Thursday, July 21, 2011

AKSI FINAL 26 JULAI INI

Ariff (kanan) mengendalikan sesi cabutan undi selepas memberi taklimat mengenai format pertandingan Kejohanan Liga ARMY 2011 di Kota Bharu, semalam

KOTA BHARU – Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sekali lagi diberi penghormatan apabila dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai gelanggang perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden pada 26 Julai ini.

Dua pasukan finalis, iaitu Kelantan dan Majlis Perbandaran (MP) Muar, Johor akan berentap memburu kejuaraan bagi merebut trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000. Sementara naib juara pula bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengalahkan lawan masing-masing diperingkat separuh akhir. Kelantan layak setelah mengetepikan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol ditempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Arif Hassan berkata, pihaknya sudah menerima pengesahan secara rasmi daripada FAM berkenaan pemilihan stadium di Kota Bharu itu sebagai gelanggang perlawanan akhir kejohanan tersebut musim ini.

“Bagi ketetapan perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden musim ini, sepak mula akan dimulakan jam 8.45 malam sebagaimana kebiasaan bagi perlawanan lain dalam Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Pihak Kafa juga memutuskan harga tiket bagi tempat duduk teres berbumbung bagi perlawanan akhir ini ialah RM10 sementara tempat duduk terbuka RM5. Tiket-tiket perlawanan akan dijual pada hari perlawanan akhir tersebut.

“Sehubungan itu, saya berharap peminat setia bola sepak Kelantan membanjiri stadium pada perlawanan ini bagi memberi sokongan kepada pasukan The President Warriors ini. Ini merupakan peluang terbaik bagi kita untuk menambahkan koleksi trofi kejuaraan kali keenam dengan memenangi piala ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ariff turut memaklumkan sebanyak lapan pasukan termasuk Akademi Bola Sepak Darul Naim (ABDN) bakal berentap dalam Kejohanan Liga Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang bermula Jumaat ini.

“Kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh Kafa itu bakal menyaksikan sebanyak 16 pasukan daripada pasukan bawah 14 tahun dan 16 tahun akan berentap secara liga yang diasingkan kepada dua kumpulan.

“Pasukan yang terlibat ialah ARMY Kota Bharu 1, Kota Bharu 2, ARMY Chengal, ARMY Bachok, ARMY Tanah Merah, ARMY Tumpat, ARMY Kuala Krai selain ABDN yang turut menyertai atas kapasiti sebagai pasukan jemputan,” katanya.

No comments:

Post a Comment