Wednesday, December 9, 2009

EZRIE KEMBALI, HAIRUDDIN OMAR MELENGKAPI

Ahmad Ezrie Shafizi, pemain tengah yang digugurkan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pertengahan bulan lalu kini kembali menyarung jersi Kelantan. Berita ini telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Haji Azman Ibrahim.

Ezrie, pemain tengah versatile yang sentiasa mendapat tempat sewaktu Peter James Butler membimbing Kelantan tetapi khidmatnya diketepikan apabila pengendali baru, B.Sathianathan - penguguran yang mengejutkan buat penyokong setia Kelantan kerana sumbangan pemain ini cukup bermakna menjana jentera tengah Kelantan.

Biarpun dikhabarkan beberapa pasukan negeri dan bertaraf kelab berhajat mendapatkan khidmat pemain ini, ternyata Ezrie mengambil langkah mendiamkan diri - menantikan kesetiaannya untuk beraksi bersama negeri sendiri.

Jelas, minggu lalu merupakan minggu paling menggembirakan baginya, atas pertimbangan B. Sathianathan, akhirnya nama Ezrie kini kembali tersenarai dalam skuad Liga Malaysia 2010 Kelantan.

Sementara itu, wira 'pinjaman' pasukan Negeri Sembilan yang menjuarai edisi Piala Malaysia 2009 - Hairuddin Omar mencipta keputusan mengejut apabila memilih untuk beraksi bersama Kelantan pada musim hadapan.

Biarpun Negeri Sembilan menawarkan tawaran yang lumayan untuk Hairuddin Omar kekal di Seremban, manakala pasukan T-Team memberi masa yang secukup-cukupnya untuk Hairuddin membuat keputusan, akhirnya Kelantan juga yang menjadi pilihannya untuk beraksi.

Bakal mencecah usia 31 tahun pada musim hadapan, Hairuddin yang digelar kuda tua oleh segelintir peminat bola sepak membuktikan reputasinya sebagai pemain pinjaman kepada Negeri Sembilan - membutirkan hasil apabila menyumbangkan satu gol pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu.

Khabar terkini, Hairuddin Omar sudah pun terbang ke Kota Bangkok bersama-sama pasukan Kelantan bagi menjalani latihan pra musim disana selama 10 hari sebelum sepak mula Liga Malaysia membuka tirai pada 9hb Januari 2010.

Tuesday, December 1, 2009

WAJARKAN HARGA TIKET DINAIKKAN

Naib Presiden KAFA, Datuk Affandi Hamzah sewaktu berucap pada majlis minum petang bersama Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di Juita Premier, Kota Bharu pada Sabtu lalu telah menyatakan bahawa harga tiket untuk Liga Malaysia musim 2010 akan dinaikkan.

Menurutnya lagi, harga bagi tempat duduk terbuka akan dinaikkan kepada RM 12 berbanding sekarang RM 10. Manakala bagi tempat duduk astaka pula akan dinaikkan kepada RM 25 berbanding RM 20.

Bagi saingan Piala Malaysia musim hadapan, bermula pada peringkat suku akhir, pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan juga turut memutuskan untuk menaikkan harga tiket RM 15 (tempat duduk terbuka) dan RM 30 (astaka).

Tiket - tiket melibatkan hanya perlawanan akhir sahaja dijual
pada harga sekitar RM15-20

Secara peribadi, saya sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan pihak KAFA menaikkan harga tiket ini. Ini bukanlah satu 'hadiah' istimewa yang sepatutnya diberikan kepada seluruh peminat dan penyokong setia bola sepak Kelantan selama ini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Keputusan menaikkan harga tiket ini tidak logik kalau difikirkan. Adakah perlu peminat dan penyokong setia Kelantan yang harus menanggung beban diatas kenaikan harga tiket ini.

Biarpun 'test market' pihak KAFA sewaktu perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia dimana harga tiket dinaikkan kepada RM 12 (terbuka) dan RM 25 (astaka) menampakkan kejayaan - sebenarnya RM2 dan RM5 untuk sumbangan Tabung Gempa Bumi Padang, dimana tiket habis dijual, itu cerita lain.

Cerita tentang bagaimana aura peminat dan penyokong setia Kelantan datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan suku akhir tersebut, menonton sambil menderma tentunya tidak dihiraukan sangat.

Tetapi keputusan tidak popular pihak KAFA ini tentunya mengundang pelbagai pro dan kontra berkaitan harga tiket selepas ini. RM2 cukup besar nilainya. RM2 - bagi peminat bola sepak Kelantan, sekurang-kurang dapat digunakan untuk membeli minuman atau kuaci.

Biarpun umum mengetahui bahawa perbelanjaan mengurus pasukan Kelantan dijangka mencecah RM 3-4 juta pada musim hadapan, tetapi amat tidak wajar keputusan menaikkan harga tiket ini berlaku di Kota Bharu sedangkan di venue lain harga tiketnya masih pada kadar yang lama.