Monday, November 21, 2011

PG TWO JUARA FUTSAL NORJAHAR ENTERPRISE

Pemain pasukan PG Two bersama replika cek dan piala pusingan Norjahar Enterprise yang dimenangi. Hadiah disampaikan oleh Sekarnor (berdiri, tengah) yang turut menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut.

KOTA BHARU – Aksi mantap beberapa bekas pemain bola sepak Kelantan menjadi inspirasi kepada kejayaan pasukan PG Two untuk muncul juara dalam kategori lelaki terbuka Kejohanan Futsal Terbuka Kelantan bagi merebut Piala Norjahar Enterprise 2011 yang berlangsung di KB Futsal Arena, baru-baru ini.

Diperkuatkan dengan pemain seperti Mohd Hardi Ahmad (kelab NS Betaria), Arman Zairi Md Johan dan penjaga gol pasukan KL Pos Malaysia musim ini, Mohd Shahruddin Ismail, pasukan PG Two membuktikan kehebatannya setelah membenam pasukan dari Terengganu, ABY FC menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan akhir untuk membolehkan meraih hadiah wang tunai RM2,500.

Sementara pasukan ABY FC selaku naib juara turut membawa pulang wang tunai RM1,000. Tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan KPF United dan Wakaf 8 yang turut menerima hadiah wang tunai RM500 setiap pasukan.

Terdahulu dalam saingan separuh akhir kategori tersebut, pasukan PG Two mengecewakan pasukan KPF United menerusi kemenangan tipis 2-1 manakala pasukan ABY FC turut menghampakan pasukan Wakaf  8 juga dengan kemenangan tipis 1-0.

Sementara itu, dalam kategori Lelaki Bawah 20 Tahun, pasukan TIC Junior mengalahkan wakil dari Thailand, pasukan Biyuk Junior menerusi kemenangan tipis 1-0 untuk meraih hadiah wang tunai RM800.

Pasukan Biyuk Junior sekadar naib juara turut membawa pulang hadiah wang tunai RM400.Tempat ketiga dan keempat bersama dimenangi pasukan RH FC dan Al-Amin FC dimana masing-masing turut menerima hadiah wang tunai RM200.

Dalam perlawanan separuh akhir, pasukan TIC Junior mudah menewaskan pasukan Al-Amin FC 3-0 manakala pasukan Biyuk Junior tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan saingan RH FC menerusi kemenangan 3-1.

Sementara itu, dua pemain iaitu Mohd Hasnol (ABY FC) dan Mohd Amirul (Biyuk Junior) diumumkan pemain terbaik bagi kategori Terbuka dan Lelaki Bawah 20 Tahun dan masing-masing menerima hadiah berupa kasut futsal jenama PENS sumbangan penaja syarikat Runner Sollution dalam kejohanan tersebut.

Sebanyak 33 pasukan mengambil bahagian dalam kategori Terbuka dan 48 pasukan lagi bagi kategori Lelaki Bawah 20 Tahun. Malah kejohanan ini juga berjaya menarik minat beberapa pasukan luar seperti dari Perak (Marlin FC), Terengganu (ABY FC, DJ Square FC dan Belalang FC ) selain Thailand yang turut menghantar empat pasukan bertanding.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Penasihat KB Futsal Arena, Datuk Sekarnor Che Omar. Hadir sama ialah Pengarah Urusan Norjahar Enterprise, Rosairil Asrul Mat Nor dan Mohd Amri Faizal Mat Nor.

No comments:

Post a Comment