Wednesday, June 22, 2011

PM bersama TRW 2 Julai ini

Mohamad Noordin Awang

KOTA BHARU – Sejarah sekali lagi tercipta apabila buat pertama kalinya Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan menemui pemain The Red Warriors termasuk pemain skuad Piala Presiden Kelantan dalam satu majlis ‘PM Bersama TRW’ pada 2 Julai ini.

Mohd Najib yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan bukan sahaja akan bertemu dengan barisan pemain bola sepak Kelantan, malah akan melancarkan secara rasmi Akademi Al-Hamra Red Warrior (ARMY) pada satu majlis yang akan berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Machang Satu, Machang. 

Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Mohamad Noordin Awang berkata, walaupun Perdana Menteri mempunyai aturcara yang padat ketika melawat negeri ini, namun beliau tetap meluangkan masa untuk bersama pemain dan peminat bola sepak Kelantan.

“Ini merupakan satu pengiktirafan yang cukup bermakna buat sahaja kepada pihak Kafa malah rakyat negeri ini khususnya penyokong bola sepak TRW,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jawatankuasa di Kota Bharu, semalam.

“Untuk itu, pelbagai aktiviti akan diaturkan bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri itu. Selain dijangka hampir seribu penyokong dijangka berkonvoi ke tempat program itu, kita juga akan mendapatkan kerjasama daripada Kelab Motosikal Klasik Kelantan, Kelab Pemilik Perodua Viva dan Kelbikes Club menjayakan aktiviti berkonvoi itu.

Mohamad Noordin (tiga,kanan) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Kafa di Kota Bharu, semalam. 

“Selain itu, gerai-gerai pameran termasuk produk Warriors juga akan dijual diadakan pada hari tersebut. Malah 1,000 tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa Kelantan menentang kelab Pelita Jaya (Indonesia) akan diberikan secara percuma kepada pengunjung bertuah,” katanya.

Menurutnya, sempena sambutan bulan Ramadhan pada awal Ogos nanri, pihak Kafa juga akan mengagihkan hampir 5,000 imsakiyat Ramadhan kepada orang ramai yang menghadiri program ini.

“Para pengunjung juga berpeluang untuk mengenali bekas-bekas pemain bola sepak negeri ini daripada era 60’an hingga 90’an yang turut hadir ke majlis ini. Selain itu, peminat juga berpeluang untuk mendapatkan tandatangan dan bergambar dengan pemain bola sepak Kelantan.

“Kemuncak aturcara Perdana Menteri dalam majlis ini ialah beliau akan melancarkan secara rasmi ARMY yang pertama seumpamanya diwujudkan oleh persatuan bola sepak negeri di negara ini.

“Kita menjangkakan hampir 20,000 orang dijangka hadir ke program ini. Saya percaya dengan kehangatan bola sepak Kelantan sekarang terutamanya dalam pemburuan kejuaraan Liga Super, ramai peminat akan hadir ke program tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment