Monday, November 28, 2011

MELAKA, PERLIS LAYAK KE SUKU AKHIR

KELANTAN 0

PERLIS 0

KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan tersingkir awal dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-71 musim ini setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis dalam aksi perlawanan terakhir kumpulan D yang berlangsung di Padang Penjara, di sini petang semalam.

Kegagalan mara ke saingan suku akhir ternyata satu tamparan hebat bagi pasukan Kelantan yang dilihat merupakan pasukan ‘favourite’ dalam kempen kali ini. Malah kejayaan mengikat Kelantan seri tanpa jaringan sudah cukup untuk membolehkan Perlis muncul naib juara kumpulan dan mengiringi pasukan Melaka untuk layak ke saingan suku akhir.

Turun dengan misi memburu kemenangan, Kelantan yang kembali mendapatkan khidmat dua pemain Liga-M Kelantan iaitu Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan Mohd Aris Zaidi memulakan asakan seawal minit kelapan perlawanan menerusi sepakan percuma Mohd Farhan Yaakub namun ditepis keluar penjaga gol Perlis, Mohd Izwan Ahmad.

Seminit kemudian, giliran pemain pertahanan Kelantan, Mohd Shafiq Haikal Nazaruddin yang melakukan ‘overlapping’ mencemaskan pintu gol pasukan lawan namun rembatannya terus ke dakapan Mohd Izwan.

Begitupun, Perlis yang hanya memerlukan seri dalam perlawanan ini turut mempunyai peluang untuk berada di depan pada m-17 namun rembatan liar Mohd Ikmal Faiz tinggi melewati pintu gol Kelantan.

Pada m-22, Kelantan mempunyai peluang keemasan untuk berada di depan namun Muhammad Ramzul Zahini gagal menguis masuk bola meskipun hanya berhadapan situasi satu sama satu dengan penjaga gol pasukan Singa Utara itu.

Peluang terbaik Kelantan hadir lagi pada m-36 kali ini menerusi percubaan Muhammad Norhamizi Haron yang gagal di tangkap kemas Mohd Izwan namun tidak ada rakan sepasukan melalukan tindakan susulan selepas itu.

Empat minit kemudian, Ketua Pasukan Kelantan, Wan Rohaimi Wan Ismail mempunyai peluang untuk memastikan pasukannya berada namun tandukannya berpunca sepakan penjuru Mohd Farhan sebelum itu mudah diselamatkan Mohd Izwan sekali lagi.

Tempoh 45 minit babak kedua cukup getir bagi pasukan Kelantan sebaik sahaja memulakan perlawanan namun pasukan Perlis pula terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila Syed Mohd Abd Ghafar Syed Amir sempat melakukan rembatan yang menyaksikan sedikit tersasar di atas pintu gol Kelantan pada m-48 perlawanan.

Jurulatih Kelantan, Affandi Yusoff terpaksa memasukkan dua pemain serentak pada m-60 iaitu Khairul Annuar Ramli dan Hafizi Awang bagi mengerakkan serangan ke pintu gol pasukan lawan.

Hasilnya dua minit kemudian, Mohd Shafiq Haikal sekali lagi mempunyai peluang untuk menghasilkan gol untuk Kelantan namun kesudahannya rembatan dari luar kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Perlis.

Ketika Kelantan jelas tertekan kerana gagal menjaringkan gol, pasukan Perlis yang dibimbing oleh Suhairi Abd Karim pula dilihat kembali memperkemaskan persembahannya dengan mengamalkan corak permainan secara bertahan sepanjang babak kedua perlawanan itu.  

Malah pasukan Perlis turut mempunyai peluang untuk mengejutkan tuan rumah pada m-73 menerusi rembatan Muhammad Afif Azmi dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kelantan namun sempat diselamatkan oleh penjaga gol, Nik Idzane Fahmi Nik Azhar.

Dua percubaan terakhir pasukan Kelantan masing-masing menerusi Khairul Annuar pada m-84 yang jauh tersasar sementara sepakan gunting Mohd Aris pada m-88 yang jauh tersasar menutup tirai cabaran lebih awal Kelantan pada edisi kali ini.

Sementara itu, pasukan Melaka yang awal-awal lagi sudah mara ke peringkat suku akhir tersentak apabila tewas mengejut 2-3 kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan yang berlangsung pada jam tiga petang.

Pasukan Kuala Lumpur berjaya mendahului dua gol menerusi jaringan Khairul Anwar Abu pada m-44 dan 52 perlawanan namun Melaka berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Mohd Fauzi Abdul Kadar pada m-60 perlawanan.

Begitupun, pasukan warga kota kembali menjarakkan kedudukan menerusi jaringan Nur Adli Effandi Md Pauzee pada m-70. Penyerang Melaka, Mohd Fauzi sekali lagi menghadiahkan gol saguhati pada m-77 untuk pasukannya sebelum perlawanan berakhir dengan Kuala Lumpur menang 3-2.

KELANTAN : Nik Idzane Fahmi Nik Azhar, Khairan Eroza Razali, Wan Rohaimi Wan Ismail (KP), Mohd Sani Nawi (Hafizi Awang), Mohd Shafiq Haikal Nazaruddin, Hamizi Ibrahim, Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor (Khairul Annuar Ramli), Muhammad Norhamizi Haron, Mohd Farhan Yaakub (Mohd Azhan Ismail), Mohd Aris Zaidi dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan.

PERLIS : Mohd Izwan Ahmad, Mohd Nasri Ahmad Tauhid (Mohd Rizal Mohd Zain), Rosmawadi Othman (Nurfarizul Ishak), Anas Shaharom (KP), Muhammad Afif Azmi, Mohd Faiz Subri, Muhammad Alif Aswat Baharin, Wan Khairul Faiz Kamaruddin, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, Abdullah Yusoff dan Syed Mohd Abd Ghafar Syed Amir.

Penyerang Kelantan, Mohd Farhan cuba melakukan rembatan meskipun cuba dihalang pemain pertahanan Perlis. 
 

Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini (berjersi nombor 25) melonjak tinggi untuk menanduk bola di depan pintu gol Perlis dalam aksi perlawanan yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan. 
 
 

Kesebelasan utama pasukan Kelantan yang diturunkan dalam perlawanan petang semalam.


Jurulatih Perlis, Suhairi Abdul Karim menampilkan rata-rata pemain yang masih muda bagi membawa cabaran pada edisi kali ini.

No comments:

Post a Comment