Thursday, July 21, 2011

BEKAS PEMAIN BERTEMU KEMBALI

Takiyuddin (duduk, empat kiri) dan Wan Abdul Rahim (duduk, lima kiri) bergambar bersama-sama pemain bekas pemain bola sepak negeri dalam satu perjumpaan di Kota Bharu, baru-baru ini. 

KOTA BHARU – Kita pernah mendengar nama-nama seperti Dali Omar, Mahadi Yusoff  atau Kamaruddin Mohd Noor yang selalu melingkari dunia bola sepak tempatan sebelum ini tetapi mungkin kita kurang mengenali siapa Ramli Abdullah atau Mohd Zin Omar.

Dua nama ini merupakan antara pemain yang cukup lincah beraksi dipadang ketika menyarung jersi Kelantan sekitar tahun 60’an dulu selain Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusoff yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972.

Ianya pasti menggamit nostalgia lama apabila seramai 29 bekas pemain bola sepak negeri ini dari era tahun 60 hingga 80’an dipertemukan dalam satu majlis makan malam yang berlangsung di sebuah restoran di Kota Bharu, baru-baru ini.

Majlis perjumpaan bekas-bekas pemain itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Biarpun sudah bersara sepenuhnya daripada dunia bola sepak, namun itu tidak menghalang mereka untuk dipertemukan kembali setelah ada diantara mereka yang terputus hubungan hampir 10 tahun.

Hadir dalam majlis perjumpaan tersebut ialah bekas pemain seperti Nik Abdul Rahman Abdullah, Wan Rashid Wan Mohamad, Mohd Agus Daud, Wan Yusoff Wan Zin, Zakaria Husin, Wan Abdul Aziz Wan Ahmad, Idris Daud, Yassin Mohd Noor, Wan Hassan Wan Ibrahim dan Zulkepli Hussin.

Selain itu turut hadir ialah Wan Mohd Afendi Wan Omar, Yusof Mohamad, Izman Mohamad, Abdul Ghani Omar, Abd Hamid Abd Ghani, Kamarudin Sulong, Nik Leh Nik Man, Hamid Ramli, Afandi Yusof dan Mahadi Yusof.

Wan Abdul Rahim didalam ucapannya mengakui keterujaannya dapat bertemu dengan bekas pemain yang pernah menjadi idola ketika pada zaman mudanya dahulu.

“Ramai kalangan yang hadir merupakan pemain yang menjadi idola saya. Ketika itu mereka beraksi pada zaman stadium ‘pohon rhu’’ lagi. Saya masih ingat lagi dimana Mohamed Che Su (kini, arwah) dan MahadiYusoff pernah bergaduh diluar padang.

“Semua itu menjadi kenangan dan saya berharap kita akan kerap kami bertemu selepas ini. Mungkin kita boleh mengadakan perlawanan persahabatan diantara kita. Saya dulu pun aktif bermain bola sepak pada tahun 1971 bersama-sama dengan Nik Fauzi (Nik Hassan) dan Kamaruddin (Abdullah) namun setakat kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) sahaja,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, bagi bekas pemain, Kamaruddin Mohd Noor juga berharap pertemuan sebegini bukan yang pertama dan terakhir memandangkan mereka sepakat untuk menubuhkan persatuan bekas pemain bagi memastikan dapat mengaturkan pelbagai aktiviti selain menjaga kebajikan bekas-bekas pemain.

No comments:

Post a Comment