Monday, November 21, 2011

TERIMA KASIH MEDIA KELANTAN - KARATHU


KOTA BHARU – Antara Datuk M Karathu dengan rakan media sukan negeri ini, ianya sudah pasti meninggalkan nostalgia yang tersendiri setelah pengendali berusia 68 tahun itu tidak lagi membimbing pasukan Kelantan pada musim depan.

Apa tidaknya, bekas pengendali pasukan Kelantan itu disifatkan seorang yang ‘mesra media’ dalam kalangan warga kerja media sukan di negeri ini yang sentiasa memburu beliau bagi mendapatkan sebarang ulasan mengenai pasukan bimbingannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan media cetak dan elektronik di Kelantan. Sepanjang satu musim saya membimbing pasukan negeri ini, mereka semua memberikan kerjasama yang cukup baik kepada saya.

“Nasihat saya kepada media ialah tulislah perkara yang benar. Sebagai media, mereka kena tenubual jurulatih dan tulis apa yang dicakapkan sahaja. Soal penulisan dari sudut pandang sendiri itu merupakan satu perkara yang lain.

“Kalau saya ada salah dan silap harap dimaafkan. Bola sepak dan media tidak boleh dipisahkan. Saya akui peranan media cukup penting dan kalau tidak ada media maka tidak adalah bola sepak. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh rakan media sukan di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diraikan sebilangan rakan media sukan negeri ini sempena majlis perpisahannya disalah sebuah restoran di sini, semalam.

Dalam majlis itu juga, Karathu juga turut melahirkan kekecewaannya setelah gagal membantu The Red Warriors menjulang kejuaraan Piala FA dan mempertahankan Piala Malaysia sepanjang membimbing Kelantan pada musim ini.

“Saya minta maaf kepada semua penyokong Kelantan atas kegagalan ini. Saya tahu mereka merupakan penyokong bola sepak yang terbaik di Negara ini. Mereka seperti penyokong di Brazil atau Eropah yang cukup setia dan meminati pasukan mereka. Kalaulah penyokong di setiap negeri sama seperti ini, saya fikir bola sepak kita pasti meningkat.

Kepada bekas pasukan bimbingnya, Karathu jelas mendoakan pasukan Kelantan akan tampil lebih hebat pada musim depan dengan memenangi seberapa banyak piala yang dipertandingkan.

“Saya masih mengganggap pasukan Kelantan adalah yang terbaik. Kita tampil dengan cara kita yang tersendiri dan menghiburkan. Kepada Tan Sri Annuar (Musa) saya ucapkan semoga berjaya dan saya sentiasa akan mengikuti perkembangan pasukan Kelantan dengan lebih dekat.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan beliau, Karathu menjelaskan, beliau mahu meluangkan masa untuk berehat bersama keluarga namun pada masa yang sama tidak menolak untuk kembali ke padang sebagai jurulatih bagi mana-mana pasukan pada masa depan.

“Bola sepak adalah darah daging saya. Saya akan terus berkongsi segala pengalaman yang dimiliki sejak 40 tahun lalu. Tengoklah, kalau ada tawaran bagus daripada mana-mana pasukan mungkin saya sedia pertimbangkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment