Wednesday, December 29, 2010

KELANTAN TEWAS AKSI SULUNG

Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dikepung empat pemain Harimau Muda dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam semalam.

KELANA JAYA – Skuad Liga Super Kelantan membuka tirai siri perlawanan persahabatan di Lembah Klang dengan aksi mengecewakan setelah tewas 4-1 kepada Harimau Muda ‘A’ dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam semalam.

Dalam perlawanan tersebut, gol tunggal Kelantan telah dijaringkan oleh Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah penyerang, Muhammad Khalid Jamlus diperintah keluar padang kerana menerima kad merah pada babak awal permainan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ketika dihubungi berkata, kekalahan tersebut tidak menggusarkan kerana beliau sedar misi utama Kelantan mengadakan perlawanan tersebut adalah bagi mengukur sejauh mana kemampuan para pemainnya setelah hampir sebulan menjalani latihan.

“Kekalahan ini merupakan satu keputusan yang baik. Perlawanan seperti inilah yang saya nantikan. Apabila kita bertemu dengan lawan yang kuat dalam perlawanan yang kompetetif seperti ini,  kita dapat mengesan kelemahan pasukan kita dengan sendirinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kekalahan ini membuka minda para pemain sebenarnya. Sudah pasti mana-mana pasukan yang bertemu dengan kita akan bermain habis-habisan kerana mereka sedar kita adalah juara Piala Malaysia musim lalu. Ada pemain yang masih dalam keadaan mendadik dada, mereka ingat kita masih bergelar juara. Pemikiran seperti ini perlu dibuang.

“Saya tidak kecewa dengan kekalahan ini. Kita kena banyak belajar dan memperbaiki kelemahan terutamanya dibahagian pertahanan yang saya lihat tidak membentuk satu kombinasi yang baik. Para pemain perlu bekerja keras mengatasi kelemahan ini,” katanya.

Menurut Sathianathan, walaupun benteng pertahanan dilihat bermasalah namun pada masa yang sama beliau berpuas hati dengan persembahan dua baru iaitu K Soley dan Mohd Nurul Azwan Roya yang menunjukkan persembahan yang baik pada perlawanan itu.

“Mereka berdua berfungsi dengan baik. Kita mempunyai banyak peluang melalui gerakan serangan yang dilakukan oleh kedua-dua pemain sayap itu namun penyudah kita kurang berkesan. Ramzul (Zahini Adenan) walaupun cemerlang dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini tetapi masih tercari-cari rentak sebenar beliau. Kita bagi masa kepada beliau.

“Sebab itulah saya katakan saya mempunyai tiga misi utama semasa berada di sini. Pertama, saya mahu mencari perlawanan persahabatan yang berkualiti, kedua saya mahu mengenalpasti barisan pemain yang mungkin akan disenaraikan bagi menghadapi Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 29 Januari dan ketiga, pemain kini masih lagi dalam fasa menjalani latihan keras dan saya perlu memantau tahap kecergasan mereka selain mengenalpasti kombinasi dan persefahaman yang terbaik melalui perlawanan seperti ini,” katanya.

Monday, December 27, 2010

KAFA ADAKAN PEMILIHAN TERBUKA


Arif Hassan


Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, pihak Kafa menjemput pemain-pemain muda yang berbakat di negeri ini untuk mencuba nasib dalam sesi  pemilihan pemain tersebut.

“Sesi pemilihan akan bermula jam empat sehingga enam petang. Sesi pemilihan pertama akan diadakan selama dua hari bermula esok dan lusa bertempat di padang SMK Hamzah, Machang. Sehubungan dengan itu, mana-mana pemain berbakat terutama dari jajahan Kuala Krai, Gua Musang turut dialu-alukan untuk menyertai sesi pemilihan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sementara sesi pemilihan kedua akan diadakan pada 30 dan 31 Disember ini di padang HUSM, Kubang Kerian pada waktu yang sama. Saya juga berharap kelab-kelab yang terbabit dalam Liga Antara kelab anjuran Pihak Kafa dapat menghantar sekurang-kurangnya lima pemain ke sesi pemilihan tersebut.

Menurut Arif, sesi pemilihan pemain tersebut akan dinilai oleh Panel Kejurulatihan Kafa yang akan dikendalikan oleh bekas pemain berpengalaman negeri ini, Zahasmi Ismail.

MAT YO AKHIRI ZAMAN BUJANG


Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan menepun tawar pasangan pengantin dalam majlis di Kota Bharu malam semalam.

KOTA BHARU – Pemain paling bernilai musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha menamatkan zaman bujangnya setelah memilih Siti Aisya Adam, 21 tahun sebagai sebagai pasangan hidupnya.

Malam semalam, majlis persandingan kedua-dua mempelai tersebut berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Konvensyen, Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu malam semalam.

Norshahrul Idlan, 24 tahun atau disapa dengan panggilan Mat Yo memilih Siti Aisya yang berasal dari Kuala Lumpur dan bertugas sebagai pramugari syarikat penerbangan tambang murah negara, Air Asia.

Biarpun sibuk menghadapi tugasan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Indonesia dalam perlawanan akhir Kejohanan Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Norshahrul telah diberi pelepasan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan beliau pulang ke Kota Bharu menyempurnakan majlis perkahwinan tersebut.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Datuk Ahmad Mahmood dan  Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Kelantan, Datuk Ismail Mohd Nor antara tetamu jemputan yang hadir memeriahkan majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ialah rakan taulan, ahli keluarga sebelah pihak lelaki dan perempuan selain pihak pengurusan dan pemain pasukan Liga Super Kelantan musim depan diketuai pengurus pasukan, Azman Ibrahim. 

UJIAN SEBENAR MENANTI KELANTAN


Penyerang Kelantan, Muhammad Khalid Jamlus berjaya melepasi kekangan dua pemain pertahanan kelab Melodi Jaya dalam aksi perlawanan persahabatan pada Jumaat lalu. 

KOTA BHARU – Tiga kemenangan daripada tiga perlawanan persahabatan sebelum ini masih belum memberi kepuasan mutlak kepada pengendali, B Sathianathan biarpun skuad The Red Warriors sudah menjalani latihan hampir sebulan yang lalu.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Kelantan menumpaskan pasukan Pilihan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dengan kemenangan 8-0 sementara perlawanan berikutnya, Kelantan mengalahkan pasukan Pilihan Kelab-Kelab dengan keputusan 3-0.  

Terbaru, Kelantan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas pasukan yang beraksi dalam Liga FAM, kelab Melodi Jaya dari Johor dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Padang Penjara pada Jumaat lalu. Dalam perlawanan tersebut, gol-gol Kelantan telah dijaringkan oleh Ramzul Zahini Adenan, K Soley dan Mohd Nizab Ayub.

Sathianathan berkata, keputusan tiga perlawanan persabahatan itu bukan suatu yang menggembirakan bagi beliau kerana lawan yang ditentang oleh Kelantan dalam perlawanan tersebut disifatkan oleh beliau bukan lawan yang sebenar bagi Kelantan.

“Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai pasukan ini. Memang saya lihat sudah terbentuk keserasian dalam kalangan pemain namun masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan dalam memperkemaskan persembahan pasukan secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan persahabatan terdahulu. Saya tidak menghiraukan keputusan perlawanan tersebut kerana yang lebih penting adalah saya dapat melihat sejauh mana para pemain dapat membentuk persefahaman yang jitu memandangkan musim ini kita menggabungkan antara pemain lama dan baru dalam pasukan kita.

“Dalam semua perlawanan persahabatan sebelum ini, saya memberi peluang kepada semua pemain turun beraksi dalam tempoh 45 minit. Namun untuk empat perlawanan persahabatan ini, saya hanya akan menggunakan 13 atau 14 pemain turun beraksi dalam sepenuh masa,” katanya.

Sathianathan berkata, empat perlawanan persahabatan yang dihadapi bermula hari ini memberi peluang kepada beliau untuk menilai secara kolektif persembahan pasukan Kelantan secara keseluruhannya.

“Empat perlawanan ini cukup penting bagi saya. Kita dapat menilai kelemahan pasukan dengan bertemu dengan pasukan yang kuat. Sekurang-kurangnya kita mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

“Semua pemain baru yang bersama kita memang mempunyai kualiti tersendiri. Itu tidak dapat saya nafikan tetapi yang penting saya perlu menerapkan corak permainan pasukan Kelantan kepada mereka. Kita beri masa kepada mereka untuk buktikan.

“Latihan selepas ini akan lebih tertumpu kepada bagaimana semua pemain perlu bekerja keras tanpa bola. Kalau mereka kehilangan bola, jadi mereka perlu bekerja keras untuk mendapatkannya semula,” katanya.

Kelantan akan memulakan siri perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Muda A, pasukan bimbingan Ong Kim Swee yang mengutip pengalaman di Slovakia baru-baru ini pada malam ini sebelum menghadapi Sarawak, KL Felda United FC dan pendatang baru Liga Perdana musim depan, Sime Darby FC dalam perlawanan terakhir.

Sunday, December 26, 2010

Kelate.Net hulur sumbangan kepada Sairozi


Mahizi Mahmood (kiri) mewakili Kelate.Net menyampaikan sumbangan kepada Sairozi sambil diperhatikan Mohd Shaifuddin Harun dan Khiru Shaleh di Pulai Chondong.

MACHANG – Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) semalam tampil menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain Kelantan, Sairozi Daud yang terlantar akibat menderita sakit barah tengkuk sejak 10 bulan lalu.

Pengendali laman webnya, Khiru Shaleh Abdullah berkata, pihaknya telah menganjurkan kempen kutipan derma melalui laman web Kelate.Net sejurus berita penderitaan yang dialami oleh bekas pemain Kelantan itu disiarkan dalam akhbar baru-baru ini.

“Kempen kutipan derma ini dibuka selama dua minggu dan kita berjaya mengutip sebanyak RM450 dalam kalangan seluruh ahli kelab dan juga penyokong Kelantan di seluruh dunia. Hari ini kita datang menziarahi beliau di rumahnya di Pulai Chondong  bagi menyampaikan sendiri kutipan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami sebagai salah satu daripada kelab penyokong di negeri ini dan kita akan terus membantu mana-mana kalangan bekas pemain yang menghadapi kesulitan hidup seperti mana yang dihadapi oleh Sairozi Daud ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli kelab dan penyokong Kelantan yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan penderitaan yang dialami oleh beliau. Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh beliau,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kelab, Mahizi Mahmood berkata, pihaknya dimaklumkan keadaan kesihatan Sairozi bertambah baik berbanding keadaannya yang lemah sebelum ini.

“Alhamdulilah, melihat keadaan beliau pada hari ini sudah ada perubahan sedikit. Beliau sudah mampu bercakap berbanding sebelum ini kita difahamkan beliau sering kali mengadu kepenatan.

“Kita berdoa semoga beliau sembuh seperti sedia kala dan mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dengan segera. Beliau bukan sahaja perlu diberi rawatan tetapi juga sokongan moral bagi melawan penyakit tersebut.

“Walaupun beliau hanya bermain dengan Kelantan selama tiga tahun sahaja, tetapi jasa beliau terhadap pasukan negeri ini tidak harus dilupakan kerana beliau turut membantu Kelantan muncul juara Piala FAM pada tahun 2005 sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya,” katanya.

Sebelum ini Sairozi, 32 tahun, menjalani pembedahan di Hospital Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru sekitar Februari lalu dan pernah mendapatkan rawatan kimoterapi sebanyak tiga kali dan radioterapi 36 kali bagi rawatan susulan penyakit barah tengkuk selepas itu.


Image Caption: Mahizi Mahmood mewakili Kelate.Net menyampaikan sumbangan kepada Sairozi Daud sambil diperhatikan ahli Kelate.Net, Mohd Saifuddin Harun dan Khiru Shaleh dirumah beliau Pulau Chondong semalam.

SINAR HARIAN TERUS TAJA KELANTAN


Muhammad Nasir Hamzah sentiasa terbuka dalam membicarakan mengenai perkembangan bola sepakKelantan

KOTA BHARU – Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan sekali lagi meneruskan kecemerlangannya sebagai medium mempromosikan kegemilangan sukan bola sepak  negeri ini apabila bersetuju menyambung kontrak penajaan terhadap pasukan The Red Warriors (TRW) untuk musim depan.  

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, sebagai penaja rasmi skuad TRW musim lalu, pihaknya berbesar hati apabila diberi peluang menjadi penaja bersama pasukan bola sepak Kelantan buat tahun kedua berturut-turut.

“Pencapaian yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan terutamanya kejayaan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu disamping melihat kepada keyakinan pihak Kafa sendiri terutamanya kesungguhan Presiden, Tan Sri Annuar Musa bersama saf kepimpinannya untuk membawa pasukan Kelantan ke tahap lebih tinggi, jadi pihak Sinar Harian sekali lagi terpanggil untuk menjadi penaja bersama untuk musim depan,” katanya ketika diwawancara di Kota Bharu, semalam.

“Atas dasar tersebut, pihak kami bersetuju untuk terus menjadi sebahagian daripada pasukan yang bergelar ‘The Winning Team’ untuk tempoh setahun lagi. Kita juga berharap Kelantan akan menjadi sebuah pasukan yang amat dikagumi dan disegani dalam landskap bola sepak negara pada tahun mendatang.

“Kita telah mencipta sejarah dan kita tidak harus berhenti daripada terus mencipta sejarah. Untuk mempertahankan kejuaraan sebenarnya lebih sukar daripada memburu kejuaraan namun semua itu tidak mustahil boleh kita lakukan,” katanya.

Muhammad Nasir berkata, walaupun pada hakikatnya Sinar Harian tidak perlu menjadi penaja kepada mana-mana pasukan tetapi demi memajukan sukan bola sepak negeri ini Sinar Harian Kelantan khasnya terpanggil untuk terus bersama menyokong pasukan Kelantan.

“Akhbar Sinar Harian juga sama seperti media cetak yang lain. Kalau tidak taja pun, kita tetap akan menyiarkan liputan mengenai pasukan Kelantan sebab akhbar harian sememangnya menjadi alat penyebaran maklumat kepada masyarakat.

“Kita bukan mencari publisiti. Memang Sinar Harian adalah berteraskan identiti perniagaan dan berpaksikan keuntungan tetapi kita tidak melihat semua itu apabila kita menaja Kelantan kerana semangat kenegerian mengatasi segala-galanya dalam hal ini.

“Hubungan Sinar Harian dengan Kafa terjalin dengan baik. Mungkin ada satu dua perkara yang tidak memuaskan hati di antara kedua-dua pihak sebelum ini namun saya percaya ianya boleh diselesaikan di meja rundingan. Dalam konteks penajaan sudah pasti kita mengharapkan hubungan kerjasama terjalin dengan baik. Satu pihak tidak boleh mendominan ke atas pihak yang satu lagi. Kita perlu ada ‘give and take’,” katanya.

Ditanya mengenai pembaharuan yang akan dilakukan oleh Sinar Harian dalam memaparkan berita mengenai bola sepak Kelantan pada masa akan datang, Muhammad Nasir mengakui sebagai penaja rasmi pasukan TRW, akhbar ini harus mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyiarkan berita yang berbeza daripada media cetak yang lain.

“Kita harus melaporkan setiap yang benar, tepat disamping perlu menjaga kepentingan pasukan Kelantan kerana kita merupakan sebahagian daripada pasukan itu. Dari segi penghayatan penyiaran, kita mesti berbeza dari yang lain.

“Masyarat perlu memahami kita tidak hanya menaja dalam bentuk wang ringgit tetapi juga setiap bentuk penyiaran berita sebanyak dua muka surat itu khusus untuk bola sepak Kelantan juga harus ditafsirkan sebagai bentuk penajaan. Congakan dari sudut ini, tajaan seumpamanya ini pun sudah menjangkaui daripada bentuk wang ringgit yang kita hulurkan kepada pihak Kafa,” katanya.

Menurut Muhammad Nasir, dalam konteks kelangsungan sebagai persatuan sukan yang terpaksa berdikari sendiri di negeri ini, pihak Kafa harus mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerajaan Persekutuan tetapi juga dengan pihak Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

“Jalinan kerjasama dengan ketiga-tiga pihak ini cukup penting kalau kita mahu melihat Kafa muncul sebagai sebuah persatuan sukan yang profesional di negeri ini. Hubungan dengan pelbagai pihak ini harus lebih tersusun sementelah urus tadbir Kafa sendiri juga perlu berada tahap meyakinkan semua pihak.

“Kita juga berharap pihak Kerajaan Pusat dan Negeri, badan-badan korporat, syarikat tempatan, peminat bola sepak dan rakyat negeri ini terus menyokong dan membantu pihak Kafa ke arah menjadi satu persatuan sukan profesional sepenuhnya dengan memiliki prasarana sukan seperti stadium bola sepak sendiri,” katanya.

Muhammad Nasir turut menekan betapa pentingnya pihak Kafa menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pihak media di negeri ini bagi memastikan kesinambungan sukan bola sepak di negeri ini sentiasa mendapat liputan yang lebih meluas.

“Prinsip asasnya begitu mudah. Contohnya, kalau kita ada produk yang bagus tetapi pemasaran yang lemah, tidak ada gunanya. Sama seperti dengan pasukan Kelantan, kalau mereka adalah pasukan yang kuat tetapi pihak media tidak membantu mempromosikan mereka pun tidak ada guna juga.

“Media sebenarnya tidak mahu sanjungan tinggi. Apa yang penting pihak Kafa harus memberi pengiktirafan atau pun penghargaan yang sewajarnya kepada kalangan pihak media di negeri ini yang banyak membantu menaikkan nama Kafa sebelum ini.

“Dalam setiap majlis sama ada kecil atau besar, pihak media tidak harus dipinggirkan. Mereka (media) perlu diberi keutamaan untuk memasuki stadium dengan mudah dan disamping itu kemudahan tempat duduk yang banyak amat diperlukan bagi memastikan mereka dapat melakukan tugasan dengan sempurna.  

“Mereka bukan datang ke stadium untuk suka-suka kerana mereka datang kerana tugas. Jadi mereka perlu diberi penghargaan yang sewajarnya. Sebagai pengamal media, kita berharap impian pasukan TRW untuk menjadi sebuah pasukan yang profesional akan menjadi kenyataan dengan lebih cepat,” katanya.

Tuesday, December 21, 2010

AKSI KELANTAN TERTANGGUH


Keadaan padang stadium belum sesuai digunakan sekarang.

KOTA BHARU – Hajat besar peminat setia bola sepak Kelantan untuk melihat penampilan baru skuad The Red Warriors musim depan sekali lagi tertangguh apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa membatalkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung dalam minggu ini atas sebab teknikal.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengesahkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang sebuah kelab dari Thailand yang dijadualkan diadakan pada malam esok dan 24 Disember ini terpaksa dibatalkan kerana padang stadium kini masih mengalami proses pemulihan sepenuhnya.

B SATHIANATHAN


“Kita terpaksa membatalkan perlawanan tersebut kerana keadaan padang di Stadium Sultan Muhammed IV tidak begitu memuaskan. Saya pergi melihat gelanggang alternatif iaitu Stadium Mini Pasir Mas tetapi juga tidak sesuai digunakan untuk perlawanan persahabatan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya telah memaklumkan kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengenai pembatalan itu. Saya tidak boleh menjemput pasukan luar datang ke sini kerana keadaan padang kita amat teruk. Malu saya nanti lagipun mana-mana pasukan pun tidak mahu bermain dalam keadaan padang yang teruk kerana boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain mereka.

“Sebagai ganti, kita mengaturkan satu perlawanan persahabatan menentang kelab Melodi Jaya dari Johor yang beraksi dalam kancah Liga FAM musim lalu pada jam 4.45 petang hari Jumaat ini di Padang Penjara,” katanya.

Menurut Sathianathan, beliau berterima kasih kepada pihak perbadanan stadium yang telah melakukan proses pembaikan padang tersebut dengan segera sebaik sahaja berita mengenai keadaan permukaan padang di stadium tersebut didedahkan oleh pihak media
.  
Pemain Kelantan hanya menggunakan kawasan trek disekeliling stadium bagi menjalani latihan kecergasan memandangkan keadaan padang masih mengalami proses pembaikkan. 

“Kita tunggulah dalam 10 hari lagi, harap-harap padang tersebut dapat digunakan. Buat masa sekarang saya menggunakan Padang Mardi di Pasir Tumbuh sebagai padang latihan sementara latihan di stadium hanya tertumpu kepada aspek kecergasan dimana saya hanya menggunakan kawasan tepi dalam stadium itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Sathianathan turut mengesahkan skuad Kelantan akan menghadapi sekurang-kurangnya empat perlawanan persahabatan semasa berkunjung ke Lembah Klang bermula minggu depan.

“Kita akan bertemu Harimau Muda A pada 27 Disember, Sarawak pada 28 Disember dan Felda United FC pada 29 Disember. Saya sedang mengatur satu lagi perlawanan pada 31 Disember dengan sebuah lagi pasukan tapi saya belum dapat umumkan nama pasukan tersebut kerana sedang menunggu pengesahan daripada mereka,” katanya.

Sunday, December 19, 2010

KELAB DARI THAILAND UJI KELANTAN

ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – Dalam merangka persiapan lebih serius bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang bermula pertengahan Januari depan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah mengaturkan dua perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab dari negara Thailand tidak lama lagi.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan akan turun dalam dua siri perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada 22 dan 24 Disember ini menentang salah sebuah kelab dari negara Thailand yang menduduki tangga lima teratas dalam carta liga di negara tersebut.

“Walaupun keadaan cuaca tidak menentu di Kota Bharu ketika ini dan ditambah pula keadaan permukaan padang di stadium begitu buruk, pihak Kafa tidak ada pilihan selain terpaksa mengadakan perlawanan persahabatan untuk peminat setia di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu, dua hari lalu.

“Saya memohon maaf kepada peminat bola sepak tempatan kerana terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang beberapa pasukan kelab dari luar negara seperti yang dijadualkan sebelum ini kerana masalah yang saya sebutkan tadi.

“Ada baiknya juga kerana kita perlu memastikan keadaan padang stadium kembali pulih seperti sedia kala. Untuk itu, kita akan mengadakan perlawanan persahabatan diluar Kelantan dengan menjadikan Lembah Klang sebagai pengkalan baru bagi kita meneruskan sesi latihan insentif bagi menghadapi sepak mula liga tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Annuar, beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan daripada Liga Super dan Liga Perdana telah diatur pihak Kafa bagi membolehkan para peminat Kelantan di Lembah Klang menyaksikan corak persembahan pasukan Kelantan yang menampilkan gabungan pemain muda dan lama untuk musim depan.

“Peminat setia di Lembah Klang berpeluang melihat aksi terkini pasukan Kelantan. menentang beberapa pasukan seperti Harimau Muda A, Selangor PKNS FC, Sarawak selain sebuah kelab dari Cambodia,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut mengumumkan pihak Kafa akan memperkenalkan barisan pemain skuad Liga Super Kelantan musim 2011 dalam satu majlis khas sama ada penghujung bulan ini atau awal bulan Januari nanti. 

“Memandangkan dua pemain utama kita terlibat dalam tugasan bersama skuad kebangsaan sekarang dan pemain yang baru kita ikat, Nicholas Chan masih belum bersama kita, jadi amat wajar kita menunda majlis tersebut ke satu tarikh baru.

“Ini bagi memberi peluang kepada para peminat setia melihat dengan lebih dekat kesemua barisan pemain skuad Liga Super Kelantan musim depan,” katanya.

Saturday, December 18, 2010

NICHOLAS CHAN TARUHAN TERBARU KELANTAN

Aksi Nicholas Chan ketika mewakili West Ham suatu ketika dahulu

KOTA BHARU – Umurnya masih muda tetapi mungkin kehebatan beliau menarik minat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut bagi memperkuatkan pasukan The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Satu kejutan yang tidak diduga dalam ramai yang memperkatakan mengenai bakat muda anak Malaysia yang kini lebih berminat mencipta nama di luar negara sejak akhir-akhir ini, Kafa mengambil pendekatan lebih bijak daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila berjaya membawa pulang bakat berharga itu untuk digilap di negara sendiri.

Nicholas Chan, 19 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan anak kepada pemilik kelab yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu di England iaitu Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee bakal beraksi bersama skuad Kelantan untuk musim depan.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu semalam betapa pihak Kafa begitu serius mendapatkan khidmat pemain yang bermain di posisi pertahanan dan tengah itu.

“Kita akan mendapatkan khidmat Nicholas Chan. Saya telah berunding dengan ibu bapa beliau dan mendapat kebenaran untuk membolehkan beliau mewakili Kelantan untuk musim depan. Kita mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa beliau yang bersetuju membenarkan anaknya mewakili Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

“Beliau masih berada Australia ketika ini dan dijangka kembali ke Malaysia sebelum perayaan Krismas ini. Namun memandangkan umur beliau masih muda, kita akan mendaftarkan beliau dalam senarai pemain Liga Simpanan Kelantan musim depan.

“Namun begitu beliau akan diserapkan ke dalam barisan pemain Liga Super Kelantan. Dalam erti kata lain beliau akan menjadi pemain ke 25 Kelantan dan kini melengkap senarai penuh pemain Kelantan musim depan,” katanya.

Nicholas Chan memulakan karier beliau sebagai pemain bola sejak berumur 15 tahun dimana ketika itu beliau menuntut di Sekolah Sri KDU dengan menyertai kejohanan Piala Gothia di Sweden.

Selain pernah mencuba nasib bersama kelab West Ham dan Burnley, tumpuan peminat bola sepak Kelantan malahan peminat bola sepak di negara ini pasti terarah kepada kelibat Nicholas Chan dalam pentas Liga Malaysia musim depan.

KELANTAN UMUM 24 PEMAIN


Annuar Musa mengumumkan senarai pemain skuad Liga Super Kelantan untuk musim depan di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan senarai 24 pemain yang akan membawa cabaran skuad The Red Warriors bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya berkata, pihak Kafa hanya mendaftar seramai 24 pemain daripada kuota 25 pemain yang diperuntukkan bagi pendaftaran pemain untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

“Tarikh pendaftaran pemain telah pun ditutup dua hari lalu. Kita tidak boleh mendaftarkan selengkapnya (25 pemain) kerana tiga pemain telah berhenti tanpa menghantar notis dan kita tidak dapat mencari pengganti yang sesuai kerana kesuntukkan masa.,” katanya di Kota Bharu semalam.

“Sepanjang ketiadaan saya, memang saya mengikuti perkembangan semasa pelbagai cerita mengenai pasukan namun saya tidak akan komen mengenai perkara itu. Saya akan membincangkan mengenai persiapan pasukan serta matlamat kita bagi menghadapi Liga Malaysia musim akan datang.

“Kita tidak mempunyai masa yang cukup mencari pengganti ketiga-tiga pemain tersebut kerana semua pasukan sudah mendaftarkan pemain-pemain lain. Ini sedikit sebanyak  mencacatkan perancangan pasukan tetapi saya percaya ianya tidak mencacatkan kekuatan pasukan,” katanya.

Menurut Annuar, pihak Kafa hanya mengekalkan seramai 20 pemain musim lalu danhanya lima pemain sahaja yang dilepaskan dan digugurkan

“Kita mendaftarkan tiga penjaga gol musim depan. Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Shahrizan (Ismail) kekal sebagai penjaga gawang. Kita juga mendaftarkan penjaga gol muda, Norhadi Ubaidillah sebagai penjaga gol ketiga Kelantan.

“Syed Adney (Syed Hussien) dipinjamkan kepada pasukan Sabah untuk tempoh setahun. Saya memberi opsyen kepada beliau untuk kembali bersama Kelantan tahun berikutnya atau apa yang difikirkan sesuai nanti. Sementara Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) memang dilepaskan oleh Kafa sebaik musim lalu berakhir.

“Untuk senarai pasukan Kelantan, kita mempunyai lapan pemain diposisi pertahanan, tujuh pemain serta lima pemain dibahagian serangan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita akan mendapatkan khidmat pemain muda, Nicholas Chan yang  berusia 19 tahun yang kini bersama kelab Cardiff City bagi memperkuatkan cabaran pasukan Kelantan musim depan

“Saya telah berunding dengan bapa beliau bagi membolehkan beliau beraksi dengan Kelantan musim depan, dan sekiranya tidak ada apa-apa halangan kita akan menandatangani perjanjian dengan pemain tersebut,” katanya.

Wednesday, December 15, 2010

KELANTAN TURUN PADANG HARI INI


MOHAMAD NOORDIN AWANG

KOTA BHARU – Skuad Liga Super Kelantan akan menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan bermula hari ini sebagai persiapan rapi menghadapi sepak mula Liga Malaysia bermula pertengahan bulan depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Mohamad Noordin Awang berkata, ini perlawanan persahabatan pertama skuad Kelantan sejak bermulanya sesi latihan pada 28 November lalu.

“Kelantan apabila bertemu pasukan gabungan empat PBJ yang terdiri dalam kalangan pemain PBJ Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Machang berjaya melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir Kejohanan Piala Presiden Kafa yang sedang berlangsung pada jam 4.45 petang ini di Padang Penjara, Pengkalan Chepa,” katanya.

“Pada hari Jumaat pula, skuad Kelantan akan bertemu dengan pasukan gabungan lapan kelab berjaya layak ke perlawanan suku akhir Kejohanan Liga Antara Kelab anjuran Kafa. Perlawanan akan berlangsung pada Jumaat ini jam 4.45 petang di padang Majlis Daerah Ketereh.

“Kedua-dua perlawanan ini cukup penting bagi jurulatih, B Sathianathan bagi menilai keupayaan pasukan ini setelah menjalani latihan sejak dua minggu lalu tambahan pula Kelantan ini kini mempunyai beberapa pemain baru yang mengikat kontrak bermain bersama dengan Kelantan,” katanya.

Menurut Mohamad Noordin, skuad Kelantan akan bertolak ke ibu negara pada 26 Disember ini bagi menghadapi sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan dan segala urusan berkaitan hal tersebut sedang diatur bagi membolehkan peminat Kelantan di Lembah Kelang melihat aksi pasukan Kelantan.

“Daripada tiga perlawanan tesebut, kita sah akan bertemu dengan pasukan Harimau Muda dan Felda United FC dan Sathianathan sedang berusaha untuk mengaturkan satu lagi perlawanan persahabatan untuk Kelantan.

Sementara itu, Mohamad Noordin turut memaklumkan bahawa pihak Kafa akan mengadakan majlis memperkenalkan pemain skuad Liga Super Kelantan bagi musim 2011 pada jam tiga petang hari Khamis ini di Dewan Utama, Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) dekat sini.

“Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa akan mengetuai sesi memperkenalkan para pemain kepada peminat bola sepak Kelantan. Akan ada kejutan yang berlaku dan kita berharap para peminat hadir beramai-ramai ke majlis tersebut bagi mendengar sendiri pengumuman daripada beliau,” katanya.

Tuesday, December 14, 2010

HANYA 22 PEMAIN - ANNUAR


TAN SRI ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – “Mungkin hanya 22 pemain”. Begitulah gambaran awal yang mungkin diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam menyenaraikan barisan terkuat skuad Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bermula pertengahan bulan depan.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam ketetapan peraturan pertandingannya hanya membenarkan 25 pemain sahaja didaftarkan untuk sesebuah pasukan pada satu-satu masa.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa membayangkan persiapan Kelantan bakal berskala sederhana sekiranya hanya mampu mendaftarkan 22 pemain daripada kuota 25 pemain yang diperuntukkan untuk sesebuah pasukan.

“Pada ketika tarikh tutup pendaftaran pemain hanya tinggal dua hari lagi (15 Disember), kita mungkin hanya mampu mendaftar seramai 22 pemain Kelantan untuk musim depan. Akibat tindakan tiga pemain utama yang meninggalkan pasukan tanpa sebarang notis rasmi, jelas kita tidak ada pilihan lain mencari pengganti mereka disaat-saat akhir,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

“Ekoran daripada itu, kita menerima kesan yang cukup besar, segala perancangan terjejas malahan pihak penaja Kafa juga turut terkena tempiasnya. Sudah pasti kita mengalami kerugian yang tidak dapat dinilai kerana ketiga-tiga pemain itu merupakan tonggak utama pasukan Kelantan.

“Pihak Kafa kini sedang menimbang untuk mengambil tindakan tuntutan gantirugi ekoran daripada kes ini. Kita akan merujuk kepada pihak peguam untuk meneliti kes tersebut secara terperinci,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut mengulas mengenai kenyataan akhbar oleh bekas pemain Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad yang mendakwa telah merujuk kepada pihak FAM mengenai isu perpindahan beliau ke pasukan baru itu. 

MOHD NORFARHAN MUHAMMAD

“Kenyataan beliau yang mengatakan telah merujuk isu perpindahannya dengan FAM dan diluluskan oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu merupakan satu dakwaan yang serius. Saya mahu ianya mesti disiasat segera.

“Tidak ada sesiapa dalam FAM diberi kuasa sedemikian (meluluskan) melainkan Jawatankuasa Status yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan. Saya akan minta Setiausaha Agung FAM (Datuk Azzuddin Ahmad) meneliti perkara tersebut kerana kenyataan akhbar itu menjejaskan kewibawaan pihak FAM sendiri,”katanya.

Tiga bekas pemain Kelantan musim lalu iaitu Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose dikhabar bakal menyarung jersi pasukan T-Team (Terengganu) untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

KEJAYAAN UNTUK SEMUA


Pengurus Pasukan, Nudin Awang (dua,kanan) menjulang piala kejuaraan setelah Kelantan dinobatkan juara Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-70, di Kota Bharu malam kelmarin

KOTA BHARU – Kejayaan merampas kembali kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu begitu bermakna bagi Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) apatah lagi ini merupakan koleksi kali ke-13 yang dimenangi oleh Kelantan sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1922.

Dalam perlawanan akhir Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-70 yang berlangsung malam semalam, Kelantan berjaya menjadi juara setelah mengalahkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 setelah kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga ke masa tambahan.

Pengurus Pasukan, Nudin Awang berkata, beliau berbangga diatas kejayaan Kelantan muncul juara edisi kali ini walaupun penentuan juara terpaksa diputuskan menerusi sepakan penalti.

“Dendam kita sudah tertunai setelah berjaya merampas kembali kejuaraan yang dimenangi kali terakhir dua tahun lalu. Kejayaan ini bukan sahaja untuk para pemain dan pihak pengurusan tetapi untuk rakyat Kelantan keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaupun perlawanan berlangsung dalam keadaan padang yang tidak sempurna tetapi saya tidak menyalahkan para pemain saya untuk mencatatkan kemenangan dalam waktu permainan sebenar. Mereka berusaha sedaya-upaya namun permukaan padang yang tidak begitu baik mengecewakan kita untuk melihat satu perlawanan yang menarik malam semalam.

“Kita akan mengadakan majlis penyampaian bonus kepada pemain sedikit masa lagi dengan saya menganggarkan setiap pemain dan pegawai pasukan bakal menerima di antara RM1,000 hingga RM2,000 seorang. Kita juga mengalu-alukan Kerajaan Negeri menghadiahkan ganjaran kepada pasukan ini sebagai tanda penghargaan diatas kejayaan ini.

Menurut Nudin, kejayaan memenangi piala ini membolehkan Kelantan menutup tirai tahun ini dengan pencapaian gemilang apabila memenangi dua piala iaitu Piala Malaysia dan Piala Emas Raja-Raja.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail turut menyifatkan kejayaan Kelantan muncul juara berkat usaha gigih semua pihak bermula dari awal kejohanan ini berlangsung sehingga ke perlawanan akhir.

“Kejayaan ini bukan kejayaan individu tetapi kejayaan sepasukan. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah yang menunjukkan aksi terpuji dan mengheret kita ke penentuan sepakan penalti sebelum membolehkan Kelantan diumumkan sebagai juara.

“Namun pujian harus diberikan kepada peminat bola sepak Kelantan yang turut membanjiri stadium menyaksikan perlawanan tersebut dan memberi sokongan padu kepada barisan pemain kita bermula dari minit pertama sehingga ke akhir perlawanan,” katanya.

Sunday, December 12, 2010

KELANTAN JULANG PIALA KEDUA

Barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kejayaan menjulang Piala Emas Raja-Raja kali ke-13 selepas perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi

KELANTAN 0

KEDAH 0

(Kelantan menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3)

KOTA BHARU – Kelantan muncul juara Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010 Edisi ke-70 setelah mengalahkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Penentuan juara terpaksa diputuskan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga 120 minit perlawanan berlangsung.

Kejayaan menjulang piala malam tadi membolehkan Kelantan melengkapkan koleksi kejuaraan kali ke-13 setelah kali terakhir muncul juara dua tahun lalu. Sementara itu, kekalahan malam tadi juga menutup hasrat naib juara musim lalu, Kedah untuk menebus kekecewaannya dalam pentas final kali ini setelah gagal pada musim lalu.

Beraksi dihadapan hampir 10,000 penyokong setia sendiri, Kelantan yang mempertaruhkan gandingan penyerang muda Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan Mohamad Aris Zaidi bagaimanapun gagal menonjolkan aksi terbaik sebaliknya kedua-dua pasukan lebih banyak mempamerkan aksi membosankan dengan gerakan yang serba tidak menjadi.

Seawal minit ketujuh, penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini yang membawa masuk bola ke dalam kotak penalti sempat melepaskan rembatan namun diselamatkan pemain pertahanan Kedah sementara percubaan Khairan Eruan Razali pada m-15 terus kedakapan penjaga gol, Mohd Al-Hafiz Hamzah.
Pemain tengah Kelantan, Rosairil Asrul Mat Noor diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir malam semalam.

Selang dua minit kemudian, Mohamad Aris yang berjaya melepasi pemain pertahanan Kedah mencemaskan pintu gol pasukan pelawat namun rembatannya sekadar terkena sisi jaring sebelah kanan pintu gol Kedah.

Kedah yang mempertaruhkan gandingan Mohd Arfan Rashid dan Wan Mohd Asraf Wan Ali dibahagian serangan bagaimanapun kelihatan begitu sukar untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan yang diketuai Sharudy Aziz.

Percubaan terbaik mereka hadir pada m-33 menerusi sepakan percuma Ahmad Fauzi Saari tetapi ditumbuk keluar Mohd Shahrizan Ismail manakala rembatan Mohd Fiqry Mohd Isa dua minit kemudian sekadar tinggi melepasi palang.

Babak kedua, Kelantan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila Muhammad Ramzul Zahini melakukan hantaran lintang didepan pintu gol Kedah tetapi tidak ada rakan yang membantu walaupun pintu gol sudah ternganga.

Pasukan pelawat turut mempunyai peluang pada m-61 dan 67 menerusi sepakan percuma pemain gantian, Muhd Fairuz Hashim namun ketangkasan Mohd Shahrizan memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi.

Minit-minit akhir perlawanan Kelantan turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun rembatan Ahmad Ezrie Shafizi Sazali dan Rosairil Asrol Mat Noor terus kedakapan Mohd Al-Hafiz yang turut beraksi cemerlang memaksa perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.
Penyerang Kelantan, Mohamad Aris Zaidi cuba melepasi kekangan pemain pertahanan Kedah dalam perlawanan malam tadi.
Sementara itu, tempoh 30 minit masa tambahan juga gagal dimanfaatkan oleh kedua-dua pasukan untuk menjelmakan jaringan sebaliknya penentuan juara akhirnya terpaksa diputuskan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol, Mohd Shahrizan muncul wira pasukan Kelantan apabila menyelamatkan dua sepakan pemain Kedah iaitu Mohd Hazwan Zainun dan Wan Mohd Asraf Wan Ali mengakhiri impian Sang Kenari untuk memburu kejuaraan setelah kecundang dalam pentas final musim lalu.

Hadiah kejohanan disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Mohd Daud. Turut hadir meyaksikan perlawanan akhir malam tadi iaiah Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah, Pengarah Eksekutif Puncak Niaga Sdn Bhd, Datuk Hashim Mahfar dan Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Datuk Mahfudz Omar.

Sementara itu, pemain Kelantan, Rosairil Asrol Mat Noor diumumkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan akhir malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Sani Nawi, Sharudy Aziz (KP), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood (Mohd Syafiq Haikal Nazaruddin), Mohamad Aras Abdullah (Ahmad Ezrie Shafizi Sazali), Rosairil Asrol Mat Noor, Khairan Ezuan Razali, Muhammad Izwan Mohd Salahuddin, Mohamad Aris Zaidi dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Cik Hisamuddin Hassan).

Formasi : 4-4-2

KEDAH : Mohd Al-Hafiz Hamzah, Muhd Alif Aswad Baharin, Muammar Nur Halim Rahim, Mohd Aminuddin Azmi, Tan Yang Wei (Mohd Firuz Hashim), Mohd Hazwan Zainun, Shafizan Hashim (KP), Mohd Fiqry Mohd Isa (Mohd Khidhir Ahmad Muzafar), Ahmad Fauzi Shaari, Mohd Arfan Rashid (Abdullah Yusuf) dan Wan Mohd Asraf Wan Ali.

Formasi : 4-4-2


STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (5) Kedah (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (4) Kedah (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (8) Kedah (6)
Sepakan percuma : Kelantan (18) Kedah (18)
Offsaid : Kelantan (6) Kedah (5)
Kekasaran : Kelantan (11) Kedah (12)
Kad kuning : Kelantan (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Kedah (Mohd Arfan Rashid, Wan Mohd Asraf Wan Ali, Muammar Nur Halim Rahim dan Mohd Khidhir Ahmad Muzafar)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Kedah (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shukri Nor
Penolong Pengadil 1: Abdul Basith Hamid
Penolong Pengadil 2: Asmadi Noor Hasni
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Muhammad
General Kordinator : Ismail Yaacob
Komissioner Perlawanan : Supian Ali Mustapah
Venue Kordinator : Mohd Nazmi Mohd Nawi