Thursday, August 5, 2010

TIDAK PERLU LETAK JAWATAN - ANNUAR


Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menganggap cadangan supaya anggota jawatankuasa FAM yang terpilih pada pemilihan kongres tahunan minggu lalu melepaskan jawatan diperingkat negeri sebagai tidak praktikal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan yang dikemukakan oleh bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dalam akhbar kelmarin.

“Saya fikir polemik sebegini (melepaskan jawatan) merupakan satu perkara yang tidak penting. Kita perlu merujuk kembali kepada peraturan-peraturan sedia ada dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja bakal kita lakukan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Saya fikir lebih baik banyak polemik kepada soal-soal bagaimana hendak memperbaiki kedudukan Malaysia dalam senarai Fifa. Itu yang perlu kita fikirkan dan merupakan satu cabaran yang besar bagi kita.

“Kita juga perlu memikirkan bagaimana mahu memastikan Liga Malaysia pada musim hadapan tampil dengan wajah baru. Kita juga mesti menyelesaikan masalah berkenaan status skuad Harimau Muda sama ada perlu pergi ke luar negara (Slovakia atau Korea) atau tidak. Semua ini memerlukan kita membuat keputusan dengan cepat,” katanya.

Annuar berkata, FAM mempunyai banyak tugas-tugas yang berjalan secara berterusan sepanjang musim ini seperti Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Sementara itu, Annuar turut mengakui mutu bola sepak negara mula mendapat perhatian dan mendapat publisiti yang begitu meluaskan sejak akhir-akhir ini.

“Saya fikir masa untuk bergembira selepas pemilihan (kongres tahunan lalu) sudah pun berakhir dan masa bekerja secara serius harus bermula daripada sekarang

“Kerja mengendalikan bola sepak Malaysia bukan satu perkara yang mudah. Ianya tidak sama seperti mengendalikan persatuan bola sepak negeri yang sangat berbeza, terutama sekali dalam merangka program pembangunan, bagaimana untuk mengubah mutu penganjuran liga tempatan dan juga penyertaan daripada pihak swasta.

“Saya selalu tekankan, terdapat empat segmen yang perlu kita ambil perhatian iaitu pihak FAM, pihak kerajaan, pihak swasta dan juga peminat-peminat bola sepak. Saya harap pihak media dapat menitikberat tentang empat perkara yang saya sebutkan itu.

“Ini merupakan satu cabaran besar kepada bola sepak negara. Kita (FAM) belum berkesempatan lagi mengadakan mesyuarat. Jadi saya minta kepada semua peminat-peminat bola sepak memberi ruang dan masa kepada kita di FAM,” katanya.

No comments:

Post a Comment