Wednesday, June 8, 2011

PENYOKONG PAMER DISIPLIN TERBAIK

YAHYA JAMADA ALI 

KOTA BHARU – Tiada lagi insiden buruk berlaku. Begitulah senario yang dapat dilihat oleh kedua-dua penyokong Terengganu dan Kelantan ketika memberi sokongan kepada pasukan masing-masing pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong Induk Bola Sepak Kelantan, Yahya Jamada Ali berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak anggota keselamatan khususnya Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang memberikan kerjasama terbaik bagi memastikan langkah keselamatan berada ditahap maksimum dalam perlawanan tersebut.

“Saya bagi pihak kelab penyokong ingin mengucapkan terima kasih kepada hampir 1,500 penyokong setia Kelantan yang menunjukkan disiplin terbaik selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa semasa menyaksikan perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Saya berharap semangat kesukanan yang tinggi ini diteruskan apabila kita sekali lagi bersama-sama penyokong Terengganu berkampung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini. Sebagai peminat kita akan berusaha menjaga nama baik negeri ini dan sentiasa berdiri teguh dibelakang pasukan Kelantan.

“Malah saya juga mahu merakamkan penghargaan kepada Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) yang memberikan kerjasama terbaik kepada penyokong Kelantan. Kita sempat bertukar-tukar cenderahati dengan Timbalan Pengerusi kelabnya, Datuk Mohd Hazlan Ismail dan semoga hubungan erat ini akan terus berkekalan,” katanya.

Menurut Yahya Jamada, walaupun dalam bola sepak, Kelantan dan Terengganu sentiasa dianggap sebagai musuh tradisi diantara satu sama lain, namun hakikat sebenarnya hubungan baik diantara kedua-dua penduduk negeri ini tidak dapat dipisahkan apabila banyak berkongsi perkara yang sama termasuk rutin kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment