Thursday, April 28, 2011

KARATHU TARIK NAFAS LEGA

KOTA BHARU – Biarpun Kelantan hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas musuh tradisinya Selangor, raut wajah pengendali, Datuk M Karathu jelas menggambarkan kepuasan tatkala anak buahnya dilihat bermain dibawah tahap keupayaan yang sebenar dalam perlawanan malam semalam.

Dalam perlawanan itu, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira The Red Warriors apabila gol hasil jaringannya seawal minit keempat perlawanan sudah cukup untuk memastikan Kelantan mengutip tiga mata berharga di tempat sendiri.

“Pada separuh masa pertama, benteng pertahanan pasukan Selangor dilihat lebih kebal dan hanya sekali sekala melakukan serangan ke pintu gol Kelantan. Mereka cuma mengharapkan serangan balas dan terbukti pemain kita sudah cukup bersedia menghadapi situasi itu,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Gol pertama Kelantan hasil jaringan Norshahrul Idlan (Talaha) seawal minit keempat perlawanan itu ternyata mencetuskan suntikan semangat kepada pemain kita. Bahkan anda dapat lihat kita sebenarnya menguasai perlawanan pada babak pertama.

“Pada separuh masa kedua, memang saya tahu pasukan Selangor akan menyerang habis-habisan. Sebab itu saya memperkemaskan corak permainan dengan meletakkan hanya seorang penyerang dibahagian depan. Walaupun pemain mereka lebih gemar melakukan hantaran jauh namun kita sebenarnya dilihat lebih menguasai bahagian tengah,” katanya.

Menurutnya, menyedari pemain Selangor dilihat tertekan setelah ketinggalan satu gol, pemain Kelantan seharus memanfaatkan satu dua peluang yang diperolehi sepanjang perlawanan itu dengan menjarakkan kedudukan namun ternyata disia-siakan oleh pemainnya.

“Walaubagaimanapun kemenangan ini sebenarnya cukup baik bagi kita. Apa yang penting, kita tidak jauh ketinggalan menyaingi dua pasukan itu (Selangor dan Terengganu) dalam memburu kejuaraan liga musim ini.

Sementara itu, mengulas mengenai persembahan hambar Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi dalam perlawanan itu, Karathu mempertahankan tindakannya terus ‘menyimpan’ pemain itu sehinggalah dikeluarkan pada penghujung perlawanan.

“Prestasi Muhd Badhri tidaklah seburuk yang disangkakan. Dia bermain dengan baik cuma tidak menggunakan peluang yang dimilikinya itu dengan menjaringkan gol. Saya fikir dia sudah memberikan yang terbaik diatas padang dengan kerja kuatnya sehinggalah saya mengeluarkannya lima minit sebelum perlawanan berakhir,” katanya.

DEVAN AKUR KEKALAHAN SELANGOR

K DEVAN 
 
KOTA BHARU – “Bermain dibawah tahap keupayaan sebenar” Itulah antara punca pendahulu liga, Selangor tewas tipis 0-1 kepada Kelantan dalam pertembungan kali kedua bagi kedua-dua pasukan sepanjang musim ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam

Jurulatih Selangor, K Devan ketika mengulas kekalahan pasukannya berkata, kesilapan benteng pertahanan pada awal babak permainan menjadi punca penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menjaringkan tunggal dalam perlawanan itu.

“Sebenarnya kedua-dua pasukan mempamerkan corak persembahan yang seimbang. Kita juga turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Apa yang saya lihat, kedua-dua pasukan bermain dibawah tahap keupayaan sebenar dalam perlawanan ini. Saya akui, corak permainan pasukan Selangor tidak seperti biasa. Mungkin disebabkan faktor keletihan kerana kita bermain menentang Sabah pada Sabtu dan kemudian terpaksa ke sini bagi bertemu Kelantan.

“Kelantan pula bermain pada hari Jumaat menentang Perlis dan mereka mempunyai kelebihan kerana mendapat rehat yang panjang. Ini sudah pasti tidak memberi kelebihan kepada kita sebenarnya apabila beraksi dalam perlawanan sepenting ini.

Devan mengakui gol pada awal babak permainan itu sedikit sebanyak mengubah rentak permainan pasukan mereka apatah lagi terpaksa bermain dihadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan dalam perlawanan malam semalam.

“Sudah tentu apabila kita ketinggalan pada awal permainan, situasi itu menyebabkan pemain saya tertekan untuk mencari gol penyamaan. Saya percaya, sekiranya gol pertama Kelantan itu tidak terhasil, saya fikir perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri.

Sementara Devan mengakui tindakan beliau hanya meletakkan Mohd Amri Yahyah selaku penyerang tunggal dalam perlawanan itu sambil dibantu Shafiq Rahim merupakan sebahagian daripada percaturan taktikalnya menghadapi Kelantan dalam perlawanan itu.

“Itu merupakan strategi kita pada separuh masa pertama. Kalau kita rasa kedudukan masih lagi seri, mungkin saya boleh memasukkan Mohd Fadzli (Shaari) pada awal separuh masa kedua.

“Sebaliknya kita telah ketinggalan satu gol pada awal permainan lagi. Itu yang menyebabkan kita tidak dapat melakukan perubahan drastik walaupun kita memasukkan dia pada pertengahan babak kedua,” katanya.

YAKIN KUTIP MATA PENUH

Mohd Yusri Ismail

KOTA BHARU – Skuad Piala Presiden Kelantan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengutip tiga mata penuh apabila turun menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, beliau begitu optimis pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘The President Warriors’ itu tidak mahu mengecewakan harapan penyokong setia seterusnys mengutip tiga mata ditempat sendiri.

“Kelantan kini ditangga kedua carta liga kumpulan A dibelakang pendahulu liga, Sabah dengan mengumpul 28 mata dan kita sebenarnya kekurangan satu perlawanan. Peluang untuk menjadi juara kumpulan cukup cerah namun saya tidak mahu memikirkan lebih lanjut perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Tumpuan kita ialah untuk mengalahkan Perlis seterusnya mengutip tiga mata petang ini. Perkhabaran baik apabila semua pemain kita bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan. Pemain tengah, Nicholas Chan (Meng-Jin) juga dijangka kembali berada didalam kesebelasan utama pemain setelah menjalani penggantungan satu perlawanan tempohari.

“Malah saya melihat pemain-pemain lain juga begitu bersemangat untuk mempamerkan prestasi memberangsangkan setelah rakan mereka, Muhd Izuan Salahuddin menunjukkan aksi membanggakan setelah diserap ke pasukan Liga Super Kelantan baru-baru ini. Saya fikir ini merupakan satu persaingan yang sihat dalam kalangan pemain muda Kelantan,” katanya.

Wednesday, April 27, 2011

RED GIANTS TERSUNGKUR

KELANTAN 1
Norshahrul Idlan Talaha (m-4)

SELANGOR 0

KOTA BHARU – Kelantan terus mengekalkan rekod cemerlang beraksi di gelanggang sendiri setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu liga, Selangor dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit keempat perlawanan sudah cukup untuk memastikan The Red Warriors terus unggul mengutip tiga mata penting bagi memburu kejuaraan liga pertama musim ini. 

Beraksi dihadapan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors, anak buah Datuk M Karathu turut mendapat suntikan semangat apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut berangkat mencemar duli menyaksikan perlawanan malam tadi.

Seawal minit keempat, pintu gol Selangor dibolosi menerusi jaringan Norshahrul Idlan. Berpunca lontaran ke dalam yang dilakukan Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri Radzi menanduk ke belakang dan Norshahrul Idlan pantas menanduk masuk untuk gol tunggal Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Ternyata gol awal tersebut memberi kejutan kepada anak buah K Devan yang dilihat baru hendak menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan mereka dalam perlawanan itu.

Namun, dua minit kemudian, Selangor memperolehi peluang pertama untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat P Gunalan yang menyaksikan penjaga go Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa menepis sepakan tersebut.

Pada minit kelapan, Kelantan hampir memperolehi gol kedua gara-gara kesilapan Azidan Sarudin yang tertampan bola ke gawang gol Selangor yang berpunca sepakan sudut Danial Fadzly Abdullah namun mujur penjaga gol, Saiful Amar Sudar berada tepat dikedudukannya menyelamatkan situasi merbahaya itu.

Pada m-23, pasukan pelawat sekali lagi hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik Mohd Nasriq Baharom yang sedikit melewati palang gol Kelantan berpunca sepakan percuma Shafiq Rahim sebelum itu.

Pada m-28, kesilapan Saiful Amar yang gagal membaca tepat rembatan Norshahrul Idlan daripada penjuru sebelah kiri padang hampir membawa padah apabila bola rembatan Norshahrul Idlan hanya melintasi pintu gol Selangor, namun tiada pemain Kelantan menyempurnakan rembatan tersebut.

Sementara itu, pada m-37, tindakan pemain tengah Selangor, Mohd Hardi Jaafar mengasari S Chanturu mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada perlawanan malam tadi.

Dua minit selepas itu, giliran Ketua Pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah pula melepaskan peluang terbaiknya apabila rembatannya ditepis Khairul Fahmi sementara S Subramaniam pantas menyepak keluar bola di depan pintu gol bagi menyelamatkan keadaan merbahaya itu.

Seminit babak kedua bersambung, kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang lambat mengeluarkan bola daripada kawasan pintu gol  hampir dihukum menerusi rembatan Mohd Amri yang menyaksikan tiang gol menjadi penghalang bagi Selangor untuk menyamakan kedudukan.

Namun serangan balas pantas Kelantan seminit selepas itu turut hampa apabila rembatan kencang Danial Fadzly daripada luar kotak penalti diselamatkan Saiful Amar digawang golnya.

Tidak banyak percubaan menarik yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan pada aksi babak kedua, malah kegagalan jentera tengah Kelantan untuk menguasai bola dibahagian tersebut seakan-akan merencatkan corak serangan The Red Warriors untuk menjarakkan kedudukan dalam perlawanan malam tadi.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada m-62 menerusi rembatan Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan Saiful Amar terpaksa melayangkan badannya untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Pada m-67, Selangor sekali lagi kecewa untuk memperolehi gol penyamaan apabila rembatan padu P Gunalan ditepis keluar Khairul Fahmi sementara Mohd Nasriq pula lambat melakukan tindakan susulan apabila dikesan berada didalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan.

Menyedari jentera serangan Selangor kurang bermaya dalam perlawanan malam tadi, Devan pantas melakukan perubahan taktikalnya dengan memasukkan tiga pemain dalam tempoh enam minit pada pertengahan babak kedua bagi menguatkan jentera depan pasukannya.

Percubaan terakhir Selangor menerusi rembatan kencang pemain gantian, Mohd Fadzli Shaari pada m-86 yang sekadar melintasi pintu gol Kelantan menutup terus peluang Selangor untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Kota Bharu malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Izuan Salahuddin), Muhd Badhri Radzi (KP) (Khairan Eruan Razali), Mohd Shakir Shaari, Danial Fadzly Abdullah (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-3-1-2

SELANGOR : Saiful Amar Sudar,  Mohd Nasriq Baharom, P Gunalan, Mohd Razman Roslan (D Surendran), Yosri Derma Raju, Azidan Sarudin (Mohd Fadzli Shaari), Mohd Hardi Jaafar, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Amirulhadi Zainal (Mohd Fitri Shazwan Raduwan), Shafiq Rahim dan  Mohd Amri Yahyah (KP).

FORMASI : 4-5-1

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (4) Selangor (5)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) Selangor (5)
Sepakan sudut : Kelantan (8) Selangor (2)
Sepakan percuma : Kelantan (15) Selangor (17)
Offsaid : Kelantan (2) Selangor (6)
Kekasaran : Kelantan (15) Selangor (9)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Nurul Azwan Roya, Danial Fadzly Abdullah dan Mohd Farisham Ismail) Selangor (Yosri Derma Raju, Azidan Sarudin, Mohd Hardi Jaafar dan Mohd Bunyamin Umar)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Selangor (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Nafeez Abd Wahab
Penolong Pengadil 1: Mohd Mazlan Md Desa
Penolong Pengadil 2: Wan Ismail Wan Ali
Pegawai Keempat : Mohd Zairul Azril Zakaria
Kommisioner Perlawanan : Mohd Jamil Zakaria
General Kordinator : Arif Hassan

Tuesday, April 26, 2011

KELANTAN PUNYAI KELEBIHAN


KOTA BHARU – Sekalipun tampil selaku peneraju carta liga ketika ini, tiada kelebihan  bagi pasukan Selangor apabila turun beraksi menentang Kelantan dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Dalam nada merendah diri, Ketua Jurulatih Selangor, K Devan mengakui pasukannya bakal berhadapan laluan sukar apatah lagi pemainnya tidak mempunyai masa yang cukup menjalani latihan sebagai persiapan bertemu Kelantan malam ini.

“Sekembali dari Kota Kinabalu, kita hanya sempat menjalani latihan ringkas pagi semalam sebelum berlepas ke Kota Bharu petang ini. Kita menghadapi sedikit masalah apabila dua pemain tonggak iaitu Mohd Fadzli (Shaari) dan Mohd Nasriq (Baharom) mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Namun, saya mengesahkan bahawa kita tetap membawa kedua-dua pemain itu ke Kota Bharu bagi menghadapi Kelantan malam esok (ini). Begitu pun, kita mempunyai dua pemain lain iaitu Rudie (Ramli) dan S Sritharan yang mampu mengisi kekosongan pemain tersebut.

“Saya lihat Kelantan mempunyai sedikit kelebihan kerana mempunyai rehat yang cukup berbanding kita. Mereka beraksi di Kota Bharu pada hari Jumaat sedangkan kita terpaksa ke Kota Kinabalu bagi bertemu Sabah pada Sabtu lalu. Saya akui, memang jadual perlawanan cukup padat dan pemain kita terpaksa menghadapi situasi tersebut dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Devan berkata, Kelantan merupakan sebuah pasukan yang kuat pada musim ini dan hakikat tersebut diakui beliau sendiri apabila pasukan bimbingan Datuk M Karathu itu masih  mampu mengekalkan rekod tanpa kalahnya setiap kali beraksi di gelanggang sendiri.

“Namun mereka kehilangan mata apabila bermain diluar. Apa yang saya lihat, kekuatan mereka sebenarnya bergantung kepada beberapa pemain yang dilihat tonggak utama dalam pasukan mereka. Mereka menghadapi kesukaran untuk mencatatkan kemenangan sekiranya beraksi tanpa tonggak utama.

“Memang kita tidak boleh menurunkan kesebelasan terbaik bagi menentang Kelantan pada malam ini. Semua pasukan mahu menang setiap kali bertandang ke Kota Bharu, namun saya percaya sekiranya kita berjaya mencuri satu mata, saya fikir itu sudah memadai bagi kita,” katanya. 

Sementara itu Devan turut mengesahkan aksi cemerlang penjaga gol, Saiful Amar Sudar dalam empat perlawanan lalu sekali lagi menjadi sandaran bagi mengawal pintu gol pasukannya daripada dibolosi pada perlawanan malam ini.

PERHITUNGAN DEMI MARUAH


KOTA BHARU – Seumpama pentas perlawanan akhir, pertemuan dua musuh tradisi, Kelantan menentang Selangor dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini sudah pasti menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan.

Bagi Ketua Jurulatih Kelantan sendiri, Datuk M Karathu mengakui pertemuan berprofil tinggi diantara Kelantan menentang Selangor itu sememangnya memberikan makna yang tersendiri bagi kedua-dua pasukan.

“Saya akui pertemuan menentang Selangor malam ini akan menjanjikan aksi paling menarik bakal kita saksikan. Pertemuan ini bukan hanya berkisar untuk kita mendapatkan tiga mata, tetapi yang lebih penting demi mempertahankan maruah pasukan masing-masing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Memang kita menang ke atas Selangor 2-0 pada perlawanan pusingan pertama namun penampilan mereka cukup berbeza kali ini. Saya akui, mereka mempunyai ramai pemain yang bagus dan berpengalaman serta persembahan mereka juga cukup konsisten sejak akhir-akhir ini.

“Begitupun kelebihan tetap memihak kepada kita kerana bermain ditempat sendiri disamping mendapat sokongan padu daripada penyokong setia. Apa yang saya harapkan, pemain dapat memberikan komitmen tertinggi dalam pertemuan ini. Kita turun dengan matlamat untuk menang. Tiada istilah seri atau kalah bagi kita dalam pertemuan ini,” katanya.

Perkhabaran menarik daripada kem Kelantan apabila Karathu sendiri turut mengesahkan pemain sayap kanan, S Chanturu bakal diturunkan malam ini setelah pulih daripada kecederaan paha yang dialami baru-baru ini.

“Dia (Chanturu) akan diturunkan malam ini. Jelas kehadirannya menambah sengat dibahagian serangan pasukan Kelantan. Pemain kita sudah cukup bersedia dari segi fizikal dan mental. Jelas mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Selangor. Saya mungkin menggunakan formasi 4-4-2 atau 4-5-1 bagi menghadapi Selangor malam ini,

Pemain Kelantan gigih menjalani latihan terakhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang semalam.

“Saya akan menurunkan barisan terkuat Kelantan malam ini. Noktah kemenangan pada pertemuan malam ini sudah pasti berpaksi kepada kekuatan jentera tengah masing-masing. Kalau kita mampu menguasai bahagian itu, saya fikir tidak ada masalah bagi kita untuk mencatatkan kemenangan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kekuatan pasukan lawan, Karathu turut mengakui pasukan kendalian K Devan itu sebenarnya mempunyai barisan pemain serba lengkap disegenap posisi.

 “Tanpa penyerang utama Mohd Fadzli (Shaari) sekalipun, mereka boleh menang. Itu yang menarik mengenai kekuatan pasukan mereka. Mereka mempunyai pemain tengah yang berkualiti seperti Hardi (Jaafar), Shafiq (Rahim) dan Amirulhadi (Zainal),” katanya.

Saturday, April 23, 2011

SINGA UTARA KENA RATAH

KELANTAN 4
Mohd Izuan Salahuddin (m-40)
Norshahrul Idlan Talaha (m-51)
Mohd Nizab Ayub (m-69)
Muhd Badhri Radzi (m-73)

PERLIS 0

penyerang kelantan norshahrul melarikan bola dari kapten perlis mohamad rozaidi

KOTA BHARU – Kelantan melonjak ke tangga kedua carta liga setelah mengalahkan Perlis 4-0 dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Beraksi dihadapan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors, anak buah Datuk M Karathu bangkit daripada persembahan hambar pada separuh masa pertama biarpun mendahului satu gol dengan menampilkan persembahan lebih bertenaga pada babak kedua dengan ledakan tiga gol menerusi jaringan pemain yang berbeza.

Seawal minit keenam, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan The Red Warriors didepan namun rembatan kencangnya didalam kotak penalti sedikit melewati pintu gol Perlis.

Pasukan Perlis yang masih belum pulih daripada kekalahan besar di Kangar tempohari mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada m-24 menerusi rembatan kencang Muhammad Alif Aswat namun tersasar disebelah kanan pintu gol.

Selang seminit kemudian, giliran pemain pertahanan pasukan pelawat, Mohd Hafiszuan Salehuddin pula menguji kehebatan Khairul Fahmi Che Mat namun rembatannya tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.

Pada m-26, Kelantan hampir memecahkan kebuntuan apabila Norshahrul Idlan yang menerima umpanan daripada Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi, bijak melepasi pemain pertahanan Perlis namun rembatannya pula diselamatkan penjaga gol Perlis, Mohd Amirul Rosli.

Pada m-36, Muhd Badhri turut mensia-siakan peluang terbaiknya apabila menyepak liar didalam kotak penalti pasukan Perlis. Seminit kemudian, anak buah Datuk M Karathu sekali lagi gagal menggembirakan penyokong setianya apabila lorongan cantik Mohd Shakir Shaari kepada Solehin Kannasian Abdullah berkesudahan dengan rembatannya sekadar melintasi pintu gol pasukan pelawat.

Begitu pun, pada m-40, penyerang muda, Mohd Izuan Salahuddin kembali menceriakan penyokong setia Kelantan apabila sepakannya dari luar kotak penalti tepat menerjah jaring sebelah kiri pintu gol Perlis untuk gol pertama Kelantan.

Pada m-51, penjaring gol terbanyak liga setakat ini, Norshahrul Idlan terus melebarkan kedudukan untuk Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kedua. Hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin mudah ditampan kemas sebelum sepakan kencangnya menewaskan Mohd Amirul digawang gol Perlis buat kali kedua.

Pada m-61, Solehin Kanasian yang menerima umpanan Danial Fadzly Abdullah gagal mengukuhkan kedudukan untuk Kelantan apabila rembatannya hanya tersasar beberapa meter daripada pintu gol Perlis biarpun Mohd Amirul sudah pun tertewas dalam situasi tersebut.

Lima minit kemudian, giliran Danial Fadzly pula mencemaskan pintu gol Perlis apabila percubaan jarak jauhnya memaksa Mohd Amirul menepis rembatan tersebut yang menyaksikan bola terkena palang selepas itu. 
penyerang kelantan norshahrul dikepung oleh 6 pemain perlis.

Pada m-69, Mohd Nizab Ayub menggembirakan penyokong setia Merah Putih apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan. Baru dua minit dimasukkan, Mohd Nizab bijak memanfaatkan ‘dummy’ yang dilakukan Danial Fadzly dengan merembat kencang didalam kotak penalti untuk menewaskan Mohd Amirul kali ketiga.  

Pada m-73, pintu gol Perlis sekali lagi dibolosi kali ini menerusi jaringan Muhd Badhri. Berpunca daripada hantaran lintang Mohd Daudsu, Muhd Badhri bijak meloloskan diri daripada situasi kelam-kabut didalam kotak penalti dengan merembat dekat untuk menghasilkan gol keempat Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Ketinggalan empat gol, jelas pemain pasukan Perlis semakin tertekan malah tidak banyak percubaan merbahaya dilakukan oleh anak buah Mohd Salim Tofel Mohamad pada separuh masa kedua. Satu-satunya peluang terbaik mereka hadir pada m-78 menerusi sepakan percuma jarak 30 meter oleh Mohd Faiz Subri yang menyaksikan bola terkena palang gol Kelantan.

Kelantan seharusnya kembali ‘berpesta gol’ di Kota Bharu kalau tidak kerana kuisan Mohd Nizab pada m-83 terkena palang sementara rembatan pemain gantian, Muhammad Khalid Jamlus seminit selepas itu sedikit melewati palang.

Malah, gol jaringan Mohd Nizab pada m-87 turut dibatal oleh pengadil setelah dikesan berada didalam kedudukan ofsaid sementara sepakan lambung Muhd Badhri seminit selepas itu sedikit melewati pintu gol pasukan Perlis.

Gerakan menarik diantara Muhammad Khalid dan Danial Fadzly didalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan rembatan Danial Fadzly terkena tiang gol sebelah kanan pintu gol Perlis menutup tirai kemenangan berharga Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Nizab Ayub), Mohd Izuan Salahuddin, Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Danial Fadzly Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Muhammad Khalid Jamlus).

FORMASI : 4-4-2

PERLIS : Mohd Amirul Rosli, Mohd Sany Mat Isa, Mohd Hisyam Mohd Shofi, Mohd Hafiszuan Salehuddin, Mohd Rozaidi Abd Rahim (KP), Mohd Fazly Baharum (Mohd Rizal Ghazali), Mohd Faiz Subri, Muhammad Alif Aswat Baharin, Hadi Syahmi Hamzah, Syed Mohd Abd Ghafar Syed Amir (Mohd Hazwan Zainun ) dan Tengku Mohd Adam Tengku Rosly.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (7) Perlis (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (7) Perlis (5)
Sepakan sudut : Kelantan (10) Perlis (2)
Sepakan percuma : Kelantan (16)  Perlis (17)
Offsaid : Kelantan (2) Perlis (4)
Kekasaran : Kelantan (15) Perlis (12)
Kad kuning : Perlis (Mohd Faiz Subri)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Perlis (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Ramli Mat Dahan
Penolong Pengadil 1: Nejoy Naking
Penolong Pengadil 2: Khalid Mohd Nor
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Mohd Said
Kommisioner Perlawanan : Abdullah Md Derus
General Kordinator : Arif Hassan

BERSEDIA UNTUK MENANG

Karathu memberi arahan kepada pemain Kelantan sambil diperhatikan Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim dalam sesi latihan di Kota Bharu, petang semalam.
 
KOTA BHARU –  Masih segar dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis tempohari, Kelantan sekali lagi bersedia untuk ‘berpesta gol’ apabila turun bertemu lawan yang sama dalam aksi perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui tiada alasan untuk pasukannya berdepan kesukaran mencatatkan kemenangan ditempat sendiri apatah lagi itu merupakan rekod kemenangan terbesar pasukan kendaliannya terhadap Perlis sejak beberapa tiga tahun lalu.

“Ini merupakan peluang terbaik kita untuk mengutip tiga mata di Kota Bharu. Setelah menang besar di Kangar tempohari, saya tidak nampak mengapa kita perlu bersusah-payah dihadapan penyokong sendiri untuk mencipta kemenangan malam ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Jadi pertemuan ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain Kelantan. Mana-mana pemain yang diturunkan tidak boleh melakukan kesilapan. Saya mahu semua pemain memberikan komitmen terbaik. Dalam bola sepak, apabila kita mempunyai tiga peluang dalam satu masa dan salah satu daripadanya diterjemahkan dengan jaringan gol, itu dikira sudah cukup baik.

“Justeru, saya mahu pemain lebih garang ketika berada dihadapan pintu gol Perlis. Kita mencipta banyak peluang namun dipersiakan. Saya tidak mahu situasi tersebut berulang. Selain kutipan mata, kadang-kala jumlah jaringan gol juga boleh mempengaruhi sesebuah pasukan untuk bergelar juara,” katanya.

Namun begitu, Karathu tetap mengingatkan pemainnya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan besar tempohari sebaliknya perlu berwaspada dengan kekuatan pemain muda pasukan Singa Utara yang dibimbing oleh jurulatih pengalaman, Salim Tofel Mohamad itu.

“Memang kita perlu mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan dan juga memberi tekanan kepada pasukan lawan. Jangan bagi ruang kepada mereka untuk bergerak bebas. Saya fikir gol pertama nanti mampu mengubah rentak permainan kita dalam pertemuan ini.

Ditanya mengenai percaturan taktikal bagi menghadapi Singa Utara malam esok (ini), Karathu berkata beliau sekali lagi bersedia untuk menurunkan barisan yang sama ketika diturunkan dalam aksi di Kangar tempohari

“Semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali S Chanturu sahaja. Keputusan sama ada dia diturunkan atau tidak hanya akan ditentukan pada hari esok (ini). Saya juga sedang memikirkan untuk merehatkan satu dua pemain sekiranya perlu bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor pertengahan minggu depan.

“Kita tengok dulu keadaan macam mana, semuanya bergantung kepada situasi semasa. Penting juga untuk kita merehatkan beberapa pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor yang kita nanti-nantikan selama ini,” katanya.

Thursday, April 21, 2011

AMUKAN PIYA SENGSARAKAN PERLIS


KOTA BHARU – Tirai pusingan pertama saingan Liga Super ditutup penuh bergaya oleh Kelantan apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis dengan kemenangan besar 5-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar malam kelmarin.

Bangkit daripada mempamerkan aksi hambar dalam dua perlawanan lalu, ternyata kejayaan membenam Singa Utara di hadapan penyokong mereka membolehkan The Red Warriors merampas tangga ketiga liga daripada Perak yang gagal mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri setelah sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di Ipoh. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan kemenangan tersebut cukup bermakna bagi pasukannya setelah tenggelam dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Saya cukup berpuas hati dengan prestasi pemain Kelantan dalam perlawanan itu. Sebenarnya kita boleh pulang ke Kota Bharu dengan jumlah jaringan yang besar. Kita mempunyai 10 peluang terbaik namun lima yang tepat menerjah jaring. Walauapapun, yang penting kita perolehi tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Memang kita bertandang ke Kangar dengan misi mencipta kemenangan dan barisan pemain merealisasikan impian tersebut. Dengan menguasai perlawanan, mereka menunjukkan satu kombinasi yang baik diantara pemain dan saya lihat mereka sememangnya memiliki semangat untuk menang dalam perlawanan ini.

“Saya percaya dengan kredibiliti barisan pemain saya. Saya mahu mereka meneruskan aksi sebegini pada pusingan kedua nanti. Ini merupakan kemenangan kedua kita di tempat lawan selepas berjaya menumbangkan Selangor pada perlawanan pembukaan liga awal Januari lalu,” katanya.

Menurutnya, faktor kemenangan dalam perlawanan itu turut dibantu dengan sumbangan berkesan tiga tonggak utama yang kembali berada didalam kesebelasan pemain Kelantan ketika menentang Perlis, malam semalam.

“Kembalinya Norshahrul Idlan (Talaha), Mohd Shakir (Shaari) dan Mohd Daudsu (Jamaluddin) menyaksikan pasukan kita kembali mempamerkan corak permainan yang garang. Saya juga merehatkan Zairul Fitree (Ishak) bagi perlawanan ini dan penggantinya, Subra (S Subramaniam) juga menunjukkan permainan yang bagus. 

Ditanya mengenai prestasi Muhd Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan panggilan Piya dalam perlawanan ini, Karathu menyifatkan Ketua Pasukan Kelantan berusia 29 tahun itu sudah kembali menemui rentak permainannya yang sebenar.

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan dalam pertemuan menentang Perlis, malam semalam.

“Sebelum perlawanan, saya pesan kepada dia, tunjukkan kebolehannya yang sebenar sesuai sebagai seorang jeneral padang. Bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan dan menikmati perlawanan ini sepuas-puasnya dan terbukti dia melakukan tugasan ini dengan baik. 

“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Mohd Badhri (Radzi) dalam perlawanan ini. Dia telah menunjukkan satu peningkatan yang baik selepas direhatkan dalam beberapa perlawanan lalu. Saya berharap dia akan kembali bersemangat meneruskan rentak cemerlang ini dalam perlawanan akan datang,” katanya.

KELANTAN SEDIA BENAM KEDAH

MOHD YUSRI ISMAIL

KOTA BHARU – Skuad Piala Presiden Kelantan mahu menjadikan kemenangan besar 5-1 ‘abangnya’ ke atas Perlis dalam aksi Liga Super sebagai pembakar semangat apabila turun menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar petang ini.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu pada pertengahan Februari lalu, Kelantan berjaya mengalahkan skuad Sang Kenari 2-1 menerusi dua gol hasil jaringan penyerang utama, Mohd Aris Zaidi.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, sekalipun bakal turun khidmat pemain tengah Nicholas Chan Meng-Jin yang digantung satu perlawanan namun itu bukan masalah besar bagi The President Warriors untuk mencipta kemenangan biarpun beraksi di tempat lawan.
“Walaupun kehilangan khidmat Nicholas Chan (Meng-Jin) namun itu tidak menjadi masalah kerana prestasi barisan pemain simpanan kita juga hampir setaraf dengan pemain utama yang lain. Saya percaya, Jurulatih, Zahasmi Ismail dapat melakukan perubahan taktikal dengan baik bagi pertemuan menentang Kedah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 
 Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor (tengah) menjadi sandaran utama di jentera serangan Kelantan pada pertemuan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, petang ini.
“Saya mahu pemain mempamerkan aksi bertenaga sebagaimana kita mengecewakan Sabah 2-1 di Kota Bharu, minggu lalu. Sekiranya pemain beraksi mengikut arahan jurulatih, saya fikir tidak ada sebab untuk kita tidak boleh membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
“Kita tetap menghormati keupayaan pasukan Kedah. Mereka merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai kelebihan kerana beraksi di tempat sendiri. Justeru, saya mengingatkan barisan penggempur diketuai Mohd Norfarhan (Yaakub) dan Mohd Azyu Ikmal (Che Mat Nor) memanfaatkan setiap peluang dengan menjaringkan gol,” katanya.

Tuesday, April 19, 2011

TIGA MATA PENUH JADI IMPIAN

Karathu (tiga,kiri) mahu anak buahnya mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menentang Perlis di Kangar, malam ini.

KOTA BHARU – Setelah hampa untuk mengutip tiga mata penuh ditempat sendiri, Kelantan mahu menjadikan pertemuan menentang Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar malam ini medan untuk pemainnya mengembalikan sokongan peminat setia dengan membawa pulang tiga mata penuh ke Kota Bharu.

Dengan reputasi Kelantan selaku juara Piala Malaysia musim lalu seakan kian tenggelam, kejayaan skuad Singa Utara dibawah bimbingan jurulatih sementara, Salim Tofel Mohamad mengejutkan Negeri Sembilan 3-2 di Kangar tempohari memberi amaran awal kepada Kelantan untuk tidak memandang mudah perlawanan malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui pertemuan menentang pasukan Singa Utara itu cukup penting baginya bukan sahaja bagi mengembalikan sokongan peminat setia tetapi juga mahu menebus maruah pasukan The Red Warriors itu sendiri.

“Biarpun menduduki tangga tercorot, Perlis merupakan sebuah pasukan yang bagus walaupun dibarisi pemain-pemain muda. Kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan membuktikan pasukan itu mampu melakukan kejutan ke atas mana-mana pasukan lain.,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan terakhir Kelantan, pagi semalam.

“Memang kita ke sana dengan misi mencipta kemenangan. Kita tiada pilihan dan pemain memahami tugasan ini. Keupayaan pasukan kita sebenarnya lebih baik daripada mereka namun dengan syarat pemain kita menunjukkan satu persembahan yang bagus dalam perlawanan malam ini bagi mengembalikan maruah pasukan kita.

“Saya sempat melihat aksi pertemuan Perlis menentang Kedah baru-baru ini. Ternyata pemain muda mempamerkan semangat juang yang tinggi dan corak permainan mereka juga cukup pantas. Beraksi ditempat lawan, tentunya kita mempunyai peluang yang terhad dan saya mahu pemain memanfaatkan peluang itu dengan menjaringkan gol,” katanya.

Menurutnya, kegagalan menjaringkan gol dalam pertemuan menentang Sabah tempohari menjadi satu pengajaran yang cukup berguna kepada pemain dan pihak pengurusan untuk bangkit mencipta kemenangan apatah lagi The Red Warriors kini terperosok ditangga keempat saingan liga.

“Kita bermain dengan baik, menguasai perlawanan namun gagal menjaringkan gol. Ramai yang mempertikaikan taktikal yang saya gunakan. Sedangkan taktikal yang kita gunakan ketika menentang Sabah adalah sama ketika kita membelasah KL Felda United FC 6-0 sebelum itu. Tidak wajar untuk saya menukar taktikal kerap kali kerana ianya boleh menganggu persefahaman pemain dalam pasukan ini.

“Pertemuan daripada hati ke hati bersama Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa memberi signifikan bahawa kita harus bekerja lebih kuat daripada sekarang. Terkesan bahawa mental pemain kita lemah dan sikap cepat berpuas hati harus dikikis dengan segera dalam minda mereka

“Kita kehilangan S Chanturu dalam perlawanan malam ini namun saya berharap dapat menggunakan khidmat dia pada perlawanan pusingan kedua Jumaat ini. Mungkin kita akan bermain dengan formasi 4-3-2-1 dengan Norshahrul Idlan (Talaha) bakal dibantu sama ada Danial Fadzly (Abdullah), Muhammad Khalid (Jamlus) ataupun Mohd Nizab (Ayub),” katanya.

MAT YO KETEPIKAN MISI PERIBADI DEMI MARUAH

Norshahrul Idlan (dua,kiri) serius mendengar arahan Karathu dalam sesi latihan terakhir skuad Kelantan di Kota Bharu, pagi semalam. 

KOTA BHARU – Sama ada gelaran penjaring terbanyak atau maruah pasukan yang dicari, penjaring gol terbanyak Kelantan setakat ini, Norshahrul Idlan Talaha akhirnya mengetepikan misi peribadi dengan meletakkan kepentingan maruah pasukan Kelantan sebagai keutamaannya menjelang pertemuan menentang Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam ini.

Justeru, selaku Penolong Ketua Pasukan Kelantan musim ini, Norshahrul Idlan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Mat Yo’ mahu menjadikan pertemuan menentang Perlis di malam ini medan untuk pasukan The Red Warriors mengembalikan sokongan peminat setianya setelah mempamerkan aksi hambar dalam dua perlawanan lalu.

Penyerang kebangsaan kini berkongsi kedudukan dengan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya yang meledak tujuh gol daripada 12 perlawanan sambil diekori rapat penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (enam gol) dan pemain Terengganu, Mohamad Ashaari Shamsudin (lima gol).

Norshahrul Idlan berkata, Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu menumbangkan pasukan bergelar Singa Utara itu untuk kembali memberi tekanan kepada pasukan lain tatkala saingan liga kini semakin mencabar.

“Kita perlu menang dalam perlawanan ini bagi membolehkan kita terus memberi tekanan kepada tiga pasukan yang berada ditangga teratas liga. Untuk itu, amat penting bagi kita mendapatkan gol awal bagi membakar semangat rakan sepasukan yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Saya percaya, rakan-rakan yang lain sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal bagi menghadapi pertemuan dengan Perlis ini. Sebagai seorang penyerang, keutamaan saya adalah untuk pasukan Kelantan. Soal siapa yang menjaringkan gol itu tidak penting, kerana yang lebih diutamakan ialah kemenangan pasukan Kelantan.

“Soal mencari gelaran penjaring terbanyak itu perkara nombor dua dan saya tidak mahu memikirkan lebih serius tentang perkara itu. Insya Allah, saya berjanji akan menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan ini. Tidak beraksi dalam perlawanan lalu (menjalani penggantungan perlawanan), saya percaya tahap kecergasan saya kini lebih baik daripada rakan-rakan yang lain,” katanya.

Menurutnya, memang menjadi impian setiap pemain bergelar penyerang untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan untuk itu beliau mengharapkan kerjasama daripada rakan sepasukan yang lain untuk membantunya merealisasikan hasrat tersebut.

“Saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat membantu saya menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Saya percaya sekiranya kita bermain mengikut arahan dan mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi kita mampu menewaskan Perlis malam ini,” katanya.