Zahasmi Ismail
KOTA BHARU – “Sukar pilih pemain’. Demikian luahan Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Kelantan, Zahasmi Ismail tatkala melihat persaingan sengit 24 pemainnya bagi merebut tempat didalam kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi Johor dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.
“Saya tidak boleh kata pemain itu bagus, pemain ini kurang kerana rata-rata pemain mempunyai keupayaan yang seimbang. Ianya merupakan sesuatu yang sukar bagi saya dalam memilih pemain namun itu merupakan satu perkembangan yang sihat bagi sesebuah pasukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus mengendalikan sesi latihan, semalam.
“Mereka kini bersaing hebat diantara satu sama lain bagi merebut tempat. Tidak ada jaminan tempat bagi mereka sekalipun pernah berada didalam kesebelasan pasukan sebelum ini. Hanya mereka yang menunjukkan komitmen terbaik dalam latihan bakal tersenarai.
“Malah pemain sendiri mengakui mereka berasa terancam dengan posisi masing-masing. Saya lihat perkara ini merupakan satu persaingan yang sihat dan bakal menyemarakkan semangat setiap pemain untuk merebut tempat didalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.
Menurutnya, pertemuan menentang Johor tidak semudah yang disangkakan apatah lagi kekuatan pasukan dari negeri selatan tanah air itu tidak banyak diketahui memandangkan pasukan tersebut beraksi dalam kumpulan berbeza musim ini.
“Namun kita harus waspada kerana berdasarkan rekod carta liga, pasukan ini menjaringkan gol yang banyak. Ini bererti keupayaan pasukan ini terutamanya kehebatan pemain penyerang tidak boleh dipandang mudah oleh barisan pertahanan kita.
“Saya percaya dengan persiapan yang kita lakukan sejak 14 Jun lalu, kita mampu mengatasi halangan pertama ini. Kecuali Mohd Faiz (Suhaimi), semua pemain lain bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan. Ini menggembirakan saya.
“Walauapapun, saya mengingatkan kepada semua pemain memanfaatkan kelebihan beraksi digelanggang sendiri bagi membolehkan kita mendapatkan seberapa banyak gol sebagai bekalan selesa sebelum bertandang ke Johor Bahru pada 30 Jun nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahasmi turut menyambut baik kehadiran pemain Liga Super, Mohd Izuan Salahuddin ke dalam pasukannya yang diharap dapat menyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang lain apabila bertemu Johor nanti.
No comments:
Post a Comment