Wednesday, November 9, 2011

GHADDAR SENJATA TERBARU KELANTAN


Annuar (tengah) mengumumkan senarai 28 pemain skuad Kelantan di Kafe The Red Warriors semalam. Hadir sama ialah Naib Presiden Kafa, Othman Zakaria (kiri) dan Setiausaha Agung merangkap Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim (kanan).

KOTA BHARU – Asas pemilihannya cukup mudah iaitu pemain mesti di bawah umur 30 tahun, mempunyai ketinggian lebih enam kaki selain mewakili skuad kebangsaan negaranya ketika ini.

Itulah kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sehingga berjaya mengikat kontrak pemain antarabangsa Lebanon, Mohammed Mahmoud Ghaddar untuk menyarung jersi skuad The Red Warriors bagi tempoh dua tahun.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan pemain kelahiran Negara Asia Barat itu bakal menyaksikan jentera serangan Kelantan akan tampil lebih garang pada musim depan.

“Ghaddar akan digandingkan dengan Norshahrul Idlan (Talaha) di posisi serangan Kelantan. Reputasi beliau selaku pemenang anugerah kasut emas dan penjaring terbanyak dalam liga di Negaranya dan ini menyakinkan kita untuk memilihnya selaku pemain import terbaru kita.

“Selain itu kita juga telah mengikat kontrak dua pemain iaitu Emmanuel Okine dan Denny Antwi (kedua-duanya dari Ghana) selama tiga tahun untuk bersama kita. Langkah kita mengikat kontrak lebih lama ini merupakan satu perancangan jangka panjang bagi pasukan Kelantan.

Ghaddar, 27, pemain yang mempunyai ketinggian 1.88 meter memulakan karier bola sepaknya dengan mewakili kelab Nejmeh seawal usia 14 tahun selain turut mewakili skuad Bawah 20 dan 23 Tahun Negaranya.

Annuar berkata, selain tiga pemain import itu, Kelantan juga turut mengintai seorang lagi pemain yang masih dirahsiakan identitinya dan sedang beraksi dalam liga divisyen satu di Eropah untuk melengkapkan kuota empat pemain import bagi menyertai Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Mac tahun depan.

“Kita sedang berunding dengan pemain tersebut untuk membawa pemain tersebut ke Kelantan. Untuk Liga Malaysia, kita akan mendaftar dua pemain import manakala bagi Kejohanan Piala AFC kita akan menyenaraikan empat pemain.

“Kita masih ada dua atau tiga kekosongan pemain dan kita mempunyai masa yang cukup sehingga 8 Disember depan untuk melengkapkan barisan pemain kita. Saya percaya dengan barisan yang ada kini, pasukan kita sudah cukup mantap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut menjelaskan meskipun hampir sebahagian besar pemain di dalam pasukan Kelantan bersandarkan pemain senior namun beliau tidak meminggirkan sumbangan pemain muda apabila turut menyenaraikan beberapa muka baru ke dalam skuad tersebut.

“Kita tidak mahu bergantung kepada pemain luar sahaja. Sebab itu saya menyenaraikan tujuh pemain pelapis diserapkan ke dalam pasukan ini. Bakat mereka akan terus digilap dan sekiranya mereka tunjukkan prestasi cemerlang kita boleh serap terus mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment