Thursday, July 28, 2011

KELANTAN JUARA PIALA PRESIDEN

Barisan pegawai dan pemain Kelantan meraikan kejayaan menjulang Piala Presiden

KELANTAN 2
Mohamad Aris Zaidi (m-9)
Mohd Khairul Izuan Rosli (m-94)

MP MUAR 1
Mohd Nor Hakim Hassan (m-23)

(Kedudukan terikat 1-1 dalam waktu permainan sebenar)

KOTA BHARU – Reputasi Kelantan selaku kuasa baru bola sepak tempatan sekali terbukti apabila muncul juara Piala Presiden setelah mengalahkan Majlis Perbandaran (MP) Muar 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kali terakhir merangkul kejuaraan lima tahun lalu, skuad The President Warriors mengotakan janjinya dengan melengkapkan kejuaraan yang dimenangi malam tadi  menjadikan enam trofi kejuaraan keseluruhan kini disimpan megah oleh pasukan Kelantan.

Malah kejayaan muncul juara edisi kali ini membolehkan Kelantan meraih trofi kejuaraan selain hadiah wang tunai RM100,000 sementara MP Muar selaku naib juara sekadar berpuas hati membawa pulang wang tunai RM50,000.

Beraksi dihadapan hampir 4,000 penyokong setia, rentak kecemerlangan Kelantan bermula seawal minit kesembilan menerusi jaringan penyerang sensasinya, Mohamad Aris Zaidi.

Berpunca sepakan penjuru Mohd Khairul Izuan Rosli, Mohamad Aris memanfaatkan situasi kelam-kabut didalam kotak penalti dengan merembat kencang menewaskan penjaga gol MP Muar, Mohd Khairul Izzuwan Shaari untuk gol pertama Kelantan.

Pada m-21, bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan hampir menambahkan jaringan untuk Kelantan apabila rembatannya gagal ditangkap kemas Mohd Khairul Izzuwan namun pemain pertahanan MP Muar sempat mengeluarkannya daripada situasi merbahaya didepan pintu golnya.

Pengurus Pasukan Kelantan, Othman Zakaria (tengah) menjulang piala bersama Ketua Pasukan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim sambil diperhatikan Annuar

Jurulatih Kelantan, Zahasmi memberi kata-kata semangat kepada pemainnya sebelum meneruskan perlawanan dalam masa tambahan.

Penyerang Kelantan, Mohamad Aris Zaidi cuba merebut bola dari kaki S Harivarman

Selang dua minit kemudian, pasukan MP Muar berjaya menjadikan kedudukan 1-1 apabila berjaya menjaringkan gol menerusi Mohd Nor Hakim Hassan. Kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang terlalu memberi ruang akhirnya dihukum oleh Mohd Nor Hakim menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang menyaksikan Muhamad Syazwan Yusoff gagal menangkap kemas rembatannya.

Pada m-29, kelekaan benteng pertahanan Kelantan sekali lagi hampir membawa padah apabila penyerang pasukan pelawat,  S Harivarman sempat menyepak tepat ke pintu gol Kelantan namun Muhamad Syazwan bijak menepis keluar percubaan tersebut.

Pada m-44, penyerang Kelantan, Muhammad Shahiran Md Zin yang berjaya melepasi kekangan S Sadesh Kumar turut terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila hanya mampu menyepak lemah ke pintu gol MP Muar.

Minit-minit akhir babak pertama, pasukan pelawat turut mencuri tumpuan kali ini menerusi rembatan Zailan Mohamad didalam kotak penalti yang terus ke dakapan Muhamad Syazwan.

Bersambung babak kedua, Kelantan mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun Mohd Khairul Izzuwan bijak menepis keluar rembatan Muhammad Shahiran Md Zin pada m-55 dan Mohamad Aris selang dua minit kemudian.

Pasukan MP Muar yang sekali-sekala menyerang turut mempunyai peluang terbaik pada m-65 menerusi Mohd Nor Hakim namun tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.

Pada m-87, Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohamad Zamri Ramli dibuang padang kerana mengkasari Ketua Pasukan MP Muar, Muhammad Fauzi Abdul Kadir.

Minit-minit akhir perlawanan, Mohamad Aris terlepas peluang untuk meletakkan Kelantan lebih awal meraikan kemenangan apabila tandukannya terkena palang gol manakala tandukan susulan Mohd Syafiq Haikal Nazarudin pula diselamatkan penjaga gol, Mohd Khairul Izzuwan diatas garisan gol sekalipun pemain Kelantan mendakwa bola terlebih dahulu melintasi garisan.

Keputusan seri 1-1 dalam waktu permainan sebenar memaksa penentuan juara ditentukan menerusi waktu tambahan 30 minit.

Dua minit masa tambahan bermula, MP Muar pula sekali kecewa setelah percubaan S Harivarman terkena palang gol biarpun Muhammad Syazwan sudahpun tertewas diposisinya.

Namun, Mohd Khairul Izuan menceriakan penyokong setia dua minit kemudian apabila menjaringkan gol kemenangan Kelantan. Berpunca hantaran lintang Muhammad Akid Ramli, Mohd Khairul meledakkan rembatan kencang ke penjuru sebelah kiri pintu gol M P Muar untuk gol kemenangan Kelantan.

Minit-minit akhir masa tambahan, pasukan MP Muar sekali lagi gagal memburu gol penyamaan apabila percubaan Muhammad Fauzi ditepis keluar Muhamad Syazwan di sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Muhamad Syazwan Yusoff, Faizol Nazlin Sayuti, Muhammad Syafiq Haikal Nazarudin (Muhammad Norhamizi Haron), Nik Shahrul Azim Nik Abd Halim (KP), Mohamad Zamri Ramli, Khairul Izuan Rosli, Muhammad Norsyahrul Hawari Hanafi (Nicholas Chan Meng-Jin),  Mohamad Syawal Rudin Abdul Rahim (Mohamad Zabeel Mat Noor), Muhammad Shahiran Md Zin (Mohamad Azyu Ikmal Che Mat Nor), Muhamad Farhan Yaakub (Muhammad Akid Ramli) dan Mohamad Aris Zaidi.

FORMASI : 4-4-2

MP MUAR : Mohd Khairul Izzuwan Shaari, Muhammad Adli Muhammad (N Kartigesu), Afiza Azhar (S Sadesh Kumar), Mohd Nadzmeer Hisham Mohamad, Mohd Nor Hakim Hassan, Zailan Mohamad (Muhammad Shazrul Nizam), M Tamilselvam, Mohd Afiq Akmal Zunaidi (R Nandakopal), Muhammad Fauzi Abdul Kadir (KP), Nasrullah Haniff Johan dan S Harivarman (Ahmad Hisyamudin Alias).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (7) MP Muar (5)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) MP Muar (10)
Sepakan penjuru : Kelantan (15) MP Muar (6)
Sepakan percuma : Kelantan (21)  MP Muar (15)
Ofsaid : Kelantan (7) MP Muar (1)
Kekasaran : Kelantan (8) MP Muar (20)
Kad kuning : Kelantan (Nicholas Chan Meng-Jin ) MP Muar (Mohd Afiq Akmal Zunaidi dan R Nandakopal)
Kad merah : Kelantan (Mohamad Zamri Ramli) MP Muar (M Tamilselvam)
Masa tambahan :  Lima minit masa permainan sebenar (tidak termasuk masa tambahan 30 minit)
Penguasaan bola : Kelantan (55%) MP Muar (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Samsuddin Ibrahim
Penolong Pengadil 1: Suhaimi Mat Hassan
Penolong Pengadil 2: Ismadi Ibrahim
Pegawai Keempat : Ramli Mat Dahan
Kommissioner Perlawanan : Ahmad Fuad Daud
Pegawai Penilai : Abd Kadir Abdullah
General Kordinator : Arif Hassan

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi menentang MP Muar dalam perlawanan akhir Piala Presiden, malam tadi
 
Annuar diperkenalkan kepada barisan pemain Piala Presiden Kelantan sebelum sepak mula perlawanan akhir.

Sebahagian penyokong setia Kelantan yang menyaksikan perlawanan akhir, malam tadi. 

No comments:

Post a Comment