Othman Zakaria
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada pelajar-pelajar sekolah di sekitar Kota Bharu yang mahu menyaksikan perlawanan suku akhir pertama, pertemuan Kelantan menentang Johor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Jumaat ini.
Naib Presiden Kafa merangkap Pengurus Pasukan, Datuk Othman Zakaria berkata, sebagai salah satu usaha menggalakkan pelajar sekolah terlibat didalam bidang sukan, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengagihkan tiket tersebut kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri ini.
“Selain memberi sokongan kepada pasukan Kelantan, saya percaya usaha seperti ini mampu merangsangkan minat pelajar sekolah untuk terlibat dalam sukan bola sepak dengan lebih serius,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pasukan di Kota Bharu, semalam.
“Bagi pelajar yang berminat untuk menyaksikan perlawanan ini boleh mengemukakan nama mereka kepada pihak sekolah masing-masing untuk dimajukan kepada pihak Kafa dengan seberapa segera.
“Kita mahu para peminat hadir beramai-ramai di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan skuad Piala Presiden Kelantan. Malah kumpulan gendang kelab penyokong dan Ultras Kelantan juga akan turut sama memberikan sokongan kepada pemain kita,” katanya.
Sementara itu, Othman turut optimis pasukan yang terkenal dengan jolokan The President Warriors itu mampu melakarkan sejarah mara ke perlawanan akhir berdasarkan rekod cemerlangnya muncul juara kumpulan sebelum ini.
“Setelah sekian lama tercicir dalam saingan peringkat suku akhir, pada tahun ini kita berjaya menempatkan kembali dalam kelompok lapan pasukan terbaik. Saya yakin pasukan kita mampu mengatasi Johor dan mara ke peringkat separuh akhir.
“Malah sekiranya kita berjaya mara ke perlawanan akhir, saya menjangkakan perlawanan tersebut dapat diadakan di Kota Bharu nanti berdasarkan rekod penyokong kita yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung disini.
Othman (dua,kiri) mempengerusikan mesyuarat khas pihak pengurusan Piala Presiden Kelantan di Kota Bharu, semalam.
“Saya menaruh keyakinan yang tinggi dengan reputasi yang tunjukkan oleh para pemain muda ketika ini, hasrat kita untuk mara ke perlawanan akhir dan seterusnya muncul juara mungkin menjadi kenyataan,” katanya.
Skuad kendalian bekas pemain negeri, Zahasmi Ismail kini giat menjalani latihan insentif di Padang Mardi, Pasir Tumbuh setiap hari sebagai persediaan menghadapi Johor pada Jumaat ini.
Sementara itu, tiket-tiket bagi tempat duduk terbuka berharga RM5 dan astaka (RM10) akan mula dijual pada hari perlawanan Kelantan menentang Johor pada Jumaat ini.
No comments:
Post a Comment