Monday, August 30, 2010

K SOLEY SAH MILIK KELANTAN



Aksi lincah bekas pemain pertahanan Perlis, K Soley (kiri) menarik perhatian Kelantan untuk mengikat kontrak pemain ini selama dua tahun.

KOTA BHARU – Segalanya sudah termeterai. Pemburuan hampir dua tahun untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan yang berasal dari Kedah akhir tercapai.  Kini sah Solehin Kanasian Abdullah atau lebih dikenali dengan nama K Soley akan menyarung jersi Kelantan untuk saingan pentas Liga Malaysia musim hadapan.

Biarpun saingan Liga Malaysia musim ini belum berakhir, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak negeri pertama di negara ini memancing pemain luar untuk bermain dengan  Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi, mengesahkan bekas pemain pertahanan Perlis musim ini telah mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan.

“Bulan lalu, beliau telah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan setelah kontraknya bersama pasukan Perlis tamat penghujung bulan Julai lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaubagaimanapun, kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau untuk kempen Piala Malaysia tidak lama lagi memandangkan namanya masih didaftar bersama pasukan Singa Utara musim ini.

Menurut Annuar, bekas pemain Perlis itu dijangka akan datang ke Kota Bharu pada 1 September ini bagi menghadiri satu majlis anjuran pihak KAFA.

“Kelibat beliau akan kelihatan di Kota Bharu pada hari Rabu ini sebelum beliau melapor diri secara rasmi paa pertengahan bulan depan untuk menjalani latihan bersama skuad Kelantan.

“Amat malang kerana kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau dalam kempen Piala Malaysia kali ini memandangkan namanya masih didaftar bersama Perlis sedangkan kontraknya sudah pun tamat sebulan yang lalu.

“Namun begitu pihak Kafa tidak mempunyai perancangan dalam waktu terdekat untuk menggunakan khidmat beliau, cukup dengan barisan pemain sedia ada musim ini bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

Bekas pemain kebangsaan yang berumur 27 tahun itu memulakan kerjaya beliau sebagai pemain bola sepak Kedah dari tahun 2002 sehingga 2007 sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Perlis pada tahun berikutnya.

Sebaliknya, kelincahan pemain pertahanan dan tengah kanan pasukan Perlis itu sudah pun  diintai oleh pihak pengurusan Kelantan sejak tahun lepas lagi tetapi oleh kerana beliau masih lmempunyai kontrak bersama Singa Utara memaksa hajat Kelantan mendapatkan khidmat pemain ini terpaksa dilupakan seketika.

No comments:

Post a Comment