Thursday, February 23, 2012

Bojan Hodak CEO baru ARMY



Ismail (tengah) menyampaikan replika jersi ARMY kepada Hodak sejurus pengumuman mengenai pelantikan beliau selaku Ketua Pengawai Eksekutif yang baru akademi tersebut di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU – Bekas Ketua Jurulatih UPB My Team, Bojan Hodak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru berkuat kuasa semalam.

 
Pelantikan Hodak diumumkan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor dalam sidang media ringkas di Kafe The Red Warriors (TRW) di sini tengah hari semalam.
 
“Pemilihan Hodak sebagai CEO ARMY yang baru dilakukan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh B Sathianathan yang kini beralih arah membimbing pasukan ATM dalam kancah Liga Perdana musim ini.
 
“Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat tiga hari lalu memutuskan melantik beliau memegang jawatan tersebut dan beliau mengikat kontrak selama dua tahun bagi membangunkan akademi yang diwujudkan sejak setahun lalu. 
 
“Pemilihan Hodak dilakukan berdasarkan pengalaman luas yang dimiliknya selaku pemain bola sepak selama 11 tahun di negaranya Croatia, Singapura dan Hong Kong selain pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan di rantau ini termasuk UPB My Team tidak lama dulu,” katanya.
 
Hodak, 41, yang mempunyai Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pernah menjadi Ketua Jurulatih UPB My Team sekitar tahun 2006 hingga 2009, kelab Phnom Penh Crown FC  di Cambodia (2010 hingga 2011) sebelum berkelana ke China pada tahun lalu. 
 
Menurut Ismail, Hodak dijangka akan meneruskan program pembangunan yang ditinggalkan oleh Sathianathan dan selain itu beliau juga turut diberi kebebasan untuk merangka pelbagai aktiviti baru bagi menambah baik perjalanan akademi tersebut.
 
Sementara itu, Hodak yang kali terakhir memegang jawatan selaku Penolong Jurulatih kelab Shandong Luneng Taishan FC di China dan membawa kelab tersebut muncul naib juara Piala FA berkata, beliau mengakui begitu teruja dapat kembali menabur bakti di Negara ini.
 
“Malaysia ibarat rumah kedua kerana isteri saya orang sini dan saya juga mempunyai anak yang dilahirkan di sini. Ia sesuatu yang mengujakan apabila saya dapat kembali bekerja di sini.
 
“Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) ada menghubungi saya ketika saya pulang ke Malaysia meraikan sambutan Tahun Baru Cina isteri saya bulan lalu. Beliau menawarkan jawatan tersebut dan saya fikir itu sebab utama mengapa saya kembali di sini.
 
“Saya sudah bersedia untuk berkongsi pengalaman dan membantu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment