Monday, August 30, 2010

40 KELAB SERTAI LIGA ANTARA KELAB


Sebahagian pengurus pasukan dan jurulatih kelab hadir mendengar taklimat dan undian di Wisma Kafa petang semalam.

KOTA BHARU – Sebanyak 40 kelab mengesahkan akan membawa cabaran dalam Kejohanan Liga Antara Kelab anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dijadualkan bermula pada 18 September depan.

Kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Kafa itu menyaksikan pembabitan hampir keseluruhan kelab dibawah naungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) di negeri ini termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Semalam, telah berlangsung satu majlis pengundian peringkat kumpulan dan majlis berbuka puasa bersama wakil pengurusan kelab bersama  JKPT Kafa yang diadakan di Wisma Kafa, Kubang Kerian.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan dalam taklimatnya berkata, 40 kelab terbabit telah diundi kepada 13 pasukan dimana setiap kumpulan terbabit mempunyai tiga pasukan.

“Kafa terpaksa menghadkan penyertaan sebanyak 40 pasukan sahaja. Kita menerima 52 penyertaan sebelum ini, tetapi kita terpaksa menolak penyertaan 12 kelab lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua wakil kelab yang hadir pada majlis pengundian dan taklimat yang disampaikan pada hari ini cukup penting sebagai makluman kepada pasukan yang bertanding.

“Taklimat mengenai aspek pengadilan dan juga syarat-syarat penyertaan cukup penting agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini disamping memastikan kejohanan ini berlangsung dengan lancar,” katanya.

Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah dalam ucapannya berkata, mengucapkan terima kasih kepada semua wakil kelab yang memberikan komitmen yang tinggi untuk menyertai kejohanan itu.

“Memandangkan kejohanan ini merupakan pertama kali dianjurkan, pihak Kafa melihat kejohanan ini sebagai satu perintis kepada penganjuran kejohanan yang sama pada masa akan datang.

“Begitupun, segalanya bergantung kepada sejauh mana kelancaran kejohanan pada tahun ini, dan kita akan menilai secara keseluruhan perjalanan liga tahun ini bagi menambahbaik untuk penganjuran masa depan.

Sementara itu dalam majlis yang sama, pihak Kafa turut mengadakan undian bagi Kejohanan Piala Presiden Kafa yang turut akan berlangsung pada pertengahan bulan depan juga.

No comments:

Post a Comment