IRFAN BAKTI ABU SALIM
KUALA TERENGGANU – Kesilapan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang melepaskan dua gol mudah menjadi punca pasukannya tersungkur 0-3 kepada Kelantan dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.
Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau jarang meletakkan kesalahan ke atas pemain secara individu namun apa yang dilakukan Mohd Sharbinee Allawee tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan sepenting itu.
“Selaku penjaga gol berstatus kebangsaan, dia tidak seharusnya melakukan kesilapan seperti itu. Tindakan beliau meninggalkan gawang gol terlalu jauh akhirnya memberi peluang kepada pemain pasukan lawan menjaringkan gol dalam perlawanan itu,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.
“Tindakannya melepaskan gol kedua pada m-73 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha akhirnya membunuh semangat juang barisan pemain Terengganu. Selain itu, pemain kita juga sentiasa terperangkap dengan serangan balas pantas sekali gus membuka ruang kepada pemain Kelantan untuk menguasai bola.
“Kedua-dua pemain sayap yang diturunkan juga gagal berfungsi dengan baik dan ini tentunya menyukarkan kita melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan melalui posisi tersebut. Ketiadaan Mohamad Ashaari (Samsudin) merencatkan percaturan kita namun itu bukan alasan sebenar disebalik kekalahan ini,” katanya.
Menurut Irfan, tumpuannya selepas itu sudah pasti terarah kepada persiapan menghadapi Kelantan sekali lagi dalam pentas perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini sambil menamatkan baki dua perlawanan liga dengan mata maksimum.
Mohd Sharbinee Allawee Ramli melepaskan dua gol mudah dalam pertemuan menentang Kelantan, malam kelmarin
“Perjuangan memburu kejuaraan liga masih lagi terbuka. Kita tidak akan mudah menyerah kalah malah dalam baki dua perlawanan selepas ini, kita harus mengutip mata maksimum dan kita tidak boleh kalah lagi.
“Tumpuan saya selepas ini adalah mempersiapkan pasukan kerana kita akan bertemu Kelantan sekali lagi pada Sabtu ini. Saya berharap kekalahan pada perlawanan ini terubat dengan kita mengalahkan Kelantan pada pentas perlawanan akhir nanti,” katanya.
Kekalahan pasukan bimbingannya memaksa Terengganu menghuni tangga ketiga liga setelah satu lagi pencabar terdekat, Selangor kembali menghidupkan sisa perjuangannya dengan membelasah Perlis 7-1 di Shah Alam.
Ternyata, kekalahan 3-0 Terengganu kepada Kelantan malam semalam menamatkan penantian The Red Warriors untuk memecahkan rekod tanpa kalah setiap kali beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak tiga tahun lalu.
No comments:
Post a Comment