Monday, July 25, 2011

KELANTAN HORMATI MP MUAR

ZAHASMI ISMAIL

KOTA BHARU – Dilabelkan pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kali ini, Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail ternyata tampak kurang selesa dengan gelaran tersebut sebaliknya mengambil pendekatan merendah diri menjelang perlawanan akhir Piala Presiden menentang Majlis Perbandaran (MP) Muar, malam esok.

Biarpun bahang tekanan semakin terasa, Zahasmi walaubagaimanapun mengakui beliau lebih gemar mengambil sikap berhati-hati sambil menghormati keupayaan pasukan MP Muar yang berjaya mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir edisi musim ini.

“Ini merupakan perlawanan akhir dan saya bersetuju dengan pendapat mengatakan bahawa kedua-dua pasukan yang beraksi dalam final musim ini sebenarnya layak digelar pasukan terbaik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Bagi saya, kedua-dua sebenarnya mempunyai peluang yang seimbang untuk bergelar juara. Hanya pasukan yang meminimakan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang, maka pasukan itulah layak dinobatkan sebagai juara.

“Dalam bola sepak apa-apa pun boleh terjadi apatah lagi dalam kemuncak perlawanan akhir seperti ini. Jurulatih mana yang tidak mahu menjulang piala apatah lagi bukannya mudah bagi kita menempatkan diri dalam perlawanan akhir kali ini. Sudah pasti saya mengimpikan kejuaraan untuk pasukan Kelantan,” katanya.

Tidak mahu bermain psikologi, Zahasmi mengakui beliau sebenarnya tidak mengetahui kekuatan pasukan MP Muar yang dibimbing bekas pemain Negeri Sembilan, Rosli Omar dan secara jujur tidak berminat untuk mencari kelemahan pasukan berstatus kelab dari negeri selatan tanah air itu.

“Kita perlu menghormati keupayaan pasukan MP Muar. Apabila mereka layak ke perlawanan akhir ini bermakna mereka bukan calang-calang pasukan sebenarnya. Soal kekuatan atau kelemahan mereka itu kita ketepikan.

Zahasmi (kanan) serius mengendali sesi latihan skuad Piala Presiden di Kota Bharu, semalam

“Kita hanya memberi fokus terhadap persiapan kita dan saya berjanji akan buat yang terbaik. Kita akan menggunakan segala kelebihan yang ada pada pasukan kita. Bagi saya, tidak ada percaturan khas terhadap pertemuan ini sebaliknya kita tetap menganggap ianya sama seperti perlawanan yang lain cuma bezanya ini perlawanan akhir.

“Peluang beraksi dalam perlawanan akhir dihadapan penyokong sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sehubungan itu, saya berharap para penyokong setia Kelantan hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pemain kita malam esok,” katanya.

Kelantan dan MP Muar akan berentap memburu kejuaraan dengan pasukan bergelar juara bakal menjulang trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000 sementara naib juara bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengetepikan lawan masing-masing diperingkat separuh akhir. Kelantan layak setelah menyingkirkan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol ditempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

No comments:

Post a Comment