Monday, November 21, 2011

12 PASUKAN BERENTAP REBUT PIALA KETUA JAJAHAN

Setiausaha MSJ, Kahirul Anuar  (duduk, tengah berbaju putih kiri) bersama-sama  dengan AJK  MSJ Tanah Merah.

TANAH MERAH -  Sebanyak 12 buah pasukan jemputan bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Sembilan Sebelah bagi merebut Piala Ketua Jajahan Tanah Merah pada Sabtu ini.

Setiausaha Majlis Sukan Jajahan (MSJ), Nik Khairul Anuar Nik Yusoff berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh pihaknya itu akan berlangsung di Padang Awam Perumahan Kusial Baru di sini dan disertai pasukan daripada seluruh negeri ini.  

Pasukan yang terlibat ialah Kubang Batang Tumpat, Kampung Baru Pasir Pekan, Gua Musang, DUN Bukit Panau, DUN Gual Ipoh, D’Warna Ketereh, Tok Janggut Pasir Puteh, Kopi Kerbau Jantan Pasir Mas, Batalion 1 Rejimen Sempadan (RS), Kuala Krai dan Laila Rawas Kota Bharu.

Katanya, pertandingan itu merupakan rutin tahunan MSJ itu dalam usaha membangunkan sukan bola sepak di jajahan ini khasnya dan Kelantan amnya selain mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan pemain serta penduduk setempat.

“Sukan merupakan medium terbaik bukan sahaja boleh merapatkan hubungan di antara masyarakat setempat malah membantu menaik taraf sukan bola sepak di dalam jajahan ini,”  katanya.

Khairul Anuar berkata, Ketua Jajahan sendiri akan turun beraksi di dalam kejohanan itu nanti selain kemungkinan besar beberapa pemain yang pernah mewakili negeri dan negara juga bakal turut beraksi.

Mereka terdiri daripada Baharudin Ghazali, Zulkifli Husin, Asri Musa serta ramai lagi.

“Saya harap pasukan yang dijemput bertanding akan turut membawa penyokong masing-masing bagi memeriahkan kejohanan tersebut selain kehadiran penyokong tempatan sendiri di jajahan ini,”  katanya.  

Khairul Anuar berharap dengan kejohanan itu nanti pasukan veteran bola sepak kampung akan kembali aktif seterusnya memeriahkan pesta bola sepak  pada musim akan datang seterusnya menjadi pemangkin kepada pemain muda untuk terus aktif di dalam sukan bola sepak.

“Kesan daripada pesta tersebut saya mahu di musim akan datang lebih banyak pasukan veteran muncul bagi memeriahkan pesta bola sepak veteran yang menjadi acara tahunan MSJ,”  katanya.

No comments:

Post a Comment