Wednesday, February 29, 2012

HODAK TURUN PADANG LATIH KELANTAN

Hodak menyatakan sesuatu kepada Muhammad Ramzul Zahini Adenan (kiri) dalam sesi latihan skuad Liga Super Kelantan, semalam.

KOTA BHARU – Pengarah Kejurulatihan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru, Bojan Hodak buat pertama kalinya turun padang mengendalikan sesi latihan pasukan Liga Super Kelantan semalam.

Meski pun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), namun kelibat jurulatih kelahiran Croatia itu dapat dilihat apabila secara tidak rasmi mengendalikan sesi latihan skuad The Red Warriors itu di Padang MARDI, Pasir Tumbuh, di sini semalam.

Sesi latihan selama satu setengah jam itu berjalan dengan lancar dan moral semua pemain juga dilihat tidak terjejas meski pun tanpa kehadiran pengendali asal, Peter Butler yang dikhabarkan masih berada di Indonesia.   

Hodak yang merupakan bekas Ketua Jurulatih pasukan UPB My Team musim 2006 hingga 2009 dibantu oleh dua penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Mohd Sideek Samsuddin mengendalikan sesi latihan tersebut.

Selain itu, Hodak juga pernah melatih kelab Phnom Penh Crown FC di Cambodia selama enam bulan (2010 hingga 2011) dan kali terakhir memegang jawatan selaku Penolong Jurulatih kelab Shandong Luneng Taishan FC di China sehingga membawa kelab tersebut muncul naib juara Piala FA pada tahun lalu.

Sinar Harian semalam melaporkan Hodak besar kemungkinan dilantik sebagai pengendali baru skuad The Red Warriors sekiranya Butler memilih untuk meninggalkan Kelantan dalam masa terdekat.

Malah jurulatih berusia 41 tahun yang mempunyai Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu dilihat calon paling berpotensi disenaraikan pada saat-saat akhir menggantikan Butler kerana tarikh tutup pendaftaran pemain dan pegawai pasukan bagi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) berakhir hari ini.

Sementara itu, Hodak ketika ditemui pihak media enggan mengulas lanjut mengenai kehadiran beliau melatih pasukan Liga Super Kelantan dalam sesi latihan semalam.

 Hodak serius mengendalikan sesi latihan skuad Liga Super Kelantan semalam.

“Itu anda (wartawan) kena tanya sendiri kepada pihak pengurusan. Saya tidak boleh mengulas lanjut tentang perkara ini. Saya di sini hanya membantu mengendalikan sesi latihan pasukan ini sahaja,” katanya.

Kata-kata yang dilontarkan oleh Hodak itu cukup mudah difahami apabila dilihat mengambil jalan selamat dengan tidak mahu mengulas lanjut mengenai kedudukan beliau selaku pengendali baru setelah kemelut dalaman di antara Butler dengan pihak Kafa masih belum menemui jalan penyelesaian setakat ini.

Monday, February 27, 2012

HODAK GANTI BUTLER?



KOTA BHARU – Siapa yang bakal menduduki ‘kerusi panas’ Ketua Jurulatih Kelantan mungkin terlalu awal untuk diperkatakan tatkala kemelut dalaman di antara Peter Butler dengan majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri masih belum menemui titik penyelesaiannya sehingga kini.

Namun, sudah ada petunjuk apabila Pengarah Kejurulatihan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru dilantik, Bojan Hodak besar kemungkinan akan mengambil alih tugas melatih pasukan Liga Super Kelantan dalam masa terdekat ini.

Ini dibuktikan lagi apabila jurulatih kelahiran Croatia itu dilihat memainkan peranan secara ‘tersembunyi’ menyusun percaturan taktikal ketika The Red Warriors menewaskan pasukan Singapore Armed Forces (SAF) FC 2-1 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam semalam.

Menurut sumber dalaman Kafa, Hodak yang baru dilantik memegang jawatan baru tersebut minggu lalu dijangka turun padang buat pertama kali melatih pasukan Liga Super Kelantan secara tidak rasmi dalam masa terdekat.  

“Namun Peter Butler masih kekal selaku Ketua Jurulatih Kelantan dan belum ada tindakan pemecatan dilakukan ke atas beliau. Kita masih menunggu sehingga beliau tampil menjawab surat tunjuk sebab berikutan kenyataan keras yang dikeluarkan oleh beliau kepada media pada minggu lalu.

“Perkembangan ini cukup menarik apabila Hodak yang mempunyai kuasa selaku Pengarah Kejurulatihan dan CEO ARMY mungkin menjadi calon berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut sekiranya Butler mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan,” katanya.

Jurulatih berusia 41 tahun itu mungkin calon paling sesuai bagi menggantikan Butler memandangkan beliau bukan sahaja kaya dengan pengalaman sebagai pemain bola sepak selama 11 tahun di negaranya, Singapura dan Hong Kong malah sudah berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu Sinar Harian turut difahamkan, Butler kini dikhabarkan berada di Indonesia dan sedang berunding dengan salah sebuah kelab bola sepak di sana bagi meneruskan kerjayanya setelah menghadapi masalah untuk bekerja di Kelantan.

Ini diperkukuhkan lagi apabila Butler sehingga kini tidak muncul di Kota Bharu, meski pun beberapa kali diberi peluang oleh pihak Kafa untuk tampil membela diri kepada Jawatankuasa Pengurusan di atas ketidakpuasan hati beliau dalam beberapa perkara termasuk isu campur tangan pemain import oleh pihak pengurusan baru-baru ini.

Bagi The Red Warriors, mereka tidak harus menunggu terlalu lama untuk menamakan jurulatih baru memandangkan saingan Liga Super akan bersambung tidak lama lagi dan kedua-dua penolong jurulatih sekarang, Zahasmi Ismail dan Mohd Sideek Samsudin pula hanya mempunyai Lesen Kejurulatihan Bola Sepak Kelas B sahaja.

MAMEE PENAJA BARU THE RED WARRIORS

Annuar (empat,kanan) menerima replika cek dari Pang Hee Ta sebagai penaja baru The Red Warriors dalam sidang media Karnival ARMY di Kota Bharu, dua hari lalu.

KOTA BHARU – Menerusi tajaan bernilai RM200,000, Mamee – Double Decker (M) sah menjadi penaja baru pasukan bola sepak Kelantan pada musim ini setelah memeterai perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dua hari lalu.

Pemangku Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Pierre Pang Hee Ta berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjadi penaja bersama The Red Warriors meski pun saingan Liga Malaysia sudah pun bermula sejak dua bulan lalu.

“Kita bukan sahaja menaja pasukan bola sepak senior tetapi juga menjadi sebahagian daripada keluarga Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) dengan menaja mereka terutama dalam pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Selain menjadi penaja pasukan Manchester United yang merupakan pasukan terhebat dalam Liga Perdana Inggeris, kita juga memilih pasukan bola sepak Kelantan yang dilihat salah satu kuasa baru dalam pentas bola sepak di Negara ini.

“Kita juga berminat untuk mengadakan usaha sama dengan pihak Kafa terutamanya dalam membawa pasukan bola sepak ARMY dan The Red Warriors ke luar negeri dalam memperkembangkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pelancaran Karnival ARMY di Kota Bharu, dua hari lalu. Hadir sama ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Timbalannya, Datuk Afandi Hamzah, Pengerusi ARMY, Datuk Ismail Md Noor dan Pengurus Penajaan dan Activasi Mamee - Double Decker (M) Berhad, Sharszany Shahry Shahriman.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau menyambut baik langkah syarikat produk pemakanan tersebut yang sudi menjadi penaja bersama pasukan bola sepak Kelantan pada musim ini.

“Kehadiran pihak Mamee tepat pada masanya dan sebahagian daripada sumbangan penajaan ini akan diperuntukkan untuk pembangunan ARMY melalui pelbagai perancangan yang kita akan susun selepas ini.

“Antaranya kita bercadang untuk mewujudkan pasukan elit bawah 14 dan 16 tahun di mana mereka akan didedahkan dengan pelbagai kejohanan bola sepak tempatan dan luar negeri.

“Malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan saya fikir kita (Kelantan) selaku ahli gabungan badan induk bola sepak Negara mempunyai peluang yang baik untuk menghantar pasukan ke sana.

“Kita melihat model pembangunan bola sepak di Jepun lebih sesuai dengan kita. Malah kita bercadang menjemput beberapa pasukan remaja daripada Negara tersebut datang ke sini menyertai pelbagai kejohanan dan saya fikir ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya. 

KELANTAN BERSEMANGAT ATASI SABAH



KOTA BHARU – Momentum cemerlang ketika menewaskan Johor 4-1 mahu diulangi oleh skuad Piala Presiden Kelantan apabila bertemu pencabar terdekatnya Sabah dalam aksi perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Meski pun mengakui bakal berhadapan cabaran getir, namun pengendali pasukan, Mohd Hashim Mustapha tetap yakin anak didiknya mampu menghadirkan keputusan menggembirakan berdasarkan prestasi semasa pasukannya ketika ini.

“Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil. Itu yang dibuktikan oleh pemain saya sehingga berjaya mengejutkan Johor di tempat mereka minggu lalu. Jadi tidak salah untuk saya katakan kita boleh mengalahkan Sabah meski pun mereka dilihat antara pasukan yang terkuat pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya tidak berminat untuk mencari kelemahan pasukan lawan kerana ini baru perlawanan pusingan pertama. Lebih penting bagi saya untuk memfokuskan persiapan pasukan kita daripada memikirkan tentang kehadiran mereka di sini.

“Kalau barisan pemain dapat mengekalkan rentak sebagaimana ketika menewaskan Johor tempohari sudah pasti tiga mata penuh dalam genggaman kita. Kelebihan beraksi di tempat sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin barisan pemain dengan mencipta kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di persada liga,” katanya.

Justeru, Mohd Hashim menagih sentuhan berbisa rangkaian tiga penyerangnya iaitu Mohd Aris Zaidi, Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor dan Mohd Shahiran Md Zain untuk merobek gawang gol pasukan Sabah pada pertemuan ini.

Penyerang Kelantan, Mohd Azyu Ikmal (depan) bakal bergandingan dengan Mohd Aris dan Mohd Shahiran bagi menghadapi Sabah di Kota Bharu, petang ini.

“Gandingan mereka sudah menampakkan keserasian dan saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan mereka setakat ini. Jadi saya berharap mereka meneruskan rentak cemerlang sekali lagi pada perlawanan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ada perkhabaran kurang enak di kem pasukannya setelah kehilangan khidmat bekas pemain tengah Harimau Muda B, Mohammad Asif Mohd Azman yang terpaksa disisihkan kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

“Kehilangan dia sedikit dirasai namun saya percaya pemain lain yang akan diturunkan mampu menggalas tanggungjawab tersebut. Siapa yang akan diturunkan itu saya belum ditentukan lagi sehingga beberapa jam sepak mula perlawanan petang ini.

Sementara itu, jurulatih berusia 46 tahun itu turut memuji persembahan pemain pertahanan kiri, Mohammad Qayyum Marjono Sabil yang beraksi cemerlang ketika perlawanan menentang Johor minggu lalu.

Sunday, February 26, 2012

BUKAN MACAM TUKAR BAJU - AZMAN

 
KOTA BHARU - “Tukar pemain import bukan seperti tukar baju” Itu reaksi balas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai desakan segelintir pihak yang mahukan kelibat pemain import baru, Onyekachi Nwoha digugurkan dengan segera.
 
Sambil menyifatkan banyak pihak terkeliru dengan isu tersebut, Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, bukan menjadi amalan pihak pengurusan tertinggi persatuannya untuk menukar pemain import sesuka hati tanpa memikirkan kesan kepada pasukan bola sepak Kelantan pada masa sekarang.
 
“Kenapa baru sekarang hendak semula sentuhan Mohammed Ghaddar sedangkan dulu semua orang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau. Kalau dulu sudah bagus, kita tidak suka-suka tukar beliau dengan pemain lain.
 
“Pertukaran ini dibuat pun berdasarkan penilaian kita di samping desakan penyokong sendiri. Ghaddar sering dikritik hebat sebelum ini dan kita berusaha (buat pertukaran) untuk memulihkan keyakinan beliau. Jadi kita ambil pendekatan tukar pemain lain bagi memulihkan moralnya.
 
“Pemain import baru (Onyekachi Nwoha) ini mungkin tidak sebaik Ghaddar pada masa sekarang. Tetapi kita mempunyai perjanjian bersama dan boleh menamatkan kontrak Nwoha tanpa membayar sesen pun sekiranya beliau gagal dalam baki lima perlawanan selepas ini,” katanya.
 
Sambil mengakui pihak pengurusan kini berada dalam dilema sama ada mahu terus menguji pemain tersebut rentetan kemarahan membuak-buak penyokong sejak akhir-akhir ini, Azman menjelaskan segala-galanya berpunca apabila pintu pendaftaran pemain import dibuka baru-baru ini.
 
“Kalau pintu pendaftaran pemain import tidak dibuka, masalah ini dianggap selesai kerana kita terus gunakan khidmat Ghaddar dan Danny Antwi sehingga ia dibuka semula pada 2 April depan.
 
“Kita pun tidak tahu perkara ini (prestasi buruk Nwoha) boleh berlaku. Kalau sudah tahu awal-awal lagi kita tidak tukar Ghaddar. Kita jadi tersepit kerana peminat akan menyalahkan kita mengapa tidak menukarkan Ghaddar walaupun kita diberi peluang untuk menukar pemain import sehingga 13 Februari lalu,” katanya.
 
Menurut Azman, proses mengambil pemain import menjadi begitu sukar kerana ia melibatkan banyak faktor terutama daripada segi penyesuaian pemain dan sebagainya.
“Sekarang kita sudah tidak boleh mengambil pemain import daripada Negara Asean. Kalau boleh ambil, sudah lama kita ambil pemain dari negara Indonesia , Thailand atau Singapura yang dilihat mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran di Negara kita.
 
“Ramai yang tidak faham dengan cara pengurusan Kafa sebaliknya mereka lebih berminat untuk menghentam daripada memahami masalah kita. Kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak walaupun tindakan yang kita buat bertujuan untuk memperkuatkan pasukan,” katanya.

STADIUM BARU BERNILAI RM300 JUTA

 Annuar (tiga,kanan) dan Shabaruddin (dua,kiri) tertarik melihat reka bentuk stadium bola sepak baru yang akan dibangunkan di Tunjong tidak lama lagi.
 
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Casamesra Sdn Bhd bagi membina sebuah stadium bola sepak baru di Tunjong bernilai RM300 juta semalam.
 
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Kota Bharu semalam. Casamesra Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Shabaruddin Ibrahim sementara Tan Sri Annuar Musa mewakili pihak Kafa. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah, Naib Presidennya, Datuk Ismail Md Noor dan Rosmadi Ismail serta Pengarah Casamesra Sdn Bhd, Azhar Mustapha.
 
Casamesra Sdn Bhd diberikan hak bagi membangunkan stadium bola sepak baru itu tersebut di atas tanah milik Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dengan keluasan lapan hektar.
 
Annuar dalam sidang media selepas itu berkata, tanah tersebut dikurniakan oleh Sultan Muhammad V bertujuan untuk memartabatkan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini dan ia bakal dibina dalam masa terdekat.
 
“Usaha pembinaan stadium baru ini amat diperlukan dan ia menjadi perkara yang paling utama pada masa sekarang. Soal pembangunan pemain itu satu perkara lain tetapi kita hendak menjadikan Kafa sebagai satu badan pentadbiran bola sepak yang serba lengkap.
 
“Sudah masanya kita mempunyai ‘rumah’ sendiri tetapi kita hendak bina sendiri stadium dengan ratusan juta harga sudah tentu kita tidak mampu. Jadi apabila baginda tuanku sendiri perkenaan tanah yang juga akan dibangunkan sebagai Bandar Diraja Tunjong itu saya fikir ia satu peluang yang cukup baik.
 
“Tetapi pemaju perlu ada tuan rumah dan sebab itu kita mengadakan MoU dengan mereka di mana kira sanggup menjadi penyewa stadium tersebut. Ia seperti konsep Stadium Emirates yang mana tuan rumahnya ialah pasukan Arsenal,” katanya.
 
Menurut Annuar, pihaknya tidak memiliki stadium tersebut tetapi hanya bertindak sebagai badan yang menguruskannya dan ia terkandung dalam prasyarat yang dikemukakan kepada pihak kerajaan sebelum ini.
 
“Cadangan ini pertama kali dikemukakan kepada pihak kerajaan supaya satu stadium dibina khusus untuk bola sepak sahaja. Kerajaan tidak perlu bersusah payah mengeluarkan duit sebaliknya kita akan bertindak selaku pihak yang menguruskan stadium tersebut.
 
“Saya ingin merayu kepada pihak kerajaan untuk memberikan kelulusan segera  memandangkan stadium adalah menjadi keperluan mendesak kepada kita pada masa sekarang.
 
Mengulas mengenai kapasiti tempat duduk stadium baru tersebut, Annuar menjelaskan pihaknya menetapkan hanya muatan 30,000 tempat duduk dibina berbanding 40,000 seperti cadangan asal dan jumlah tersebut dianggap memadai dengan penyokong Kelantan.
 
“Reka bentuknya merujuk kepada stadium bola sepak Cardiff City di England namun kita menyesuaikannya dengan keperluan tempatan. Di segenap penjurunya kita akan bina empat surau selain beberapa kemudahan lain seperti bilik seminar, dewan bankuet dan sebagainya,” katanya.

BUTLER KENA BALIK BERBINCANG

Annuar (tiga,kanan) menyatakan sesuatu kepada Ismail (kiri) dalam majlis perasmian Karnival ARMY di Kota Bharu, semalam. Hadir sama ialah CEO ARMY yang baru, Bojan Hodak (kanan).
 
KOTA BHARU - “Baliklah dan berbincang dengan kami” Mungkin itulah pendekatan berhemah yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam menangani krisis dalaman dengan Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler sekarang.
 
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara peribadi beliau sudah pun mengarahkan pengendali kelahiran Halifax , England itu kembali ke Kota Bharu dengan segera bagi berbincang dengan pihak pengurusan mengenai masalah ketidakpuasan hati jurulatih tersebut.
 
“Tidak baik menghilangkan diri begitu sahaja. Dia masih ada tanggungjawab dengan pasukan dan saya fikir kalau dia hendak ke mana-mana sekali pun dia kena mohon cuti. Gaji dia pun RM1,000 sehari dan janganlah hilang begitu sahaja.
 
“Datuk Afandi Hamzah (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan) hendak bersemuka dengan dengan dia. Dalam kes ini, kalau dia rasa tidak puas hati seelok-eloknya duduk berbincang dengan jawatankuasa berkenaan dan jangan pergi (mengeluarkan kenyataan) kepada media.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Karnival Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) di Kota Bharu semalam. Hadir sama ialah Pengerusi ARMY, Datuk Ismail Md Noor, Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah, Naib Presiden, Rosmadi Ismail dan Pengarah Kejurulatihan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ARMY yang baru, Bojan Hodak.
 
Sinar Harian dua hari lalu melaporkan Butler direhatkan berkuat kuasa Khamis lalu daripada melatih pasukan The Red Warriors ekoran masalah dalaman yang dihadapi pengendali berusia 46 tahun itu dengan majikannya, Kafa.
 
Ditanya adakah beliau berhubung dengan Butler dalam masa terdekat, Annuar mengakui ada berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) namun tidak dapat mengesahkan di mana dia berada pada masa sekarang.
 
“Saya kerap berhubung kerana dia kawan saya. Walaupun dia pernah melakukan kesalahan besar meninggalkan pasukan kita tanpa notis tiga tahun lalu namun semua itu sudah dilupakan.
 
“Saya minta Setiausaha Agung (Azman Ibrahim) menghubungi dia. Ada sesetengah kata dia berada di Kuala Lumpur , ada pula kata berada di luar Negara. Susah untuk berhubung menerusi telefon atau sms dan lebih baik dia pulang ke sini dengan segera.
 
Mengulas mengenai ketidakpuasan hati Butler mungkin berpunca daripada beberapa perkara seperti potongan cukai pendapatan yang dikenakan ke atasnya, Annuar berkata, pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan beliau yang mahukan pihaknya membayar potongan tersebut memandangkan kantung persatuannya sendiri tidak begitu mengizinkan pada masa ini.
 
“Kita diwajibkan membuat potongan sebagaimana yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Gaji dia ketika mula-mula datang RM16 ribu, kemudian kita naikkan RM20 ribu dan kali kedua kita naikkan 25 ribu. Itu sudah cukup banyak dan kita tak mampu membayar cukai pendapatannya.
 
Sementara itu, Annuar turut menolak dakwaan Bojan Hodak bakal dilantik untuk mengemudikan pasukan The Red Warriors sebaliknya memberitahu kehadiran jurulatih kelahiran Croatia itu hanya bertujuan untuk membangunkan ARMY menerusi program akar umbi yang sudah pun disusun sebelum ini.