TIEN GHEE

KOTA BHARU – Kelab Bola Sepak Cardiff City (CCFC) yang dimiliki oleh rakyat Malaysia terus menyatakan komitmennya untuk membantu membangunkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

Lapan jurulatih daripada CCFC kini dalam rangka Jelajah 1Malaysia Cardiff City (1MCC-CCFC) dengan Kota Bharu menjadi lokasi persinggahan pertama. Seramai 207 pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) terlibat dalam Klinik Bola Sepak bersama CCFC itu.

Pengerusinya, Datuk Chan Tien Ghee berkata, pihaknya cukup gembira kerana dapat bekerjasama lebih rapat dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menjayakan klinik bola sepak selama sehari itu.

“Pembangunan bola sepak remaja pada hari ini sebenarnya cukup penting. Kalau kita perhatikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah pun terlibat dalam sukan bola sepak,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, semalam.

“Bagi CCFC sendiri, kami cukup teruja apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak remaja. Kita cuba mendekatkan masyarakat dengan program seperti ini. Malah kita akan ke Jengka, Pahang dan Jerlun, Kedah bagi menjayakan program klinik bola sepak selepas ini.

“Kelantan merupakan lokasi pertama kami. Saya melihat betapa keghairahan pemain muda di negeri ini berasaskan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong mereka. Saya tidak pernah melihat penyokong Kelantan sebegitu ramai apabila pasukan ini beraksi diluar Kota Bharu. Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, program jelajah ini sebenarnya cukup bagus bagi mendedahkan pemain remaja dengan teknik bola sepak moden yang sudah pasti berbeza sama sekali corak permainan bola sepak di negara ini.

“Anda boleh bayangkan mereka ini (jurulatih-jurulatihnya) dari Wales datang ke sini. Sudah pasti kita mengalami kesukaran untuk berkomunikasi tapi saya lihat perkara itu tidak berlaku disini. Mereka (pelatih-pelatih) cukup gembira menimba ilmu walaupun dalam tempoh yang singkat.

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan menerima cenderahati daripada Tien Ghee sejurus sidang akhbar 1MCC-CCFC di Kota Bharu. 

“Ianya bukan soal mencari siapa yang terbaik. Apa yang lebih penting ialah penyertaan daripada semua peserta disini. Di Cardiff City, kami mempunyai hampir 10,000 peserta seperti ini setiap tahun. Daripada jumlah itu, kami mungkin hanya mendapat hanya seorang pemain yang bagus Craig Bellamy. 

“Saya gembira dengan perkembangan kelab saya. Sudah pasti kita akan datang ke sini lagi. Kita mempunyai cawangan akademi di Kuala Lumpur dan berdasarkan fenomena luar biasa disini saya bersedia membuka cawangan di negeri ini,” katanya.

BEKAS PEMAIN DISARAN TUBUH PERSATUAN

Datuk Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – Bekas pemain bola sepak negeri disarankan menubuhkan persatuan mereka sendiri bagi membolehkan segala aspek kebajikan dan juga kesusahan hidup yang mereka alami mendapat pembelaan sewajarnya.  

Ahli Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, diperingkat FAM pun, pihaknya sentiasa berbincang mengenai masalah kebajikan dan juga pembelaan terhadap nasib bekas pemain yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan sebelum ini.

“Puncanya kita dapat kenal pasti apabila pemain-pemain bola sepak sudah bersara mereka hilang begitu sahaja tanpa apa-apa khabar berita. Tidak ada satu persatuan pun ditubuhkan dapat menyatukan mereka semua,” katanya kepada media pada majlis bertemu bekas pemain bola sepak negeri Kelantan era tahun 60 hingga 70’an, semalam.

“Diperingkat kebangsaan sekalipun tidak ada organisasi yang tersusun dapat membantu mereka. Jadi saya mengalu-alukan sebarang penubuhan persatuan bekas pemain di peringkat negeri supaya mereka boleh menyusun pelbagai program mereka dengan baik.

 “Jasa bekas pemain yang pernah menabur bakti mengharum negeri dan negara dalam bidang sukan bola sepak tidak harus dilupakan begitu sahaja. Apabila persatuan ditubuhkan, mudah bagi pihak berwajib untuk menyampaikan bantuan kepada mereka,” katanya.

Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan  (PBSMMK) turut memuji usaha yang dilakukan bekas-bekas pemain bola sepak di negeri ini untuk menubuhkan persatuan bekas pemain dalam masa terdekat.

“Sebenarnya, ramai bekas pemain negeri ini pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MKPB-BRI). Macam MPKB-BRI dulu pernah menjadi johan Piala FAM, jadi mereka juga boleh menyumbang kepada persatuan.

“Alhamdulilah, malam ini mereka bersetuju menubuhkan jawatankuasa penaja dan saya sudah memberi jaminan untuk menyumbang sebanyak RM10,000 kepada mereka. Jadi dengan duit tersebut mereka boleh menguruskan aktiviti permulaan bagi persatuan mereka.

Mengenai cadangan pengurniaan anugerah kepada bekas pemain yang pernah mengharumkan nama negeri ini sebagai salah satu pengiktirafan terhadap jasa mereka selama ini, Takiyuddin turut menyokong penuh cadangan tersebut.

“Ini merupakan satu cadangan yang cukup baik. Saya akan berbincang dengan Abdul Fattah Mahmood (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri) untuk mengemukakan nama-nama yang difikirkan sesuai untuk dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya.

Sunday, July 17, 2011

ROYPY CEBURI BIDANG PERNIAGAAN

Annuar (empat,kiri) merasmikan pembukaan FZ Jati Corner di Kota Bharu. Turut kelihatan, Zairul Fitree (kanan,sekali)

KOTA BHARU – Minat yang mendalam untuk menceburi bidang perniagaan sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan bagi pemain bola sepak Liga Super Kelantan, Zairul Fitree Ishak apabila berjaya membuka perniagaan berasaskan makanan, baru-baru ini.

Majlis perasmian medan selera yang diberi nama FZ Jati Corner itu disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Merchandise, Outlet dan Event, Azlan Mohd Yusoff, Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim serta pemain-pemain bola sepak Kelantan.

Zairul Fitree, 26 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan Roypy berkata, idea untuk membuka medan selera itu dicetuskan oleh rakan kongsinya Mohamad Fikri Mohd Azaman serta abangnya, Zailani Hanizan Ishak dan mereka bertiga sepakat mengeluarkan modal hampir RM80,000 bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Bukan kata karier sebagai pemain bola sepak tidak menjamin masa depan tapi saya rasa ini merupakan sebahagian daripada perancangan untuk masa depan saya sendiri. Tidak selamanya saya akan bermain bola sepak dan akan tiba hari persaraan saya nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

“Jadi langkah menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan ini merupakan satu tindakan yang saya rasa cukup tepat. Malah saya turut mendapat galakkan daripada keluarga dan rakan-rakan apabila menyatakan hasrat untuk membuka medan selera ini.

“Di FZ Jati Corner ini, kita mengetengahkan konsep menikmati makanan secara santai dan terbuka. Para pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan tempatan dan barat termasuk satay daripada 10 gerai yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, bagi rakan kongsinya, Mohd Fikri berkata, sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup menggalakkan sejak dibuka medan selera tersebut dibuka baru-baru ini.

 “Sebagai tarikan, kita turut menjual nasi ulam salah satu makanan popular masyarakat di negeri ini disini. Malah bermula minggu depan, waktu operasi kami akan bermula seawall jam tujuh pagi sehingga dua pagi setiap hari dan dibuka tujuh hari seminggu.

“Dengan kemudahan tempat letak kenderaan yang luas ditambah dengan keupayaan medan selera ini dapat menampung hampir 150 orang pengunjung pada satu-satu masa, saya rasa inilah tempat yang sesuai untuk menikmati makanan tempatan secara santai,” katanya.

Orang ramai boleh mengunjungi FZ Jati Corner yang terletak berhadapan dengan Maybank cawangan Wakaf Siku di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat sini.