Monday, November 21, 2011

80 PENGADIL SERTAI UJIAN KECERGASAN


KOTA BHARU – Seramai 80 pengadil bola sepak negeri ini menyertai sesi Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Bola Sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Panji dekat sini, semalam.

Program yang disertai hampir keseluruhan pengadil berdaftar dengan Kafa diadakan bertujuan untuk menilai tahap kecergasan daripada semasa ke semasa kesemua pengadil di negeri ini.

Pegawai Pembangunan Pengadil negeri, Ab Ghani Omar berkata, dalam sesi ujian tersebut semua peserta dikehendaki menyertai ‘Intenmittent Test’ iaitu berlari di atas trek mengikut masa yang ditetapkan.

“Kesemua pengadil itu berjaya melepasi had masa yang ditetapkan. Dalam sesi ini mereka dikehendaki berlari sejauh 150 meter dalam tempoh 30 saat dan berjalan sejauh 50 meter dibawah tempoh 35 saat.

“Bukan mudah sebenarnya melakukan ujian ini. Kesudahannya mereka perlu menamatkan ujian ini dengan larian sebanyak 10 pusingan mengikut masa yang ditetapkan. Dan saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua peserta dalam sesi kali ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Kafa, Datuk Ramzi Ab Rahman merasmikan sesi ujian tersebut serta menyaksikan sendiri secara lebih dekat kesemua peserta melakukan ujian tersebut.

Menurut Ab Ghani, pihaknya akan terus komited mengadakan pelbagai kursus pada masa depan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai lagi pengadil-pengadil bertauliah di negeri ini.

“Selepas ini kita sedang merangka untuk mengadakan Kursus Pengadil Kelas Satu peringkat kebangsaan. Setakat ini kita ada 12 calon dan kita jemput semua pengadil kelas ketiga dan kedua yang berminat dengan mendaftarkan diri dan kita masih buka permohonan ini sehingga bulan depan.

“Disamping itu juga, kita sedang merancang untuk mengadakan Kursus Pengadil Kelas Ketiga pada awal tahun depan. Sasaran kita ialah mungkin bekas-bekas pemain bola sepak yang berminat tetapi orang ramai digalakkan. Mereka mestilah berumur bawah 35 tahun, mempunyai tubuh badan yang sihat selain mempunyai minat yang mendalam untuk berkecimpung dalam bidang kepengadilan,” katanya.

Untuk rekod, negeri Kelantan setakat ini hanya mempunyai seramai tujuh pengadil bertauliah di peringkat kebangsaan tetapi amat malang kerana tidak ada seorang pun wakil pengadil bertaraf antarabangsa selepas zaman kegemilangan Nik Ahmad Yaakob tidak lama dahulu.

No comments:

Post a Comment