Monday, November 21, 2011

16 PASUKAN BERENTAP PIALA EMAS RAJA-RAJA

Datuk Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – 16 pasukan termasuk juara musim lalu, Kelantan bakal memulakan saingan dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2011 yang akan bermula dari 25 hingga 27 November ini.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-71 ini dibahagikan kepada empat kumpulan dengan menyaksikan pembabitan beberapa pasukan jemputan seperti Singapura, Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perlawanan peringkat kumpulan itu akan berlangsung selama tiga hari manakala saingan suku akhir dan separuh akhir adakan diadakan secara timbal balik pada bulan depan.

“Kita menetapkan perlawanan suku akhir timbal balik akan berlangsung pada 3 dan 10 Disember manakala saingan separuh akhir pula pada 17 dan 24 Disember. Bagi perlawanan akhir kita jangkakan ia akan dilangsungkan pada 30 Disember nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan enam pemain daripada Liga Super atau Liga Perdana namun hanya empat pemain sahaja dibenarkan beraksi dalam satu masa. Pasukan bertanding juga boleh menggunakan khidmat pemain Liga Simpanan dan kita tidak ada had (jumlah pemain) tentang itu.

Menurut Takiyuddin, kejohanan pada tahun ini juga menyaksikan pasukan yang bergelar juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai yang lumayan setelah pihak penganjur bersetuju menambah nilai hadiah pada kejohanan tersebut.

“Berbanding tahun sebelumnya dimana pasukan juara menerima RM30,000 tetapi kali ini pemenang akan membawa pulang wang tunai RM45,000 sementara naib juara pula menerima wang tunai RM20,000.
Kumpulan A menyaksikan Negeri Sembilan dipilih selaku tuan rumah kepada Pahang, Kedah serta Singapura. Sementara bagi kumpulan B, Pulau Pinang selaku tuan rumah akan berentap bersama Terengganu, ATM dan PDRM.

Kumpulan C pula terdiri dari Perak selaku tuan rumah kepada Selangor, Johor dan Masum. Sementara itu juara bertahan, Kelantan menjadi tuan rumah kumpulan D kepada Perlis, Kuala Lumpur dan Melaka

Sementara itu dalam perkembangan lain, Takiyuddin juga menjelaskan pihaknya masih belum sebarang membuat keputusan sama ada akan menghantar pasukan beraksi dalam kancah Liga Malaysia pada musim depan.

“Memang sasaran kita mahu melihat pasukan bergelar juara dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja ini mewakili Melayu Malaysia beraksi dalam Liga Malaysia. Namun kita minta diberi tempoh sehingga dua minggu lagi sebelum kita menyampaikan keputusan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

No comments:

Post a Comment