Sunday, August 8, 2010

PEMAIN TERUJA TUNAI UMRAH



Abdul Fattah Mahmood bersama sebahagian pemain Kelantan mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluarga sebelum berlepas ke ibu negara dan menyambung penerbangan ke Jeddah malam tadi


KOTA BHARU – Rombongan pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan selamat berlepas ke Jeddah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang malam tadi bagi mengerjakan ibadah umrah selama 12 hari.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood mengetuai barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, petang semalam.

Kalangan pemain-pemain Kelantan yang ditemui semalam menyifatkan pengalaman mengerjakan ibadah umrah merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan dalam usia yang muda.

Pemain pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak berkata, beliau begitu teruja kerana buat pertama kali berpeluang mengerjakan ibadah umrah ini.

Zairul Fitree Ishak

‘'Perasaan sudah tentu gembira bercampur teruja. Pada usia yang muda sebegini, kesempatan diberi peluang mengerjakan ibadah umrah tidak harus dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Ini merupakan hadiah paling istimewa yang pernah saya terima. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menghadiahkan pakej umrah kepada pemain Kelantan diatas kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Pada masa yang sama, saya tetap berdoa semoga pasukan Kelantan akan terus mantap dan semoga kita berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Liga Super Kelantan, Mohd Hashim Mustapha berkata, ini merupakan kali kedua beliau berpeluang mengerjakan ibadat umrah.

Mohd Hashim Mustapha

“Pertama kali mengerjakan ibadah umrah pada tahun 1996, ketika mewakili Kedah saya menjalani latihan selama dua minggu di Qatar, kemudian terus mengerjakan ibadah umrah selepas itu.

“Ini merupakan kali kedua, dan sudah pasti gembira kerana berpeluang bersama-sama pemain Kelantan mengerjakan ibadah kali ini.

“Mungkin disana (Kaherah), kita berpeluang berjumpa dengan salah sebuah kelab bola sepak terkemuka dalam liga disana. Saya fikir peluang sebegini merupakan serampang dua mata yang tidak boleh kita sia-siakan.

Menurut Mohd Hashim, beliau akan mendoakan mudah-mudahan pasukan Kelantan meraih kejayaan menjuarai Piala Malaysia musim ini setelah sudah tiga kali berturut-turut bergelar naib juara dalam tiga kejohanan berbeza  dalam tempoh dua ini.

No comments:

Post a Comment