Sunday, August 8, 2010

Kelantan, Negeri Sembilan diundi satu kumpulan


Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunjukkan nama negeri yang bertanding dalam undian Piala Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

KELANA JAYA – Dua finalis Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dan Kelantan bakal berentap lebih awal apabila diundi dalam satu kumpulan dalam kempen TM Piala Malaysia musim ini.

Majlis pengundian TM Piala Malaysia 2010 telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Negeri Sembilan, juara Piala Malaysia musim lalu menghadapi cabaran getir apabila bukan sahaja terpaksa menghadapi seterunya, Kelantan malahan bakal mendapat tentangan sengit daripada KL Plus FC dan juga pasukan ketiga terbaik Liga Perdana musim ini, PKNS FC yang diletakkan dalam kumpulan A.

Kelantan dilihat pasukan pilihan pilihan untuk mejuarai kumpulan ini, namun Negeri Sembilan, pasukan yang dua kali tewas ditangan Kelantan musim ini pasti menyedari saingan Piala Malaysia amat berbeza dengan Liga Super.

Cabaran KL Plus FC dan PKNS FC yang dibimbing oleh Abdul Rahman Ibrahim juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja. KL Plus FC bangkit untuk menduduki tangga pertengahan liga setelah mengalami kemerosotan diawal musim, manakala PKNS FC tetap memasang impian dalam kempen ini biarpun hajat untuk layak ke Liga Super musim depan dinafikan oleh Sabah disaat-saat terakhir.

Sementara itu, dua pasukan Pantai Timur, Terengganu dan Pahang diundi dalam kumpulan B bersama dengan Kuala Lumpur dan juga pendatang baru Liga Super musim depan, Sabah.

Diatas kertas, Terengganu sedikit berkelebihan apabila muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super musim ini, sementara pencapaian sederhana Pahang dan Kuala Lumpur juga tidak boleh diketepikan. Saingan daripada pasukan Sabah, yang kembali ke kancah Liga Super musim depan juga tidak boleh dinafikan setelah muncul naib juara Liga Perdana musim ini dibelakang Felda United FC.

Dalam kumpulan C, Kedah dan Johor FC mungkin dilihat pasukan pilihan ke peringkat suku akhir andai prestasi mereka dalam saingan liga musim ini dijadikan ukuran. Begitu pun, barisan pemain muda Perak juga boleh mencipta kejutan sekiranya dipandang rendah.

Satu lagi pasukan, ATM turut berada didalam kumpulan ini yang menyaksikan kekuatan  pasukan ini pasti menjadi persoalan  ketiga-tiga pasukan yang lain.

Pertembungan paling menarik berlaku dalam undian kumpulan D. Kehebatan Juara Liga Super musim ini, Selangor bakal teruji apabila diundi bersama dengan Juara Liga Perdana, Felda United FC. Dua lagi pasukan dalam kumpulan ini, Perlis dan pasukan berstatus kelab, T-Team juga tetap memasang impian untuk mencipta kejutan layak ke peringkat suku akhir.

Undian yang disifatkan lebih adil dan terbuka ini sudah pasti menjanjikan saingan dan kehangatan yang berbeza dalam kejohanan bola sepak yang disifatkan paling berprestij di negara ini.

Pada majlis semalam juga, Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan, turut diumumkan sebagai General KoordinatorTerbaik TM Liga Malaysia musim ini.

No comments:

Post a Comment