Saturday, June 25, 2011

KELANTAN BAWA BEKALAN SELESA

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi menentang Johor dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden, malam tadi.

KELANTAN 2
Mohd Farhan Yaakub (m-69)
Mohamad Zamri Ramli (m-77)

JOHOR  0

KOTA BHARU – Kelantan membawa bekalan selesa bertandang ke Johor Bahru pada 30 Jun ini setelah mengalahkan Johor 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.  

Walaubagaimanapun kebangkitan lewat menerusi dua gol pada penghujung babak kedua berjaya memadamkan keresahan hampir 3,000 penyokong setia Kelantan yang sedikit kecewa disebalik deretan peluang terhidang yang gagal dimanfaatkan barisan pemain Kelantan terutamanya pada separuh masa pertama.

Seawal minit kelapan pintu gol Johor diuji menerusi sepakan percuma Mohd Khairul Izuan Rosli yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Mohd Amaro Shafiq.


Selang dua minit kemudian, giliran pemain bek kanan, Mohamad Zamri Ramli pula menduga kehebatan penjaga gol Johor namun rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Mohd Amaro.

Pada m-16, Kelantan hampir memperolehi gol pertamanya menerusi percubaan penyerang, Muhd Akid Ramli namun rembatannya sekadar menggegar jaring sisi sebelah kanan pintu gol Johor.

Berselang tiga minit kemudian, pintu gol Johor sekali lagi cemas apabila hantaran lintang Mohamad Zamri ke dalam kotak penalti mencetuskan situasi kelam-kabut namun rembatan susulan Muhd Akid pula tersasar disebelah kanan pintu gol.

Disebalik penguasaan sepenuhnya pasukan Kelantan pada babak pertama, penyerang Johor, Yuhendri Rusdi sempat melakukan rembatan ke pintu gol Kelantan namun sedikit tersasar disebelah kanan.

Pada m-37, penyerang sensasi Kelantan, Mohamad Aris Zaidi terlepas peluang terbaiknya untuk meletakkan The President Warriors dihadapan apabila rembatannya didalam kotak penalti sedikit melewati pintu gol Johor.

Kegagalan jentera serangan Kelantan memanfaatkan peluang terhidang sekali lagi terserlah apabila rembatan Mohd Norshahrul Hawari Ibrahim terus ke dakapan Mohd Amaro hasil keadaan kelam-kabut didepan pintu gol Johor pada m-40 perlawanan.


Bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan turut mempunyai dua peluang terbaik pada m-41 namun rembatannya tersasar sementara percubaannya tiga minit kemudian pula mudah diselamatkan Mohd Amaro.

Minit-minit akhir babak pertama, penyerang Johor, Yuhendri sekali lagi mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan namun diselamatkan penjaga gol Kelantan, Mohd Syazwan Yusoff.

Bersambung babak kedua, jelas penguasaan milik Kelantan sepenuhnya namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Mohamad Aris ternyata mengundang keresahan penyokong setia Kelantan.

Dua peluang terbaik hadir pada m-61 menerusi rembatan kencang Mohd Norshahrul Hawari yang menyaksikan penjaga gol Johor, Mohd Amaro terpaksa melayangkan badan menepis keluar percubaan tersebut sementara sepakan gunting Mohd Aris seminit kemudian pula tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat.

Begitupun, pemain gantian, Mohd Farhan Yaakub memecahkan kebuntuan apabila menanduk masuk gol pertama Kelantan setelah menyambut baik hantaran lintang Mohamad Aris pada m-69.

Dua minit kemudian, Johor kembali melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan namun rembatan Yuhendri didalam kotak penalti hanya beberapa meter tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Malah tiga minit kemudian, penyerang Johor, Muhd Rafef Raya turut terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila rembatannya diselamatkan Mohd Syazwan biarpun hanya berhadapan dengan penjaga gol Kelantan itu.

Pada m-77, Mohamad Zamri terus mengukuhkan kedudukan apabila sepakan leretnya terkena tiang gol dan melantun masuk untuk gol kedua Kelantan.

Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan Kelantan apabila rembatan kencangnya pada m-82 ditepis keluar Mohd Amaro untuk memastikan kelebihan dua gol kekal milik Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Mohd Syazwan Yusoff, Faizol Nazlin Sayuti, Mohamad Zamri Ramli, Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim, Tuan Norhafiziee Tuan Mahmood, Muhd Norhamizi Haron (Mohd Zabeel Mat Nor), Mohd Khairul Izuan Rosli, Nicholas Chan Meng-Jin, Mohd Norshahrul Hawari Ibrahim (Mohd Azyu Ikmal Che Mohd Nor), Muhd Akid Ramli (Mohd Farhan Yaakub) dan Mohamad Aris Zaidi.

FORMASI : 4-4-2

JOHOR : Mohd Amaro Shafiq (KP), Muhd Fazly Mazlan, Muhd Sabri Zainuddin (Mohd Riduan), Muhd Alif Haiqal, Yuhendri Rusdi, Muhd Nazri Md Yusoff, Mohd Shafiq Abd Ghani (Che Ismail), Afendy Shamsuddin, Muhd Rafef Raya, Mohd Saifulazmi Zulkifli (Muhd Afiq Mohd Amin), dan Mohd Nurfitah Mohd Shah.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (7) Johor  (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (13) Johor (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (9) Johor (1)
Sepakan percuma : Kelantan (8) Johor (12)
Offsaid : Kelantan (2) Johor (0)
Kekasaran : Kelantan (9) Johor (7)
Kad kuning : Kelantan (Mohamad Aris Zaidi) Johor (Mohd Riduan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Johor (40%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohamad Romzi Zahari
Penolong Pengadil 1: Abd Halim Mohd Ramlan
Penolong Pengadil 2: Mohd Erwan Othman
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Nor
Komsissioner Perlawanan : Mat Lazim Awang Hamat
General Kordinator : Arif Hassan

Thursday, June 23, 2011

ZAHASMI SUKAR PILIH PEMAIN

Zahasmi Ismail 

KOTA BHARU – “Sukar pilih pemain’. Demikian luahan Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Kelantan, Zahasmi Ismail tatkala melihat persaingan sengit 24 pemainnya bagi merebut tempat didalam kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi Johor dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

“Saya tidak boleh kata pemain itu bagus, pemain ini kurang kerana rata-rata pemain mempunyai keupayaan yang seimbang. Ianya merupakan sesuatu yang sukar bagi saya dalam memilih pemain namun itu merupakan satu perkembangan yang sihat bagi sesebuah pasukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus mengendalikan sesi latihan, semalam.

“Mereka kini bersaing hebat diantara satu sama lain bagi merebut tempat. Tidak ada jaminan tempat bagi mereka sekalipun pernah berada didalam kesebelasan pasukan sebelum ini. Hanya mereka yang menunjukkan komitmen terbaik dalam latihan bakal tersenarai.

“Malah pemain sendiri mengakui mereka berasa terancam dengan posisi masing-masing. Saya lihat perkara ini merupakan satu persaingan yang sihat dan bakal menyemarakkan semangat setiap pemain untuk merebut tempat didalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.

Menurutnya, pertemuan menentang Johor tidak semudah yang disangkakan apatah lagi kekuatan pasukan dari negeri selatan tanah air itu tidak banyak diketahui memandangkan pasukan tersebut beraksi dalam kumpulan berbeza musim ini.

“Namun kita harus waspada kerana berdasarkan rekod carta liga, pasukan ini menjaringkan gol yang banyak. Ini bererti keupayaan pasukan ini terutamanya kehebatan pemain penyerang tidak boleh dipandang mudah oleh barisan pertahanan kita.

“Saya percaya dengan persiapan yang kita lakukan sejak 14 Jun lalu, kita mampu mengatasi halangan pertama ini. Kecuali Mohd Faiz (Suhaimi), semua pemain lain bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan. Ini menggembirakan saya.

“Walauapapun, saya mengingatkan kepada semua pemain memanfaatkan kelebihan beraksi digelanggang sendiri bagi membolehkan kita mendapatkan seberapa banyak gol sebagai bekalan selesa sebelum bertandang ke Johor Bahru pada 30 Jun nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahasmi turut menyambut baik kehadiran pemain Liga Super, Mohd Izuan Salahuddin ke dalam pasukannya yang diharap dapat menyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang lain apabila bertemu Johor nanti.

IZUAN KEMBALI PERKUATKAN PASUKAN

Mohd Izuan Salahuddin

KOTA BHARU – Pemain Liga Super, Mohd Izuan Salahuddin dipanggil bagi memperkuatkan kembali skuad Piala Presiden Kelantan menghadapi pertemuan suku akhir pertama menentang Johor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Mohd Izuan, 20 tahun ketika dihubungi berkata, beliau kini begitu bersemangat untuk membantu skuad yang terkenal dengan jolokan ‘The President Warriors’ untuk memburu kemenangan dalam saingan suku akhir pertama ini.

“Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu memberi pelepasan kepada saya bagi membolehkan saya kembali membantu skuad ini. Peluang ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin bagi membantu pasukan mencipta kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Insya Allah, dengan pengalaman yang ada beraksi bersama pasukan Liga Super Kelantan sebelum ini, saya berharap dapat menyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang lain. Lagipun sudah lama kita tidak layak ke saingan suku akhir dan musim ini merupakan peluang terbaik bagi kita untuk melakar sejarah baru.

“Dari segi keserasian, saya percaya tidak menghadapi sebarang masalah dengan rakan sepasukan yang lain. Walaupun sudah lama tidak bersama pasukan ini tetapi saya masih memahami corak permainan rakan yang lain.,” katanya.

Menurutnya, soal sama ada beliau disenaraikan atau tidak semuanya bergantung kepada penilaian jurulatih memandangkan hanya kembali menjalani latihan bersama pasukan pada hari ini.

“Segalanya terserah kepada jurulatih sama ada saya diturunkan atau tidak. Namun dari segi mental dan fizikal saya kini sudah bersedia sepenuhnya. Dan saya percaya rakan-rakan yang lain juga begitu bersemangat untuk menghadapi perlawanan ini.

“Begitupun, saya mengharapkan sokongan peminat bola sepak tempatan dapat hadir beramai-ramai memberi sokongan malam esok. Skuad ini memerlukan sokongan peminat dan saya percaya kita berada dilandasan yang tepat untuk mencipta kejayaan pada musim ini,” katanya.

Sehingga kini, Mohd Izuan telah menjaringkan tiga gol bersama skuad Liga Super Kelantan dengan penampilan pertama beliau ternyata membanggakan apabila menjaringkan salah satu gol ketika Kelantan mengalahkan KL Felda United FC 6-0 pada 9 April lalu.

KAFA ANJUR KURSUS LESEN C

MOHAMAD NOORDIN AWANG

KOTA BHARUPersatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Lesen Kelas C selama dua minggu pada bulan September nanti.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, kursus yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu akan bermula pada 10 dan berakhir pada 24 September depan.

 “Syarat penyertaan ialah terbuka kepada bekas pemain negeri yang pernah beraksi samada dalam pertandingan Liga Super atau Liga Perdana dan selain mempunyai Pra Lesen C sebelum ini. Selain itu, mereka mestilah berumur dibawah 35 tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Ini merupakan kali pertama pada tahun ini kita menganjurkan kursus sedemikian rupa. Saya berharap bekas pemain negeri ini mengambil peluang tersedia ini bagi mengembangkan bakat dalam bidang kejurulatihan bola sepak.

“Yuran penyertaan sebanyak RM400 dikenakan kepada setiap peserta. Mereka perlu mengemukakan wang pendahuluan RM200, dua keping gambar berukuran pasport, selain salinan sijil Lesen Pra C dan melengkapkan borang permohonan,” katanya.

Menurutnya, tarikh tutup permohonan ialah sebelum 30 Jun ini dan bagi yang berminat untuk menyertai kursus ini boleh mendapatkan borang atau menghubungi pejabat Kafa ditalian 09 – 766 6360 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Wednesday, June 22, 2011

Kafa sedia 2,000 tiket percuma

Othman Zakaria

KOTA BHARUPersatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada pelajar-pelajar sekolah di sekitar Kota Bharu yang mahu menyaksikan perlawanan suku akhir pertama, pertemuan Kelantan menentang Johor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Jumaat ini.

Naib Presiden Kafa merangkap Pengurus Pasukan, Datuk Othman Zakaria berkata, sebagai salah satu usaha menggalakkan pelajar sekolah terlibat didalam bidang sukan, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengagihkan tiket tersebut kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri ini.

“Selain memberi sokongan kepada pasukan Kelantan, saya percaya usaha seperti ini mampu merangsangkan minat pelajar sekolah untuk terlibat dalam sukan bola sepak dengan lebih serius,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pasukan di Kota Bharu, semalam.

“Bagi pelajar yang berminat untuk menyaksikan perlawanan ini boleh mengemukakan nama mereka kepada pihak sekolah masing-masing untuk dimajukan kepada pihak Kafa dengan seberapa segera.

“Kita mahu para peminat hadir beramai-ramai di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan skuad Piala Presiden Kelantan. Malah kumpulan gendang kelab penyokong dan Ultras Kelantan juga akan turut sama memberikan sokongan kepada pemain kita,” katanya.  

Sementara itu, Othman turut optimis pasukan yang terkenal dengan jolokan The President Warriors itu mampu melakarkan sejarah mara ke perlawanan akhir berdasarkan rekod cemerlangnya muncul juara kumpulan sebelum ini.  

“Setelah sekian lama tercicir dalam saingan peringkat suku akhir, pada tahun ini kita berjaya menempatkan kembali dalam kelompok lapan pasukan terbaik. Saya yakin pasukan kita mampu mengatasi Johor dan mara ke peringkat separuh akhir.

“Malah sekiranya kita berjaya mara ke perlawanan akhir, saya menjangkakan perlawanan tersebut dapat diadakan di Kota Bharu nanti berdasarkan rekod penyokong kita yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung disini.

Othman (dua,kiri) mempengerusikan mesyuarat khas pihak pengurusan Piala Presiden Kelantan di Kota Bharu, semalam. 

“Saya menaruh keyakinan yang tinggi dengan reputasi yang tunjukkan oleh para pemain muda ketika ini, hasrat kita untuk mara ke perlawanan akhir dan seterusnya muncul juara mungkin menjadi kenyataan,” katanya.

Skuad kendalian bekas pemain negeri, Zahasmi Ismail kini giat menjalani latihan insentif di Padang Mardi, Pasir Tumbuh setiap hari sebagai persediaan menghadapi Johor pada Jumaat ini.

Sementara itu, tiket-tiket bagi tempat duduk terbuka berharga RM5 dan astaka (RM10) akan mula dijual pada hari perlawanan Kelantan menentang Johor pada Jumaat ini.

PM bersama TRW 2 Julai ini

Mohamad Noordin Awang

KOTA BHARU – Sejarah sekali lagi tercipta apabila buat pertama kalinya Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan menemui pemain The Red Warriors termasuk pemain skuad Piala Presiden Kelantan dalam satu majlis ‘PM Bersama TRW’ pada 2 Julai ini.

Mohd Najib yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan bukan sahaja akan bertemu dengan barisan pemain bola sepak Kelantan, malah akan melancarkan secara rasmi Akademi Al-Hamra Red Warrior (ARMY) pada satu majlis yang akan berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Machang Satu, Machang. 

Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Mohamad Noordin Awang berkata, walaupun Perdana Menteri mempunyai aturcara yang padat ketika melawat negeri ini, namun beliau tetap meluangkan masa untuk bersama pemain dan peminat bola sepak Kelantan.

“Ini merupakan satu pengiktirafan yang cukup bermakna buat sahaja kepada pihak Kafa malah rakyat negeri ini khususnya penyokong bola sepak TRW,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jawatankuasa di Kota Bharu, semalam.

“Untuk itu, pelbagai aktiviti akan diaturkan bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri itu. Selain dijangka hampir seribu penyokong dijangka berkonvoi ke tempat program itu, kita juga akan mendapatkan kerjasama daripada Kelab Motosikal Klasik Kelantan, Kelab Pemilik Perodua Viva dan Kelbikes Club menjayakan aktiviti berkonvoi itu.

Mohamad Noordin (tiga,kanan) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Kafa di Kota Bharu, semalam. 

“Selain itu, gerai-gerai pameran termasuk produk Warriors juga akan dijual diadakan pada hari tersebut. Malah 1,000 tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa Kelantan menentang kelab Pelita Jaya (Indonesia) akan diberikan secara percuma kepada pengunjung bertuah,” katanya.

Menurutnya, sempena sambutan bulan Ramadhan pada awal Ogos nanri, pihak Kafa juga akan mengagihkan hampir 5,000 imsakiyat Ramadhan kepada orang ramai yang menghadiri program ini.

“Para pengunjung juga berpeluang untuk mengenali bekas-bekas pemain bola sepak negeri ini daripada era 60’an hingga 90’an yang turut hadir ke majlis ini. Selain itu, peminat juga berpeluang untuk mendapatkan tandatangan dan bergambar dengan pemain bola sepak Kelantan.

“Kemuncak aturcara Perdana Menteri dalam majlis ini ialah beliau akan melancarkan secara rasmi ARMY yang pertama seumpamanya diwujudkan oleh persatuan bola sepak negeri di negara ini.

“Kita menjangkakan hampir 20,000 orang dijangka hadir ke program ini. Saya percaya dengan kehangatan bola sepak Kelantan sekarang terutamanya dalam pemburuan kejuaraan Liga Super, ramai peminat akan hadir ke program tersebut,” katanya.

Wednesday, June 8, 2011

PENYOKONG PAMER DISIPLIN TERBAIK

YAHYA JAMADA ALI 

KOTA BHARU – Tiada lagi insiden buruk berlaku. Begitulah senario yang dapat dilihat oleh kedua-dua penyokong Terengganu dan Kelantan ketika memberi sokongan kepada pasukan masing-masing pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong Induk Bola Sepak Kelantan, Yahya Jamada Ali berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak anggota keselamatan khususnya Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang memberikan kerjasama terbaik bagi memastikan langkah keselamatan berada ditahap maksimum dalam perlawanan tersebut.

“Saya bagi pihak kelab penyokong ingin mengucapkan terima kasih kepada hampir 1,500 penyokong setia Kelantan yang menunjukkan disiplin terbaik selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa semasa menyaksikan perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Saya berharap semangat kesukanan yang tinggi ini diteruskan apabila kita sekali lagi bersama-sama penyokong Terengganu berkampung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini. Sebagai peminat kita akan berusaha menjaga nama baik negeri ini dan sentiasa berdiri teguh dibelakang pasukan Kelantan.

“Malah saya juga mahu merakamkan penghargaan kepada Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) yang memberikan kerjasama terbaik kepada penyokong Kelantan. Kita sempat bertukar-tukar cenderahati dengan Timbalan Pengerusi kelabnya, Datuk Mohd Hazlan Ismail dan semoga hubungan erat ini akan terus berkekalan,” katanya.

Menurut Yahya Jamada, walaupun dalam bola sepak, Kelantan dan Terengganu sentiasa dianggap sebagai musuh tradisi diantara satu sama lain, namun hakikat sebenarnya hubungan baik diantara kedua-dua penduduk negeri ini tidak dapat dipisahkan apabila banyak berkongsi perkara yang sama termasuk rutin kehidupan seharian.

SHARBINEE PUNCA GAWANG BOLOS

IRFAN BAKTI ABU SALIM

KUALA TERENGGANU – Kesilapan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang melepaskan dua gol mudah menjadi punca pasukannya tersungkur 0-3 kepada Kelantan dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau jarang meletakkan kesalahan ke atas pemain secara individu namun apa yang dilakukan Mohd Sharbinee Allawee tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan sepenting itu. 

“Selaku penjaga gol berstatus kebangsaan, dia tidak seharusnya melakukan kesilapan seperti itu. Tindakan beliau meninggalkan gawang gol terlalu jauh akhirnya memberi peluang kepada pemain pasukan lawan menjaringkan gol dalam perlawanan itu,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Tindakannya melepaskan gol kedua pada m-73 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha akhirnya membunuh semangat juang barisan pemain Terengganu. Selain itu, pemain kita juga sentiasa terperangkap dengan serangan balas pantas sekali gus membuka ruang kepada pemain Kelantan untuk menguasai bola.

“Kedua-dua pemain sayap yang diturunkan juga gagal berfungsi dengan baik dan ini tentunya menyukarkan kita melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan melalui posisi tersebut. Ketiadaan Mohamad Ashaari (Samsudin) merencatkan percaturan kita namun itu bukan alasan sebenar disebalik kekalahan ini,” katanya.

Menurut Irfan, tumpuannya selepas itu sudah pasti terarah kepada persiapan menghadapi Kelantan sekali lagi dalam pentas perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini sambil menamatkan baki dua perlawanan liga dengan mata maksimum.

Mohd Sharbinee Allawee Ramli melepaskan dua gol mudah dalam pertemuan menentang Kelantan, malam kelmarin

“Perjuangan memburu kejuaraan liga masih lagi terbuka. Kita tidak akan mudah menyerah kalah malah dalam baki dua perlawanan selepas ini, kita harus mengutip mata maksimum dan kita tidak boleh kalah lagi.

“Tumpuan saya selepas ini adalah mempersiapkan pasukan kerana kita akan bertemu Kelantan sekali lagi pada Sabtu ini. Saya berharap kekalahan pada perlawanan ini terubat dengan kita mengalahkan Kelantan pada pentas perlawanan akhir nanti,” katanya.

Kekalahan pasukan bimbingannya memaksa Terengganu menghuni tangga ketiga liga setelah satu lagi pencabar terdekat, Selangor kembali menghidupkan sisa perjuangannya dengan membelasah Perlis 7-1 di Shah Alam.

Ternyata, kekalahan 3-0 Terengganu kepada Kelantan malam semalam menamatkan penantian The Red Warriors untuk memecahkan rekod tanpa kalah setiap kali beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak tiga tahun lalu.

KEMENANGAN SUNTIK SEMANGAT

DATUK M KARATHU

KOTA BHARU – Bola sepak kadang-kala penuh dengan kekejaman. Itu yang terjadi kepada Terengganu yang terpaksa akur dengan kekalahan luar jangkaan 3-0 kepada musuh tradisinya, Kelantan dalam aksi perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam semalam.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim tersungkur menerusi gol seawal minit kelapan oleh Mohd Izuan Salahuddin sementara dua gol pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dalam tempoh 20 minit terakhir menutup terus sisa perjuangan pemain Terengganu.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kemenangan tersebut mampu menyuntik semangat anak buahnya menghadapi lawan yang sama dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

“Kemenangan ini merupakan satu motivasi yang diharap dapat melonjak moral pemain menghadapi Terengganu sekali lagi pada Sabtu ini. Berbaki dua perlawanan, saya fikir kita berada dilandasan yang tepat untuk muncul juara liga musim ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Memang kita mendapat tentang sengit daripada Terengganu dalam perlawanan ini. Saya harus memberi pujian kepada barisan pemain pertahanan yang bekerja keras malah faktor pemain yang bermain mengikut arahan juga menjadi punca kemenangan kita dalam perlawanan ini.

“Kita tidak memberi ruang kepada pemain Terengganu untuk bergerak bebas. Kita mendapat gol pertama pada minit awal dan menguasai perlawanan selepas itu. Walaupun Terengganu cuba bangkit pada babak kedua, tetapi kita masih mampu bertahan dengan baik sehingga menjaringkan dua gol menerusi serangan balas,” katanya.

Karathu berkata, tidak lagi seperti perlawanan dahulu, pemainnya kini belajar daripada kesilapan apabila menggunakan sepenuhnya peluang yang terhidang dengan menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Kita memanfaatkan semua peluang dengan menjaringkan gol. Kemenangan ini cukup menyakinkan saya betapa kita berpeluang cerah untuk muncul juara walaupun saingan liga masih berbaki dua perlawanan.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha bijak memperdayakan Kapten Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff dalam pertembungan menarik menentang Terengganu di Kuala Terengganu, malam kelmarin

“Apa yang boleh saya katakan, kita ke Bukit Jalil dengan membawa keyakinan yang cukup tinggi. Satu motivasi yang bagus untuk semua pemain namun pada masa yang sama saya tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana sudah pasti suasana ketika itu amat berbeza daripada perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang meledak dua gol dalam perlawanan itu kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak iaitu 15 gol dengan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya tatkala saingan liga masih berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan.

Tuesday, June 7, 2011

SEMAKIN HAMPIRI KEJUARAAN


TERENGGANU 0

KELANTAN 3
Mohd Izuan Salahuddin (m-8)
Norshahrul Idlan Talaha (m-73,90)

KUALA TERENGGANU – Bayangan kejuaraan liga semakin menghampiri Kelantan setelah mengalahkan musuh tradisinya, Terengganu 3-0 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Lebih menarik lagi, kejayaan menumbangkan Sang Penyu dihadapan hampir 12,000 penyokong mereka sendiri menamatkan badi ‘kesukaran mencipta kemenangan’ di Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu.

Kekalahan 0-3 malam tadi memaksa Terengganu kembali menghuni tangga ketiga carta liga setelah pencabar terdekat, Selangor kembali menghidupkan saingan apabila berpesta gol mengalahkan Perlis 7-1 di Shah Alam malam tadi.

Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi jaringan pemain muda, Mohd Izuan Salahuddin. Berpunca serangan pantas, hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti ditampan kemas Mohd Izuan untuk menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli dipintu golnya.

Pada m-24, Terengganu hampir menyamakan kedudukan menerusi gerakan menarik daripada sudut sukar penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat yang menyaksikan rembatan kencangnya terpaksa ditepis keluar penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.

Namun empat minit kemudian, Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi melepaskan peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan apabila gagal menanduk tepat hasil sepakan percuma Mohd Daudsu sebelum itu.

Pada m-35, tuan rumah sekali lagi memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan kali ini menerusi rembatan cantik Joseph Kalang Tie dari jarak 30 meter namun bola rembatannya terus ke dakapan Mohd Shahrizan.


Enam minit kemudian, Terengganu sekali lagi meneruskan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang merbahaya oleh Ismail Faruqi Asha’ri namun Mohd Shahrizan bijak membaca hantaran tersebut.

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan hampir menambahkan gol keduanya apabila sepakan penjuru oleh Muhd Badhri, ditanduk kemas Norshahrul Idlan namun bola terkena bucu palang gol tatkala Mohd Sharbinee Allawee sudahpun tertewas dipintu golnya.  

Lima minit babak kedua bersambung, jelas penguasaan milik pasukan tuan rumah apabila penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat pantas melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti namun peluang keemasan tersebut gagal disempurnakan oleh Abdul Hadi Yahaya didepan pintu gol Kelantan.

Asakan menggila Terengganu semakin ketara dua minit kemudian apabila pemain tengah, Ahmad Nordin Alias pula melakukan rembatan kencang didalam kotak penalti yang memaksa Mohd Shahrizan sekali lagi merebahkan badan untuk menyelamatkan percubaan tersebut.

Seminit kemudian, serangan balas Terengganu sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila hantaran lambung Abdul Hadi ditampan Ismail Faruqi namun Mohd Shahrizan berada tepat dikedudukannya untuk menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Pujian harus diberikan kepada barisan pemain pertahanan Kelantan yang beraksi cemerlang malam tadi mengekang setiap asakan bertali arus oleh pemain tuan rumah. Malah, kehebatan penjaga gol, Mohd Shahrizan yang tampil kali kedua menjaga gawang harus dibangga kerana menangkis setiap percubaan merbahaya rangkaian penyerang Terengganu terutamanya pada babak kedua perlawanan.

Disebalik keghairahan pasukan Terengganu menyerang bertubi-tubi ke pintu gol Kelantan untuk merapatkan jurang gol akhirnya membawa padah kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim dalam perlawanan malam tadi.

Kesilapan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee yang meluru keluar dan bertembung dengan Mohd Muhaimin Omar diluar kotak penalti pintu golnya dihukum menerusi jaringan mudah Norshahrul Idlan pada m-73 perlawanan.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan sekali lagi terlepas peluang untuk menjadikan kedudukan selesa apabila menyepak liar ke pintu gol Terengganu setelah menyambut baik hantaran lintang Mohd Izuan disebelah kiri penjuru padang.  


Ketinggalan dua gol sememangnya memberi tekanan berganda kepada pasukan Terengganu. Dua peluang terbaik Terengganu selepas itu hadir pada m-79 menerusi sepakan percuma Ismail Faruqi yang sedikit melewati pintu gol sementara rembatan kencang Abdul Hadi empat minit kemudian pula jauh tersasar.

Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kelekaan pemain Terengganu yang mengasak ke pintu gol Kelantan sekali lagi membawa padah apabila dihukum juga menerusi jaringan mudah Norshahrul Idlan.

Hasil serangan balas pantas, Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan hantaran rakan sepasukan dengan memperdayakan pemain pertahanan, Mazlizam Mohamad sebelum merembat kencang ke penjuru kiri pintu gol Terengganu untuk membunuh semangat juang pemain Terengganu dalam perlawanan malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

TERENGGANU : Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Muhaimin Omar (Hasmizan Kamarodin), Helmi Remeli, Mohd Mazuki Yusoff (KP), Ahmad Nordin Alias, Mazlizam Mohamad, Ismail Faruqi Asha’ri, Joseph Kalang Tie (Wan Mohamad Aliff Wan Jasmi), Reeshafiq Alwi (Mohd Fakhrurazi Musa), Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin (Wan Rohaimi Wan Ismail), Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Mohd Izuan Salahuddin, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Terengganu (3) Kelantan (2)
Percubaan tersasar : Terengganu (6) Kelantan (4)
Sepakan penjuru : Terengganu (3) Kelantan (3)
Sepakan percuma : Terengganu (14) Kelantan (17) 
Ofsaid : Terengganu (5) Kelantan (1)
Kekasaran : Terengganu (12) Kelantan (12)
Kad kuning : Terengganu (Mohd Mazuki Yusoff) Kelantan (Mohd Farisham Ismail dan  Mohd Daudsu Jamaludin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lima minit
Penguasaan bola : Terengganu (52%) Kelantan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Abu Bakar Mohd Noor
Penolong Pengadil 1: Mohd Mazlan Md Desa
Penolong Pengadil 2: Azmi Khalid
Pegawai Keempat : Ismadi Ibrahim
Kommissioner Perlawanan : Nasaruddin Ishak
General Koordinator : Ishak Salleh