Sunday, October 31, 2010

KELANTAN JUARA PIALA MALAYSIA


NEGERI SEMBILAN 1
Shahurain Abu Samah (pen m-14)

KELANTAN 2
Hairuddin Omar (m-57)
Muhd Badhri Radzi (m-65)

KUALA LUMPUR – Kelantan muncul juara Piala Malaysia edisi kali ke-84 setelah mengalahkan juara musim lalu, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih manis, kejayaan muncul juara pertama kali itu merupakan hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V. Kejayaan malam tadi membolehkan nama Kelantan terpahat dalam senarai pemenang kali pertama dalam perebutan piala paling berprestij itu sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1921.

Beraksi dihadapan hampir 90,000 penonton, dengan didominasi sokongan penyokong setia Merah Putih, The Red Warriors jelas membuktikan mengapa mereka tidak boleh digelar sebagai kuasa baru dalam arena bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi kelas yang tersendiri biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa yang pertama.

Sementara kekalahan malam tadi memaksa barisan pemain Negeri Sembilan  menelan kepahitan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu apabila terpaksa merelakan piala tersebut untuk dibawa pulang ke bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.

Dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua menerusi jaringan Hairuddin Omar dan Muhd Badhri Radzi akhirnya menjulang Kelantan sebagai juara baru Piala Malaysia edisi kali ke-84.

Seawal minit pertama, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Negeri Sembilan apabila sepakan percuma Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan penjuru pintu gol ditanduk tinggi oleh Mohd Rizal Fahmid Abd Rosid melepasi palang gol Negeri Sembilan.

Selang seminit kemudian, Negeri Sembilan melakukan serangan balas menerusi lorongan bola Abdul Halim Zainal kepada rakan sepasukan namun Khairul Fahmi Che Mat bijak meluru keluar menyelamatkan situasi tersebut.

Pada m-7, Negeri Sembilan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila hantaran lintang S Kunalan disambut Idris Abdul Karim tetapi tampanan kurang kemasnya mudah diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-14, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti setelah Khairul Fahmi menjatuhkan pemain Negeri Sembilan didalam kotak penalti dalam usahanya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi. Penyerang, Shahurain Abu Samah yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi seterusnya menghasilkan gol pertama Negeri Sembilan.

Walaubagaimanapun, gol pendahuluan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Kelantan. Pada m-29, Kelantan mempunyai peluang terbaik merapatkan jurang apabila Hairuddin Omar berjaya melepasi perangkap ofsaid namun penjaga gol, Mohd Sani Annuar Kamsani terlebih dahulu meluru keluar menyelamatkan bola.

Sebaliknya Negeri Sembilan lebih ghairah memburu jaringan apabila dilihat lebih banyak menjanakan corakan serangan melalui rangkaian penyerang muda, Shahurain Abu Samah dan Abdul Halim Zainal yang mendapat sokongan jentera tengah mereka.

Dua peluang terbaik Negeri Sembilan hadir pada m-30 dan 34 perlawanan menerusi percubaan jarak jauh Idris dan Kunalan yang menyaksikan ianya sekadar tersasar dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai tiga peluang terbaik merapatkan jurang menerusi percubaan Hairuddin, Indra Putra dan Mohd Norfarhan namun ketangkasan Mohd Sani Annuar menghampakan peluang tersebut.

Babak kedua, Kelantan seakan mendapat aura baru apabila menguasai hampir keseluruhan tempo permainan. Pada m-51, Hairuddin mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi sempat ditampan keluar oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan manakala rembatan susulan Muhd Badhri selepas itu sekadar melepasi palang.

Detik malang bagi Negeri Sembilan bermula enam minit kemudian. Bermula larian bola Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan pintu gol, beliau melakukan hantaran lintang kepada Hairuddin yang menanduk cantik ke penjuru sebelah kanan pintu gol menewaskan Mohd Sani Annuar.

Gol penyamaan tersebut ternyata membakar semangat juang pemain Kelantan sementara Negeri Sembilan terus tertekan selepas kehilangan bek kental mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang terpaksa diusung keluar selepas itu kerana mengalam kecederaan.

Pada m-62, Negeri Sembilan sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan kali ini melalui menerusi percubaan Shahurain yang merembat kencang tetapi diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-65, Stadium Nasional Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan 70,000 penyokong setia Kelantan apabila Muhd Badhri Radzi berjaya menjaringkan gol kemenangan Kelantan. 

Muhd Badhri Radzi melepaskan rembatan kencang menghasilkan gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi

Kelalaian benteng pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi terhukum apabila beliau yang menerima umpanan Mohd Norfarhan sebelum itu hanya memerlukan tiga langkah sahaja  sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sani Annuar buat kali kedua.

Negeri Sembilan yang kian tertekan memasukkan penyerang muda, Mohd Shafik Abdul Rahman menggantikan Qhairil Anwar Roslani namun itu tidak cukup membantu mereka mencari gol penyamaan.

Dua percubaan terbaik mereka pada m-80 dan masa tambahan masing-masing menerusi Shahurain dan Idris menyaksikan Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penghalang buat mereka dalam usaha mencari gol penyamaan.

Sementara itu, sepakan percuma Indra Putra pada m-85 sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

Tiupan wisel penamat pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh mengakhiri penantian Kelantan selama 89 tahun menjulang Piala Malaysia dan piala paling berprestij itu akan kekal disimpan di bumi negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kalinya.

Barisan pemain simpanan Kelantan meraikan kejayaan sebaik sahaja pengadil, Sukhiddin Salleh meniupkan wisel penamat.

Ketua Pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menjulang Piala Malaysia yang pertama kali dimenangi Kelantan dalam majlis penyampaian hadiah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu, penjaring gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi, Hairuddin Omar diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), Mohd Farisham  Ismail, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Mohd Norfarhan Muhammad,  Hairuddin Omar dan Norshahrul Idlan Talaha (S Chanturu).

FORMASI : 4-4-2

NEGERI SEMBILAN : Mohd Sani Anuar Kamsani,  Mohd Alif Samsudin, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (KP) (Mohd Firdaus Azizul), Mohd Shukor Adan, Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad, Ching Hong Aik (Mohd Asyraf Mohd Al Japri), Qhairil Anwar Roslani (Mohd Shafik Abdul Rahman), S Kunalan, Idris Abdul Karim, Abdul Halim Zainal, dan Shahurain Abu Samah.
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Negeri Sembilan (9) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Negeri Sembilan (3) Kelantan (4)
Sepakan sudut : Negeri Sembilan (2) Kelantan (11)
Sepakan percuma : Negeri Sembilan (17)  Kelantan (18)
Offsaid : Negeri Sembilan (2) Kelantan (2)
Kekasaran : Negeri Sembilan (15) Kelantan (14)
Kad kuning : Negeri Sembilan (Mohd Shukor Adan, Mohd Firdaus Azizul, Mohd Alif Samsudin) Kelantan (Mohd Shakir Shaari)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tujuh minit
Penguasaan bola : Negeri Sembilan (45%) Kelantan (55%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Subkhiddin Mohd Salleh
Penolong Pengadil 1: Wan Ismail Wan Ali
Penolong Pengadil 2: Nojey Anak Nakeng
Pegawai Keempat : Mohd Nafeez Abd Wahab
Komisionel Perlawanan : Ismail Yacob
Penilai Pengadil : Ahmad Khalidi Suppian
General Kordinator : Ahmad Fuad Daud
Pegawai Media : Raja Azura Shamim

Saturday, October 30, 2010

RAMALAN PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA

RAMALAN PERLAWANAN AKHIR
PIALA MALAYSIA
NEGERI SEMBILAN MENENTANG KELANTAN
MALAM INI

APA KATA MEREKA??

Kelantan 2 Negeri Sembilan 0
KAMARUDDIN MOHD NOOR
Pengarah Kejurulatihan Kafa


Kelantan 2 Negeri Sembilan 0
ZAHASMI ISMAIL
Bekas pemain negeri / Jurulatih Piala Emas Raja-Raja Kelantan 2010


Kelantan 1 Negeri Sembilan 0
ABDULLAH MOHAMAD
Bekas Jurulatih Terengganu


Kelantan 2 Negeri Sembilan 1
AFANDI YUSOF
Bekas pemain Kelantan dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1970


Kelantan 3 Negeri Sembilan 1
AZMAN ISMAIL
Bekas pemain negeri


Kelantan 2 Negeri Sembilan 0
MOHD NOOR ABD RAHMAN
Pengerusi Teknik MSSK


Kelantan 2 Negeri Sembilan 1
KAMARUDDIN MUHAMMAD
Jurulatih Akademi Kelantan


Kelantan 3 Negeri Sembilan 0
HAMID RAMLI
Bekas pemain negeri/kebangsaan, Bekas Jurulatih Penjaga Gol Negeri Sembilan (1999-2006)

'APEK' JANJI AKSI TERBAIK


KHAIRUL FAHMI CHE MAT

KOTA BHARU – Beraksi dalam pentas final Piala Malaysia dan seterusnya menjulang piala mungkin merupakan kemuncak tertinggi bagi karier setiap pemain bola sepak di negara ini.

Bagi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, dalam usia masih muda iaitu 21 tahun, peluang beraksi dalam pentas final tidak harus dilepaskan begitu sahaja.

Musim lalu beliau sekadar menyaksikan rakan sepasukannya tertunduk hampa diatas padang setelah tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan dari tempat duduk penonton pada ketika Jurulatih Kelantan, B Sathianathan lebih berminat menggunakan khidmat penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan Mohd Shahrizan Ismail.

Namun semuanya berbeza musim ini, nama Khairul Fahmi tiba-tiba melonjak naik setelah mempamerkan peningkatan luar biasa sebagai penjaga gawang nombor satu Kelantan. Beliau membuktikan dalam usia yang muda, beliau mampu mengetepikan dua lagi nama besar iaitu Mohd Halim Napi dan Syed Adney Syed Hussin dan mengambil alih tampuk sebagai penjaga gol terbaik pernah dilahirkan oleh pasukan Kelantan sejak beberapa dekad yang lalu.

Sesuai dengan status sebagai penjaga gol kebangsaan ketika ini, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan ‘Apek’ berazam melakukan yang terbaik bagi memastikan Kelantan berjaya membawa pulang piala paling berprestij itu ke bumi negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.

“Perasaan gembira dan gementar tetap ada lebih-lebih lagi diberi tanggungjawab menjaga gawang pada perlawanan akhir. Walaubagaimanapun, saya percaya dengan barisan pemain yang mengganggotai skuad Kelantan musim ini, kita mampu melakarkan kejayaan dalam perlawanan akhir.

“Insya Allah, berkat doa seluruh rakyat Kelantan, saya percaya ini adalah masa yang terbaik bagi kita menjulang piala dan seterusnya membawa pulang piala tersebut ke bumi Kelantan buat pertama kali,” katanya.

PANEL KAFA RAIKAN KEJAYAAN SATHIANATHAN


B Sathianathan (duduk, dua kanan) diraikan oleh Panel Kejurulatihan Kafa dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu malam semalam.

KOTA BHARU – Kejayaan B Sathianathan membawa pasukan Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua-dua berturut disambut secara ringkas menerusi majlis makan malam yang diadakan sebelum beliau berlepas ke Kuala Lumpur bersama pasukan Kelantan pagi semalam. 
 
Malam semalam, Panel Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meraikan bekas jurulatih kebangsaan itu dalam satu majlis makan malam berlangsung disebuah restoran di Kota Bharu.

Pengarah Kejurulatihan Kafa, Kamaruddin Mohd Noor berkata, majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan kejayaan Sathianathan yang berjaya membawa Kelantan mara ke pentas final pada tahun ini. 

“Panel Kejurulatihan Kafa mengucapkan setinggi tahniah kepada Sathianathan diatas kejayaan beliau mengulangi pencapaian terbaik membawa Kelantan ke perlawanan akhir dua tahun berurut-turut.

“Kita berharap pengalaman beliau membimbing pasukan kebangsaan sebelum ini mampu diterjemahkan dengan membawa Kelantan menjadi juara Piala Malaysia buat pertama kali pada perlawanan malam esok (ini),” katanya. 

Sementara itu Sathianathan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Panel Kejurulatihan Kafa yang sudi menganjurkan majlis makan malam tersebut.

“Kejayaan saya membawa Kelantan ke pentas final bukan hak milik saya seorang, sebaliknya harus berkongsi bersama dengan barisan panel ini. Mereka banyak membantu saya sepanjang musim ini. Apa yang kita capai pada hari ini adalah berkat usaha diantara kedua-dua pihak.

“Mereka banyak memberi maklum balas kepada saya terutama selepas sesuatu perlawanan. Ramai yang melihat mereka ini bekerja makan gaji dengan Kafa tetapi sebenarnya tidak. Mereka melakukan secara ikhlas dan sukarela demi memastikan kegemilangan bola sepak Kelantan kembali ke tempat asalnya,” katanya.

PENYOKONG KELANTAN BOTAKKAN KEPALA

Abdul Rashid Daud membotakkan kepada Azman Mamat, salah seorang penyokong setia Kelantan

KOTA BHARU – Seramai 80 penyokong setia Kelantan membayar nazar dengan membotakkan kepala semalam di atas kejayaan pasukan Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada hari Sabtu ini.

Berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, mereka mengadakan majlis membotakkan kepala itu sambil disaksikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob.

Salah seorang penyokong Kelantan, Azman Mamat, berkata, tujuan membotakkan kepala ini untuk membayar nazar sempena kejayaan Kelantan layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.

“Ini salah satu daripada usaha kami selaku penyokong Kelantan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagian terhadap pasukan The Red Warriors,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Setiausaha Kerja Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Harun Ali pula berkata, inisiatif yang dianjurkan oleh sebahagian penyokong Kelantan itu merupakan satu usaha yang terpuji dalam merancakkan kemeriahan penyokong Kelantan yang akan menawan Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir malam ini.

“Kami penyokong Kelantan bersedia menakluki Bukit Jalil sekali lagi pada tahun ini. Saya percaya seluruh rakyat Kelantan menantikan detik pertarungan malam ini dalam menentukan pasukan manakah yang layak muncul sebagai juara edisi ke-84,” katanya.

Tukang gunting terkenal di bandar Kota Bharu, Abdul Rashid Daud sudi membotakkan kepala penyokong Kelantan secara percuma dalam majlis yang berlangsung petang semalam itu.

PREVIEW PASUKAN FINAL PIALA MALAYSIA 2010


Pasukan : NEGERI SEMBILAN
Gelaran : Si Rusa

Pengurus Pasukan : Datuk Abd Halim Abd Latif
Penolong Pengurus Pasukan : Faizal Zainal
Ketua Jurulatih : Wan Jamak Wan Hassan
Pemain sandaran : Idris Karim, Rezal Zambery Yahya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Shukor Adan, Abdul Halim Zainal, S Kunalan dan  Shahurain Abu Samah.

Pencapaian musim ini : Keenam Liga Super dan  Juara Piala FA
Pencapaian lalu : Juara Divisyen Dua (1991), Naib Juara Liga Perdana (2005), Naib Juara Piala Sumbangsih (2004 dan 2010), Juara Liga Super (2005/06), Naib Juara Liga Super (2007/08), Juara Piala FA (2003)
Pencapaian dalam Piala Malaysia : Juara (1948 dan 2009), Naib Juara (2000 dan 2006)


Pasukan : KELANTAN
Gelaran : Pahlawan Merah (The Red Warriors)

Pengurus Pasukan : Azman Ibrahim
Ketua Jurulatih : B Sathianathan
Pemain sandaran : Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Azizi Matt Rose, Khairul Fahmi Che Mat, Muhd Badhri Radzi Mohd Norfarhan Muhammad dan Norshahrul Idlan Talaha.

Pencapaian musim ini : Naib Juara Liga Super
Pencapaian lalu : Juara Divisyen Dua (2000), Juara Piala FAM (2005), Naib Juara Piala FA (2009)
Pencapaian dalam Piala Malaysia : Naib Juara (1955, 1970 dan 2009)

PERMAINAN CANTIK, PENYOKONG TERBAIK


Annuar Musa (tengah) merayu kepada penyokong Kelantan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

KOTA BHARU – Motto “Permainan Cantik, Penyokong Terbaik”. Begitulah slogan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam memastikan perlawanan akhir Piala Malaysia, pertemuan Negeri Sembilan menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini menjadi perlawanan paling menarik dalam sejarah sejak ianya dipertandingan pada tahun 1921.

“Saya mahu pasukan Kelantan menunjukkan satu permainan cantik dan penyokong Kelantan juga perlu membuktikan mereka adalah penyokong terbaik dinegara ini. Mereka harus mengetepikan telahan pihak tertentu yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap mereka. Saya percaya penyokong Kelantan tidak akan bersikap agresif kerana mereka juga cintakan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

“Kalau kita mahu pasukan kita menjulang piala, para penyokong mestilah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan kesayangan mereka. Justeru, saya merayu kepada seluruh penyokong Kelantan untuk mengubah persepsi tersebut dengan menunjukkan sokongan luar biasa pada malam ini

“Biar kita ketinggalan dari segi jaringan sekali pun, para penyokong tidak harus berganjak memberi sokongan. Tidak ada mana-mana pasukan yang bertanding untuk kalah. Pemain kita pasti akan turun untuk menang. Mereka memerlukan kekuatan tambahan daripada sokongan peminat kita,” katanya.

Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, bagi memastikan perlawanan malam ini berjalan lancar, pemeriksaan badan yang lebih ketat turut dilakukan ke atas setiap penyokong yang akan memasuki stadium.

“Saya menyarankan para penyokong memasuki stadium lebih awal. Pintu masuk stadium akan dibuka tepat jam empat petang. Saya mengingatkan mereka untuk menjaga tatatertib semasa berada didalam stadium dan juga diluar stadium selepas perlawanan. Segala tindak-tanduk penyokong kita dalam waktu tersebut adalah dibawah tanggungjawab pihak Kafa.

“Mereka perlu ingat, FAM telah meminda peraturan sebelum ini. Sama ada penyokong pasukan tuan rumah mahu pun pelawat yang membuat onar, pihak FAM tidak teragak-agak mengenakan hukuman ke atas kita.

“Justeru, saya merayu kepada semua penyokong Kelantan jagalah disiplin dan elakkan daripada membuat kekacauan. Saya menasihatkan kepada semua penyokong Kelantan, sekiranya terdapat dikalangan mereka yang cuba mencetuskan kekecohan dengan cuba  membakar mercun dan sebagainya, mereka perlu mengambil pendekatan menasihati penyokong yang cuba melakukan tindakan tersebut. 

“Saya percaya tidak semua penyokong Kelantan yang bersikap sedemikian (mencetuskan kekecohan). Hanya segelintir sahaja yang terlibat dalam perkara tersebut. Kalau mereka sayangkan pasukan kita, mahu melihat kita menjulang piala malam ini, maka mereka harus menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan memberi sokongan padu kepada barisan pemain kita yang akan berjuang malam ini,” katanya.

KAMI DATANG UNTUK JUARA


Kesebelasan utama pemain Kelantan yang dijangka beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan malam ini

KOTA BHARU – Disebalik perang psikologi yang dilancarkan oleh Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan terhadap pasukan Kelantan, Ketua Jurulatih, B Sathianathan tampak tidak berminat menyerang balas sebaliknya fokus beliau kini lebih tertumpu kepada persiapan terakhir menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

“Kita datang ke Bukit Jalil untuk menjadi juara. Saya tidak berminat untuk bercakap tentang nombor dua (naib juara). Saya sudah meluap angka nombor dua. Tiba masanya kita bergelar juara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke ibu negara pagi semalam.

“Segala persiapan berjalan dengan lancar bagi menghadapi perlawanan malam ini. Memang kita kehilangan Azizi (Matt Rose) dan S Subramaniam tetapi itu tidak menjadi masalah kepada kita. Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) kurang cergas kerana mengalami kecederaan tetapi tetap bersedia diturunkan.

“Tumpuan saya terhadap perlawanan malam ini. Tugas saya belum selesai selagi kita tidak menjulang piala malam ini. Saya perlu menghadiahkan kejuaraan ini kepada rakyat Kelantan,” katanya. 

Ditanya mengenai kekuatan pasukan lawan, Sathianathan berkata, beliau tidak melihat mengapa pasukan Negeri Sembilan harus turun sebagai pasukan underdog dalam perlawanan malam ini.

“Saya tidak nampak mengapa Negeri Sembilan harus turun sebagai underdog. Mereka adalah pasukan pilihan kerana pernah bergelar juara Piala Malaysia musim lalu dan juara Piala FA musim ini. Jadi sudah pasti mereka adalah pasukan yang hebat. Jadi tidak ada tekanan kepada kita.

“Saya menghormati keupayaan barisan pemain mereka seperti Rezal (Zambery Yahya), Idris (Karim), Shukor (Adan) malahan mereka ada Mohd Aidil Zafuan (Abdul Razak) dibahagian pertahanan. Saya fikir mereka sebuah pasukan yang kuat tetapi itu tidak bermakna kita perlu merendah diri. 

Sementara itu, Sathianathan turut mengkagumi jati diri penyokong Kelantan yang sanggup melakukan apa sahaja demi maruah bola sepak negeri itu.

“Saya dengar ada yang sanggup gadai motosikal, ada yang tak cukup duit semata-mata hendak ke Bukit Jalil. Bukannya dekat Bukit Jalil dari Kota Bharu berbanding hanya setengah jam sahaja dari Seremban. Saya fikir mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan Kelantan dapat menang piala malam ini.

“Dulu mereka cakap kepada saya ‘kita hendak ke Bukit Jalil’ dan sekarang mereka cakap pula ‘kita hendak jadi juara’ pula. Sebagai jurulatih berpengalaman, saya menghormati dan mengkagumi sikap penyokong Kelantan. 

“Cuma satu sahaja pesanan saya, kalau betul-betul sayangkan Kelantan, jangan calarkan nama baik kita sebagai penyokong Kelantan. Tolong jaga disiplin dan tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi pada perlawanan malam ini,” katanya. 

Barisan Kemungkinan Kelantan :
Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Mohd Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Hairuddin Omar dan Norshahrul Idlan Talaha.

Wednesday, October 27, 2010

FAM, KAFA CEKIK DARAH

KOTA BHARU – Belum pun reda isu penggantungan Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu petang semalam kembali bergegar dengan tindakan segelintir penyokong Kelantan yang berdemonstrasi menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenakan sistem penjualan tiket secara berpakej.

Salah seorang penyokong Kelantan, Mahizi Mahmood berkata, pihaknya berasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket serta pihak Kafa sendiri mengenakan syarat tiket dibeli secara berpakej. 

Mahizi Mahmood

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket daripada RM20 kepada RM30 pada tahun ini. Rakyat Kelantan terutamanya peminat bola sepak Kelantan terkejut dengan tindakan FAM menaikkan harga RM30,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Tidak ada alasan yang logik mengenai kenaikan harga tiket ini. Kalau untuk tujuan keuntungan dan menjahanamkan rakyat Kelantan lebih baik tidak payah. Memang kami tidak berpuas hati.

“Tindakan Kafa menaikkan harga tiket sehingga RM40 secara berpakej turut membuatkan kami kecewa. Kita minta pihak Kafa dan FAM mempertimbangkan harga tiket yang asal. Pihak Kafa tidak patut menaikkan harga tiket kerana itu seolah-olah memaksa kami membelinya secara pakej,” katanya.

Menurut Mahizi, tindakan penyokong Kelantan mengadakan demonstrasi pada hari ini bertujuan untuk menzahirkan perasaan tidak puas hati dengan tindakan Kafa.

Sementara itu, seorang penyokong tegar Kelantan, Hassan Mohamad 62 tahun, berkata, tindakan pihak FAM mengenakan harga RM30 mungkin disebabkan mereka mempunyai alasan yang tersendiri tetapi tindakan Kafa mengenakan harga RM40 secara berpakej seolah-olah mencekik darah rakyat Kelantan.

Hassan Mohamad

“Kafa tidak pernah memikirkan berapa banyak belanja yang dikeluarkan oleh setiap peminat Kelantan untuk ke Bukit Jalil. Sepatutnya Kafa harus bersimpati kerana ramai penyokong mahu ke Bukit Jalil, jangan mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

“Kita desak Kafa supaya mengekalkan harga yang telah ditetapkan FAM mengenai harga itu. Kalau boleh, sepatutnya Kafa yang perlu menghadiahkan bendera kepada peminat. Kerana peminatlah, Kafa terus hidup dan pemain menikmati gaji yang lumayan,” katanya.

Bagi Nik Mohd Sallehuddin Nik Abd Razak, harga tiket RM30 yang dikenakan oleh pihak FAM begitu membebankan penyokong Kelantan. 

Nik Mohd Sallehuddin Nik Abd Razak
“Kita kena berpijak dibumi yang nyata. Mengapa FAM membandingkan perlawanan antarabangsa seperti menentang Chelsea dengan perlawanan akhir Piala Malaysia. Itu dua situasi yang berbeza kerana perlawanan antarabangsa jauh lebih tinggi tarafnya berbanding perlawanan liga di negara ini,” katanya.

FAM BUAT PUSINGAN 'U'

KOTA BHARU - Tertekan dengan situasi semasa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan drastik menangguhkan hukuman terhadap Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ekoran tekanan demi tekanan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak terhadap badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Dua hari lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad mengumumkan penangguhan hukuman terhadap bekas pengendali skuad kebangsaan itu, setelah Jawatankuasa Rayuan FAM 'berlembut hati' menangguhkan hukuman enam bulan yang dikenakan terhadap beliau.

Penangguhan hukuman itu berdasarkan perkara 7.1.1 dan 7.5.1 dan diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM, A Ganarajah, selepas Sathianathan mengemukakan rayuan sebelum itu.

Ternyata keputusan tersebut memperlihatkan tindakan FAM yang sesuka hati membuat pusingan 'U' dan tidak konsisten dalam menjatuhkan sesuatu hukuman membuatkan peminat bola sepak tempatan sekali lagi jelak dengan permainan wayang yang ditunjukkan oleh individu didalam badan induk bola sepak kebangsaan itu. 

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhasyim Mat berkata, penangguhan hukuman ini bertujuan untuk meredakan tekanan oleh peminat-peminat Kelantan dan media yang banyak mengkritik secara terbuka badan induk bola sepak kebangsaan itu. 

Marhasyim Mat

“Ianya bersifat sementara (penangguhan hukuman ke atas Sathianathan). Hanya untuk seminggu dua sahaja. Sathianathan pasti berdepan dengan hukuman FAM selepas ini. 

“FAM menghadapi tekanan setelah dikritik hebat bukan setakat oleh penyokong Kelantan, malahan bloggers-bloggers sukan sendiri turut membidas tindakan tersebut. 

“Mereka tidak pernah belajar daripada pengalaman. Mereka membuat segala keputusan dalam keadaan terburu-buru tanpa memikirkan implikasi yang bakal mereka terima selepas itu.

Baru-baru ini, segelintir ahli kelab Kelate.Net bercadang mengadakan demonstrasi dihadapan Wisma FAM sekiranya pihak FAM tidak menarik balik keputusan penggantungan terhadapan jurulatih Kelantan itu ekoran tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terhadap media berkenaan venue perlawanan di antara Perlis dan Terengganu dalam perlawanan Liga Super lalu.

Monday, October 25, 2010

FAM BUNUH KARIER SATHIANATHAN?

B Sathianathan

KOTA BHARU – Kerjaya cemerlang Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sejak berkecimpung di dalam dunia bola sepak tempatan selama 14 tahun akhirnya dicalarkan oleh bekas majikannya sendiri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sepanjang 14 tahun beliau berkhidmat di Wisma FAM, Kelana Jaya tanpa sebarang apa-apa rekod buruk, tanpa menerima kad merah atau pun kad kuning sekali pun, akhirnya rekod kerjaya bekas jurulatih kebangsaan itu lebur gara-gara disabitkan memberi kenyataan kepada pihak media.

Dua hari lalu, Jawatankuasa Disiplin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM2,000 ke atas Sathianathan atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu dalam Liga Super yang lalu.

Segalanya bermula apabila Sathianathan mengeluarkan kenyataan kepada media mengenai pindaan venue perlawanan Liga Super, membabitkan Perlis dan Terengganu yang sepatutnya dilangsungkan di Kangar namun dipindahkan ke Kuala Terengganu.

Pindaan perlawanan tersebut memberi kelebihan kepada pasukan Terengganu yang bermain sehari lebih awal (Jumaat) tanpa perlu berkunjung ke Kangar sebelum ke Shah Alam bagi pertemuan menentang Selangor pada hari Selasa.

Sedangkan Kelantan ketika itu terpaksa beraksi berkelana jauh bermain digelanggang luar, menentang Pahang pada hari Sabtu sebelum menyambung perjalanan ke selatan tanah air menentang Johor pada hari Selasa
.
Umum menyedari ketika itu, persaingan rancak ketiga-tiga pasukan teratas dalam carta Liga Super iaitu Selangor, Kelantan dan Terengganu. Sementara Selangor kian kukuh dipersada liga, perebutan sengit hanya membabitkan pasukan Kelantan dan Terengganu dalam memburu tempat selaku naib juara liga. 

Sebagai dua pasukan yang bersaing hebat ketika itu, keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM ketika, Datuk Che Mat Jusoh dilihat tidak peka terhadap persaingan sengit kedua-dua pasukan itu. 

Begitu pun tindakan Sathianathan memberi kenyataan kepada media sebenarnya tidak dilihat sebagai menyentuh mengenai polisi badan induk bola sepak kebangsaan itu sebagaimana kes bekas jurulatih Felda United FC musim lalu, Reduan Abdullah yang dikenakan hukuman penggantungan selama setahun gara-gara mempertikaikan ‘ujian Chopper’ yang dilakukan oleh pihak FAM. 

Sebagai jurulatih berpengalaman, Sathianathan mengetahui penanda aras bagi beliau sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa membuta-tuli. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, semuanya dalam poket beliau. Beliau sudah masak dengan sebarang polisi atau dasar pihak FAM memandangkan beliau sudah bersama skuad kebangsaan membantu jurulatih asing seperti Claude Le Roy, Hatem Soussi, Alan Harris atau Bertalan Bisckei sejak 14 tahun lalu. 

Tanpa disangka disaat hanya kurang seminggu lagi Liga Malaysia 2009/2010 melabuhkan tirainya, pihak FAM sekali lagi membuat keputusan tidak popular bagi peminat bola sepak Kelantan dalam tempoh tidak sampai seminggu. 

Sambil Sathianathan mengakui beliau pernah memberi maklum balas secara bertulis kepada pihak FAM mengenai isu tersebut kira-kira tiga bulan lalu, tanpa disangka sehari sebelum sepak mula separuh akhir kedua membabitkan pertemuan Kelantan dan Kedah di Kota Bharu, Wisma Kafa digegarkan dengan salinan faks daripada FAM menyatakan hukuman ke atas beliau. 

Agak malang bagi bola sepak negara, seseorang ‘pesalah’ bola sepak yang kononnya didapati ‘bersalah’ itu tidak diberi peluang membela diri secara bersemuka melainkan hanya merujuk kepada surat maklum balas itu sahaja. 

Bagi Sathianathan sendiri, hukuman penggantungan selama enam bulan itu bukan setakat beliau bakal kehilangan kerja dan terpaksa menjadi penganggur selama tempoh tersebut, malahan beliau terpaksa menjauhkan diri dari lapangan bola sepak kerana tidak dibenarkan terbabit secara aktif dalam tempoh itu.

Bagi senario bola sepak Kelantan,  kesannya cukup besar apabila para peminat setia kini tidak lagi berpeluang melihat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan itu yang mencipta rekod, satu-satunya jurulatih import tempatan yang berjaya membawa The Red Warriors memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

TINDAKAN FAM TERUS DIKECAM


KOTA BHARU – Belum pun reda dengan isu hukuman denda yang dianggap berat sebelah terhadap Kelantan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi dikecam gara-gara keputusannya menjatuhkan hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM2,000 terhadap jurulatih Kelantan, B Sathianathan atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super musim lepas.

Semalam, seramai 50 ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) mengadakan demonstrasi secara aman yang berlangsung di Medan Usahawan berhampiran Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu bagi mengecam tindakan FAM yang sekali lagi disifatkan berat sebelah.

Presidennya, Marhashim Mat berkata, pihaknya mewakili penyokong-penyokong Kelantan berasa kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin FAM yang disifatkan tidak kena pada masanya.

Marhashim Mat

“Kami mempertikaikan masa pengumuman penggantungan yang dikenakan ke atas jurulatih Kelantan, dan pada masa yang sama mempersoalkan mengapa keputusan ini dikenakan ke atas pasukan Kelantan ketika The Red Warriors sedang menuju puncak kegemilangan,” katanya ketika ditemui selepas 

“Kita berharap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dapat mengemukakan rayuan berhubungan keputusan penggantungan ini kepada badak induk bola sepak kebangsaan itu.

“Kita berharap, kalau boleh hukuman penggantungan ini ditangguhkan sehingga selepas perlawanan akhir Piala Malaysia minggu depan,” katanya.

Menurut Marhashim, pihaknya tidak teragak-agak mengadakan demonstrasi secara aman sekali lagi dihadapan Wisma FAM, Kelana Jaya sebagaimana yang dilakukan oleh pihaknya awal tahun lepas.

“Semuanya bergantung kepada pihak Kafa, kita berharap Kafa dapat mengemukakan rayuan secepat mungkin. Jika tiada respon positif dalam masa terdekat daripada pihak FAM, kami tidak teragak-agak menghimpunkan anak-anak Kelantan yang berada di Lembah Kelang untuk mengadakan demonstrasi dihadapan Wisma FAM sekali lagi.

Sementara itu, Mohd Fadzil Fairus Guriaman, salah penyokong setia Kelantan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pihak FAM menjatuhkan hukuman secara tidak rasional amat tidak dikesali.
Mohd Fadzil Fairus Guriaman

“Banyak tindakan yang dilakukan oleh pihak FAM sebelum ini boleh dipertikaikan. Mereka lebih gemar menjatuhkan hukuman terlebih dahulu tanpa mengkaji terlebih dahulu . Keputusan mereka sentiasa tidak konsisten.

“Jelas mereka tidak telus (dalam membuat sesuatu keputusan). Saya harap barisan kepimpinan baru mengambil kira pandangan ini. Kalau FAM berterusan seperti ini, bola sepak negara tidak akan maju bahkan hanya anak emas FAM tertentu sahaja yang akan maju. Kelantan tidak perlu menjadi anak emas FAM.

“Mereka perlu ini ingat, kantung FAM banyak disebabkan sumbangan rakyat Kelantan yang menyaksikan perlawanan bola sepak. Orang lain membuat kesalahan tiada pula hukuman seperti kes pemain pertahanan Selangor, Khairul Annuar Baharum menanduk pemain T-Team, Haris Safwan Kamal dan insiden membaling bata di Stadium Utama Negeri, Kangar ketika perlawanan Perlis menentang Negeri Sembilan baru-baru ini,” katanya.