Monday, November 28, 2011

MELAKA, PERLIS LAYAK KE SUKU AKHIR

KELANTAN 0

PERLIS 0

KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan tersingkir awal dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-71 musim ini setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis dalam aksi perlawanan terakhir kumpulan D yang berlangsung di Padang Penjara, di sini petang semalam.

Kegagalan mara ke saingan suku akhir ternyata satu tamparan hebat bagi pasukan Kelantan yang dilihat merupakan pasukan ‘favourite’ dalam kempen kali ini. Malah kejayaan mengikat Kelantan seri tanpa jaringan sudah cukup untuk membolehkan Perlis muncul naib juara kumpulan dan mengiringi pasukan Melaka untuk layak ke saingan suku akhir.

Turun dengan misi memburu kemenangan, Kelantan yang kembali mendapatkan khidmat dua pemain Liga-M Kelantan iaitu Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan Mohd Aris Zaidi memulakan asakan seawal minit kelapan perlawanan menerusi sepakan percuma Mohd Farhan Yaakub namun ditepis keluar penjaga gol Perlis, Mohd Izwan Ahmad.

Seminit kemudian, giliran pemain pertahanan Kelantan, Mohd Shafiq Haikal Nazaruddin yang melakukan ‘overlapping’ mencemaskan pintu gol pasukan lawan namun rembatannya terus ke dakapan Mohd Izwan.

Begitupun, Perlis yang hanya memerlukan seri dalam perlawanan ini turut mempunyai peluang untuk berada di depan pada m-17 namun rembatan liar Mohd Ikmal Faiz tinggi melewati pintu gol Kelantan.

Pada m-22, Kelantan mempunyai peluang keemasan untuk berada di depan namun Muhammad Ramzul Zahini gagal menguis masuk bola meskipun hanya berhadapan situasi satu sama satu dengan penjaga gol pasukan Singa Utara itu.

Peluang terbaik Kelantan hadir lagi pada m-36 kali ini menerusi percubaan Muhammad Norhamizi Haron yang gagal di tangkap kemas Mohd Izwan namun tidak ada rakan sepasukan melalukan tindakan susulan selepas itu.

Empat minit kemudian, Ketua Pasukan Kelantan, Wan Rohaimi Wan Ismail mempunyai peluang untuk memastikan pasukannya berada namun tandukannya berpunca sepakan penjuru Mohd Farhan sebelum itu mudah diselamatkan Mohd Izwan sekali lagi.

Tempoh 45 minit babak kedua cukup getir bagi pasukan Kelantan sebaik sahaja memulakan perlawanan namun pasukan Perlis pula terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila Syed Mohd Abd Ghafar Syed Amir sempat melakukan rembatan yang menyaksikan sedikit tersasar di atas pintu gol Kelantan pada m-48 perlawanan.

Jurulatih Kelantan, Affandi Yusoff terpaksa memasukkan dua pemain serentak pada m-60 iaitu Khairul Annuar Ramli dan Hafizi Awang bagi mengerakkan serangan ke pintu gol pasukan lawan.

Hasilnya dua minit kemudian, Mohd Shafiq Haikal sekali lagi mempunyai peluang untuk menghasilkan gol untuk Kelantan namun kesudahannya rembatan dari luar kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Perlis.

Ketika Kelantan jelas tertekan kerana gagal menjaringkan gol, pasukan Perlis yang dibimbing oleh Suhairi Abd Karim pula dilihat kembali memperkemaskan persembahannya dengan mengamalkan corak permainan secara bertahan sepanjang babak kedua perlawanan itu.  

Malah pasukan Perlis turut mempunyai peluang untuk mengejutkan tuan rumah pada m-73 menerusi rembatan Muhammad Afif Azmi dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kelantan namun sempat diselamatkan oleh penjaga gol, Nik Idzane Fahmi Nik Azhar.

Dua percubaan terakhir pasukan Kelantan masing-masing menerusi Khairul Annuar pada m-84 yang jauh tersasar sementara sepakan gunting Mohd Aris pada m-88 yang jauh tersasar menutup tirai cabaran lebih awal Kelantan pada edisi kali ini.

Sementara itu, pasukan Melaka yang awal-awal lagi sudah mara ke peringkat suku akhir tersentak apabila tewas mengejut 2-3 kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan yang berlangsung pada jam tiga petang.

Pasukan Kuala Lumpur berjaya mendahului dua gol menerusi jaringan Khairul Anwar Abu pada m-44 dan 52 perlawanan namun Melaka berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Mohd Fauzi Abdul Kadar pada m-60 perlawanan.

Begitupun, pasukan warga kota kembali menjarakkan kedudukan menerusi jaringan Nur Adli Effandi Md Pauzee pada m-70. Penyerang Melaka, Mohd Fauzi sekali lagi menghadiahkan gol saguhati pada m-77 untuk pasukannya sebelum perlawanan berakhir dengan Kuala Lumpur menang 3-2.

KELANTAN : Nik Idzane Fahmi Nik Azhar, Khairan Eroza Razali, Wan Rohaimi Wan Ismail (KP), Mohd Sani Nawi (Hafizi Awang), Mohd Shafiq Haikal Nazaruddin, Hamizi Ibrahim, Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor (Khairul Annuar Ramli), Muhammad Norhamizi Haron, Mohd Farhan Yaakub (Mohd Azhan Ismail), Mohd Aris Zaidi dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan.

PERLIS : Mohd Izwan Ahmad, Mohd Nasri Ahmad Tauhid (Mohd Rizal Mohd Zain), Rosmawadi Othman (Nurfarizul Ishak), Anas Shaharom (KP), Muhammad Afif Azmi, Mohd Faiz Subri, Muhammad Alif Aswat Baharin, Wan Khairul Faiz Kamaruddin, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, Abdullah Yusoff dan Syed Mohd Abd Ghafar Syed Amir.

Penyerang Kelantan, Mohd Farhan cuba melakukan rembatan meskipun cuba dihalang pemain pertahanan Perlis. 
 

Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini (berjersi nombor 25) melonjak tinggi untuk menanduk bola di depan pintu gol Perlis dalam aksi perlawanan yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan. 
 
 

Kesebelasan utama pasukan Kelantan yang diturunkan dalam perlawanan petang semalam.


Jurulatih Perlis, Suhairi Abdul Karim menampilkan rata-rata pemain yang masih muda bagi membawa cabaran pada edisi kali ini.

KELANTAN HIDUPKAN PELUANG KE SUKU AKHIR

Pemain Kelantan, Zulzairilidzwan (kanan) sempat melepaskan rembatan meskipun cuba dihalang oleh dua pemain Kuala Lumpur dalam aksi perlawanan yang berkesudahan Kelantan menang 3-0, petang semalam.

KELANTAN 3
Khairul Annuar Ramli (m-15)
Mohd Farhan Yaakub (m-25)
Muhammad Norhamizi Haron (m-88)

KUALA LUMPUR 0

KOTA BHARU – Kelantan mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir setelah mengalahkan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi perlawanan kedua Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-71 peringkat kumpulan D yang berlangsung di Padang Penjara, Pengkalan Chepa, petang semalam.

Kekalahan mengejut 0-1 Perlis kepada Melaka petang semalam membuka peluang kepada Kelantan dengan syarat perlu mengalahkan pasukan bergelar Singa Utara itu dalam perlawanan terakhir petang ini.

Kelantan membuka tirai jaringan seawal m-15 perlawanan menerusi rembatan kencang pemain tengahnya, Khairul Annuar Ramli yang menerjah jaring setelah menerima umpanan pendek daripada Muhammad Norhamizi Haron di depan pintu gol pasukan Kuala Lumpur.

Sepuluh minit kemudian, pintu gol pasukan Kuala Lumpur sekali lagi dibolosi kali ini menerusi Mohd Farhan Yaakub yang mudah memperdayakan penjaga gol, Mohammad Firdaus Yusuf setelah menerima umpanan cantik daripada Saiful Bahari Abdullah.

Khairul Annuar seharusnya meletakkan Kelantan lebih selesa di depan namun rembatannya pada m-30m-39 pula terkena tiang gol. terkena palang gol sementara sepakan percuma Mohd Farhan pada

Bersambung babak kedua, Kelantan seharusnya berpesta gol dalam perlawanan tersebut namun deretan peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan. Rembatan kencang Zulzairilidzwan Ab Raship pada m-77 ditepis keluar penjaga gol manakala percubaan Khairul Annuar pada m-85 sekali lagi terkena palang gol.

Begitupun dua minit sebelum perlawanan berakhir, Muhammad Norhamizi menamatkan keresahan penyokong setia apabila mudah menguis masuk untuk menghasilkan gol ketiga pasukan Kelantan dalam perlawanan tersebut.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan, pasukan Melaka menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis.

Anak buah Mahmoud Hassan terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk memperolehi gol kemenangan menerusi jaringan Mohd Nazmee Ari pada m-53 perlawanan.

Perlawanan terakhir bagi kumpulan D petang ini pasti menarik bagi Kelantan dan Perlis memandangkan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan sementara Melaka pula hanya perlu mencatatkan keputusan seri ke atas Kuala Lumpur setelah layak ke suku akhir lebih awal.

Saturday, November 26, 2011

MELAKA KEJUTKAN KELANTAN

Pemain Kelantan, Norhamizi Haron (kanan) bijak mengawal bola biarpun cuba dicabar  oleh pemain Melaka, Zailan Mohamad dalam  perlawanan yang menyaksikan Melaka mengatasi Kelantan 3-0 di Padang Penjara, petang semalam.

KELANTAN 0

MELAKA 3
Mohd Fauzi Abdul Kadar (m-43)
Mohd Nazmee Ari (m-73)
Zailan Mohamad (pen m-83)

KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan menerima tamparan hebat setelah tewas mengejut 0-3 kepada Melaka dalam perlawanan pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-71 peringkat kumpulan D yang berlangsung di Padang Penjara, Pengkalan Chepa petang semalam.

Beraksi dihadapan hampir 300 penyokong sendiri, pasukan Kelantan gagal menggunakan kesempatan tersebut sebaliknya terpaksa akur dengan kehebatan barisan pemain muda pasukan bimbingan G Torairaju yang mempamerkan persembahan bertenaga terutamanya pada babak kedua perlawanan tersebut.

Pasukan kendalian Afandi Yusoff seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila jentera bahagian depan mensia-siakan banyak peluang terhidang terutamanya menerusi rembatan Mohd Farhan Yaakub yang sedikit tersasar pada m-24 sementara rembatan kencang Khairul Annuar Ramli pada m-39 pula jauh tersasar.

Gol pertama pasukan Melaka dijaringkan oleh Mohd Fauzi Abdul Kadar yang merembat kencang di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put dua minit sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, pasukan Kelantan melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Mohd Azhan Ismail dan Khairan Eroza Razali namun itu tidak banyak membantu merencana gerakan merbahaya.

Sebaliknya pasukan Melaka yang dilihat mendominasi pada babak kedua terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi rembatan deras Mohd Nazmee Ari dari luar kotak penalti pada m-73 perlawanan.

Kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Hafizi Awang menjatuhkan S Harivarman di dalam kotak penalti pada m-83 mengundang padah apabila pengadil, Shukri Nor tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat. Pemain tengahn, Zailan Mohamad mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketiga pasukannya.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, pasukan Perlis turut melakarkan kemenangan pertama setelah mudah membenam cabaran pasukan Kuala Lumpur menerusi kemenangan 4-0 untuk menerajui kumpulan D.

Perlawanan kedua kumpulan D hari ini menyaksikan Melaka akan bertemu Perlis pada jam tiga petang sementara Kelantan akan berhadapan Kuala Lumpur pada jam lima petang. Kedua-dua perlawanan berlangsung di Padang Penjara, Pengkalan Chepa.

Wednesday, November 23, 2011

STADIUM WAJAR DITUTUP

KOTA BHARU – “Stadium Sultan Muhammad IV harus ditutup” Begitulah luahan segelintir peminat bola sepak tempatan yang melihat ketidaksesuaian stadium bola sepak berusia 44 tahun itu daripada terus digunakan terutamanya pada musim tengkujuh yang melanda negeri ini pada masa sekarang.

Melihat musim tengkujuh yang melanda negeri Pantai Timur ditambah pula dengan hujan lebat yang kadang-kala turun secara berterusan sehingga beberapa jam, ada logik juga luahan tersebut dilontarkan bagi memastikan stadium itu tidak digunakan secara keterlaluan pada masa sekarang.

Ini termasuklah Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-71 yang akan bermula pada Jumaat ini dan menyaksikan Kelantan dipilih selaku tuan rumah bagi kumpulan D bersama dengan Perlis, Kuala Lumpur dan Melaka.

Seorang peminat bola sepak, Mohd Syafizal Jusoh menyifatkan penggunaan satu-satunya stadium tertua di negeri ini wajar dihadkan bagi menjaga kualiti padang di stadium tersebut.

“Hendak sewa stadium memang senang tak kira hujan atau pun panas. Tapi sekiranya rosak, siapa yang susah sebenarnya. Akhirnya pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) sendiri yang terpaksa membaikinya. Bukan seringgit dua mereka terpaksa keluarkan belanja membaiki padang nanti.

“Kalau boleh jangan benarkan langsung stadium tersebut di gunakan pada masa sekarang ini. Saya bercakap bukan untuk mempertikaikan sama ada pihak perbadanan stadium tidak boleh menjana pendapatan atau tidak tetapi atas kepentingan semua pihak yang sayangkan padang tersebut daripada mengalami rosak sekiranya digunakan secara berlebihan pada masa sekarang ini,” katanya.

Bagi Timbalan Presiden, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood mengakui stadium tersebut tidak sesuai digunakan pada musim tengkujuh yang melanda negeri ini.

“Itu sebab pasukan bola sepak Liga-M Kelantan sendiri tidak menjalani latihan di stadium apabila setiap kali  hujan turun takut padang stadium itu mengalami kerosakan. Malah mereka lebih sanggup menjalani latihan pra-musim di luar Kota Bharu.

“Saya rasa mungkin beberapa padang seperti Padang Penjara (Pengkalan Chepa) atau Padang Perdana (Kota Bharu) boleh menjadi gelanggang alternatif bagi melibatkan penganjuran kejohanan bola sepak besar termasuk Kejohanan Piala Emas Raja-Raja nanti.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Pusat Bandar Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain turut berharap stadium tersebut ditutup terus daripada digunakan pada  musim tengkujuh sekarang ini.

“Melihat keadaan cuaca sekarang memang tak sesuai stadium tersebut digunakan. Mungkin sudah kesuntukan masa untuk menyerahkan hak tuan rumah kepada pasukan lain tetapi kita perlu mencari alternatif  lain dalam menangani perkara ini.

“Lagipun saingan Liga Malaysia akan bermula awal Januari tahun depan dan kita tidak mahu stadium kita berdepan masalah sekiranya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan pemeriksaan terhadap stadium itu nanti,” katanya.

Monday, November 21, 2011

80 PENGADIL SERTAI UJIAN KECERGASAN


KOTA BHARU – Seramai 80 pengadil bola sepak negeri ini menyertai sesi Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Bola Sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Panji dekat sini, semalam.

Program yang disertai hampir keseluruhan pengadil berdaftar dengan Kafa diadakan bertujuan untuk menilai tahap kecergasan daripada semasa ke semasa kesemua pengadil di negeri ini.

Pegawai Pembangunan Pengadil negeri, Ab Ghani Omar berkata, dalam sesi ujian tersebut semua peserta dikehendaki menyertai ‘Intenmittent Test’ iaitu berlari di atas trek mengikut masa yang ditetapkan.

“Kesemua pengadil itu berjaya melepasi had masa yang ditetapkan. Dalam sesi ini mereka dikehendaki berlari sejauh 150 meter dalam tempoh 30 saat dan berjalan sejauh 50 meter dibawah tempoh 35 saat.

“Bukan mudah sebenarnya melakukan ujian ini. Kesudahannya mereka perlu menamatkan ujian ini dengan larian sebanyak 10 pusingan mengikut masa yang ditetapkan. Dan saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua peserta dalam sesi kali ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Kafa, Datuk Ramzi Ab Rahman merasmikan sesi ujian tersebut serta menyaksikan sendiri secara lebih dekat kesemua peserta melakukan ujian tersebut.

Menurut Ab Ghani, pihaknya akan terus komited mengadakan pelbagai kursus pada masa depan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai lagi pengadil-pengadil bertauliah di negeri ini.

“Selepas ini kita sedang merangka untuk mengadakan Kursus Pengadil Kelas Satu peringkat kebangsaan. Setakat ini kita ada 12 calon dan kita jemput semua pengadil kelas ketiga dan kedua yang berminat dengan mendaftarkan diri dan kita masih buka permohonan ini sehingga bulan depan.

“Disamping itu juga, kita sedang merancang untuk mengadakan Kursus Pengadil Kelas Ketiga pada awal tahun depan. Sasaran kita ialah mungkin bekas-bekas pemain bola sepak yang berminat tetapi orang ramai digalakkan. Mereka mestilah berumur bawah 35 tahun, mempunyai tubuh badan yang sihat selain mempunyai minat yang mendalam untuk berkecimpung dalam bidang kepengadilan,” katanya.

Untuk rekod, negeri Kelantan setakat ini hanya mempunyai seramai tujuh pengadil bertauliah di peringkat kebangsaan tetapi amat malang kerana tidak ada seorang pun wakil pengadil bertaraf antarabangsa selepas zaman kegemilangan Nik Ahmad Yaakob tidak lama dahulu.

16 PASUKAN BERENTAP PIALA EMAS RAJA-RAJA

Datuk Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – 16 pasukan termasuk juara musim lalu, Kelantan bakal memulakan saingan dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2011 yang akan bermula dari 25 hingga 27 November ini.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-71 ini dibahagikan kepada empat kumpulan dengan menyaksikan pembabitan beberapa pasukan jemputan seperti Singapura, Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perlawanan peringkat kumpulan itu akan berlangsung selama tiga hari manakala saingan suku akhir dan separuh akhir adakan diadakan secara timbal balik pada bulan depan.

“Kita menetapkan perlawanan suku akhir timbal balik akan berlangsung pada 3 dan 10 Disember manakala saingan separuh akhir pula pada 17 dan 24 Disember. Bagi perlawanan akhir kita jangkakan ia akan dilangsungkan pada 30 Disember nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan enam pemain daripada Liga Super atau Liga Perdana namun hanya empat pemain sahaja dibenarkan beraksi dalam satu masa. Pasukan bertanding juga boleh menggunakan khidmat pemain Liga Simpanan dan kita tidak ada had (jumlah pemain) tentang itu.

Menurut Takiyuddin, kejohanan pada tahun ini juga menyaksikan pasukan yang bergelar juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai yang lumayan setelah pihak penganjur bersetuju menambah nilai hadiah pada kejohanan tersebut.

“Berbanding tahun sebelumnya dimana pasukan juara menerima RM30,000 tetapi kali ini pemenang akan membawa pulang wang tunai RM45,000 sementara naib juara pula menerima wang tunai RM20,000.
Kumpulan A menyaksikan Negeri Sembilan dipilih selaku tuan rumah kepada Pahang, Kedah serta Singapura. Sementara bagi kumpulan B, Pulau Pinang selaku tuan rumah akan berentap bersama Terengganu, ATM dan PDRM.

Kumpulan C pula terdiri dari Perak selaku tuan rumah kepada Selangor, Johor dan Masum. Sementara itu juara bertahan, Kelantan menjadi tuan rumah kumpulan D kepada Perlis, Kuala Lumpur dan Melaka

Sementara itu dalam perkembangan lain, Takiyuddin juga menjelaskan pihaknya masih belum sebarang membuat keputusan sama ada akan menghantar pasukan beraksi dalam kancah Liga Malaysia pada musim depan.

“Memang sasaran kita mahu melihat pasukan bergelar juara dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja ini mewakili Melayu Malaysia beraksi dalam Liga Malaysia. Namun kita minta diberi tempoh sehingga dua minggu lagi sebelum kita menyampaikan keputusan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

12 PASUKAN BERENTAP REBUT PIALA KETUA JAJAHAN

Setiausaha MSJ, Kahirul Anuar  (duduk, tengah berbaju putih kiri) bersama-sama  dengan AJK  MSJ Tanah Merah.

TANAH MERAH -  Sebanyak 12 buah pasukan jemputan bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Sembilan Sebelah bagi merebut Piala Ketua Jajahan Tanah Merah pada Sabtu ini.

Setiausaha Majlis Sukan Jajahan (MSJ), Nik Khairul Anuar Nik Yusoff berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh pihaknya itu akan berlangsung di Padang Awam Perumahan Kusial Baru di sini dan disertai pasukan daripada seluruh negeri ini.  

Pasukan yang terlibat ialah Kubang Batang Tumpat, Kampung Baru Pasir Pekan, Gua Musang, DUN Bukit Panau, DUN Gual Ipoh, D’Warna Ketereh, Tok Janggut Pasir Puteh, Kopi Kerbau Jantan Pasir Mas, Batalion 1 Rejimen Sempadan (RS), Kuala Krai dan Laila Rawas Kota Bharu.

Katanya, pertandingan itu merupakan rutin tahunan MSJ itu dalam usaha membangunkan sukan bola sepak di jajahan ini khasnya dan Kelantan amnya selain mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan pemain serta penduduk setempat.

“Sukan merupakan medium terbaik bukan sahaja boleh merapatkan hubungan di antara masyarakat setempat malah membantu menaik taraf sukan bola sepak di dalam jajahan ini,”  katanya.

Khairul Anuar berkata, Ketua Jajahan sendiri akan turun beraksi di dalam kejohanan itu nanti selain kemungkinan besar beberapa pemain yang pernah mewakili negeri dan negara juga bakal turut beraksi.

Mereka terdiri daripada Baharudin Ghazali, Zulkifli Husin, Asri Musa serta ramai lagi.

“Saya harap pasukan yang dijemput bertanding akan turut membawa penyokong masing-masing bagi memeriahkan kejohanan tersebut selain kehadiran penyokong tempatan sendiri di jajahan ini,”  katanya.  

Khairul Anuar berharap dengan kejohanan itu nanti pasukan veteran bola sepak kampung akan kembali aktif seterusnya memeriahkan pesta bola sepak  pada musim akan datang seterusnya menjadi pemangkin kepada pemain muda untuk terus aktif di dalam sukan bola sepak.

“Kesan daripada pesta tersebut saya mahu di musim akan datang lebih banyak pasukan veteran muncul bagi memeriahkan pesta bola sepak veteran yang menjadi acara tahunan MSJ,”  katanya.

PG TWO JUARA FUTSAL NORJAHAR ENTERPRISE

Pemain pasukan PG Two bersama replika cek dan piala pusingan Norjahar Enterprise yang dimenangi. Hadiah disampaikan oleh Sekarnor (berdiri, tengah) yang turut menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut.

KOTA BHARU – Aksi mantap beberapa bekas pemain bola sepak Kelantan menjadi inspirasi kepada kejayaan pasukan PG Two untuk muncul juara dalam kategori lelaki terbuka Kejohanan Futsal Terbuka Kelantan bagi merebut Piala Norjahar Enterprise 2011 yang berlangsung di KB Futsal Arena, baru-baru ini.

Diperkuatkan dengan pemain seperti Mohd Hardi Ahmad (kelab NS Betaria), Arman Zairi Md Johan dan penjaga gol pasukan KL Pos Malaysia musim ini, Mohd Shahruddin Ismail, pasukan PG Two membuktikan kehebatannya setelah membenam pasukan dari Terengganu, ABY FC menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan akhir untuk membolehkan meraih hadiah wang tunai RM2,500.

Sementara pasukan ABY FC selaku naib juara turut membawa pulang wang tunai RM1,000. Tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan KPF United dan Wakaf 8 yang turut menerima hadiah wang tunai RM500 setiap pasukan.

Terdahulu dalam saingan separuh akhir kategori tersebut, pasukan PG Two mengecewakan pasukan KPF United menerusi kemenangan tipis 2-1 manakala pasukan ABY FC turut menghampakan pasukan Wakaf  8 juga dengan kemenangan tipis 1-0.

Sementara itu, dalam kategori Lelaki Bawah 20 Tahun, pasukan TIC Junior mengalahkan wakil dari Thailand, pasukan Biyuk Junior menerusi kemenangan tipis 1-0 untuk meraih hadiah wang tunai RM800.

Pasukan Biyuk Junior sekadar naib juara turut membawa pulang hadiah wang tunai RM400.Tempat ketiga dan keempat bersama dimenangi pasukan RH FC dan Al-Amin FC dimana masing-masing turut menerima hadiah wang tunai RM200.

Dalam perlawanan separuh akhir, pasukan TIC Junior mudah menewaskan pasukan Al-Amin FC 3-0 manakala pasukan Biyuk Junior tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan saingan RH FC menerusi kemenangan 3-1.

Sementara itu, dua pemain iaitu Mohd Hasnol (ABY FC) dan Mohd Amirul (Biyuk Junior) diumumkan pemain terbaik bagi kategori Terbuka dan Lelaki Bawah 20 Tahun dan masing-masing menerima hadiah berupa kasut futsal jenama PENS sumbangan penaja syarikat Runner Sollution dalam kejohanan tersebut.

Sebanyak 33 pasukan mengambil bahagian dalam kategori Terbuka dan 48 pasukan lagi bagi kategori Lelaki Bawah 20 Tahun. Malah kejohanan ini juga berjaya menarik minat beberapa pasukan luar seperti dari Perak (Marlin FC), Terengganu (ABY FC, DJ Square FC dan Belalang FC ) selain Thailand yang turut menghantar empat pasukan bertanding.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Penasihat KB Futsal Arena, Datuk Sekarnor Che Omar. Hadir sama ialah Pengarah Urusan Norjahar Enterprise, Rosairil Asrul Mat Nor dan Mohd Amri Faizal Mat Nor.

TERIMA KASIH MEDIA KELANTAN - KARATHU


KOTA BHARU – Antara Datuk M Karathu dengan rakan media sukan negeri ini, ianya sudah pasti meninggalkan nostalgia yang tersendiri setelah pengendali berusia 68 tahun itu tidak lagi membimbing pasukan Kelantan pada musim depan.

Apa tidaknya, bekas pengendali pasukan Kelantan itu disifatkan seorang yang ‘mesra media’ dalam kalangan warga kerja media sukan di negeri ini yang sentiasa memburu beliau bagi mendapatkan sebarang ulasan mengenai pasukan bimbingannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan media cetak dan elektronik di Kelantan. Sepanjang satu musim saya membimbing pasukan negeri ini, mereka semua memberikan kerjasama yang cukup baik kepada saya.

“Nasihat saya kepada media ialah tulislah perkara yang benar. Sebagai media, mereka kena tenubual jurulatih dan tulis apa yang dicakapkan sahaja. Soal penulisan dari sudut pandang sendiri itu merupakan satu perkara yang lain.

“Kalau saya ada salah dan silap harap dimaafkan. Bola sepak dan media tidak boleh dipisahkan. Saya akui peranan media cukup penting dan kalau tidak ada media maka tidak adalah bola sepak. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh rakan media sukan di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diraikan sebilangan rakan media sukan negeri ini sempena majlis perpisahannya disalah sebuah restoran di sini, semalam.

Dalam majlis itu juga, Karathu juga turut melahirkan kekecewaannya setelah gagal membantu The Red Warriors menjulang kejuaraan Piala FA dan mempertahankan Piala Malaysia sepanjang membimbing Kelantan pada musim ini.

“Saya minta maaf kepada semua penyokong Kelantan atas kegagalan ini. Saya tahu mereka merupakan penyokong bola sepak yang terbaik di Negara ini. Mereka seperti penyokong di Brazil atau Eropah yang cukup setia dan meminati pasukan mereka. Kalaulah penyokong di setiap negeri sama seperti ini, saya fikir bola sepak kita pasti meningkat.

Kepada bekas pasukan bimbingnya, Karathu jelas mendoakan pasukan Kelantan akan tampil lebih hebat pada musim depan dengan memenangi seberapa banyak piala yang dipertandingkan.

“Saya masih mengganggap pasukan Kelantan adalah yang terbaik. Kita tampil dengan cara kita yang tersendiri dan menghiburkan. Kepada Tan Sri Annuar (Musa) saya ucapkan semoga berjaya dan saya sentiasa akan mengikuti perkembangan pasukan Kelantan dengan lebih dekat.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan beliau, Karathu menjelaskan, beliau mahu meluangkan masa untuk berehat bersama keluarga namun pada masa yang sama tidak menolak untuk kembali ke padang sebagai jurulatih bagi mana-mana pasukan pada masa depan.

“Bola sepak adalah darah daging saya. Saya akan terus berkongsi segala pengalaman yang dimiliki sejak 40 tahun lalu. Tengoklah, kalau ada tawaran bagus daripada mana-mana pasukan mungkin saya sedia pertimbangkan,” katanya.

KAFA KENA CARI IKHITAR LAIN - ANNUAR


KOTA BHARU – “Kita ada Kerajaan Negeri dan kita kena minta bantuan, kalau tidak bagi saya redha“ demikian reaksi balas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengenai hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk membantu pihaknya tetapi dengan bersyarat.

Annuar berkata, beliau tidak mahu memberikan komen berlebihan mengenai keputusan Kerajaan Negeri itu takut sekiranya menjadi satu polimek baru yang akhirnya menjadi isu politik yang tidak menemui titik penyelesaiannya.

“Saya hanya berminat untuk menguruskan bola sepak. Sebagai badan bukan kerajaan (NGO), kita mesti kena buat permohonan (bantuan) dan sama ada Kerajaan Negeri hendak bagi atau tidak itu hak mereka.

“Saya telah menunaikan tanggungjawab saya dan begitu juga pemain. Sama ada dibantu atau tidak, saya kena buat kerja saya. Tugas saya hanya meminta dan sebagai rakyat Kelantan yang menerajui persatuan sukan di negeri ini, saya kena minta bantuan.

“Kalau tak nak bagi, kita terpaksa ikhtiar cara lain. Memang sudah tiga tahun kita minta tapi tak dapat apa-apa. Dengan Kerajaan Negeri kita minta dan dengan Kerajaan Pusat pun kita minta juga. Kita tak nak gaduh dan saya redha kalau tak bagi (bantuan).

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengumumkan barisan pemain skuad Liga-M Kelantan musim 2012 di Kafe The Red Warriors, di sini, dua hari lalu.

Mengenai saranan Kerajaan Negeri yang meminta pihaknya membentangkan laporan kewangan, Annuar menjelaskan, beliau bersedia menyerah laporan tersebut sekiranya diminta berbuat demikian.

“Soal penyata dan laporan kewangan mereka boleh tengok pada bila-bila masa. Penyata tahunan Kafa sememangnya dibentangkan setiap kali mesyuarat agung (AGM) pihaknya. Ini terbuka kepada semua ahli majlis (melihatnya) termasuk Abdul Fattah (Mahmood) sendiri selaku ahli majlis Kafa.

Mengulas mengenai perbelanjaan pihaknya bagi menguruskan pasukan bola sepak pada musim depan, Annuar menjangkakan perbelanjaan pengurusan akan meningkat sehingga 35 peratus berbanding musim ini.

“Itu hanya anggaran kasar kita berdasarkan jumlah kutipan tiket yang kita sasarkan tetapi mungkin anggaran kita tidak tepat. Gaji pemain import bukannya sedikit, kita juga kena sediakan rumah dan kereta kepada mereka. Sesetengah pemain import ada yang mencecah sehingga RM100,000 sebulan. Malah untuk menandatangani kontrak pemain import pada masa sekarang pun kita kena ada duit tunai.

Sementara itu, Annuar juga turut menyatakan pasukan bola sepak Kelantan mungkin terpaksa beraksi di gelanggang luar bagi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya Stadium Sultan Muhammad IV gagal mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita dah beri maklumat awal tentang syarat-syarat yang di tetapkan oleh AFC tetapi setakat belum ada tanda kerja-kerja menaik taraf stadium dilakukan. Seboleh-bolehnya kita hendak bermain di Kota Bharu tetapi kalau tidak boleh kita terpaksa sewa stadium lain tetapi itu merupakan pilihan terakhir kita,” katanya.

Wednesday, November 9, 2011

INDRA ANTARA TIGA BEKAS PEMAIN PERKUAT TRW

KOTA BHARU – Spekulasi mengenai kepulangan tiga bekas pemain ke pangkuan Kelantan akhirnya terjawab apabila Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose sah kembali menyarung jersi skuad The Red Warriors untuk musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kepulangan tiga bekas pemain yang pernah menabur bakti bersama Kelantan itu dijangka mampu memperkasakan posisi pertahanan dan tengah pasukan bimbingan Peter Butler itu.

“Tidak timbul soal saya memanggil semua ketiga-ketiga pemain tersebut. Urusan bola sepak adalah urusan profesional dan soal sentimen itu kita ketepikan. Yang penting mereka boleh memenuhi kriteria yang kita mahukan.

“Posisi sayap kiri sedikit kritikal kerana kita hanya ada Mohd Nurul Azwan (Roya). Jadi kehadiran semula Mohd Norfarhan (Muhammad) dan Indra Putra (Mahayuddin) diharap mampu menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita mengalu-alukan dan menyambut baik kepulangan mereka. Malah mereka sendiri menyatakan persetujuan secara sukarela untuk kembali beraksi bersama kita pada musim depan,” katanya.

Sambil keputusan tersebut akhirnya menamatkan khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu, Annuar turut mendedahkan persetujuan ketiga-tiga pemain itu untuk kembali bermain dengan Kelantan sudah dicapai sejak empat bulan lalu sebaik sahaja kedua-dua belah pihak selesai mengadakan rundingan.

Penghujung musim lalu, ketiga-tiga pemain tersebut mengejutkan banyak pihak apabila beralih arah secara senyap dengan memilih untuk beraksi dengan pasukan T-Team meskipun mendapat tawaran daripada pihak Kafa. 





Sementara itu, Annuar turut mengumumkan bekas penyerang Kedah musim ini, Azlan Ismail  turut di panggil untuk memperkuatkan jentera serangan Kelantan pada musim depan.

“Kita panggil Azlan untuk perkuatkan jentera serangan meskipun beliau ketika ini masih menjalani rawatan ekoran kecederaan yang dialaminya sebelum ini. Ini bererti kita sudah mempunyai enam pemain diposisi serangan,” katanya.

Azlan, 27, pemain kelahiran Tumpat pernah membantu Kelantan muncul juara Liga FAM pada tahun 2005 seterusnya melayakkan beraksi dalam Liga Perdana pada tahun berikutnya.

Namun Azlan memilih untuk beraksi bersama pasukan Perlis selama dua musim (2006 hingga 2007), PDRM (2008), Terengganu (2009) sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Kedah pada tahun 2010 sehingga musim ini.

GHADDAR SENJATA TERBARU KELANTAN


Annuar (tengah) mengumumkan senarai 28 pemain skuad Kelantan di Kafe The Red Warriors semalam. Hadir sama ialah Naib Presiden Kafa, Othman Zakaria (kiri) dan Setiausaha Agung merangkap Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim (kanan).

KOTA BHARU – Asas pemilihannya cukup mudah iaitu pemain mesti di bawah umur 30 tahun, mempunyai ketinggian lebih enam kaki selain mewakili skuad kebangsaan negaranya ketika ini.

Itulah kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sehingga berjaya mengikat kontrak pemain antarabangsa Lebanon, Mohammed Mahmoud Ghaddar untuk menyarung jersi skuad The Red Warriors bagi tempoh dua tahun.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan pemain kelahiran Negara Asia Barat itu bakal menyaksikan jentera serangan Kelantan akan tampil lebih garang pada musim depan.

“Ghaddar akan digandingkan dengan Norshahrul Idlan (Talaha) di posisi serangan Kelantan. Reputasi beliau selaku pemenang anugerah kasut emas dan penjaring terbanyak dalam liga di Negaranya dan ini menyakinkan kita untuk memilihnya selaku pemain import terbaru kita.

“Selain itu kita juga telah mengikat kontrak dua pemain iaitu Emmanuel Okine dan Denny Antwi (kedua-duanya dari Ghana) selama tiga tahun untuk bersama kita. Langkah kita mengikat kontrak lebih lama ini merupakan satu perancangan jangka panjang bagi pasukan Kelantan.

Ghaddar, 27, pemain yang mempunyai ketinggian 1.88 meter memulakan karier bola sepaknya dengan mewakili kelab Nejmeh seawal usia 14 tahun selain turut mewakili skuad Bawah 20 dan 23 Tahun Negaranya.

Annuar berkata, selain tiga pemain import itu, Kelantan juga turut mengintai seorang lagi pemain yang masih dirahsiakan identitinya dan sedang beraksi dalam liga divisyen satu di Eropah untuk melengkapkan kuota empat pemain import bagi menyertai Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Mac tahun depan.

“Kita sedang berunding dengan pemain tersebut untuk membawa pemain tersebut ke Kelantan. Untuk Liga Malaysia, kita akan mendaftar dua pemain import manakala bagi Kejohanan Piala AFC kita akan menyenaraikan empat pemain.

“Kita masih ada dua atau tiga kekosongan pemain dan kita mempunyai masa yang cukup sehingga 8 Disember depan untuk melengkapkan barisan pemain kita. Saya percaya dengan barisan yang ada kini, pasukan kita sudah cukup mantap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut menjelaskan meskipun hampir sebahagian besar pemain di dalam pasukan Kelantan bersandarkan pemain senior namun beliau tidak meminggirkan sumbangan pemain muda apabila turut menyenaraikan beberapa muka baru ke dalam skuad tersebut.

“Kita tidak mahu bergantung kepada pemain luar sahaja. Sebab itu saya menyenaraikan tujuh pemain pelapis diserapkan ke dalam pasukan ini. Bakat mereka akan terus digilap dan sekiranya mereka tunjukkan prestasi cemerlang kita boleh serap terus mereka,” katanya.