Monday, August 30, 2010

PERANAN ANNUAR TIDAK HARUS DIKETEPIKAN


KOTA BHARU – Rumah siap pahat berbunyi. Begitulah perumpamaan tepat sebaik sahaja pengumuman senarai 19 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010/2014 diumumkan tempohari. 

Perlantikan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dan Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL) mencetus perdebatan hangat bukan sahaja dikalangan peminat bola sepak di negeri ini, malahan kalangan bekas pemain bola sepak dan bloggers sukan juga turut membincangkan isu yang sama.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat berkata, pihaknya nyata cukup kecewa diatas perlantikan Presiden Kafa itu bagi jawatan yang disifatkan tidak cukup mencabar dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu. 

“Kebiasaannya sebagai orang nombor dua tertinggi dalam persatuan, beliau seharusnya diberi tanggungjawab yang lebih berat mengemudi jawatankuasa penting. Tetapi apabila beliau diberi jawatan tersebut (Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita), memperlihatkan kredibiliti beliau seolah dipersendakan.

“Seumpama dalam politik, anda merupakan merupakan orang nombor dua terpenting dalam parti tetapi wajarkah anda diberi jawatan menteri yang kurang menonjol. Itu yang saya nampak. Jawatan itu seharusnya diberikan dikalangan naib-naib presiden yang lain. Bukan Timbalan Presiden yang harus memikul tanggungjawab tersebut.

“Dua Timbalan Presiden harus seiring berganding bahu memikul tanggungjawab mengemudi jawatankuasa yang lebih penting. Setakat memimpin jawatankuasa bola sepak wanita, saya percaya Naib Presiden FAM yang lain mampu menggalas tugas itu.

“Macam Datuk Hamidin Mohd Amin (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan), saya melihat beliau merupakan satu-satunya calon yang paling layak untuk menerajui bidang kuasa tersebut berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh beliau. Jadi perlantikan beliau sememangnya tidak perlu dipertikaikan.

Marhashim berkata, jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia (MSL) merupakan satu jawatan yang sesuai disandang oleh Annuar Musa dan peminat bola sepak tempatan menanti perubahan yang bakal dilakukan oleh beliau.

“Saya percaya dengan perubahan yang mampu dilakukan oleh beliau bagi menghidupkan kembali kemeriahan Liga Malaysia bermula musim depan.

“FAM seharusnya membuka mata, gunakan pengalaman dan cetusan idea beliau yang telah berjaya membawa perubahan yang cukup besar dalam bola sepak Kelantan sejak tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Azman Mohd Noor pula mempunyai pandangan yang berbeza didalam hal tersebut. 

“Perlantikan Annuar Musa diharap mampu memberi nafas baru dalam bola sepak wanita. Setelah sekian lama terperosok malahan mempamerkan aksi yang buruk dalam kejohanan Sukan Sea tahun lalu, bola sepak wanita harus digerakkan seiring dengan pasukan bola sepak lelaki kebangsaan. 

“Annuar Musa mempunyai tugas yang cukup sukar untuk menaikkan kembali martabat bola sepak wanita kebangsaan dalam tempoh empat tahun bermula daripada sekarang. Kita berharap beliau mampu menggalas tanggungjawab tersebut berdasarkan pengalaman beliau memimpin Kafa sebelum ini.

“Tentang peranan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa MSL pula, saya melihat ianya satu peluang bagi beliau untuk menarik kembali sokongan penaja dan peminat bola sepak tempatan datang ke stadium sebagaimana yang beliau lakukan di Kelantan. Ini merupakan salah satu agenda utama beliau bagaimana untuk menjenamakan semula Liga Malaysia ke tahap yang lebih kompetitif,” katanya.

No comments:

Post a Comment