Wednesday, June 8, 2011

KEMENANGAN SUNTIK SEMANGAT

DATUK M KARATHU

KOTA BHARU – Bola sepak kadang-kala penuh dengan kekejaman. Itu yang terjadi kepada Terengganu yang terpaksa akur dengan kekalahan luar jangkaan 3-0 kepada musuh tradisinya, Kelantan dalam aksi perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam semalam.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim tersungkur menerusi gol seawal minit kelapan oleh Mohd Izuan Salahuddin sementara dua gol pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dalam tempoh 20 minit terakhir menutup terus sisa perjuangan pemain Terengganu.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kemenangan tersebut mampu menyuntik semangat anak buahnya menghadapi lawan yang sama dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

“Kemenangan ini merupakan satu motivasi yang diharap dapat melonjak moral pemain menghadapi Terengganu sekali lagi pada Sabtu ini. Berbaki dua perlawanan, saya fikir kita berada dilandasan yang tepat untuk muncul juara liga musim ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Memang kita mendapat tentang sengit daripada Terengganu dalam perlawanan ini. Saya harus memberi pujian kepada barisan pemain pertahanan yang bekerja keras malah faktor pemain yang bermain mengikut arahan juga menjadi punca kemenangan kita dalam perlawanan ini.

“Kita tidak memberi ruang kepada pemain Terengganu untuk bergerak bebas. Kita mendapat gol pertama pada minit awal dan menguasai perlawanan selepas itu. Walaupun Terengganu cuba bangkit pada babak kedua, tetapi kita masih mampu bertahan dengan baik sehingga menjaringkan dua gol menerusi serangan balas,” katanya.

Karathu berkata, tidak lagi seperti perlawanan dahulu, pemainnya kini belajar daripada kesilapan apabila menggunakan sepenuhnya peluang yang terhidang dengan menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Kita memanfaatkan semua peluang dengan menjaringkan gol. Kemenangan ini cukup menyakinkan saya betapa kita berpeluang cerah untuk muncul juara walaupun saingan liga masih berbaki dua perlawanan.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha bijak memperdayakan Kapten Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff dalam pertembungan menarik menentang Terengganu di Kuala Terengganu, malam kelmarin

“Apa yang boleh saya katakan, kita ke Bukit Jalil dengan membawa keyakinan yang cukup tinggi. Satu motivasi yang bagus untuk semua pemain namun pada masa yang sama saya tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana sudah pasti suasana ketika itu amat berbeza daripada perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang meledak dua gol dalam perlawanan itu kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak iaitu 15 gol dengan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya tatkala saingan liga masih berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan.

No comments:

Post a Comment