Monday, August 30, 2010

40 KELAB SERTAI LIGA ANTARA KELAB


Sebahagian pengurus pasukan dan jurulatih kelab hadir mendengar taklimat dan undian di Wisma Kafa petang semalam.

KOTA BHARU – Sebanyak 40 kelab mengesahkan akan membawa cabaran dalam Kejohanan Liga Antara Kelab anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dijadualkan bermula pada 18 September depan.

Kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Kafa itu menyaksikan pembabitan hampir keseluruhan kelab dibawah naungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) di negeri ini termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Semalam, telah berlangsung satu majlis pengundian peringkat kumpulan dan majlis berbuka puasa bersama wakil pengurusan kelab bersama  JKPT Kafa yang diadakan di Wisma Kafa, Kubang Kerian.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan dalam taklimatnya berkata, 40 kelab terbabit telah diundi kepada 13 pasukan dimana setiap kumpulan terbabit mempunyai tiga pasukan.

“Kafa terpaksa menghadkan penyertaan sebanyak 40 pasukan sahaja. Kita menerima 52 penyertaan sebelum ini, tetapi kita terpaksa menolak penyertaan 12 kelab lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua wakil kelab yang hadir pada majlis pengundian dan taklimat yang disampaikan pada hari ini cukup penting sebagai makluman kepada pasukan yang bertanding.

“Taklimat mengenai aspek pengadilan dan juga syarat-syarat penyertaan cukup penting agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini disamping memastikan kejohanan ini berlangsung dengan lancar,” katanya.

Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah dalam ucapannya berkata, mengucapkan terima kasih kepada semua wakil kelab yang memberikan komitmen yang tinggi untuk menyertai kejohanan itu.

“Memandangkan kejohanan ini merupakan pertama kali dianjurkan, pihak Kafa melihat kejohanan ini sebagai satu perintis kepada penganjuran kejohanan yang sama pada masa akan datang.

“Begitupun, segalanya bergantung kepada sejauh mana kelancaran kejohanan pada tahun ini, dan kita akan menilai secara keseluruhan perjalanan liga tahun ini bagi menambahbaik untuk penganjuran masa depan.

Sementara itu dalam majlis yang sama, pihak Kafa turut mengadakan undian bagi Kejohanan Piala Presiden Kafa yang turut akan berlangsung pada pertengahan bulan depan juga.

K SOLEY SAH MILIK KELANTAN



Aksi lincah bekas pemain pertahanan Perlis, K Soley (kiri) menarik perhatian Kelantan untuk mengikat kontrak pemain ini selama dua tahun.

KOTA BHARU – Segalanya sudah termeterai. Pemburuan hampir dua tahun untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan yang berasal dari Kedah akhir tercapai.  Kini sah Solehin Kanasian Abdullah atau lebih dikenali dengan nama K Soley akan menyarung jersi Kelantan untuk saingan pentas Liga Malaysia musim hadapan.

Biarpun saingan Liga Malaysia musim ini belum berakhir, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak negeri pertama di negara ini memancing pemain luar untuk bermain dengan  Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi, mengesahkan bekas pemain pertahanan Perlis musim ini telah mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan.

“Bulan lalu, beliau telah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan setelah kontraknya bersama pasukan Perlis tamat penghujung bulan Julai lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaubagaimanapun, kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau untuk kempen Piala Malaysia tidak lama lagi memandangkan namanya masih didaftar bersama pasukan Singa Utara musim ini.

Menurut Annuar, bekas pemain Perlis itu dijangka akan datang ke Kota Bharu pada 1 September ini bagi menghadiri satu majlis anjuran pihak KAFA.

“Kelibat beliau akan kelihatan di Kota Bharu pada hari Rabu ini sebelum beliau melapor diri secara rasmi paa pertengahan bulan depan untuk menjalani latihan bersama skuad Kelantan.

“Amat malang kerana kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau dalam kempen Piala Malaysia kali ini memandangkan namanya masih didaftar bersama Perlis sedangkan kontraknya sudah pun tamat sebulan yang lalu.

“Namun begitu pihak Kafa tidak mempunyai perancangan dalam waktu terdekat untuk menggunakan khidmat beliau, cukup dengan barisan pemain sedia ada musim ini bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

Bekas pemain kebangsaan yang berumur 27 tahun itu memulakan kerjaya beliau sebagai pemain bola sepak Kedah dari tahun 2002 sehingga 2007 sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Perlis pada tahun berikutnya.

Sebaliknya, kelincahan pemain pertahanan dan tengah kanan pasukan Perlis itu sudah pun  diintai oleh pihak pengurusan Kelantan sejak tahun lepas lagi tetapi oleh kerana beliau masih lmempunyai kontrak bersama Singa Utara memaksa hajat Kelantan mendapatkan khidmat pemain ini terpaksa dilupakan seketika.

PERANAN ANNUAR TIDAK HARUS DIKETEPIKAN


KOTA BHARU – Rumah siap pahat berbunyi. Begitulah perumpamaan tepat sebaik sahaja pengumuman senarai 19 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010/2014 diumumkan tempohari. 

Perlantikan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dan Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL) mencetus perdebatan hangat bukan sahaja dikalangan peminat bola sepak di negeri ini, malahan kalangan bekas pemain bola sepak dan bloggers sukan juga turut membincangkan isu yang sama.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat berkata, pihaknya nyata cukup kecewa diatas perlantikan Presiden Kafa itu bagi jawatan yang disifatkan tidak cukup mencabar dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu. 

“Kebiasaannya sebagai orang nombor dua tertinggi dalam persatuan, beliau seharusnya diberi tanggungjawab yang lebih berat mengemudi jawatankuasa penting. Tetapi apabila beliau diberi jawatan tersebut (Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita), memperlihatkan kredibiliti beliau seolah dipersendakan.

“Seumpama dalam politik, anda merupakan merupakan orang nombor dua terpenting dalam parti tetapi wajarkah anda diberi jawatan menteri yang kurang menonjol. Itu yang saya nampak. Jawatan itu seharusnya diberikan dikalangan naib-naib presiden yang lain. Bukan Timbalan Presiden yang harus memikul tanggungjawab tersebut.

“Dua Timbalan Presiden harus seiring berganding bahu memikul tanggungjawab mengemudi jawatankuasa yang lebih penting. Setakat memimpin jawatankuasa bola sepak wanita, saya percaya Naib Presiden FAM yang lain mampu menggalas tugas itu.

“Macam Datuk Hamidin Mohd Amin (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan), saya melihat beliau merupakan satu-satunya calon yang paling layak untuk menerajui bidang kuasa tersebut berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh beliau. Jadi perlantikan beliau sememangnya tidak perlu dipertikaikan.

Marhashim berkata, jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL) merupakan satu jawatan yang sesuai disandang oleh Annuar Musa dan peminat bola sepak tempatan menanti perubahan yang bakal dilakukan oleh beliau.

“Saya percaya dengan perubahan yang mampu dilakukan oleh beliau bagi menghidupkan kembali kemeriahan Liga Malaysia bermula musim depan.

“FAM seharusnya membuka mata, gunakan pengalaman dan cetusan idea beliau yang telah berjaya membawa perubahan yang cukup besar dalam bola sepak Kelantan sejak tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Azman Mohd Noor pula mempunyai pandangan yang berbeza didalam hal tersebut. 

“Perlantikan Annuar Musa diharap mampu memberi nafas baru dalam bola sepak wanita. Setelah sekian lama terperosok malahan mempamerkan aksi yang buruk dalam kejohanan Sukan Sea tahun lalu, bola sepak wanita harus digerakkan seiring dengan pasukan bola sepak lelaki kebangsaan. 

“Annuar Musa mempunyai tugas yang cukup sukar untuk menaikkan kembali martabat bola sepak wanita kebangsaan dalam tempoh empat tahun bermula daripada sekarang. Kita berharap beliau mampu menggalas tanggungjawab tersebut berdasarkan pengalaman beliau memimpin Kafa sebelum ini.

“Tentang peranan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa MSL pula, saya melihat ianya satu peluang bagi beliau untuk menarik kembali sokongan penaja dan peminat bola sepak tempatan datang ke stadium sebagaimana yang beliau lakukan di Kelantan. Ini merupakan salah satu agenda utama beliau bagaimana untuk menjenamakan semula Liga Malaysia ke tahap yang lebih kompetitif,” katanya.

Sunday, August 29, 2010

Tak mahu sentuhan berkarat - Sathia


Prestasi semasa pemain Kelantan bakal diuji malam ini setelah berehat panjang hampir tiga minggu

KOTA BHARU – Hanya 45 minit untuk menghapuskan aksi berkarat. Begitulah masa yang diperuntukkan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kepada setiap pemainnya bagi membuktikan keupayaan masing-masing dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab, UiTM FC di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

“Ini merupakan perlawanan pertama untuk para pemain Kelantan setelah lebih daripada tiga minggu berehat panjang. Saya memahami pemain kita mungkin berdepan sedikit masalah menyesuaikan diri dalam situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya mahu pemain berikan yang terbaik dengan masa yang diperuntukkan selama 45 minit itu. Semua pemain tetap diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan itu.

“Setelah berehat panjang, tambahan pula kita baru memulakan latihan insentif kira-kira seminggu lalu, sudah pasti pergerakan fizikal mereka cukup terbatas, disamping faktor kepenatan mengharungi bulan puasa ini,” katanya. 


B SATHIANATHAN

Sathianathan berkata, perlawanan menentang pasukan pendatang baru dalam Liga FAM musim depan itu, penting baginya bagi menilai sejauh mana tahap prestasi semasa pasukan Kelantan bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

“Kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya. Anda lihat kita mempunyai jangka masa yang panjang selama sebulan, hakikatnya itu tidak benar. Kita memulakan latihan pada 20 Ogos lalu dan selepas 7 September depan, saya tidak boleh berbuat apa-apa (mengadakan perlawanan persahabatan) memandangkan sambutan Hari Raya AidilFitri.

“Masuk hari kelima perayaan, tugas berat menanti kita melayan kunjungan juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan di Kota Bharu. Itu yang saya katakan kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya.

Menurut Sathianathan, beliau membayangkan kesebelasan utama pemain yang akan turun menentang Negeri Sembilan itu dapat ditentukan ketika perlawanan persahabatan menentang T-Team di Kuala Terengganu pada 3 September nanti.

“Saya akan tentukan barisan bayangan pemain Kelantan (menentang Negeri Sembilan) pada perlawanan persahabatan menentang kelab dari Terengganu itu nanti. Bermula dari tarikh itu, kita boleh menyusun strategi dan taktikal berkesan memerangkap anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

Sementara itu, Penolong Setiauasaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, peminat bola sepak Kelantan dijemput hadir beramai-ramai hadir menyaksikan perlawanan persahabatan pada malam ini.

“Perlawanan persahabatan ini akan bermula jam 10.30 malam sejurus solat terawikh berakhir. Semua peminat dijemput hadir beramai-ramai dan masuk adalah percuma,” katanya. 



JADUAL PERLAWANAN PERSAHABATAN

KELANTAN lawan UiTM FC
10.30 malam
Malam ini
Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu

T-TEAM lawan KELANTAN
9.30 malam
3 September
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu

KELANTAN lawan FELDA UNITED FC
10.30 malam
5 September
Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu

Wednesday, August 25, 2010

PUAS HATI KECERGASAN PEMAIN - SATHIA

KOTA BHARU – Lulus ujian dengan jayanya. Begitu komen Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan apabila ditanya mengenai tahap kecergasan pemain Kelantan sepanjang hampir tiga minggu tanpa latihan sejurus saingan Liga Super berakhir awal bulan ini.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan tahap kecergasan para pemain Kelantan walaupun hampir tiga minggu tanpa latihan dan pemantauan daripada saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Nampak gayanya semua pemain melakukan ‘kerja rumah’ yang saya berikan dengan baik. Sudah pasti saya gembira kerana mereka tidak duduk diam walaupun berehat panjang tanpa latihan.

“Dalam mengharungi bulan puasa ini, sudah pasti mereka perlu mengekalkan tahap kecergasan kerana saingan kempen Piala Malaysia sebenarnya tidak lama lagi akan bermula.

Sebaik saingan liga berakhir pada 3 Ogos lalu, hampir sebahagian besar pemain Kelantan musim ini berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah sebelum kembali ke tanah air pada 18 Ogos lalu.

Sathianathan berkata, tahap kecergasan bukan sekadar boleh dikekalkan kepada latihan sahaja malahan para pemain perlu didedahkan dengan perlawanan-perlawanan persahabatan.

“Sebab itu saya mengaturkan tiga siri perlawanan persahabatan kepada pemain Kelantan dalam seminggu bermula minggu depan. Jadi, para pemain harus mengambil peluang mengekalkan tahap kecergasan pada perlawanan itu.

Menurut Sathianathan, tidak ada gunanya bagi beliau menjalani latihan harian pada sebelah petang sebelum waktu berbuka puasa kerana para pemain sudah semestinya tidak mempunyai tenaga yang mencukupi menjalani latihan itu.

“Tak masuk akal bagi saya untuk mengarahkan para pemain menjalani latihan pada sebelah petang sepanjang bulan puasa ini. Saya lebih pentingkan kecergasan dan stamina para pemain.

“Sebab itu saya lebih suka memilih latihan pada waktu malam, kita bermula pun sekitar jam 10 atau 11 malam. Para pemain tentunya sudah mendapat tenaga yang cukup dan ‘mood’ pemain juga sudah pasti dalam keadaan ceria menjalani latihan,” katanya.

Skuad Kelantan sudah pun turun menjalani latihan insentif setiap malam bermula 20 Ogos lalu sebaik sahaja para pemain kembali ke tanah air sejurus melakukan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.

TIGA PASUKAN KELAB UJI KELANTAN

KOTA BHARU – Tiga pasukan berstatus kelab mengesahkan akan mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan skuad Kelantan sebagai persiapan menghadapi saingan kempen Piala Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan September nanti.
 
Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau cuba mengatur perlawanan persahabatan sebanyak mungkin dan hasilnya tiga pasukan kelab telah mengesahkan untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad The Red Warriors.
 
“Ketiga-tiga pasukan itu yang dimaksudkan  adalah UiTM FC, T-Team dan juga juara Liga Perdana musim ini, Felda United FC,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Saya difahamkan UiTM FC, juara Kejohanan Liga IPT merupakan pendatang baru dalam Liga Perdana musim depan. Jadi ini merupakan satu peluang yang baik bagi pasukan itu untuk menguji kehebatan pasukan kita.
 
“Kesudian mereka untuk menghadapi perlawanan persahabatan dengan kita amat dihargai. Mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri datang ke Kota Bharu. Kita akan menentang pasukan ini pada 29 Ogos ini. Jadi saya berharap para peminat dapat datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan persahabatan di stadium pada tarikh itu.

Menurut Sathianathan, dua lagi siri perlawanan persahabatan yang akan diharungi ialah menentang T-Team di Kuala Terengganu pada 3 September dan Felda United FC pada 5 September di Kota Bharu.

“Pasukan berstatus kelab, T-Team pernah kita hadapi musim ini dalam saingan Liga Super. Perlawanan pusingan pertama kita menang tipis 1-0 di Kuala Terengganu sementara perlawanan terakhir awal bulan ini kita sekadar seri tanpa jaringan.

“Sementara Felda United FC pula, selaku juara Liga Perdana perlu dihormati reputasinya. Kita pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan ini pada awal musim di Kota Bharu. 

“Sudah pasti peningkatan mendadak pasukan dari Lembah Kelang ini merupakan satu petanda yang positif dalam bola sepak tempatan. Saya fikir perlawanan persahabatan dengan kedua-dua pasukan ini (T-Team dan Felda United FC) merupakan kesempatan terbaik bukan sahaja kepada pasukan kita, bahkan bagi kedua-dua pasukan itu kerana mereka akan berentap di dalam satu kumpulan selain Selangor dan Perlis.

Sementara itu, Sathianathan mengingatkan kepada para pemainnya agar tidak memandang mudah ketiga-tiga perlawanan persahabatan itu.

“Bukan mudah untuk mengatur perlawanan persahabatan sebegini, sementelah kita di dalam bulan puasa ini. Untuk kita keluar (mengadakan perlawanan persahabatan di luar Kelantan) sudah pasti mustahil lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini.

“Jadi saya berharap para pemain saya memanfaatkan peluang bermain perlawanan persahabatan itu disamping kita cuba mengekalkan momentum persembahan yang bertenaga sepanjang tiga perlawanan itu,” katanya.

Wednesday, August 18, 2010

TIADA 'PEMAIN IMPORT' - SATHIA


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Tiada ‘pemain import’!. Demikian kata Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sebagai mengulas persediaan pasukan Kelantan bagi mengadapi kempen Piala Malaysia pada musim ini.

Pada ketika pasukan lain sedang giat memancing pemain dari negeri atau kelab yang tidak beraksi dalam kempen Piala Malaysia, Kelantan memilih pendekatan yang berbeza menghadapi kejohanan paling berprestij di negara ini.

Sebaliknya, beliau akan bersandarkan kepada barisan pemain sedia ada bagi membawa cabaran Kelantan, selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu pada pertandingan musim ini.

“Saya mempunyai 28 pemain yang didaftarkan pada musim ini. Saya akan menggunakan kesemua pemain yang ada kerana saya sememangnya berpuas hati dengan prestasi mereka sepanjang musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saingan dalam kumpulan A Piala Malaysia saya lihat begitu sengit. Kita tidak boleh kata kita mempunyai laluan yang mudah untuk ke suku akhir. Juara musim lalu, Negeri Sembilan dan KL Plus FC juga tetap memasang impian yang sama.

“Negeri Sembilan misalnya, sudah pasti mereka memberi tumpuan penuh dalam pertandingan kalah mati seperti Piala Malaysia dan ini dibuktikan apabila mereka melakukannya dalam kejohanan Piala FA musim ini,” katanya.

Sathianathan berkata, saingan daripada pasukan berstatus kelab iaitu PKNS FC juga tidak boleh dipandang rendah bukan sahaja oleh Kelantan malahan dua pasukan lain.

“Pada awal musim, kita pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab itu. Kita diberi tentang sengit dan dipaksa seri 1-1 dalam perlawanan itu. Sebab itu saya katakan kelab mampu memberi tentangan yang hebat kepada pasukan lain.
Musim ini, Sathianathan hanya mempertaruhkan pemain sedia ada bagi membawa cabaran Kelantan dalam kempen Piala Malaysia.

“Sudah pasti mereka mempunyai semangat yang luar biasa apabila terpaksa berhadapan dengan tiga pasukan daripada Liga Super dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia ini.

“Saya fikir kita harus berada ditahap yang terbaik menghadapi situasi ini sekiranya ingin pergi jauh. Kita perlu ketepikan keputusan lalu, sebagai naib juara liga musim ini kerana ianya sudah menjadi sejarah untuk kita.  

Sathianathan yang baru kembali daripada bercuti sambil melakukan tinjauan suasana bola sepak di Australia berkata, saingan pertandingan Piala Malaysia sentiasa menjanjikan pertembungan yang sengit dan ianya berbeza dengan kejohanan yang lain.

“Piala Malaysia merupakan satu pertandingan yang mencetuskan kelainan dari segi sambutan peminat bola sepak tempatan dan ianya penuh dengan kejutan,” katanya.

Skuad bola sepak Kelantan akan memulakan latihan harian di bulan puasa ini bermula 20 Ogos ini pada jam 11 malam setiap hari di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu.

Sunday, August 15, 2010

Tetap kekalkan kecergasan – Azman


Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri memantau latihan ringan yang dilakukan pemain Kelantan ketika berada di Madinah.

KOTA BHARU – Skuad bola sepak Liga Super Kelantan yang kini berada di Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah tetap bersemangat menjalani latihan ringan bagi mengekalkan kecergasan biarpun mengharungi bulan Ramadan.

Seramai 49 ahli rombongan termasuk 29 pemain dan pegawai pasukan Liga Super musim lalu kini di tanah suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah selama 12 hari.

Antara yang turut menyertai rombongan tersebut ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fattah Mahmood, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah serta ahli majlis Kafa dan juga segelintir peminat bola sepak Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, walaupun rombongan pemain tanpa ditemani Ketua Jurulatih, B Sathianathan, tetapi dua pembantunya Hashim Mustapha dan Sidek Samsuddin diberi tugas memastikan tahap kecergasan pemain berada ditahap terbaik.

“Bulan puasa tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain tidak mengekalkan tahap kecergasan mereka, sebaliknya bulan penuh keberkatan ini juga memberi peluang kepada para pemain untuk mengekalkan tahap kesihatan sebaik mungkin,” katanya menerusi pesanan ringkas daripada laman sosial, Facebook kepada Sinar Harian semalam.

“Walaupun kedatangan kita ke sini adalah untuk mengerjakan ibadah umrah, tetapi pemain harus tahu bahawa mereka perlu melakukan ‘kerja rumah’ seperti mana yang dipesan oleh Sathianathan.

“Mereka harus bersedia daripada sekarang (mengekalkan tahap kecergasan) kerana sebaik sahaja pulang ke Kelantan nanti, mereka akan terus menjalani latihan insentif pada sebelah malam bermula 20 Ogos ini.

Menurut Azman, semua ahli rombongan kini berada keadaan sihat dan tetap bersemangat menjalani ibadah puasa terutama sekali bagi ahli rombongan yang baru pertama kali berpeluang mengerjakan ibadah umrah.

“Pengalaman menjalani ibadah puasa disini (Madinah) merupakan satu pengalaman yang cukup menarik dan tidak boleh dilupakan.

“Esok (hari ini) kami akan bertolak ke Mekah selepas solat Jumaat dan akan berada disana selama lima hari empat malam.

“Kami dijadualkan berlepas pulang pada 18 Ogos ini jam 12 tengah malam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.30 petang keesokkan harinya,” katanya.

Antara beberapa pemain pinjaman musim lalu yang turut menyertai rombongan ini ialah Nazrulerwan Makmor (Felda United FC), Norhisham Hassan (T-Team) selain pemain yang digugurkan musim ini seperti Ahmad Azlan Zainal, Mohd Nafuzi Mahammad Zain, Mohd Saffuan Ibrahim, Mohd Shahrizan Ismail, dan Normizal Ismail.

Umbro lebarkan pasaran di Kelantan


Zailani Hanizam

KOTA BHARU – Selepas diberi hak menjadi penaja utama pasukan bola sepak Kelantan musim ini, Umbro sekali lagi menempa sejarah apabila cuba menembusi pasaran Kelantan melalui pembukaan rasmi kedai barangan sukannya  di Kota Bharu, baru-baru ini.

Kedai barangan sukan jenama Umbro yang pertama seumpamanya di Kelantan, terletak di Jalan Mahmood itu telah dibuka secara rasmi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada 26 Julai lalu.

Wakil Umbro, S Muru berkata, pihak Active Sports Centre selaku pemilik kedai barangan sukan itu melabur hampir RM50,000 bagi membuka cawangannya di negeri ini.

“Kota Bharu merupakan cawangan ketiga kami di negara ini, selepas pertama dibuka di Georgetown dan kedua, Alor Star, Kedah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Barangan sukan jenama Umbro mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak Kelantan memandangkan Umbro merupakan penaja utama kelengkapan pasukan Liga Super Kelantan musim ini.

“75 peratus barangan yang terdapat di kedai kami merupakan barangan Umbro termasuk juga kelengkapan set jersi Liga Super Kelantan yang boleh dibeli terus dikedai kami selain daripada jenama Nike, Adidas, Lotto dan  Puma juga turut dijual dikedai ini.

Menurut Muru, walaupun terdapat jersi tiruan dipasaran tempatan, tetapi peminat Kelantan lebih cenderung untuk mendapatkan barangan yang asli memandangkan kualitinya cukup bagus biarpun harganya sedikit mahal.


Kedai Umbro yang terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu menjadi pusat sehenti bagi barangan sukan jenama Umbro dan Warriors.

“Pihak Umbro dengan kerjasama Kafa bercadang untuk mengeluarkan jersi dengan corak baru pada musim depan, disamping itu dengan bantuan Kafa juga kita akan menaja produk Umbro untuk pemain bola sepak akademik bawah 12 dan 14 tahun pada masa akan datang.

Sementara itu, pengurus cawangan, Zailani Hanizam Ishak berkata, pihaknya akan mengadakan promosi jualan sempena bulan Ramadan ini bermula 15 Ogos sehingga 9 September depan.

“Pihak kami akan mengadakan promosi jualan di perkarangan kedai bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari bermula tarikh itu dengan menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih.

“Selain itu, kita juga turut menawarkan barangan terbaru dengan harga istimewa selain daripada barangan Warriors yang turut dijual dikedai ini.

Menurut Zailani Hanizam, pihaknya juga turut membuka tempahan bagi mana-mana pasukan yang bercadang membuat tempahan set jersi pasukan di kedainya.

Bagi mana-mana individu atau pasukan bola sepak yang berminat untuk membuat tempahan itu, boleh mengunjungi kedai tersebut atau menghubungi talian 09 – 747 7192 atau 012 – 407 7765.

Sunday, August 8, 2010

PEMAIN TERUJA TUNAI UMRAH



Abdul Fattah Mahmood bersama sebahagian pemain Kelantan mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluarga sebelum berlepas ke ibu negara dan menyambung penerbangan ke Jeddah malam tadi


KOTA BHARU – Rombongan pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan selamat berlepas ke Jeddah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang malam tadi bagi mengerjakan ibadah umrah selama 12 hari.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood mengetuai barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, petang semalam.

Kalangan pemain-pemain Kelantan yang ditemui semalam menyifatkan pengalaman mengerjakan ibadah umrah merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan dalam usia yang muda.

Pemain pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak berkata, beliau begitu teruja kerana buat pertama kali berpeluang mengerjakan ibadah umrah ini.

Zairul Fitree Ishak

‘'Perasaan sudah tentu gembira bercampur teruja. Pada usia yang muda sebegini, kesempatan diberi peluang mengerjakan ibadah umrah tidak harus dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Ini merupakan hadiah paling istimewa yang pernah saya terima. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menghadiahkan pakej umrah kepada pemain Kelantan diatas kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Pada masa yang sama, saya tetap berdoa semoga pasukan Kelantan akan terus mantap dan semoga kita berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Liga Super Kelantan, Mohd Hashim Mustapha berkata, ini merupakan kali kedua beliau berpeluang mengerjakan ibadat umrah.

Mohd Hashim Mustapha

“Pertama kali mengerjakan ibadah umrah pada tahun 1996, ketika mewakili Kedah saya menjalani latihan selama dua minggu di Qatar, kemudian terus mengerjakan ibadah umrah selepas itu.

“Ini merupakan kali kedua, dan sudah pasti gembira kerana berpeluang bersama-sama pemain Kelantan mengerjakan ibadah kali ini.

“Mungkin disana (Kaherah), kita berpeluang berjumpa dengan salah sebuah kelab bola sepak terkemuka dalam liga disana. Saya fikir peluang sebegini merupakan serampang dua mata yang tidak boleh kita sia-siakan.

Menurut Mohd Hashim, beliau akan mendoakan mudah-mudahan pasukan Kelantan meraih kejayaan menjuarai Piala Malaysia musim ini setelah sudah tiga kali berturut-turut bergelar naib juara dalam tiga kejohanan berbeza  dalam tempoh dua ini.

Kelantan, Negeri Sembilan diundi satu kumpulan


Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunjukkan nama negeri yang bertanding dalam undian Piala Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

KELANA JAYA – Dua finalis Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dan Kelantan bakal berentap lebih awal apabila diundi dalam satu kumpulan dalam kempen TM Piala Malaysia musim ini.

Majlis pengundian TM Piala Malaysia 2010 telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Negeri Sembilan, juara Piala Malaysia musim lalu menghadapi cabaran getir apabila bukan sahaja terpaksa menghadapi seterunya, Kelantan malahan bakal mendapat tentangan sengit daripada KL Plus FC dan juga pasukan ketiga terbaik Liga Perdana musim ini, PKNS FC yang diletakkan dalam kumpulan A.

Kelantan dilihat pasukan pilihan pilihan untuk mejuarai kumpulan ini, namun Negeri Sembilan, pasukan yang dua kali tewas ditangan Kelantan musim ini pasti menyedari saingan Piala Malaysia amat berbeza dengan Liga Super.

Cabaran KL Plus FC dan PKNS FC yang dibimbing oleh Abdul Rahman Ibrahim juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja. KL Plus FC bangkit untuk menduduki tangga pertengahan liga setelah mengalami kemerosotan diawal musim, manakala PKNS FC tetap memasang impian dalam kempen ini biarpun hajat untuk layak ke Liga Super musim depan dinafikan oleh Sabah disaat-saat terakhir.

Sementara itu, dua pasukan Pantai Timur, Terengganu dan Pahang diundi dalam kumpulan B bersama dengan Kuala Lumpur dan juga pendatang baru Liga Super musim depan, Sabah.

Diatas kertas, Terengganu sedikit berkelebihan apabila muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super musim ini, sementara pencapaian sederhana Pahang dan Kuala Lumpur juga tidak boleh diketepikan. Saingan daripada pasukan Sabah, yang kembali ke kancah Liga Super musim depan juga tidak boleh dinafikan setelah muncul naib juara Liga Perdana musim ini dibelakang Felda United FC.

Dalam kumpulan C, Kedah dan Johor FC mungkin dilihat pasukan pilihan ke peringkat suku akhir andai prestasi mereka dalam saingan liga musim ini dijadikan ukuran. Begitu pun, barisan pemain muda Perak juga boleh mencipta kejutan sekiranya dipandang rendah.

Satu lagi pasukan, ATM turut berada didalam kumpulan ini yang menyaksikan kekuatan  pasukan ini pasti menjadi persoalan  ketiga-tiga pasukan yang lain.

Pertembungan paling menarik berlaku dalam undian kumpulan D. Kehebatan Juara Liga Super musim ini, Selangor bakal teruji apabila diundi bersama dengan Juara Liga Perdana, Felda United FC. Dua lagi pasukan dalam kumpulan ini, Perlis dan pasukan berstatus kelab, T-Team juga tetap memasang impian untuk mencipta kejutan layak ke peringkat suku akhir.

Undian yang disifatkan lebih adil dan terbuka ini sudah pasti menjanjikan saingan dan kehangatan yang berbeza dalam kejohanan bola sepak yang disifatkan paling berprestij di negara ini.

Pada majlis semalam juga, Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan, turut diumumkan sebagai General KoordinatorTerbaik TM Liga Malaysia musim ini.

Saturday, August 7, 2010

PEMAIN KELANTAN TUNAI UMRAH


YB Abdul Fattah Mahmood

BHARU – Seramai 24 pemain Liga Super Kelantan yang diangkat sebagai wira musim lalu, akan berangkat ke tanah suci Mekah malam esok bagi melakukan ibadah umrah selama 12 hari

Pakej mengerjakan ibadah umrah itu merupakan hadiah oleh Kerajaan Negeri Kelantan, di atas kejayaan pasukan Kelantan berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu setelah kali berbuat demikian 39 tahun lalu.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana meghadiahkan pakej mengerjakan ibadah umrah kepada pemain dan pegawai pasukan Kelantan itu.  

“Seramai 49 ahli rombongan termasuk 29 pemain dan pegawai pasukan Liga Super Kelantan musim lalu akan berlepas ke Kaherah, Mesir menggunakan pesawat Egypt Air  malam esok,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Rombongan akan berada di Kaherah selama tiga hari dua malam. Disana, rombongan berkesempatan mengadakan pertemuan dengan salah sebuah kelab bola sepak terkenal dalam liga negara itu.

“Kemudian, rombongan akan bertolak ke Jeddah dan kemudian ke Madinah. Mereka akan berada di sana  Mereka akan menyambut hari pertama Ramadhan di Madinah,” katanya. selama empat hari tiga malam.
                                                                                  
Menurut Mohamad Noordin, rombongan akan bertolak ke Mekah pada 13 Ogos dan berada disana selama lima hari empat malam. Mereka dijadualkan berlepas pulang pada 18 Ogos ini jam 12 tengah malam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.15 petang keesokkan harinya.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood antara beberapa individu yang akan menyertai rombongan mengerjakan ibadah umrah itu. 

Tan Sri Annuar Musa

Difahamkan lima tonggak utama musim lalu memilih untuk tidak menyertai rombongan ini atas sebab-sebab peribadi.

Thursday, August 5, 2010

KURANG MOTIVASI PUNCA SERI - SATHIA


Kemaraan Indra Putra Mahayuddin cuba dihalang oleh Subri Sulong dan Harizul Izuan Abd Rani dalam perlawanan menentang T-Team malam kelmarin

KOTA BHARU – Kelantan sekadar menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan aksi hambar setelah seri tanpa jaringan dengan pasukan berstatus kelab, T-Team pada perlawanan malam semalam.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, faktor kurangnya motivasi dalam diri pemain merupakan penyebab utama mengapa pasukan Kelantan sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan malam semalam.

“Saya akui, perlawanan malam semalam cukup sukar bagi anak-anak buah saya. Mereka sudah tahu kedudukan kita tidak akan berubah walaupun kita menang atau kalah dalam perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

“Faktor kurangnya motivasi itulah menjadi penyebab utama  para pemain Kelantan gagal memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki dalam perlawanan itu.

“Sudah pasti saya mengharapkan sesuatu kelainan, mereka harus membuktikan sesuatu dan tunjukkan kemampuan yang sebenar dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, B Sathianathan melemparkan pujian kepada semua pemainnya yang telah mempamerkan aksi konsisten sepanjang mengharungi saingan liga musim ini.

“Seperti saya katakan sebelum ini, tahun lalu kita berada di tempat keenam keseluruhan dan musim ini kita muncul sebagai naib juara. Ini satu pencapaian yang menakjubkan dalam tempoh yang singkat.

“Secara keseluruhannya saya memang berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan mereka sepanjang musim ini. Walaupun diawal musim kita sentiasa dikritik hebat, tetapi akhirnya pasukan kita telah membuktikan sesuatu yang boleh dibanggakan kita semua,” katanya.

Kelantan muncul naib juara Liga Super musim ini setelah berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 59 mata, sementara Selangor terus gah mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu dengan mengutip 63 mata.
                                                                                                          
Sementara itu, satu lagi pasukan Pantai Timur, Terengganu menduduki tangga ketiga setelah meraih 50 mata menyisihkan kelab dari selatan tanah air, Johor FC dengan perbezaan tujuh mata.

Kejayaan Kelantan meraih gelaran naib juara membolehkannya meraih wang tunai RM300,000 sementara Selangor (RM500,000) dan Terengganu (RM200,000).

TIDAK PERLU LETAK JAWATAN - ANNUAR


Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menganggap cadangan supaya anggota jawatankuasa FAM yang terpilih pada pemilihan kongres tahunan minggu lalu melepaskan jawatan diperingkat negeri sebagai tidak praktikal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan yang dikemukakan oleh bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dalam akhbar kelmarin.

“Saya fikir polemik sebegini (melepaskan jawatan) merupakan satu perkara yang tidak penting. Kita perlu merujuk kembali kepada peraturan-peraturan sedia ada dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja bakal kita lakukan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Saya fikir lebih baik banyak polemik kepada soal-soal bagaimana hendak memperbaiki kedudukan Malaysia dalam senarai Fifa. Itu yang perlu kita fikirkan dan merupakan satu cabaran yang besar bagi kita.

“Kita juga perlu memikirkan bagaimana mahu memastikan Liga Malaysia pada musim hadapan tampil dengan wajah baru. Kita juga mesti menyelesaikan masalah berkenaan status skuad Harimau Muda sama ada perlu pergi ke luar negara (Slovakia atau Korea) atau tidak. Semua ini memerlukan kita membuat keputusan dengan cepat,” katanya.

Annuar berkata, FAM mempunyai banyak tugas-tugas yang berjalan secara berterusan sepanjang musim ini seperti Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Sementara itu, Annuar turut mengakui mutu bola sepak negara mula mendapat perhatian dan mendapat publisiti yang begitu meluaskan sejak akhir-akhir ini.

“Saya fikir masa untuk bergembira selepas pemilihan (kongres tahunan lalu) sudah pun berakhir dan masa bekerja secara serius harus bermula daripada sekarang

“Kerja mengendalikan bola sepak Malaysia bukan satu perkara yang mudah. Ianya tidak sama seperti mengendalikan persatuan bola sepak negeri yang sangat berbeza, terutama sekali dalam merangka program pembangunan, bagaimana untuk mengubah mutu penganjuran liga tempatan dan juga penyertaan daripada pihak swasta.

“Saya selalu tekankan, terdapat empat segmen yang perlu kita ambil perhatian iaitu pihak FAM, pihak kerajaan, pihak swasta dan juga peminat-peminat bola sepak. Saya harap pihak media dapat menitikberat tentang empat perkara yang saya sebutkan itu.

“Ini merupakan satu cabaran besar kepada bola sepak negara. Kita (FAM) belum berkesempatan lagi mengadakan mesyuarat. Jadi saya minta kepada semua peminat-peminat bola sepak memberi ruang dan masa kepada kita di FAM,” katanya.