Wednesday, November 23, 2011

STADIUM WAJAR DITUTUP

KOTA BHARU – “Stadium Sultan Muhammad IV harus ditutup” Begitulah luahan segelintir peminat bola sepak tempatan yang melihat ketidaksesuaian stadium bola sepak berusia 44 tahun itu daripada terus digunakan terutamanya pada musim tengkujuh yang melanda negeri ini pada masa sekarang.

Melihat musim tengkujuh yang melanda negeri Pantai Timur ditambah pula dengan hujan lebat yang kadang-kala turun secara berterusan sehingga beberapa jam, ada logik juga luahan tersebut dilontarkan bagi memastikan stadium itu tidak digunakan secara keterlaluan pada masa sekarang.

Ini termasuklah Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-71 yang akan bermula pada Jumaat ini dan menyaksikan Kelantan dipilih selaku tuan rumah bagi kumpulan D bersama dengan Perlis, Kuala Lumpur dan Melaka.

Seorang peminat bola sepak, Mohd Syafizal Jusoh menyifatkan penggunaan satu-satunya stadium tertua di negeri ini wajar dihadkan bagi menjaga kualiti padang di stadium tersebut.

“Hendak sewa stadium memang senang tak kira hujan atau pun panas. Tapi sekiranya rosak, siapa yang susah sebenarnya. Akhirnya pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) sendiri yang terpaksa membaikinya. Bukan seringgit dua mereka terpaksa keluarkan belanja membaiki padang nanti.

“Kalau boleh jangan benarkan langsung stadium tersebut di gunakan pada masa sekarang ini. Saya bercakap bukan untuk mempertikaikan sama ada pihak perbadanan stadium tidak boleh menjana pendapatan atau tidak tetapi atas kepentingan semua pihak yang sayangkan padang tersebut daripada mengalami rosak sekiranya digunakan secara berlebihan pada masa sekarang ini,” katanya.

Bagi Timbalan Presiden, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood mengakui stadium tersebut tidak sesuai digunakan pada musim tengkujuh yang melanda negeri ini.

“Itu sebab pasukan bola sepak Liga-M Kelantan sendiri tidak menjalani latihan di stadium apabila setiap kali  hujan turun takut padang stadium itu mengalami kerosakan. Malah mereka lebih sanggup menjalani latihan pra-musim di luar Kota Bharu.

“Saya rasa mungkin beberapa padang seperti Padang Penjara (Pengkalan Chepa) atau Padang Perdana (Kota Bharu) boleh menjadi gelanggang alternatif bagi melibatkan penganjuran kejohanan bola sepak besar termasuk Kejohanan Piala Emas Raja-Raja nanti.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Pusat Bandar Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain turut berharap stadium tersebut ditutup terus daripada digunakan pada  musim tengkujuh sekarang ini.

“Melihat keadaan cuaca sekarang memang tak sesuai stadium tersebut digunakan. Mungkin sudah kesuntukan masa untuk menyerahkan hak tuan rumah kepada pasukan lain tetapi kita perlu mencari alternatif  lain dalam menangani perkara ini.

“Lagipun saingan Liga Malaysia akan bermula awal Januari tahun depan dan kita tidak mahu stadium kita berdepan masalah sekiranya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan pemeriksaan terhadap stadium itu nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment