Sunday, August 15, 2010

Tetap kekalkan kecergasan – Azman


Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri memantau latihan ringan yang dilakukan pemain Kelantan ketika berada di Madinah.

KOTA BHARU – Skuad bola sepak Liga Super Kelantan yang kini berada di Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah tetap bersemangat menjalani latihan ringan bagi mengekalkan kecergasan biarpun mengharungi bulan Ramadan.

Seramai 49 ahli rombongan termasuk 29 pemain dan pegawai pasukan Liga Super musim lalu kini di tanah suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah selama 12 hari.

Antara yang turut menyertai rombongan tersebut ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fattah Mahmood, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah serta ahli majlis Kafa dan juga segelintir peminat bola sepak Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, walaupun rombongan pemain tanpa ditemani Ketua Jurulatih, B Sathianathan, tetapi dua pembantunya Hashim Mustapha dan Sidek Samsuddin diberi tugas memastikan tahap kecergasan pemain berada ditahap terbaik.

“Bulan puasa tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain tidak mengekalkan tahap kecergasan mereka, sebaliknya bulan penuh keberkatan ini juga memberi peluang kepada para pemain untuk mengekalkan tahap kesihatan sebaik mungkin,” katanya menerusi pesanan ringkas daripada laman sosial, Facebook kepada Sinar Harian semalam.

“Walaupun kedatangan kita ke sini adalah untuk mengerjakan ibadah umrah, tetapi pemain harus tahu bahawa mereka perlu melakukan ‘kerja rumah’ seperti mana yang dipesan oleh Sathianathan.

“Mereka harus bersedia daripada sekarang (mengekalkan tahap kecergasan) kerana sebaik sahaja pulang ke Kelantan nanti, mereka akan terus menjalani latihan insentif pada sebelah malam bermula 20 Ogos ini.

Menurut Azman, semua ahli rombongan kini berada keadaan sihat dan tetap bersemangat menjalani ibadah puasa terutama sekali bagi ahli rombongan yang baru pertama kali berpeluang mengerjakan ibadah umrah.

“Pengalaman menjalani ibadah puasa disini (Madinah) merupakan satu pengalaman yang cukup menarik dan tidak boleh dilupakan.

“Esok (hari ini) kami akan bertolak ke Mekah selepas solat Jumaat dan akan berada disana selama lima hari empat malam.

“Kami dijadualkan berlepas pulang pada 18 Ogos ini jam 12 tengah malam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.30 petang keesokkan harinya,” katanya.

Antara beberapa pemain pinjaman musim lalu yang turut menyertai rombongan ini ialah Nazrulerwan Makmor (Felda United FC), Norhisham Hassan (T-Team) selain pemain yang digugurkan musim ini seperti Ahmad Azlan Zainal, Mohd Nafuzi Mahammad Zain, Mohd Saffuan Ibrahim, Mohd Shahrizan Ismail, dan Normizal Ismail.

No comments:

Post a Comment