Tuesday, June 7, 2011

SEMAKIN HAMPIRI KEJUARAAN


TERENGGANU 0

KELANTAN 3
Mohd Izuan Salahuddin (m-8)
Norshahrul Idlan Talaha (m-73,90)

KUALA TERENGGANU – Bayangan kejuaraan liga semakin menghampiri Kelantan setelah mengalahkan musuh tradisinya, Terengganu 3-0 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Lebih menarik lagi, kejayaan menumbangkan Sang Penyu dihadapan hampir 12,000 penyokong mereka sendiri menamatkan badi ‘kesukaran mencipta kemenangan’ di Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu.

Kekalahan 0-3 malam tadi memaksa Terengganu kembali menghuni tangga ketiga carta liga setelah pencabar terdekat, Selangor kembali menghidupkan saingan apabila berpesta gol mengalahkan Perlis 7-1 di Shah Alam malam tadi.

Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi jaringan pemain muda, Mohd Izuan Salahuddin. Berpunca serangan pantas, hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti ditampan kemas Mohd Izuan untuk menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli dipintu golnya.

Pada m-24, Terengganu hampir menyamakan kedudukan menerusi gerakan menarik daripada sudut sukar penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat yang menyaksikan rembatan kencangnya terpaksa ditepis keluar penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.

Namun empat minit kemudian, Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi melepaskan peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan apabila gagal menanduk tepat hasil sepakan percuma Mohd Daudsu sebelum itu.

Pada m-35, tuan rumah sekali lagi memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan kali ini menerusi rembatan cantik Joseph Kalang Tie dari jarak 30 meter namun bola rembatannya terus ke dakapan Mohd Shahrizan.


Enam minit kemudian, Terengganu sekali lagi meneruskan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang merbahaya oleh Ismail Faruqi Asha’ri namun Mohd Shahrizan bijak membaca hantaran tersebut.

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan hampir menambahkan gol keduanya apabila sepakan penjuru oleh Muhd Badhri, ditanduk kemas Norshahrul Idlan namun bola terkena bucu palang gol tatkala Mohd Sharbinee Allawee sudahpun tertewas dipintu golnya.  

Lima minit babak kedua bersambung, jelas penguasaan milik pasukan tuan rumah apabila penyerang kebangsaan, Abdul Manaf Mamat pantas melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti namun peluang keemasan tersebut gagal disempurnakan oleh Abdul Hadi Yahaya didepan pintu gol Kelantan.

Asakan menggila Terengganu semakin ketara dua minit kemudian apabila pemain tengah, Ahmad Nordin Alias pula melakukan rembatan kencang didalam kotak penalti yang memaksa Mohd Shahrizan sekali lagi merebahkan badan untuk menyelamatkan percubaan tersebut.

Seminit kemudian, serangan balas Terengganu sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila hantaran lambung Abdul Hadi ditampan Ismail Faruqi namun Mohd Shahrizan berada tepat dikedudukannya untuk menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Pujian harus diberikan kepada barisan pemain pertahanan Kelantan yang beraksi cemerlang malam tadi mengekang setiap asakan bertali arus oleh pemain tuan rumah. Malah, kehebatan penjaga gol, Mohd Shahrizan yang tampil kali kedua menjaga gawang harus dibangga kerana menangkis setiap percubaan merbahaya rangkaian penyerang Terengganu terutamanya pada babak kedua perlawanan.

Disebalik keghairahan pasukan Terengganu menyerang bertubi-tubi ke pintu gol Kelantan untuk merapatkan jurang gol akhirnya membawa padah kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim dalam perlawanan malam tadi.

Kesilapan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee yang meluru keluar dan bertembung dengan Mohd Muhaimin Omar diluar kotak penalti pintu golnya dihukum menerusi jaringan mudah Norshahrul Idlan pada m-73 perlawanan.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan sekali lagi terlepas peluang untuk menjadikan kedudukan selesa apabila menyepak liar ke pintu gol Terengganu setelah menyambut baik hantaran lintang Mohd Izuan disebelah kiri penjuru padang.  


Ketinggalan dua gol sememangnya memberi tekanan berganda kepada pasukan Terengganu. Dua peluang terbaik Terengganu selepas itu hadir pada m-79 menerusi sepakan percuma Ismail Faruqi yang sedikit melewati pintu gol sementara rembatan kencang Abdul Hadi empat minit kemudian pula jauh tersasar.

Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kelekaan pemain Terengganu yang mengasak ke pintu gol Kelantan sekali lagi membawa padah apabila dihukum juga menerusi jaringan mudah Norshahrul Idlan.

Hasil serangan balas pantas, Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan hantaran rakan sepasukan dengan memperdayakan pemain pertahanan, Mazlizam Mohamad sebelum merembat kencang ke penjuru kiri pintu gol Terengganu untuk membunuh semangat juang pemain Terengganu dalam perlawanan malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

TERENGGANU : Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Muhaimin Omar (Hasmizan Kamarodin), Helmi Remeli, Mohd Mazuki Yusoff (KP), Ahmad Nordin Alias, Mazlizam Mohamad, Ismail Faruqi Asha’ri, Joseph Kalang Tie (Wan Mohamad Aliff Wan Jasmi), Reeshafiq Alwi (Mohd Fakhrurazi Musa), Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin (Wan Rohaimi Wan Ismail), Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Mohd Izuan Salahuddin, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Terengganu (3) Kelantan (2)
Percubaan tersasar : Terengganu (6) Kelantan (4)
Sepakan penjuru : Terengganu (3) Kelantan (3)
Sepakan percuma : Terengganu (14) Kelantan (17) 
Ofsaid : Terengganu (5) Kelantan (1)
Kekasaran : Terengganu (12) Kelantan (12)
Kad kuning : Terengganu (Mohd Mazuki Yusoff) Kelantan (Mohd Farisham Ismail dan  Mohd Daudsu Jamaludin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lima minit
Penguasaan bola : Terengganu (52%) Kelantan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Abu Bakar Mohd Noor
Penolong Pengadil 1: Mohd Mazlan Md Desa
Penolong Pengadil 2: Azmi Khalid
Pegawai Keempat : Ismadi Ibrahim
Kommissioner Perlawanan : Nasaruddin Ishak
General Koordinator : Ishak Salleh

No comments:

Post a Comment