Thursday, July 28, 2011

SEMANGAT JUANG FAKTOR JUARA

KOTA BHARU – Faktor semangat juang yang tinggi dilihat antara resipi kejayaan Kelantan menjuarai Piala Presiden setelah mengalahkan Majlis Perbandaran (MP) Muar 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, penyerang sensasi The President Warrior, Mohamad Aris Zaidi membuka tirai jaringan Kelantan seawal minit kesembilan sebelum defisit satu gol itu dipadamkan pemain MP Muar, Mohd Nor Hakim Hassan tidak lama kemudian.

Namun bekas pemain Harimau Muda musim lalu, Mohd Khairul Izuan Rosli muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit keempat masa tambahan membolehkan Kelantan meraih trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai RM100,000.

Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail merupakan antara individu yang paling gembira diatas kejayaan pasukan bimbingannya yang menjulang kejuaraan Piala Presiden setelah menempuh

“Walaupun kita terpaksa beraksi dengan 10 pemain, namun semangat juang yang ditunjukkan pemain saya begitu menakjubkan. Saya harus berbangga dengan persembahan pemain saya,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Namun pujian juga harus diberikan kepada pemain MP Muar yang memberikan tentangan sengit kepada kita. Terbukti mereka sebuah pasukan yang tidak kurang hebatnya.

“Kalau dibandingkan dengan pasukan lain, saya rasa pasukan kita yang paling baru kerana dibentuk bulan Januari lalu sedangkan pasukan lain sudah dibentuk sejak tahun lalu. Namun saya sentiasa percaya dengan kemampuan pemain saya. Ada dua atau tiga pemain yang berpotensi diketengahkan ke dalam skuad senior,” katanya.

Sementara itu, bagi Jurulatih MP Muar, Rosli Omar, beliau akur diatas kegagalan pasukan bimbingannya untuk menjulang piala musim ini sekali pun memberikan tentangan sengit kepada pemain Kelantan dalam perlawanan itu.

“Tahniah kepada pasukan Kelantan kerana muncul juara. Walaupun mereka beraksi dengan 10 pemain tetapi mereka bermain mati-matian. Semangat juang yang tinggi menjadi faktor kejayaan mereka dalam perlawanan ini.

“Apa yang saya lihat persembahan pemain saya tidak seperti yang saya harapkan. Mungkin pelbagai faktor seperti perasaan gemuruh kerana beraksi dihadapan penyokong lawan selain keadaan padang yang becak.

“Namun itu bukan alasan sebenar disebalik kekalahan ini. Saya percaya semua pemain saya sebenarnya boleh beraksi lebih baik daripada perlawanan ini. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment