Thursday, July 21, 2011

CCFC KOMITMEN LATIH REMAJA

CHAN TIEN GHEE

KOTA BHARU – Kelab Bola Sepak Cardiff City (CCFC) yang dimiliki oleh rakyat Malaysia terus menyatakan komitmennya untuk membantu membangunkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

Lapan jurulatih daripada CCFC kini dalam rangka Jelajah 1Malaysia Cardiff City (1MCC-CCFC) dengan Kota Bharu menjadi lokasi persinggahan pertama. Seramai 207 pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) terlibat dalam Klinik Bola Sepak bersama CCFC itu.

Pengerusinya, Datuk Chan Tien Ghee berkata, pihaknya cukup gembira kerana dapat bekerjasama lebih rapat dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menjayakan klinik bola sepak selama sehari itu.

“Pembangunan bola sepak remaja pada hari ini sebenarnya cukup penting. Kalau kita perhatikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah pun terlibat dalam sukan bola sepak,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, semalam.

“Bagi CCFC sendiri, kami cukup teruja apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak remaja. Kita cuba mendekatkan masyarakat dengan program seperti ini. Malah kita akan ke Jengka, Pahang dan Jerlun, Kedah bagi menjayakan program klinik bola sepak selepas ini.

“Kelantan merupakan lokasi pertama kami. Saya melihat betapa keghairahan pemain muda di negeri ini berasaskan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong mereka. Saya tidak pernah melihat penyokong Kelantan sebegitu ramai apabila pasukan ini beraksi diluar Kota Bharu. Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, program jelajah ini sebenarnya cukup bagus bagi mendedahkan pemain remaja dengan teknik bola sepak moden yang sudah pasti berbeza sama sekali corak permainan bola sepak di negara ini.

“Anda boleh bayangkan mereka ini (jurulatih-jurulatihnya) dari Wales datang ke sini. Sudah pasti kita mengalami kesukaran untuk berkomunikasi tapi saya lihat perkara itu tidak berlaku disini. Mereka (pelatih-pelatih) cukup gembira menimba ilmu walaupun dalam tempoh yang singkat.

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan menerima cenderahati daripada Tien Ghee sejurus sidang akhbar 1MCC-CCFC di Kota Bharu. 

“Ianya bukan soal mencari siapa yang terbaik. Apa yang lebih penting ialah penyertaan daripada semua peserta disini. Di Cardiff City, kami mempunyai hampir 10,000 peserta seperti ini setiap tahun. Daripada jumlah itu, kami mungkin hanya mendapat hanya seorang pemain yang bagus Craig Bellamy. 

“Saya gembira dengan perkembangan kelab saya. Sudah pasti kita akan datang ke sini lagi. Kita mempunyai cawangan akademi di Kuala Lumpur dan berdasarkan fenomena luar biasa disini saya bersedia membuka cawangan di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment