Monday, July 25, 2011

SAINGAN SENGIT REBUT TEMPAT

Mohd Yusri Ismail

KOTA BHARU – Teka-teki siapa yang bakal berada dalam senarai terakhir 18 pemain skuad Kelantan bagi menghadapi Majlis Perbandaran (MP) Muar dalam perlawanan akhir Piala Presiden hanya dapat ditentukan pada hari perlawanan esok.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail mengakui saingan sengit dalam kalangan pemainnya yang kini berusaha untuk memikat hati pihak pengurusan bagi merembut tempat dalam kesebelasan utama pemain bagi perlawanan akhir malam esok.

“Apa yang boleh saya katakan semua pemain bersaing sesama sendiri bagi menempatkan diri dalam senarai 18 pemain. Kita tengoklah nanti dalam latihan sehari dua ini mereka yang menunjukkan prestasi terbaik itulah yang kita akan pilih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Saya dapat lihat betapa semangat juang pemain cukup tinggi dan saya fikir prestasi mereka semua sudah berada dikemuncak. Apatah lagi ini perlawanan akhir bagi kita musim ini dan mereka mahu menghadiahkan piala tersebut kepada seluruh rakyat Kelantan.

“Sebenarnya ini merupakan satu persaingan yang sihat bagi sesebuah pasukan. Secara jujur saya katakan pasukan yang dibentuk pada musim ini merupakan yang terbaik dan sentiasa mendapat perhatian daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sendiri,” katanya.

Menurutnya, skuad The President Warrior bakal menampilkan barisan terkuat bagi menghadapi anak didik Rosli Omar, bekas pemain Negeri Sembilan yang diberi kepercayaan melatih pasukan MP Muar musim ini.

Kelantan akan bertemu MP Muar dalam perlawanan akhir Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

No comments:

Post a Comment