Wednesday, May 2, 2012

KELANTAN HAMPIRI PUSINGAN KEDUA

NAVIBANK SAIGON 1
Edison Fonseca Pulgarin (m-34)

KELANTAN 2
Indra Putra Mahayuddin (m-80)
Mohammad Ghaddar (m-83)

HO CHI MINH CITY – Laluan ke pusingan kedua terbentang luas untuk Kelantan setelah mengejutkan wakil Vietnam, Navibank Saigon 2-1 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan H, kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Thong Nhat di sini petang semalam.

Dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Mohammad Ghaddar mencetuskan kebangkitan The Red Warriors setelah dikejutkan dengan gol awal pasukan tuan rumah pada babak pertama perlawanan tersebut.

Kemenangan tersebut melonjakkan Kelantan di tangga teratas dengan mengumpul 10 mata dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri apabila bertemu Ayeyawady United dari Myanmar dalam perlawanan terakhir pada 8 Mei depan untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Seawal m-18 perlawanan Kelantan mencemaskan pintu gol pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma Indra Putra namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Phan Van Santos.

Seminit kemudian giliran pemain Navibank Saigon, Luong Van Duoc Em pula menguji kehebatan Khairul Fahmi Che Mat di pintu gol Kelantan namun percubaannya jauh tersasar.

Pada m-24 perlawanan, penyerang tuan rumah, Edison Fonseca Pulgarin berjaya meledakkan jaringan namun gol tersebut dibatalkan oleh pengadil setelah beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Begitu pun, penyerang berasal dari Brazil itu menutup kesilapan awalnya apabila menjaringkan gol pembukaan perlawanan 10 minit kemudian. Berpunca hantaran lintang Van Duoc Em ke dalam kotak penalti, Fonseca Pulgarin mudah menampan masuk untuk menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.

Usaha pemain tuan rumah untuk menambahkan jaringan berterusan kali ini menerusi rembatan cantik Nguyen Thanh Long Giang di luar kotak penalti namun diselamatkan Khairul Fahmi pada m-41 perlawanan.

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan seharusnya menyamakan kedudukan namun Onyekachi Nwoha melepaskan peluang terbaik dimilikinya apabila melakukan rembatan liar di depan pintu gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah dilihat terus mendominasi perlawanan menerusi rangkaian jentera tengah yang diterajui Kapten, Phan Van Tai Van dan rakan sepasukannya.

Namun, Fonseca Pulgarin terus kempunan untuk menambahkan gol kedua bagi pasukannya apabila rembatan leret hasil situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kelantan terlalu lemah dan mudah dikeluarkan oleh Obinna Nwaneri pada m-54 perlawanan.

Seminit kemudian, Fonseca Pulgarin sekali lagi gagal meletakkan bola ke dalam jaring apabila percubaannya tersasar di sebelah kiri pintu gol setelah Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Shakir Shaari melakukan kesilapan lambat mengeluarkan bola.
  
Di sebalik dua percubaan awal pasukan tuan rumah itu, Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan mereka dan mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Indra Putra pada m-59 perlawanan namun sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Indra Putra terus menyemarakkan semangat juang rakan sepasukannya apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi situasi bola mati. Sepakan percumanya tepat menerjah jaring sebelah kanan dan hanya mampu diperhatikan oleh Van Santos sahaja pada m-80 perlawanan.  

Mohammad Ghaddar melengkapkan kejayaan bermakna Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan tiga minit kemudian. Umpanan pendek Norshahrul Idlan Talaha dimanfaatkan Mohammad Ghaddar dengan memperdayakan dua pemain tuan rumah sebelum menguis masuk melepasi jangkauan Van Santos dalam perlawanan malam tadi.

Minit-minit akhir masa tambahan, Indra Putra terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan Kelantan apabila tolakannya hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Navibank Saigon meski pun pemain pertahanan dan penjaga golnya sudah tertewas di posisi masing-masing.

Kesebelasan utama pemain :

NAVIBANK SAIGON : Phan Van Santos, Nguyen Thanh Long Giang, Nguyen Duy Khanh, Doan Viet Cuong, Luong Van Duoc Em (Nguyen Cao Thien), Nguyen Minh Triet, Dinh Vu Han Phong, Ekpe Aniekan Okon Ekpe (Doan Van Nirut), Phan Van Tai Em (KP), Nguyen Van Nghia (Cao Quang Huong) dan Edison Fonseca Pulgarin.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Obinna Nwaneri, Mohamad Zamri Ramli, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari (KP), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Mohammad Ghaddar), Dennis Antwi (Mohd Nurul Azwan Roya) dan Onyekachi Nwoha (Norshahrul Idlan Talaha).

FORMASI : 4-2-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Navibank Saigon (5) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Navibank Saigon (6) Kelantan (2)
Sepakan penjuru : Navibank Saigon (5) Kelantan (3)
Sepakan percuma : Navibank Saigon (14) Kelantan (14)
Ofsaid : Navibank Saigon (4) Kelantan (2)
Kekasaran : Navibank Saigon (10) Kelantan (11)
Kad kuning : Navibank Saigon (Nguyen Duy Khanh dan Nguyen Van Nghia)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Navibank Saigon (52%) Kelantan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Sukhbir Singh (Singapura)
Penolong Pengadil 1: K Surindranath (Singapura)
Penolong Pengadil 2: Lim Kok Heng (Singapura)
Pegawai Keempat : Muhammad Taqi AlJaafari Jahari (Singapura)
Kommissioner Perlawanan : Salman Al Namshan (Arab Saudi)

JANJI SAINGAN SENGIT

HO CHI MINH CITY (Vietnam) – Kelantan menjanjikan tentangan sengit apabila turun bertemu wakil Vietnam, Navibank Saigon dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan H kempen Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Thong Nhat, di sini petang ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, walaupun kehilangan khidmat Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang terpaksa disisihkan ekoran masalah kecederaan ketika bertemu Kedah dalam aksi separuh akhir Piala FA tempohari, namun itu tidak menjejaskan persiapan pasukannya.

“Kita kehilangan Mohd Badhri (Radzi) tetapi saya tidak ada masalah mencari pengganti beliau. Indra Putra (Mahayuddin) akan mengemudi jentera tengah Kelantan berdasarkan pengalaman luas dimilikinya,” katanya dalam sidang media di sini pagi semalam.

“Pertemuan ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan sememangnya memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua. Memang kita mengharungi minggu yang memenatkan tetapi saya berharap itu tidak menjejaskan aksi pemain di sini.

“Saya lihat pasukan lawan mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan kita harus menyekat pergerakan pemain mereka. Kalau itu mampu kita lakukan, saya fikir kita tidak ada masalah untuk meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut pengendali dari Croatia itu, kemenangan itu cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebelum menghadapi Ayeyawady United dari Myanmar pada perlawanan terakhir di Kota Bharu pada 8 Mei ini.

Pertemuan Navibank Saigon menentang Kelantan akan berlangsung jam enam petang waktu tempatan di sini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Navibank Saigon, Pham Cong Loc berkata, barisan pemainnya tidak akan sewenang-wenangnya memberi laluan mudah kepada Kelantan untuk menewaskan mereka di tempat sendiri.

“Sama seperti Kelantan, kami juga mahu memenangi perlawanan ini. Kami tidak mahu menyempitkan laluan kerana hanya kemenangan sahaja dilihat menjamin peluang kami untuk ke pusingan kedua,” katanya.

Untuk rekod, selepas empat perlawanan, Kelantan, Navibank Saigon dan Ayeyawady United masing-masing kini berkongsi tujuh mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan bolos.